Berita Harian: Hip |
Posted: 19 Jul 2011 06:08 PM PDT Hip Natasha Hudson MELIHAT wajah dan bakat, khidmat Natasha Hudson untuk terus mewarnai dunia seni Indonesia masih didamba apatah lagi tahun lalu sebanyak tiga drama bersiri sempat dibintangi aktres berdarah kacukan Melayu-Australia itu. Tidak hairan sekembali ke Kuala Lumpur untuk menyudahkan pembikinan rakaman lagu selain lakonan, panggilan demi panggilan diterima yang mempelawa dirinya terbabit dalam produksi di negara itu. Walaupun peluang terbuka luas, ibu kepada seorang puteri, Nessa Helena, 3, itu terpaksa berfikir panjang sebelum membuat keputusan yang dirasakan memerlukan pengorbanan tinggi."Dunia hiburan Indonesia cukup luas. Sepanjang 10 bulan di sana, saya sempat berlakon untuk tiga produksi bersiri. Banyak pengalaman saya lalui, malah ramai rakan produksi meminta saya datang semula. "Cuma apabila memikirkan anak selain tawaran di negara sendiri, saya terpaksa menolak biarpun pernah terniat untuk terus mencuba nasib di tempat orang," katanya sambil tersenyum. Adakah kecewa dengan senario industri seni tempatan? Katanya, bukan soal berkenaan sebaliknya kesejahteraan serta kebajikan anak tunggal menjadi keutamaan yang tiada kompromi.
Hanya panggilan telefon serta gambar menjadi pengubat rindu malah Natasha juga kerap pulang semata-mata mahu bertemu si buah hati walaupun agak lelah berulang alik begitu. "Cadangan awal memang ingin anak di sisi sepanjang memenuhi tawaran di sana tetapi barangkali faktor cuaca mengakibatkan kesihatannya tidak menentu. Jalan paling baik membawanya pulang semula ke Kuala Lumpur. "Boleh dikatakan, saya berulang alik antara Jakarta dan Kuala Lumpur. Selepas menyelesaikan tiga drama bersiri, saya berkira-kira mahu kembali semula kerana ramai rakan lama yang mengajukan tawaran. Apa pun bukan dalam tempoh terdekat ini," katanya yang lebih dulu bergerak sebagai model di Jakarta. Lakonannya menerusi produksi Indonesia ini dapat diikuti dalam Antara Benua, Cinta & Air Mata serta Melodi Hati yang turut disiarkan menerusi stesen televisyen di negara ini. Akuinya lagi peluang untuk artis tempatan mencuba nasib di negara itu terbuka luas namun cukai yang tinggi dikenakan kepada orang luar membuatkan dirinya juga terpaksa berfikir dua kali. Tambah aktres yang merangkul gelaran Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20 itu, langkah berkenaan juga dilaksanakan untuk melindungi kebajikan penggiat industri mereka. "Suka atau tidak kita kena ikut peraturan yang diperketatkan demi kepentingan rakyat mereka, khususnya pekerja industri hiburan. Sebenarnya banyak faktor lain yang membuatkan saya terus 'melekat' di tanah tumpah darah sendiri," katanya penuh bermakna. Akhirnya dapat watak komedi NYATA rezeki ibu tunggal itu terus meriah apabila tetap menjadi buruan penerbit, termasuk baru menyelesaikan penggambaran dua drama komedi yang disifatkan peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan. Menyifatkan Antara Keju & Belacan serta Perang Celup sebagai eksperimen untuk memenuhi peranan yang selama ini dirasakan cukup sukar untuk diperoleh, iaitu watak komedi. "Boleh dikatakan sepanjang tempoh berlakon penerbit seakan takut untuk memberikan saya watak komedi. Apabila diajukan tawaran ini, saya tidak berfikir dua kali kerana skripnya juga bagus iaitu berkisar wanita Melayu yang lebih kebaratan daripada Mat Saleh sendiri. "Saya mengambil watak Jennifer Aniston dalam sitkom Friends sebagai rujukan. Tidak perlu berlebih-lebih kerana hanya menerusi lontaran dialog serta aksi bersahaja mampu mencuit hati penonton," katanya. Bakal tampil di layar perak semula dalam filem genre aksi, Halilintar arahan sutradara baru, pelakon yang bakal bergelar penyanyi rakaman itu juga akan turun ke lokasi filem pendek arahan Brendan Lee. Mengulas mengenai hasrat merealisasikan album selepas perancangan dulu terbengkalai dek timbulnya isu bersama syarikat rakaman, ulasnya, impian berkenaan bakal direalisasikan sedikit masa lagi. "Saya bertuah dikelilingi ramai insan berbakat malah setakat ini tiga lagu sudah dirakamkan yang juga gubahan rakan karib termasuk DJ Fuzz dengan tajuk Jika Boleh Ku Gubah Dunia, Selamanya dan Destinasi. "Memang banyak cabaran perlu ditempuhi selain kos yang perlu ditanggung sendiri. Namun saya puas dan jika tiada aral melintang single dikeluarkan dulu sebelum disusuli album mini," katanya. Lagu duet bersama Juliana Evans juga sudah disempurnakan, malah istimewanya ia dirakamkan khusus untuk musim Aidilfitri, cuma judulnya saja masih dalam perbincangan. Berharap perjalanan dalam kedua-dua bidang ini dipermudahkanNya, dedah wanita cekal itu, tanpa minat mendalam tidak mungkin dirinya mampu menepis segala rintangan yang membolehkannya terus berdiri gagah. PROFIL NAMA SEBENAR: Natasha Liana Hudson
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: 19 Jul 2011 05:47 PM PDT Hip Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimi Saifuddin SELEPAS hampir sedekad bergelar pelakon, bahkan kredibilitinya sebagai anak wayang terbukti dengan pencapaian sebagai Pelakon Lelaki Terbaik yang diraih pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-23 lalu, kini Bront Palarae menapak selangkah lagi ke hadapan apabila mula berjinak-jinak di dalam dunia pengarahan. Nasihat serta sokongan yang diberikan penerbit dan pengarah berpengalaman seperti David Teo, Ahmad Idham serta ramai lagi, menyuntik keyakinan yang lebih kepada Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimi Saifuddin untuk merealisasikan impiannya yang satu itu. Walaupun baru berjinak-jinak sebagai seorang sutradara, Bront ternyata berani apabila terus terjun ke gelanggang lebih besar iaitu bidang pengarahan filem. Sesetengah pengarah muda pula lebih gemar mengasah bakat di arena drama televisyen terlebih dulu sebelum mengarah filem, dengan matlamat mengumpul pengalaman serta meningkatkan keyakinan diri.Bagi Bront pula, dikelilingi barisan tenaga kerja dan pelakon yang berbakat membuatkan dia bersemangat untuk menyudahkan filem pertamanya yang berkonsepkan komedi, berjudul 3 Rasa. Buah tangan pertama terbitan syarikatnya, Otto Films, baru saja selesai menjalani penggambaran selama 20 hari. Antara artis yang membarisi filem berkenaan ialah Sharifah Amani, Along Eyzendy, Azad Jazmin, Ruminah Sidek, Radhi Khalid, Dira Abu Zahar, Sabri Yunus, Nadia Aqilla dan ramai lagi. Memilih Amani sebagai bintang utama, Bront ketika dihubungi berkata, Amani menjadi pilihannya kerana bakat besar dimiliki pelakon genit itu. Bront menolak andaian dia memilih anak gadis Fatimah Abu Bakar itu atas dasar persahabatan yang sudah lama terjalin. Kedua-duanya pernah mencuri hati peminat menerusi drama bersiri popular, SinDarEla dan Rona Roni Makaroni.
Menurut pemuda berusia 32 tahun ini, filem sulung arahannya itu ialah sebuah persembahan yang menggabungkan elemen komedi, percintaan dan pengembaraan. "Saya memilih genre komedi kerana saya mahu penonton pergi menonton dengan gembira. Saya bimbang jika orang tidak sukakan filem ini, kerana itu saya memilih komedi kerana genre itu senang diterima dan diminati ramai. "Filem 3 Rasa mengisahkan tiga watak utama iaitu Amani dengan kisah percintaan romantiknya, Mak Mah dengan kisah perjalanannya dari kampung ke Kuala Lumpur yang penuh dengan pelbagai cerita serta Azad yang memegang watak pekerja dari India yang terpaksa menempuh pelbagai rintangan dalam meniti hidupnya di Kuala Lumpur," kata anak seni berasal dari Alor Star ini. Berbeza daripada filem Cinta DENGAN gabungan beberapa cerita berlainan dalam sebuah filem, berkemungkinan ada peminat yang menganggap judul terbabit mengambil formula filem arahan Kabir Bhatia, Cinta, yang diterbitkan pada 2006. "Mungkin orang akan mengaitkan filem ini dengan filem Cinta, tetapi apa yang saya boleh katakan, persembahannya mungkin sama tetapi jalan ceritanya adalah berbeza," kata Bront yang menulis skrip filem ini bersama dua lagi rakannya, Sheikh Munasar dan Rozi Izma. Tambah Bront lagi, skrip 3 Rasa yang menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, yang akan mengangkat kisah kehidupan di ibu kota metropolitan itu, disiapkan dalam tempoh hampir setahun. Oleh kerana ditangani pengkarya muda dan baru, Bront berkata apa yang boleh dijanjikan ialah sebuah filem komedi yang segar. Bagaimanapun katanya, 3 Rasa berkemungkinan mempunyai persamaan dengan filem komedi lain kerana konsepnya sama. "Walaupun idea dalam 3 Rasa segar kerana skripnya dihasilkan tiga penulis berbeza, tetapi filem ini tidaklah sampai ke tahap lain dari yang lain. Saya banyak bekerja dengan abang Mamat Khalid, Osman Ali, jadi mungkin sedikit sebanyak pengalaman bekerja dengan mereka mempengaruhi arah tuju saya dalam dunia pengarahan. Bagaimanapun saya anggap semua ini sebagai satu proses pembelajaran," katanya mengenai filem yang dijangka menemui penonton pada awal tahun depan itu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |