Adsense

Selasa, 14 Jun 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Alahai! AF9

Posted: 13 Jun 2011 03:22 PM PDT

Hip

Program realiti popular berakhir dengan suasana hambar

KEMERIAHAN yang diharapkan nampak pada persembahan terakhir program realiti Akademi Fantasia ke-9 (AF9) hambar apabila sistem bunyi gagal berfungsi dengan baik terutama kepada penonton di rumah.

Malah ada ketika, mereka yang berada di Dataran Putrajaya, Precint 3, lokasi acara itu dijalankan juga menerima nasib yang sama. Ada ketika suara penyanyi tidak kedengaran dan perkara itu kerap kali berlaku sehingga mengganggu mood penonton.

Bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku untuk sebuah program yang sudah hampir sedekad bersiaran secara langsung. Di manakah tahap kematangan pihak produksi terutama jurutera bunyi yang bertanggungjawab mengendalikan sistem itu?

Ketika diajukan persoalan gangguan teknikal yang mencacatkan konsert itu, Penerbit Eksekutif AF9, Irwan Rauf, menjadikan masalah transmisi sebagai punca utama.

"Sebelum ini, iaitu sepanjang kami membuat latihan dan juga raptai, masalah gangguan bunyi tidak pernah terjadi. Mungkin apa yang berlaku terhadap penonton di rumah adalah masalah transmisi.
"Kami memohon maaf di atas apa yang berlaku dan saya memberi jaminan masalah ini tidak akan berlaku untuk program kami yang akan datang," katanya pada sidang media sejurus selepas acara itu berakhir.

Hadir sama, Pengurus Saluran Ria, Azlin Reza Azmi dan barisan finalis AF9 iaitu Hazama, Lena, Fina dan Azri.

Memilih tempat terbuka sebagai persembahan kemuncak AF barangkali adalah keputusan kurang tepat yang pernah dilakukan oleh pihak produksi. Selain membenarkan masalah gangguan teknikal berlaku berulang kali, ia juga tidak menggambarkan sebuah persembahan terakhir AF yang sebenar berbanding jika diadakan di sebuah lokasi tertutup.

Dengan persembahan segelintir bekas peserta AF yang boleh diibaratkan seperti melepaskan batok di tangga, sudah cukup untuk menjadikan acara selingan itu hambar pada pengamatan mata penonton. Cuma persembahan Stacy dan Mila saja yang mampu menyuntik warna kemeriahan dalam acara itu.

Turut dipersoalkan dalam sidang media itu adalah tindakan Azri memijak piano ketika menyampaikan lagu Ku Tak Bisa yang dipopularkan oleh kumpulan Slank. Walaupun bagi sesetengah pihak, itu hanyalah perkara remeh namun bagi pemuzik, perbuatan itu adalah satu penghinaan buat mereka.

Malah, juri undangan malam itu, Datuk Ramli MS turut menegur tindakan peserta berusia 23 tahun itu. Dan sekali lagi apabila perkara itu dibangkitkan, Irwan mengambil langkah memohon maaf seandainya perkara itu menyentuh sensitiviti pemuzik dan apa yang dilakukan itu hanyalah sebagai konsep sebuah persembahan semata-mata.

Persembahan pelajar dan juga kesemua lagu terbaru yang dinyanyikan oleh finalis AF9 memang sedap didengar dan tidak mustahil mampu mendaki carta populariti jika berterusan diputarkan di corong radio.

Dan hakikat yang harus diterima adalah rata-rata yang datang malam itu kebanyakannya hanya mahu menyaksikan kumpulan Search beraksi.

Penantian yang berbaloi

LIMA tahun lalu, dia pernah dinafikan haknya apabila gagal melayakkan diri untuk bergelar pelajar AF4 kerana terkandas sewaktu konsert prelude. Selepas itu, Hazama Mohd Azmi atau Hazama lebih selesa meneruskan kerjaya seninya di luar sekali gus mengumpul pengalaman.

Walaupun aktif dalam gelanggang seni terutama apabila sering diundang menjayakan persembahan bersama kumpulan Meet Uncle Hussain, namun jauh di sudut hatinya, dia tidak menaruh harapan untuk menjadi penghuni sangkar emas AF satu hari nanti.

Ternyata, doanya dijawab Tuhan apabila dia diserap masuk pada minggu keempat bagi menggantikan dua peserta yang disingkirkan menerusi Ops Gugur. Selepas itu, Hazama tidak menoleh ke belakang sehinggalah namanya dinobatkan sebagai juara terbaru AF dan berdiri sebaris dengan Vince, Zahid, Mawi, Faizal,Mila, Stacy, Hafiz dan Shahir.

Dengan memperoleh undian sebanyak 45 peratus, peserta berusia 27 tahun ini jauh meninggalkan pencabarnya iaitu Lenaber Haidir atau lena iaitu 28 peratus, Nur Syafinaz Jebat atau Fina (15%) dan Mohamad Azri Abdullah atau Azri (12%).

"Saya sedar apabila saya masuk ke dalam AF, ramai yang berkata, ala budak ini lagi. Saya masuk AF sebenarnya kerana mahu belajar. Selepas menyertai AF, perkara pertama yang saya pelajari adalah, cara nyanyian yang betul," kata Hazama yang membawa hadiah wang tunai RM200,000, trofi sumbangan Astro, hamper dan wang tunai bernilai RM5,000 sumbangan Power Root serta sebuah kamera.

Hazama berkata dia mahu memanfaatkan wang kemenangan itu dengan sebaik mungkin.

"Saya akan laburkan ke dalam ASB, beli jam tangan baru dan untuk belanja perkahwinan," katanya telus. Hazama adalah pemenang pertama yang tidak diberikan kereta sebagai hadiah kemenangan.

Mengulas perkara itu, Azlin mempunyai alasan tersendiri berhubung perkara itu.

"Lebih baik jika kami berikan wang sebagai ganjaran kerana dengan wang itu mereka boleh beli apa yang mereka ingini," kata Azlin sambil memberitahu jumlah SMS yang diterima untuk musim ini adalah sebanyak 3.74 juta dan meningkat sebanyak tujuh peratus berbanding tahun lalu.

Komen finalis lain

Lena: Saya tidak kecewa walaupun tewas pada Hazama kerana saya sedar ini semua adalah rezeki yang ditentukan Tuhan. Saya bersyukur dengan kemenangan ini kerana bukan mudah untuk mencapai kedudukan tempat kedua. Sepanjang berada di AF, saya sempat mencipta dua buah lagu dan mungkin saya akan menyanyikan lagu itu selepas ini

Fina: Berada di tempat ketiga sudah cukup membanggakan kerana apa yang lebih penting, tujuan saya menyertai pertandingan ini adalah menunjukkan bakat dan mahu mengangkat nama kumpulan kami adik beradik iaitu Sassu supaya lebih dikenali lagi.

Azri: Kehadiran Hazama sebenarnya saya anggap lebih kepada sebagai satu amaran kerana sebelum ini kami tidak serius. Justeru, apabila dia muncul, kami kena lebih peka dan lebih berusaha untuk mendapatkan apa yang kami inginkan.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pengorbanan tidak dihargai

Posted: 13 Jun 2011 03:18 PM PDT

Hip

Seniman terus bergolak biarpun diterajui pucuk pimpinan berbeza

JANGKA hayat keharmonian persatuan hiburan tanah air selalunya amat singkat apabila ada saja pergolakan yang berlaku pada pertengahan jalan. Masalah itu nampaknya turut berlaku kepada Persatuan Seniman Malaysian (Seniman) walaupun pucuk pimpinan barunya, Harun Salim Bachik, baru mengemudi persatuan itu buat tahun kedua.

Tindakan tidak mengundang media ke Mesyuarat Agungnya, Mac lalu berjaya menyembunyikan seketika pergolakan yang berlaku terhadap persatuan itu. Bagaimanapun pergolakan itu berjaya dihidu media apabila ia terbongkar sedikit demi sedikit, bermula dengan tulisan nota kaki dalam ruangan pojok Kak Pora dalam akhbar sisipan B*POP, beberapa minggu lalu. Presidennya Harun sendiri tidak menafikan memang timbulnya masalah dalam persatuan itu apabila kepimpinannya dipertikaikan. Pada waktu sama, dua ahlinya iaitu Timbalan Presiden, Shahriza Mahmud, dan Ketua Biro Agama, Wazata Zain, menghantar surat peletakan jawatan.

Hip difahamkan bukan dua ahli itu saja meletakkan jawatan, sebaliknya hampir separuh daripada ahli Seniman turut menarik diri. Bagaimanapun mereka kembali menyertai persatuan itu selepas dipujuk.

Shahriza meletakkan jawatan pada penghujung Aidilfitri lalu, begitu juga dengan Wazata Zain. Bagaimanapun penarikan diri mereka sebelum mesyuarat agung berlangsung sepatutnya tidak sah. Ahli yang ingin meletak jawatan hanya dibenarkan berbuat demikian pada mesyuarat agung.

Shahriza ketika dihubungi enggan mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku hingga menyebabkan dia mengambil tindakan melepaskan jawatan Timbalan Presiden yang disandang.
Cukup katanya, ia bersangkut paut dengan tiga perkara iaitu hubungan kerja, amanah dan rasa hormat. Apabila ketiga-tiga perkara itu tidak lagi wujud, jalan terbaik adalah dengan berundur diri.

"Hubungan saya sesama ahli tiada masalah. Apa yang boleh saya katakan, masalah yang timbul membabitkan persatuan. Saya tak nafikan ada masalah dengan orang-orang tertentu, tetapi lebih baik saya tidak dedahkan siapa mereka.

"Saya amat kecewa dengan perkara yang sudah berlaku. Selama ini seluruh jiwa raga diserahkan pada persatuan itu. Seniman saya anggap seperti rumah tangga sendiri. Saya sanggup buang kehidupan semata-mata ingin memberikan tumpuan kepada Seniman. Malah persatuan ini juga lebih penting daripada keluarga sendiri, tetapi apa yang berlaku cukup mengecewakan. Bukan setakat kecewa, bahkan air mata juga sudah banyak habis mengenangkan pengorbanan kita yang tidak dihargai oleh persatuan ini," kata Shahriza.

Menurut Shahriza lagi, susah untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku kerana terlalu banyak yang terjadi sepanjang dua tahun persatuan itu dikemudi gerakan baru. Lagipun dia bimbang jika dia bersuara, masalah yang kecil menjadi besar.

Katanya lagi, dia tiada masalah untuk bekerja dengan sesiapa saja, tetapi kesabarannya ada batas apabila sering dimaki dan kerjanya tidak dihargai.

"Saya bukannya laparkan jawatan. Sebagai seorang Timbalan Presiden saya terima jawatan itu kerana ingin memberikan sesuatu sesuai dengan jawatan yang saya pegang. Bagaimanapun, apa yang saya hendak beri tidak diterima kerana pelbagai halangan serta campur tangan orang lain yang lebih berkuasa.

"Kalau boleh, saya tidak mahu persatuan yang membabitkan artis bergolak. Sepatutnya kita perlu menunjukkan sikap profesional, bukannya dengan bergaduh," katanya yang masih lagi menjadi ahli Seniman.

Kembali selepas dipujuk

SEMENTARA itu, seorang lagi ahli Seniman, Zulkifli Ismail, yang memegang jawatan Penolong Setiausaha juga dikhabarkan menarik diri. Bagaimanapun ketika dihubungi, Zulkifli berkata dia sudah kembali kepada persatuan itu selepas dipujuk.

Katanya, dia meletakkan jawatan kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen kepada persatuan berikutan sibuk dengan lakonan. Justeru, dia berasa tidak adil kerana tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan kepada persatuan berkenaan.

"Memang saya ada menghantar surat peletakan jawatan pada Julai lalu. Sukar untuk saya nyatakan apa yang terjadi kerana ia terlalu sensitif. Bagaimanapun saya kini sudah kembali kepada Seniman selepas mereka meminta saya menarik kembali niat itu. Saya menarik balik hasrat untuk letak jawatan dengan harapan pada mesyuarat agung tempoh hari mereka akan memilih orang lain untuk menggantikan tempat saya. Oleh kerana tidak ada orang yang menggantikan tempat saya, saya terpaksa pegang semula jawatan itu," katanya.

Hip juga cuba mendapatkan komen daripada Abu Bakar Omar iaitu bekas Bendahari Seniman berikutan beliau adalah orang yang bertindak membangkitkan isu kewangan persatuan terbabit. Bagaimanapun Abu Bakar yang kini sedang menjalani penggambaran di Melaka meminta Hip menunggu sehingga minggu depan kerana beliau ingin berbincang dengan beberapa ahli lain.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.