Utusan Online - Hiburan |
Posted: Juarai AF9 selepas gagal AF4Oleh ABD. AZIZ ITAR PARA pemenang AF9 dari kiri Fina, Lena, Hazama dan Azri bersama trofi dan replika cek yang mereka terima selepas Konsert Akhir AF9 di Dataran Putrajaya baru-baru ini. SEKALI gagal bukan bererti gagal selamanya. Itu mungkin ungkapan yang dipegang oleh juara pertandingan realiti televisyen, Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), Hazama. Meskipun pernah gagal dalam Konsert Prelude AF4 lima tahun lalu, tetapi Hazama atau Hazama Ahmad Azmi tidak pernah putus asa. Sebaliknya, dia bangkit dan menyertai sekali lagi program realiti terbitan Astro Ria tersebut. Menurut Hazama, kegagalannya meneruskan saingan pada AF4 telah membakar semangat untuk terus berusaha sebelum muncul juara AF9 yang merupakan musim terakhir. "Semasa masuk AF4 dulu ia sebagai titik permulaan untuk saya terbabit dalam industri ini (nyanyian). Sayangnya saya gagal dan selepas itu selama lima tahun nama saya cuma suam-suam kuku sahaja. Kemasukan saya dalam AF9 adalah peluang kedua saya. "Saya tidak nafikan AF4 sebagai punca yang membakar semangat saya untuk berusaha lebih kuat dalam bidang seni," katanya sewaktu sidang akhbar selepas diumumkan juara AF9 di Dataran Putrajaya baru-baru ini. Dengan kemenangan itu, juara terakhir AF berusia 27 tahun itu menggondol hadiah wang tunai RM200,000, hamper dan wang tunai berjumlah RM5,000 sumbangan Power Root, sebuah kamera Sony Handycam bernilai RM3,299 dan trofi sumbangan Astro. Kemenangan Hazama itu memang sudah dijangkakan banyak pihak termasuk para peminat dan media massa berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) yang seringkali memihak kepadanya. Pada konsert akhir AF9 yang ditonton lebih 5,000 orang itu, Hazama menerima 45 peratus undian SMS, diikuti Lena yang muncul naib juara dengan 28 peratus, Fina (15 peratus) dan Azri (12 peratus). Jelas Hazama yang menyanyikan lagu Pukau (Tomok) dan Cinta Teragung (Kuncidemak) pada konsert itu, dia tidak menafikan pengalamannya menyanyi selama lima tahun selepas gagal dalam AF4 banyak membantu kemenangannya itu. "Itu salah satu kelebihan saya kerana daripada situlah saya dapat sedikit pengalaman menyanyi. Pada masa sama, para peserta AF9 yang lain mempunyai keyakinan juga. Bagaimanapun, saya anggap pentas AF9 berbeza dengan pentas-pentas lain yang pernah saya sertai. "Di tempat lain tidak ada orang yang mengkritik ataupun memberi garis panduan kepada saya. Malah, selepas menyertai AF9 saya dapati saya mempunyai banyak kekurangan dan daripada situ jugalah saya belajar," ujarnya. Sementara itu, sewaktu ditanya tentang hadiah wang tunai RM200,000 yang diterimanya, peserta berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, dia akan menggunakannya ke arah yang boleh memberi manfaat kepada masa depannya. "Ini kali pertama saya pegang duit yang banyak. Saya akan gunakan duit kemenangan ini ke arah kebaikan. Saya hendak beli jam tangan yang baru. Selain itu, saya juga akan simpan duit ini untuk masa depan saya," jelasnya. Dalam pada itu, Lenaber Haidir atau Lena, 22, yang muncul naib juara menerima hadiah berupa wang tunai RM50,000, hamper dan wang tunai RM2,000 sumbangan Power Root, sebuah kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499 dan trofi. Fina atau nama sebenarnya Nor Syafinaz Jebat, 18, yang merupakan pemenang tempat ketiga membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, hamper dan wang tunai RM1,000 sumbangan Power Root dan sebuah kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499 dan trofi. Sementara pada pertandingan yang disiarkan secara langsung menerusi saluran 104 Astro Ria dari pukul 9 malam hingga 11.30 malam itu Azri atau Mohamad Azri Abdullah, 23, pula meraih hadiah berupa wang tunai RM5,000, sebuah kamera Sony Cybershot bernilai RM1,499 dan trofi. Pengetua AF9, Amy Search atau Suhaimi Abdul Rahman yang ditemui selepas konsert itu puas hati kerana pembelajaran di akademi itu berjalan dengan lancar sepanjang tiga bulan yang lalu. Pada masa sama, vokalis kumpulan rock Search itu tidak lokek berkongsi pengalaman sambil menasihatkan para graduan AF9 sebelum mereka melangkah ke dunia hiburan yang glamor selepas ini nanti. "Selama tiga bulan di AF9 mulanya saya rasa lama tetapi masa berlalu begitu cepat. Pengalaman saya di AF9 cukup indah di mana saya mendidik para pelajar di akademi ini seperti anak sendiri. Pesan saya kepada mereka semua agar jangan lupa diri. Jadilah anak seni yang jujur, kalau tidak anda tidak akan ke mana," tuturnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
APM 2011: Apakah masih relevan? Posted: APM 2011: Apakah masih relevan?Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SEJAK mula diperkenalkan pada tahun 2000, Anugerah Planet Muzik (APM) diwujudkan bagi mengiktiraf karyawan seni dan hasil kerja dari tiga negara serumpun - Malaysia, Indonesia dan Singapura. Kini, selepas APM 'menghilangkan diri' sehingga disangka sudah berkubur lantaran pasaran muzik serumpun yang tidak memberangsangkan, ia kembali sekali lagi bagi meraikan ulang tahun ke-10. Bakal diadakan di Max Pavilion, Singapore Expo, Singapura pada 15 Julai ini, APM 2011 membuktikan muzik Melayu sebenarnya masih lagi hidup dan mendapat tempat di kalangan pencinta muzik secara amnya. Mungkin untuk lima tahun pertama APM dianjurkan, matlamatnya untuk mengangkat muzik Melayu ke peringkat lebih tinggi dilihat mencapai matlamatnya seiring dengan kerancakan pasaran muzik ketika itu. Namun, sejak kebelakangan ini, penganjuran APM dilihat tidak lebih hanyalah sekadar sebagai sebuah acara anugerah biasa yang lebih kepada 'pembahagian' trofi kepada mereka yang layak. Lebih 'menusuk kalbu' apabila APM juga mula dilabelkan sebagai anugerah kroni apabila ada beberapa nama yang tersangkut sebagai calon akhir dilihat mempunyai kepentingan dengan pihak penganjur. Perkara itu sekali lagi dibangkitkan oleh pihak media pada sidang akhbar APM 2011 yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur terutama kepada senarai akhir pencalonannya yang telah mengundang pelbagai persoalan. Lebih-lebih lagi apabila nama penyanyi dan komposer wanita terkenal, Yuna yang gagal menembusi calon akhir dalam kategori terbaik sedangkan namanya tersangkut pula untuk kategori popular. Begitu juga dengan kehilangan nama bintang muda berbakat besar, Aizat yang langsung tidak tercalon dalam mana-mana kategori terbaik dan popular walhal namanya pernah dijulang di Jakarta, Indonesia sewaktu APM 2009. Menjawab persoalan itu Pengarah Urusan Beyond Events Sdn. Bhd., Amin Hussen menjelaskan segala urusan berhubung pencalonan adalah di luar bidang kuasanya kerana penjurian dilakukan oleh panel hakim yang dilantik. Jelasnya lagi, Malaysia dan Indonesia diwakili oleh tiga orang juri manakala Singapura seramai empat orang yang dipilih untuk menilai setiap album dan lagu yang dihantar untuk dicalonkan untuk APM 2011. "Yuna misalnya, kami mendapat tahu pihaknya tidak menghantar sebarang pencalonan dan ini juga termasuk Mizz Nina. Kami membuka peluang itu kepada semua pihak sama ada mereka yang bernaung di bawah syarikat rakaman mahupun bergerak secara sendirian (indie). "Saya juga mahu menyangkal dakwaan mengatakan APM merupakan anugerah kroni kerana perkara itu tidak pernah timbul. Mungkin semuanya secara kebetulan tetapi segala keputusan telah diadili oleh panel juri yang dipilih," katanya yang ditemui selepas sidang akhbar berakhir. Amin turut ditanya tentang rasionalnya APM kembali tahun ini selepas setahun direhatkan sehingga pelbagai versi cerita yang timbul. Mengulas tentang isu tersebut, Amin menjelaskan jika mengikut perancangan yang telah ditetapkan sepatutnya APM diadakan di Kuala Lumpur tahun lalu. Tetapi kerana kekangan bajet dan kebetulan pula waktu sudah suntuk untuk negara jiran, Singapura mengambil alih giliran tersebut, mahu atau tidak ia harus dihentikan sementara. "Kami memang mahu APM kekal dengan sistem giliran seperti mana yang ditetapkan sebelum ini. Ingin juga saya jelaskan di sini, setiap negara yang menjadi tuan rumah akan menanggung segala kos perbelanjaan. "Insya Allah, jika tiada aral melintang, Malaysia akan sekali lagi menjadi tuan rumah untuk APM tahun depan dan saya sendiri sudah mengatur pelbagai perancangan untuk menjadikan APM bukan hanya sekadar anugerah biasa," jelasnya panjang lebar. Antaranya seminar dan bengkel muzik dengan menampilkan nama-nama besar industri muzik serantau selain beberapa aktiviti yang boleh dimanfaat oleh semua pihak. Amin juga mengakui walaupun penganjuran APM sudah memasuki usia sedekad, anugerah itu masih belum berupaya mencapai visi yang sepatutnya terhasil daripada anugerah itu. "APM hanya menyediakan platform untuk memperkenalkan bakat-bakat dari tiga negara serantau ini tetapi selebihnya adalah terletak kepada syarikat rakaman dan juga diri artis itu sendiri. "Saya juga tidak menafikan masih ada pihak lagi yang masih belum berfikiran terbuka untuk mengeksport serta mengimport muzik serantau ini. "Insya Allah, pihak kami akan bekerjasama dengan Global TV di Indonesia untuk menerbitkan sebuah rancangan hiburan mingguan yang menggabungkan tiga negara serantau ini," jelasnya yang memberitahu rancangan itu akan mula ditayangkan tahun depan sekiranya tiada aral melintang. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |