Berita Harian: Hip |
Posted: 07 Jul 2011 05:32 PM PDT Hip HANYA tawa kecil kedengaran tatkala diusik siapa insan bertuah yang bertakhta di hatinya kini selepas namanya tidak terlepas dikaitkan dengan beberapa jejaka popular, apatah lagi bekas kekasihnya, Irwansyah, juga sudah mendirikan rumah tangga. Bagi Acha Septriasa, kegagalan cinta masa lalu membuatkan dirinya lebih matang mengatur langkah, malah tanpa berselindung mengakui masih menanti cinta yang diharap hadir tanpa dipaksa. Biar ditebak pelbagai persoalan termasuk hubungan lalu, penyanyi dan pelakon popular Indonesia itu mengakui tidak membataskan pergaulan, sebaliknya sedia berkawan dengan mana-mana lelaki asalkan ikhlas. Begitupun, Acha yang juga penuntut tahun tiga Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing, Cyberjaya, mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajiannya yang bakal selesai setahun lagi, sebelum mengejar cinta."Ya, saya senang begini, solo, tetapi kehidupan saya tidak pernah sunyi kerana sentiasa dikelilingi teman. Bagusnya apabila berada di kuliah, selain belajar kita juga berpeluang berjumpa ramai jejaka hebat," seloroh si manis yang sememangnya gemar berjenaka itu. Pertemuan dengan Acha atau nama sebenar Jelita Septriasa, 22, yang diatur Broadway Media bersempena pelancaran saluran baru Astro, Bintang 141 dan Pelangi 142, tidak dilepaskan wakil media begitu saja untuk mengetahui perkembangannya. Bintang Heart dan Love Is Cinta itu dibawakan khas ke majlis berkenaan berikutan beberapa filem pecah panggung lakonannya bersama Irwansyah antara senarai produk yang bakal mengisi slot saluran baru berkenaan.
Jika dikatakan sebaik berpisah mereka tidak lagi bertegur sapa, sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan dinafikan kerana katanya mereka masih bertanya khabar dan bertegur sapa walaupun di dalam hati hanya Tuhan yang tahu. "Waktu itu saya masih muda, mahu mengejar cita-cita dan kerjaya, manakala Irwansyah pula ingin membawa hubungan kami ke fasa lebih serius, iaitu perkahwinan. Daripada membiarkan dia terus menunggu, lebih baik kami meneruskan haluan sendiri. "Memang agak pahit melalui semua itu, tetapi kami harus kuat selain percaya jika ada jodoh, kami akan dipertemukan semula. Nyata takdir tidak menyebelahi apabila dia bertemu jodoh dengan gadis lain. Biar apa pun, saya mendoakan mereka dari jauh," luahnya penuh makna. Hanya kesyukuran yang mampu diucapkan apabila insan yang pernah disayangi dilingkari kebahagiaan, cuma dirinya agak terkilan apabila tidak menerima kad undangan perkahwinan untuk hadir pada hari bersejarah itu. Katanya lagi, ketika masih solo memang kerap mereka berhubungan, tetapi selepas Irwansyah bergelar suami, Acha cuba menjauhkan diri bagi mengelakkan ada hati yang terluka. Jadi isteri presiden ENGGAN membiarkan nostalgia menggugat emosi, ceritanya berbalik kepada kuliah yang pernah direhatkan seketika tahun lalu demi memberikan komitmen terhadap kerjaya seninya. Bukan meletakkan pelajaran ke tepi, sebaliknya penyanyi lagu Berdua Lebih Baik itu terpaksa mengambil cuti sepanjang tahun lalu sebelum kembali menyudahkan pengajiannya sebaik semester awal tahun ini bermula. "Bekerja dan belajar dua perkara berbeza, namun masih memerlukan komitmen jitu. Perlu berkejar merentas lautan membuatkan saya harus membuat keputusan bijak iaitu bercuti setahun. "Justeru sepanjang tahun lalu masa saya diperuntukkan sepenuhnya untuk lakonan, nyanyian dan tidak ketinggalan memenuhi siri kempen produk," katanya yang turut disambar sebagai duta jenama produk penjagaan rambut serta sabun di Indonesia. Bukan menyepi, jauh sekali mahu meninggalkan arena nyanyian atau lakonan, gadis bertubuh kecil molek yang punya jiwa besar itu masih kerap pulang ke Jakarta dua bulan sekali bagi memenuhi segala tawaran. Walau undangan pentas, sinetron dan layar perak tidak serancak dulu, hakikatnya Acha mendambakan karya yang benar-benar meninggalkan kesan atau dalam erti kata mudah biarlah kemunculannya dirasai lebih bersandarkan kualiti, bukan disebabkan kuantiti. "Saya tidak nafikan ramai bakat baru muncul, muda dan lebih segar. Ini semua persaingan sihat kerana apabila wujudnya perlumbaan, kita akan berusaha menonjolkan hasil kerja terbaik, malah sentiasa ingin mencuba perkara baru. "Harapan saya, biarpun hanya satu filem setahun impaknya meninggalkan kesan kepada khalayak apatah lagi kini masa saya lebih banyak di Kuala Lumpur berbanding Jakarta," katanya yang berhasrat menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Australia sebaik menamatkan Ijazah Sarjana Muda akhir tahun ini. Adakah Acha mahu melarikan diri jauh dari Indonesia atau Malaysia? Sambil tersenyum katanya, adiknya yang belajar di negara kanggaru itu mahu dia menemaninya apatah lagi keinginan untuk belajar setinggi yang boleh tidak pernah padam. "Sebenarnya saya masih berkira-kira mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana atau menumpukan perhatian terhadap pembikinan album penuh. Apa pun saya akan memperhalusi segala-galanya kerana hujung tahun ini juga saya akan ke lokasi penggambaran filem," katanya. Bercakap soal filem, kongsinya lagi pada November ini dia akan sibuk semula di lokasi sebuah filem sejarah berkisar kehidupan presiden Indonesia yang terawal, Soekarno dan isterinya, Utari. Dia dilamar membawakan peranan sebagai wanita pertama bagi filem berjudul Nine Reason yang juga memaparkan kisah sembilan isteri mantan presiden terbabit. "Sudah pasti watak dan filem ini antara cabaran terbesar saya memandangkan ia sebuah naskhah berkaitan sejarah negara kelahiran saya sendiri. Saya sendiri teruja sebaik diajukan peranan terbabit. "Bagaimanapun, saya belum boleh lagi bercerita lanjut atau berkongsi kronologi kisah. Kita tunggu saja nanti tetapi saya sendiri akan membuat kajian sebelum turun ke lokasi," akuinya yang tidak mampu menyembunyikan debar di hati
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: 07 Jul 2011 05:21 PM PDT Hip Kurnia bagaikan khayalan BAIT lagu duet pasangan sejoli yang turut menjadi peristiwa pertemuan mereka ini berkumandang di sepanjang majlis persandingan Shazrina Azman Hashim atau panggilan mesranya Mizz Nina, 31, dan vokalis Hujan, Mohammed Noh Salleh (Noh), 27. Suasana bening pagi yang menjadi tema majlis resepsi perkahwinan pasangan penggiat muzik popular ini cukup meriah dengan kehadiran penggiat muzik, rakan media dan sahabat handai kedua-dua mempelai. Disambut barisan gadis berpakaian kimono, dan jejaka dalam persalinan ninja, majlis berkonsepkan inspirasi Jepun ini cukup terserlah dengan elemen budaya negara mata hari terbit, idea Nina dan Noh sendiri yang begitu menggemari budaya masyarakat Jepun yang popular dengan animasi kartun dan makanan lautnya. Majlis santai yang diadakan di Doubletree, Hilton Kuala Lumpur di Jalan Ampang kelmarin secara tidak langsung menyuntik kelainan rasa pada tetamu di mana masing-masing hadir dengan persalinan yang mencerminkan masyarakat bumi Asia Timur itu.Saat pengerusi majlis, pengacara popular Malaysia Hari Ini (MHI) TV3, Ahmad Fedtri Yahya mengumumkan ketibaan mempelai, kedua-dua mereka disambut dengan gemersik tiupan seruling, yang turut mengiringi langkah kaki pasangan yang diijabkabulkan pada 1 Julai lalu itu. Seterusnya diarak ke pelamin dengan pukulan gendang, secara tidak langsung menyuntikkan kelainan, di mana majlis yang biasanya dimeriahkan paluan kompang. Dilimpahi cahaya romantis dan dikelilingi pohon sakura, masing-masing tampak segak dan jelita, apatah lagi apabila pasangan pengantin bergaya dalam persalinan gabungan dua tradisi, baju Melayu tradisional dan kimono, daripada songket salutan emas rekaan Micheal Ong.
Kemudian, hari bahagia mereka disempurnakan dengan persembahan khas dari kumpulan Sore dari Jakarta, Indonesia, dan bekas teman seangkatan Nina ketika menganggotai Teh Tarik Crew, Altimet, pada masa sama juga hadirin dijamu makanan Jepun. Sepanjang majlis itu berlangsung, senyuman tidak pernah lekang dari bibir Nina, dengan keletah Noh yang melucukan. Kebahagiaan jelas terpancar di wajah mereka. Tidak disangka janji temu di Tasik Titiwangsa menjadi titik permulaan yang menjadikan mereka sepasang suami isteri kini. Seperti kata Nina, dirinya sekarang lebih gembira dan sempurna selepas bergelar isteri kepada Noh. "Noh seorang yang baik hati, merendah diri, kelakar dan tidak putus membuat saya gembira. "Manakala dari segi bilangan anak, saya tidak berkira. Noh pula menginginkan dua anak, tidak kisah apa jantinanya," katanya. Noh pula nyata tidak dapat menyembunyikan perasaan sayangnya terhadap Nina.
Seperti kebiasaan, selepas selesai majlis persandingan pastinya pasangan akan mengambil peluang meluangkan masa bersama untuk menikmati kemanisan bulan madu. Noh dan Nina memilih untuk terbang ke United Kingdom, Itali dan kemudian menjelajah ke kepulauan Maldives sebelum pulang ke tanah air. Turut hadir memeriahkan majlis resepsi ini ialah pasangan Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, serta Ella, Sazzy Falak, Faizal Tahir, M Nasir, Ramli MS dan Yasmin Yusuf. Selain itu, barisan artis indie seangkatan dengan Hujan juga hadir meraikan pengantin, termasuk kumpulan Bunkface, The Azenders, Awi Rafael, Pesawat, Monoloque, Meet Uncle Hussien dan Couple. Majlis yang mendapat sentuhan dekorasi indah dari Favors by Eddy ini akan disusuli dengan majlis sambut menantu yang akan diadakan pada 15 Julai di East Wood Golf Resort, Miri, Sarawak.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |