Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Sekadar lakonan Sam, LisaTENTUNYA ramai yang tertanya-tanya sama ada benar Shaheizy Sam dan Lisa Surihani sudah mendirikan rumah tangga sehingga memperolehi seorang anak perempuan yang sangat comel bernama Amy. Sebenarnya, itu adalah antara jalan cerita yang dipaparkan dalam filem terbaharu keluaran Metrowealth Pictures berjudul Sekali Lagi yang menggandingkan kedua-dua artis popular tanah air serta pelakon cilik Mia Sara Nasuha yang masih lagi ditayangkan. Menurut Sam, kali pertama menerima tawaran untuk berlakon dalam filem tersebut, dia mula tertarik dengan wataknya sebagai Arman yang ternyata cukup berbeza berbanding filem lakonannya sebelum ini. "Kalau selama ini saya lebih dikenali dengan watak yang aksi dan komedi, namun untuk filem ini saya membawakan watak seorang lelaki yang melalui kehidupan seperti kanak-kanak. "Malah, saya akui memang agak sukar untuk membawakan watak tersebut dan memamg ia sangat berat dan mencabar. Namun, saya beruntung kerana digandingkan dengan pelakon-pelakon lain yang cukup hebat,": ujarnya. Ditanya mengenai persamaan watak Arman dengan Rizwan Khan yang dilakonkan oleh Shah Rukh Khan menerusi filem My Name Is Khan, Sam menjelaskan kedua-dua watak tersebut ternyata begitu berbeza sama sekali. Ujarnya, watak Rizwan Khan dalam filem berkenaan adalah penghidap autisme. Sedangkan dalam filem terbarunya itu, Arman adalah seorang lelaki yang mempunyai tumor di otak. LISA dan Sam merupakan teraju utama filem Sekali Lagi. "Pada asalnya, Arman adalah seorang lelaki normal dan kemudian bertindak meninggalkan isterinya, Sheila setelah mengetahui dia ada tumor tanpa mengetahui isterinya sedang mengandung. "Selepas menjalani pembedahan, dia terus hilang ingatan dan kehidupannya menjadi seperti kanak-kanak semula. Sebab itu dia rapat dengan Amy yang sebenarnya adalah anaknya sendiri," jelas Sam mengenai filem yang sudah lebih seminggu ditayangkan di pawagam itu. Bagi Lisa pula, dia sangat beruntung kerana diberi peluang untuk bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat seperti Sam, Bront Palarae, Kartina Aziz dan Mia Sara dalam filem tersebut. Menurutnya, pengarah Hashim Rejab turut memberikan kebebasan kepada pelakon untuk membawakan watak masing-masing dengan cara tersendiri dan kebanyakan babak yang dilakonkan adalah perbincangan sesama pelakon tanpa menjejaskan skrip asal. "Semasa menjalani penggambaran, kalau ada waktu rehat atau masa terluang, biasanya kami semua akan duduk berbincang bersama-sama dengan pengarah dan masing-masing diberi peluang memberikan idea yang menarik untuk memantapkan lagi jalan cerita. "Kerjasama dengan pelakon-pelakon lain juga sangat baik. Walaupun dalam filem ini saya dan Sam kali pertama menjadi pasangan suami isteri, namun tidak sukar untuk mencari keserasian bersama," ujarnya. Mengenai watak Shiela yang dibawakannya pula, Lisa menyatakan ia adalah satu karektor yang agak mencabar untuk membawakan watak sebagai seorang ibu yang memiliki seorang anak memandangkan dia belum pernah berkahwin dan mengandung. DUA pelakon muda ini merupakan antara bintang tempatan paling popular masa kini. "Dalam drama bersiri Adamaya watak saya juga adalah seorang ibu, namun dalam filem ini ia agak berbeza kerana Shiela adalah seorang wanita yang telah ditinggalkan suami tanpa sebab dan memang banyak bermain dengan perasaan," jelasnya. Tangkap muat Semenjak mengukir nama menerusi filem Adnan Sempit yang ditayangkan pada tahun lalu, ternyata pelbagai kejayaan yang telah diraih oleh Sam yang juga anak teruna kepada pelakon Khaty Fauziah itu. Jika dilihat menerusi laman sosial Facebook miliknya yang sehingga kini mempunyai lebih 800,000 peminat, memang tidak keterlaluan sekiranya dia dikatakan pelakon lelaki yang memiliki peminat paling ramai setakat ini. Bukan itu sahaja, setiap filem lakonannya bermula dari filem Adnan Sempit sehinggalah Kongsi juga turut mencatatkan kejayaan yang memberangsangkan menerusi kutipan pecah panggung. Menurut Sam, dia sangat bersyukur kerana setakat ini kesemua filem lakonannya mendapat sambutan ramai dan memberitahu akan ada lapan buah filem lakonannya yang kini sedang menanti untuk ditayangkan. "Memang tawaran berlakon yang diterima tidak putus, namun itu tidak bermakna saya jenis yang tangkap muat sahaja. Setiap tawaran filem yang diberikan, saya akan kaji setiap watak dan jalan ceritanya. "Lagipun saya sangat menitikberatkan soal kualiti terhadap setiap filem lakonan saya dan disebabkan itu juga saya terpaksa menolak enam tawaran filem yang boleh dikatakan cukup lumayan," jelasnya. Menurut Sam lagi, walaupun dia merupakan artis di bawah naungan Metrowealth, namun dia tidak terikat sepenuhnya dengan produksi tersebut dan turut diberi kebebasan untuk berlakon dengan produksi luar. GANDINGAN mantap Sam dan Mia Sara dalam filem Sekali Lagi. Ditanya sama ada dia risau atau tidak apabila penonton akan mula rasa bosan dan muak sekiranya dia terlalu kerap tampil di layar filem, Sam menjelaskan karier sebagai seorang pelakon memang ada naik dan turunnya. Ujarnya, dia sendiri sememangnya sudah cukup bersedia kalau berada dalam zaman kejatuhan dan tidak lagi diminati ramai. Namun, pada masa ini dia mahu lebih fokus terhadap kariernya dan gembira dengan sokongan peminat terhadapnya selama ini. Mohon maaf Selain hangat dengan kisah mengenai hubungannya Yusry Abdul Halim semenjak kebelakangan ini, Lisa turut dikaitkan dengan dirinya yang dilihat tidak lagi bersikap seperti dahulu. Jika sebelum ini dia dilihat sebagai artis yang cukup peramah dan mudah untuk memberikan kerjasama, namun ada sesetengah pihak beranggapan pelakon berkenaan sudah mula sombong dan berlagak diva. Berkesempatan menemuinya ketika majlis prebiu filem terbaharu lakonannya itu baru-baru ini, Lisa dengan tenang menepis semua tanggapan negatif yang dilemparkan sehingga menjejaskan reputasi baiknya selama ini. "Saya sendiri tidak tahu macam mana boleh timbul cerita yang kurang enak terhadap diri saya. Saya dikatakan tidak mahu memakai baju murah dan meninggi suara terhadap wartawan, sedangkan semuanya itu langsung tidak pernah berlaku. "Tentang perkara ini saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang sengaja mereka-reka cerita tersebut. Saya masih lagi Lisa yang sama seperti dahulu dan orang yang rapat dengan saya lebih faham tentang diri saya yang sebenarnya," ujarnya dengan nada tegas. Jelas Lisa lagi, dia tidak mahu cepat melatah terhadap apa yang berlaku dan sangat bersyukur kerana peminat masih lagi sentiasa memberikan sokongan, meskipun dipalit dengan beberapa cerita kontroversi. "Mungkin ada pihak yang terasa dengan kesilapan secara tidak sengaja yang telah saya lakukan. Pada kesempatan ini, saya hanya ingin memohon maaf kalau memang benar ada yang berkecil hati," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Wali Band sedia tawan Nilai Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN WALI BAND mengakui teruja membuat persembahan konsert di Malaysia lantaran sambutan hangat daripada peminat mereka. TIDAK dinafikan, Wali Band yang terkenal menerusi lagu-lagu berunsur ketuhanan dan nasihat adalah antara band dari Indonesia yang mempunyai ramai peminat di negara ini. Dikenali menerusi lagu seperti Cari Jodoh yang sering berkumandang di corong-corong radio tempatan, band tersebut bakal beraksi pada Konsert Amal Baik-Baik Sayang Wali Band yang akan berlangsung pada Sabtu, 16 Julai ini di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan. Vokalis utama band berkenaan, Faank dalam satu temu bual eksklusif menerusi telefon bersama Kosmo! berkata, band tersebut kini sudah bersedia untuk menghiburkan para peminatnya di Malaysia. "Biarpun persiapan yang dilakukan adalah secara sederhana sahaja, namun kami sudah bersedia untuk membuat satu persembahan yang terbaik menerusi lagu-lagu popular kami yang cukup dikenali di Malaysia. "Semasa konsert itu nanti, Wali Band akan menyanyikan sebanyak 12 buah lagu dan pastinya lagu-lagu seperti Cari Jodoh, Yank dan Baik-Baik Sayang adalah lagu wajib yang akan dipersembahkan nanti," ujarnya. Menurut Faank, pada konsert berkenaan juga, mereka turut mengambil kesempatan untuk mempromosikan single terbaru berjudul Aku Bukan Bang Toyib yang dimuatkan menerusi album ketiga Wali Band dan telah dilancarkan beberapa bulan lalu. Ujarnya lagi, album baharu tersebut yang turut menggunakan judul Aku Bukan Bang Toyib itu mengandungi 10 buah lagu dan akan dilancarkan di negara ini pada bulan hadapan. Antara lagu-lagu yang terkandung dalam album berkenaan seperti Doaku Untukmu Sayang, Langit Bumi, Yang Penting Halal, Sayang Lahir Batin, Salam Rindu, Aku Tidak Malu, Masih Adakah, Sejuta (Setia, Jujur & Taqwa), Nenek Pahlawanku dan Aku Bukan Bang Toyib. Ditanya mengenai perasaannya menjelang detik membuat persembahan di Nilai nanti, Faank menjelaskan ahli-ahli Wali Band yang lain turut berasa sangat teruja, meskipun sudah empat kali membuat persembahan di Malaysia sebelum ini. "Setiap kali kami berada di Malaysia, sambutan yang diterima sangat luar biasa. Kami juga bersyukur kerana peminat di negara ini dapat menerima secara terbuka lagu-lagu serta muzik yang kami bawa," ujarnya yang turut meminati beberapa artis Malaysia seperti Search, Siti Nurhaliza dan Sixth Sense. FAANK (depan) bersama tiga anggota Wali Band yang lain, (dari kiri) Ovie, Apoy dan Tomie. Selain Faank, band yang berasal dari Jakarta, Indonesia dan ditubuhkan sejak tahun 1999 itu pada asalnya turut dianggotai Apoy (gitar), Tomie (drum), Ovie (keyboard) dan Nunu (bass), namun Nunu kemudian keluar dari kumpulan itu pada 2009. Tujuan kebajikan Konsert Amal Baik-Baik Sayang Wali Band anjuran Angkatan Seni Baru Yayasan Negeri Sembilan (ASBYNS) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat negeri (Pekerti) merupakan sebuah konsert amal bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik. Menurut pengarah projek amal tersebut, Farman Osman, idea untuk menganjurkan konsert berkenaan adalah daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan. "Biasanya kebanyakan konsert yang diadakan di negara ini selalu dibuat di sekitar Lembah Klang sahaja. Jadi, beliau merasakan adalah sesuai sekiranya beberapa lokasi menarik di Negeri Sembilan untuk diadakan konsert sebegini. "Memandangkan sebuah konsert yang cukup besar buat julung-julung kalinya diadakan di Nilai, kami menjangkakan sambutan yang diterima juga hangat dengan sasaran kehadiran kira-kira 5,000 orang,"" ujarnya. "Sebagai konsert amal, sebahagian daripada kutipan tiket yang terjual akan disalurkan kepada Pekerti dan badan-badan kebajikan terpilih di sekitar Negeri Sembilan." Mengenai pemilihan Wali Band untuk konsert amal berkenaan, Farman menjelaskan ia adalah kerana lagu-lagu yang dibawa oleh band tersebut sememangnya sesuai untuk semua golongan. "Selain mempunyai ramai peminat di Malaysia, lagu-lagu yang dinyanyikan Wali Band banyak mengandungi unsur-unsur nasihat dan mereka yang berkeluarga juga sesuai untuk hadir pada konsert berkenaan," jelasnya. Tiket-tiket konsert yang berharga RM50, RM100 dan RM300 masih boleh didapati di Tingkat 7, Bangunan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) di Seremban (017-2580656) dan Fashar Event & Entertainment (06-6017383 atau 06-6015891). Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Seungho gagal hidup normal
SALAH seorang anggota kumpulan MBLAQ, Seungho baru-baru ini mengakui dia tiada masa terluang untuk mengadakan temu janji dengan gadis idamannya. Dalam temuramahnya dalam sebuah program televisyen, kumpulan MBLAQ telah disoal apakah kesukaran yang dihadapi mereka apabila bergelar selebriti. Jawab Seungho: "Ada yang berkata, kamu hanya akan dapat masuk ke Universiti Seoul jika kamu hanya tidur empat jam sehari dan menghabiskan kebanyakan masa mengulang kaji pelajaran. "Kebenarannya, memang tidak boleh hidup normal dengan hanya empat jam waktu untuk tidur." Terangnya lagi betapa penatnya dengan jadual MBLAQ yang padat: "Walaupun kami dapat hari cuti tetapi rasa macam membazir untuk berehat kerana akhirnya kami tetap akan bekerja juga daripada berehat." Apabila disoal, adakah dia sempat pergi menghadiri temu janji pada waktu cutinya, balas Seungho: "Saya berusia 25 tahun, temu janji dengan gadis adalah perkara yang paling penting dalam minda saya pada usia begini dan saya harap saya dapat pergi temu janji. "Tetapi secara jujurnya, saya sangat sibuk dan tidak ada masa untuk memikirkan perkara seperti itu. Buat masa ini saya gembira menerima kasih sayang daripada peminat." MBLAQ baru-baru ini muncul dengan lagu single serta video muzik terbaru mereka berjudul Mona Lisa. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |