Harian Metro: Rap |
Posted: 13 Jul 2011 06:21 AM PDT KETIKA industri seni masih memperkatakan kontroversi mengenai dirinya, bintang muda yang menyerlah melalui watak bertudung, Nur Fathia Abd Latiff (Fathia), 24, mengambil keputusan untuk bersara buat seketika. Gadis berasal dari Ayer Hitam, Pulau Pinang ini berehat bukan kerana mahu berkahwin malah bukan juga kerana ada kaitan dengan kontroversi yang tercetus ketika penggambaran Stanza Cinta sehingga mencalarkan imejnya. Katanya, rancangan berehat seketika daripada dunia lakonan diambil kerana Stanza Cinta banyak menggunakan tenaga dan bermain dengan emosi. "Lagipun, sudah lama saya tidak luangkan masa berkualiti bersama keluarga dan kawan-kawan. Jadi sepanjang bercuti, saya ingin mendapatkan semula kehidupan saya sebelum ini.
"Amni juga meninggalkan kesan mendalam kepada diri saya daripada seorang yang banyak bercakap dan lasak (tomboi), kini perlakuan lebih feminin sampaikan ibu saya sendiri sedar akan perubahan yang berlaku kepada saya," katanya yang mempunyai niat untuk bertudung suatu hari nanti apabila hati sudah sedia untuk berubah. Mengimbas kontroversi yang melandanya di lokasi Stanza Cinta, Fathia dikatakan membaling telefon bimbitnya ke arah pengarah, Along Kamaruddin ekoran tidak mampu mengendalikan tekanan dihadapi untuk wataknya itu. Fathia berharap, perkara itu tidak diungkit lagi kerana perbuatan itu tidak disengajakan dan sudah dijelaskan sebelum ini. Malah kata Fathia, dia sendiri sudah meminta maaf kepada Along sebaik kejadian itu berlaku. "Cerita yang sampai ke pengetahuan media adalah cerita yang sudah ditokok tambah pihak tertentu. Yang penting, saya tahu apa yang berlaku. "Apapun, saya kena hadapi kontroversi ini dengan tenang selain belajar mempersiapkan diri untuk menghadapi lebih banyak dugaan yang bakal mendatang. Dalam dunia ini bukan semua orang sukakan kita. Bukan semua orang suka tengok kita senyum," katanya. Anak sulung daripada empat beradik ini mengakui, ibu bapanya sedih mendengar perkhabaran itu namun tidak menghalangnya meneruskan minat berlakon walaupun mereka sebenarnya tidak begitu menggalakkan Fathia terbabit dalam bidang seni. Fathia sendiri menyakinkan keluarganya yang dia mampu membahagikan waktu antara pelajaran dan kerjaya dengan baik. Bakal muncul dengan dua filem iaitu Hijab serta Nasi Lemak 2.0 juga sebuah filem untuk pasaran antarabangsa, Fathia berkata, sebaik tamat pengajian dalam jurusan undang-undang dua tahun lagi, dia mahu memberi tumpuan pada kerjaya guaman. "Lakonan hanyalah sebagai satu minat manakala bidang perundangan adalah sesuatu yang saya cita-citakan sejak dulu. Tetapi jika mempunyai peluang merencanakan kedua-duanya, saya pasti akan melakukannya," katanya. Mengenai kekasih, Fathia mengakui dirinya masih mencari teman yang setia dan berpelajaran. Katanya, dia lebih tertarik jika lelaki itu berpelajaran dan bukan daripada orang berada. "Pada saya, lelaki berpelajaran lebih menjamin masa depan. Jika dia beriman dan boleh membimbing saya, itu lagi baik. Saya sukakan lelaki yang ringkas dan bersederhana," katanya. Bertudung hanya untuk lakonan PESONA dan kecantikan semula jadi milik Nur Fathia Abd Latiff (Fathia), 24, cukup kuat hingga mengundang buah mulut orang. Peluang bertentang empat mata dengan gadis yang mempunyai ketinggian mencecah 171 sentimeter, auranya tidak dapat disangkal. Dia memang cantik dan asli tetapi ketika diminta komennya mengenai hal ini, reaksi Fathia kurang selesa digelar artis wanita cantik Malaysia. Katanya, setiap orang ada keistimewaan dalam diri masing-masing. "Dalam soal pekerjaan, saya mahu memperoleh tawaran kerana pengarah meyakini bakat saya bukan kerana rupa paras. Begitu juga saya harapkan daripada penonton, menerima saya kerana kemampuan lakonan saya. Terus-terang, saya seorang yang terbuka menerima kritikan asalkan ia teguran membina," katanya. Seketika pertemuan, banyak perkara yang dibualkan. Antaranya kebimbangan Fathia sekiranya penonton mahupun peminat prejudis terhadap dirinya yang realitinya tidak bertudung. Sejak terjun ke bidang lakonan, belum pernah satu pun watak dibawakan paparkan rambutnya sebagaimana imej sebenarnya di luar. Justeru, ramai yang beranggapan Fathia bertudung. "Saya mula masuk industri hiburan ini pun dengan membintangi iklan Sunsilk khusus untuk wanita bertudung. Drama pertama lakonan saya, Nur Kasih arahan Kabir Bhatia juga menuntut saya bertudung. "Saya percaya peminat boleh menerima diri saya di luar yang tidak bertudung. Kalau terserempak dengan saya di khalayak umum, harap-harap mereka tak terkejut," katanya. Akui pelajar jurusan undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, meski selesa melakonkan watak gadis bertudung, dia juga mempunyai keinginan mempelbagaikan lakonan. Jelas Fathia, dia enggan digelar pelakon 'streotype' dan sedia mencabar kemampuannya dengan menerima watak di luar normal. Watak impian Fathia adalah menjadi hantu atau perempuan yang dirasuk. "Selain drama, saya mahu mengintai peluang berlakon dalam filem, itupun kalau ada rezeki. Selain berlakon, saya juga minat menyanyi tetapi belum ada ruang tunjukkan bakat. Mungkin ada kesempatan untuk masa akan datang, Insya-Allah," katanya. PROFIL: NAMA SEBENAR: Nur Fathia Abd Latiff |
Posted: 13 Jul 2011 06:05 AM PDT SELEPAS enam hari menjengah 51 pawagam tempatan, filem Tolong! Awek Aku Pontianak (TAAP) arahan James Lee terbitan Astro Shaw (ASHW) dan Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) mencatat kutipan RM500,000. Filem genre komedi seram yang mempertaruhkan gandingan julung kalinya Zahiril Adzim dan Sazzy Falak sebagai teraju utama ini mula ditayangkan di pawagam bermula 7 Julai lalu.
Pengurus Besar ASHW dan Penerbit Eksekutif TUSB, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, pihaknya berharap jumlah kutipan filem TAAP akan meningkat pada hujung minggu ini. "Mana-mana produser pun menyasarkan filem terbitan mereka mendapat kutipan box office. Saya juga mengharapkan filem TAAP ini akan mencecah kutipan seperti disasarkan itu selepas dua minggu ditayangkan di pawagam tempatan nanti," katanya.
Dua filem yang ditayangkan sebelum RAAP, 3,2,1 Cinta (16 Jun), Rasuk (23 Jun) dan Sekali Lagi (30 Jun) kurang memberangsangkan berbeza dengan KL Gangster yang ditayangkan 9 Jun mencatat kutipan tertinggi filem Melayu dengan RM12 juta. Filem romantik 3,2,1 Cinta arahan Azhari Zain mencatat RM1.25 juta selepas dua minggu manakala Sekali Lagi RM1.6 juta untuk tempoh seminggu tayangan. Mulai hari ini, satu lagi filem seram terbitan Metrowealth Pictures (MIG), Flat 3A lakonan Intan Ladyana ditayangkan. Kata Gayatri, pihaknya tetap mendapat maklum balas yang cukup memberansangkan dari peminat filem menerusi laman sosial facebook dan Twitter. "Rata-rata peminat yang sudah menonton filem ini mengakui komedinya juga keluar dan ada kelainan untuk menarik perhatian penggemar filem di luar sana. Pada masa sama, peminat juga berpuas hati gandingan Zahiril dan Sazzy sebagai Bob dan Maya yang memang ada keserasian," katanya. TAAP menceritakan percintaan pasangan dari dua dunia berbeza membabitkan Bob dan Maya. Filem komedi seram ini bermula dengan Bob yang lurus bendul bekerja di syarikat pengiklanan bawah penyeliaan Faizal. Selepas berpisah dengan teman wanitanya (Ina), Bob dan kawannya, Pian berpindah ke apartmen lain. Kehidupan baru Bob bermula selepas berpindah dan bertemu dua beradik iaitu Maya dan Liyana. Pada mulanya Liyana tidak menyenangi kehadiran Bob dan Pian kerana takut identiti mereka terbongkar. Namun selepas menguji Bob, mereka mengakui Bob tidaklah seperti yang disangka. Sejak itu, mereka berempat menjadi kawan baik. Hubungan Bob dan Maya bertambah rapat selepas insiden beg Maya diragut. Selepas bertemu Maya di rumah Bob, Faizal melamar Maya bekerja di syarikatnya. Faizal cuba memikat Maya, namun hampa. Kemudian Faizal berpakat dengan Kamal untuk menakutkan Maya. Tetapi berlaku sebaliknya, Faizal dan Kamal pula yang ketakutan selepas dikacau pontianak. Faizal mula curiga dengan kehadiran Maya dan menyuruh Kamal mencari bomoh bagi menyiasat kehadiran pontianak di pejabatnya. Faizal memberitahu Pian mengenai keraguannya pada Maya dan mereka berpakat membongkar identiti Maya dan Liyana. Ketika parti yang dianjurkan Faizal, mereka melakukan pelbagai cara untuk membuktikan Maya dan Liyana adalah pontianak. TAAP turut menampilkan barisan pelakon pembantu yang tidak kurang hebatnya iaitu Liyana Jasmay (Liyana), Sufian Mohamed (Pian), Nurul Wahab (Nadia), Rashidi Ishak (Faizal), Yus Waisar (Kamal), Syanie, Harun Salim Bachik (Aaron Slam Bach), Faezah (Ina) dan Nasrizal Ngasri. Barisan pelakon undangan ialah Datuk Jalaluddin Hasan, Afdlin Shauki, Ruminah Sidek dan Jehan Miskin. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |