Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Keterlanjuran Intan - AdeyKALAUPUN masih terlalu jauh untuk menghampiri nilai sebutir intan, barangkali zat kepada unsur paling keras itu sedang ingin dikaitkan dengan pelakon Intan Ladyana. Dimunculkan sebagai gadis rebutan dalam Tipah Tertipu The Movie empat tahun lalu, laluan awal itu membawa pemilik nama hakiki Intan Nurladyana Mohamad Yahaya sehingga sejauh ini. Biarpun bukan di baris hadapan dalam pencalonan acara anugerah seni, setidak-tidaknya pentas hiburan tidak pernah memberi janji kosong untuk Intan terus berdiri. Namun, masih ada yang mempersoalkan impak kelibatnya malah mendakwa lakonan Intan masih kaku. Tidak menidakkan kelemahan yang ada, bagaimanapun Intan yakin setiap pelakon berdepan getir yang tekanan yang sama saat sesuatu karakter hendak dilaksanakan. "Jangan mudah untuk menghukum lakonan seseorang itu 'kayu'. Orang kita gemar bersikap pesimistik sedangkan kita ada pilihan untuk mengangkat karya hasil anak tempatan bukan menjatuhkan. "Orang hanya akan menilai secara luaran, tapi bagaimana jika pengkritik itu sendiri yang berada di tempat pelakon berkenaan. Jika isu lakonan 'kayu' itu yang masih mahu diperkatakan, saya tidak faham kenapa," curah Intan. Sedar kritikan adalah makanan, tambahan pula bagi pelakon yang tiada asas seni secara formal sepertinya, Intan mengakuinya, dalam tempoh empat tahun aktif, dia semakin matang, baik dari segi lakonan mahupun pendirian. Itu antara janji yang dipertaruhkan Intan seiring filem keempatnya bersama MIG Production (MIG), Flat 3A, kini berada di pawagam. Kendatipun bukan daripada genre drama berat, Intan mengakui kelangsungan watak Fikah menuntut penghayatan berganda daripadanya. "Boleh dikatakan, itulah watak paling berat, paling berlainan dan amat mencabar yang pernah saya lakonan. "Filem itu bercerita tentang keruntuhan moral seperti amalan seks bebas, hamil luar nikah dan pengguguran serta pembuangan bayi. "Saya tak boleh bayangkan betapa saya akan terjerumus dan sanggup melakukan perkara seperti itu, termasuklah memegang lintah, geli-geleman saya dibuatnya. "Saya amat tertekan dan dipaksa menjadi wanita yang trauma serta tertekan, mental dan fizikal semuanya kerana cinta dan salah percaturan," ujarnya memuji kerja pengarahan Azahari Zain untuk filem berkenaan. Jika terdahulu diganding nama-nama popular seperti Pierre Andre, Shaheizy Sam dan Farid Kamil, kali ini, Intan berkongsi flat pula dengan bakat baru, Adey Shafren. Lebih teruk lagi, dia sengaja menyerahkan diri malahan menyerahkan tubuh untuk diratah dan alat pelepas amarah oleh Adey yang melakonkan watak kekasihnya, Anas. "Saya okey dengan Adey, lagipun ada sesi latihan skrip sebelum penggambaran diadakan. "Kalau Adey merasakan dia pelakon baru yang harus bermula dengan 'kosong', saya pun begitu. Setiap hari adalah proses pembelajaran," cerita si kekasih pelakon Kamal Adli itu bersahaja. Selain Flat 3A, akan datang Intan bakal muncul pula dengan filem bersama Fizo Omar berjudul Halimunan dan Bini-Biniku Gengster, sekali lagi bersama Shaheizy Sam. Adey pertama kali jadi hero
Loghat Sabah masih basah dalam bicara, namun seboleh-bolehnya pendatang baru dalam dunia lakonan, Adey Shafren, 23, menebalkan lidah untuk bercakap dalam gaya orang Kuala Lumpur. Mujurlah, sebelum benar-benar berkeyakinan untuk berdepan umum, jejaka itu terlebih dahulu mencari guru agar kekosongan yang tidak pernah terisi ilmu lakon sedikit bercambah. "Memang saya ada belajar secara tidak formal dengan seorang aktor yang cukup dikenali ramai, tetapi agak keterlaluan jika saya mendabik dada tentang siapakah mentor saya itu. "Biarlah dulu, sekarang buat malu dia sahaja jika lakonan saya tetap kayu dan memualkan," katanya merendah hati. Masih asing di mata ramai, namun Adey bukan sewenang-wenang muncul sebagai pelakon utama. Kisahnya bermula dengan 20 babak dalam drama bersiri 26 episod, Jangan Pandang Belakang The Series dan bertambah menjadi 52 babak dalam drama Adnan Sempit The Series. "Masa mula-mula berlakon, saya memang 'kayu' habis. Ada yang kata saya berlakon macam orang cacat tapi saya terima ambil itu sebagai cabaran. "Masuk drama kedua, saya tak faham apa yang saya buat, apa yang saya ucapkan dalam dialog. Apabila diberi ruang dalam drama Epilog Syurga Cinta, barulah saya faham bahasa dalaman. "Ketika itu, tubuh saya boleh berinteraksi dengan dialog yang saya luahkan, selama ini, ia melantun tanpa arah," katanya. Adey menghitung-hitung lagi jumlah babak dalam drama Siti Kelembai sebanyak 125 babak dan diangkat sebagai antara pemain utama dalam drama 12 episod, Kasih Alya bawah produksi JS Pictures bersama Sheila Rusly. Ketika ini, Adey juga seangkatan dengan Nora Danish dan Kamal Adli dalam drama Ana Lulu di TV3. Masuk ke watak Anas, karakter pertama yang meletakkan dirinya sebagai pendokong watak utama, Adey menyimpan ekspresi. Dia menyerahkan kepada penonton sebagai pemilik suara mutlak untuk menilai corak lakonannya. "Saya baru lapan bulan bergelar pelakon. Profil saya masih di perenggan pertama. "Begitu juga dengan lidah 'Sabah' saya ini, saya masih cuba mengikis ia baik-baik tapi ada masanya saya terlepas menjadi budak Sabah, terutamanya bila ada dialog-dialog marah yang memerlukan lebih ekspresi. "Tambah-tambah lagi, dalam Flat 3A, saya jadi seorang yang panas baran. Bila marah sahaja, sebutan saya akan jadi lebih tebal," ujarnya bernada serius. Tidak mampu menyimpan emosi, Adey berkongsi sedikit pengamatan. Katanya, dia belum mampu untuk memisahkan kecenderungan terikut-ikut gaya lakonan pelakon lain yang sering dirujuk dan diperhatikan. "Saya serahkan hak itu kepada penonton. Nilailah dan kritiklah seadanya. "Watak Anas itu sendiri banyak lapisan, dan setiap lapisan itu harus diberikan perhatian. Dia lebih daripada apa yang ditonjolkan. Saya sangat sukakan pengakhiran cerita dalam Flat 3A. "Apa-apa pun sangat berterima kasih kepada abang ipar saya, Eizlan Yusof yang banyak memperkenalkan saya terhadap bidang ini, begitu juga David Teo. "Di fikiran saya dulu, saya tahu David Teo sahaja penerbit drama dan filem di Malaysia. Betapa naifnya saya," jujurnya Adey dapat dirasai. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Anne ada dua teman lelakiANNE bersama dua daripada tiga orang cahaya matanya, Abdul Warits (kanan) dan Abdul Wafri (kiri). HAMPIR setahun setelah segala-galanya selesai, sudah jarang benar kehidupan dramatis yang cukup dikenali ramai, Anne Ngasri dapat dibaca. Sesekali, ada juga ibu tunggal kepada tiga cahaya mata itu dipanggil untuk mengisi sesi wawancara apabila perihal asam garam rumah tangga menjadi topik bualan di kaca televisyen. Terbaru, janda muda berusia 27 tahun itu dikatakan sedang dalam fasa bahagia. Lebih setahun selepas sah bercerai dengan bekas suaminya, Abdul Wafi Hassan pada 25 Jun 2010, ada khabar angin mengatakan Anne kini sudah bertemu pengganti dudanya. Khabar berkenaan disampaikan oleh seseorang yang kononnya melihat sendiri kemesraan Anne bersama seorang lelaki baru-baru ini. Tidak mahu terburu-buru membuat kesimpulan, penjelasan ibu kepada Abdul Warits, 5, Abdul Wafri, 3 dan Nashara Afroza, 9 bulan itu diperoleh. Kepada Sensasi Bintang, Anne yang berada untuk penggambaran telemovie berjudul Gaya K-pop memberikan jawapan, hidup mati hidupnya kini hanyalah untuk anak-anak. Sensasi Bintang: Jadi, benarkah ada khabar mengatakan Anne kini sedang bahagia dengan kekasih hati? ANNE NGASRI: Memang saya sedang bahagia, sekarang teman lelaki saya adalah Warits dan Wafri, mereka itu anak-anak lelaki saya. Manalah datang cerita begitu. Buat masa ini saya belum terfikir untuk mencari teman. Kalau tidak ada penggambaran, saya hanya dengan anak-anak. Ada yang nampak Anne keluar bersama seseorang ketika ini? Kalau saya langsung tidak boleh berkawan dengan mana-mana lelaki, itu agak parah. Tapi, rasanya saya jarang keluar, kalau keluar pun, mesti ramai-ramai. Itu pun siang hari sahaja dan dari lokasi penggambaran. Tapi memang payah untuk saya keluar. Selalunya saya akan keluar dengan anak-anak. Di Melaka sekarang pun, saya bawa dua orang anak bersama pembantu rumah sepanjang penggambaran di sini. Mereka duduklah dalam bilik sementara saya ada penggambaran. Pasal orang nampak saya keluar bersama lelaki, rasanya, itu perkara biasa dalam kehidupan artis wanita. Kalau kita keluar biasa-biasa pun dengan mana-mana orang, lelaki khususnya, pasti akan menimbulkan tanda tanya orang yang melihatnya. Saya tak salahkan sesiapa. Belum terbuka hati untuk menerima lelaki baru atau masih trauma dengan kisah lalu? Sudah tidak ada apa-apa yang harus dikesalkan. Saya tak pernah trauma kerana antara saya dan Wafi, kami masih berbaik-baik. Tapi untuk mencari teman lelaki, buat masa ini belum terniat lagi kerana anak-anak lebih penting. Jadi tidak terfikir soal jodoh? Tipulah kalau saya katakan langsung tidak fikir, saya muda lagi. Cuma bukan untuk masa sekarang. Anak-anak saya masih kecil, saya kena kerja keras untuk cari duit besarkan dan sekolahkan anak-anak. Takkanlah saya nak meminta-minta dengan orang lain. Untuk masa akan datang, saya doa supaya dipertemukan dengan jodoh yang baik, tolong-tolonglah doakan juga untuk saya. Bagaimana dengan turun naik karier Anne sekarang, ada yang kata Anne dapat tawaran berlakon kerana belas kasihan orang dengan nasib yang dialami? Saya pelakon sejak kecil dan masih berlakon sehingga kini. Pekerjaan dan pendapatan saya adalah lakonan. Kalau pun ada yang berkata begitu, saya tak boleh halang. Apa yang saya harapkan, kekuatan dan kesihatan yang baik agar saya dapat bekerja untuk membesarkan anak-anak. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Qalisha bertapa lima tahunQALISHA menganggap kecantikan paras rupa bukanlah pengukur untuk bertahan dalam industri muzik. PENAMPILAN Noor Qalisha Ahmad Rashidi pantas menarik perhatian. Orangnya kecil molek manakala wajah manisnya terserlah keunikan hasil campuran Arab, Pakistan, Afghanistan dan Melayu. Namun, kecantikan yang dimiliki oleh gadis berusia 20 tahun itu bukanlah kayu pengukur untuk dia terus kekal bertahan dalam dunia seni. Arus mencabar sedang dikayuhnya bersama bakat sebagai sauh utama. Tampil dengan kelunakan suara, wanita yang mahu popular dengan jenama Qalisha itu optimis untuk diterima oleh peminat seni tanah air sebagai seorang penyanyi. Kira-kira lima tahun dahulu, dia pernah diberi peluang untuk menjadi penyanyi oleh komposer terkenal, Ajai. Namun, memikirkan usia yang masih mentah, dia nekad untuk mengetepikan dahulu tawaran berkenaan. Atas alasan belum cukup bersedia, dia bertegas melepaskan tawaran keemasan itu biarpun nyanyian bertakhta di hati. Kata Qalisha, semuanya bermula gara-gara kesungguhan neneknya menyatakan kebolehan Qalisha kepada Ajai pada satu majlis yang berlangsung di Kuala Terengganu, Terengganu kira-kira lima tahun lalu. "Saya terkejut apabila nenek tiba-tiba menghampiri Ajai dan memberitahunya bahawa saya boleh menyanyi. "Kemudian Ajai meminta saya menyanyi di hadapannya. Dia menyatakan suara saya berpotensi untuk dikomersialkan," katanya ketika sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini. Pada masa itu usianya baru mencecah 15 tahun. Qalisha berasakan dirinya masih mentah untuk terjun dalam dunia popular, apatah lagi perlu meneruskan persekolahannya. Bermula dari saat itu, jauh di sudut hati anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan, itu menanam azam untuk berjaya masuk ke dunia nyanyian suatu hari nanti. Seakan-akan bertapa selama lima tahun untuk mengumpul segala kekuatan sebelum membuat keputusan sama ada mahu menjadi anak seni atau sekadar menyimpan bakat yang dimiliki, masa yang dilalui dihabiskan di bangku sekolah. Dalam tempoh itu juga, dia mula menjinak-jinakkan diri dalam dunia peragaan. "Pada awalnya saya memang tidak yakin untuk terjun dalam dunia nyanyian. Syukur kerana semua ahli keluarga menyokong dan memberi galakan supaya saya memilih kerjaya ini. "Saya tiada pengalaman dalam bidang hiburan. Hanya semangat dan kekuatan yang membuatkan saya memilih bidang ini," katanya lagi. Tekadnya, dia tidak mahu toleh ke belakang, akhirnya gadis yang berketinggian 156 sentimeter itu membuat keputusan untuk bertemu semula dengan Ajai pada pertengahan tahun lalu bagi menyatakan kesediaannya menjadi anak seni. Rentetan pertemuan selepas lima tahun itu, Qalisha tampil dengan single pertamanya berjudul Satu Januari yang mula menjadi halwa telinga pendengar sejak Mei lalu. Single yang kini sedang diputarkan di stesen-stesen radio tempatan dicipta sepenuhnya oleh Ajai. "Selepas single ini, saya akan muncul dengan album mini berentak pop balada," kata Qalisha. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |