Adsense

Sabtu, 25 Jun 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Mati tanpa muzik

Posted:

Mati tanpa muzik

Mati tanpa muzik



JAUH di corong telefon antara Malaysia dengan Perancis, penyanyi bertaraf antarabangsa, Anggun Cipta Sasmi atau Anggun mesra berbicara. Bicara kami juga dilakukan dalam bahasa Melayu, bukan bahasa Inggeris. Tempoh 13 tahun menetap di Perancis, kata Anggun, itu belum mampu membunuh cintanya terhadap bahasa ibundanya, biar ironi dia kini memegang kerakyatan negara tersebut.

Temu bual yang diatur oleh pihak Sony Music Malaysia itu bersempena dengan kelahiran album terbaharu penyanyi tersebut yang diberi nama Echoes. Mengandungi 12 buah lagu, dibikin dalam versi Inggeris dan Indonesia, Echoes kata Anggun begitu dekat dengan dirinya. Ini kerana album tersebut diproduksi sendiri olehnya di bawah label April Earth, dengan dia pertama kali menulis lirik dalam album tersebut.

"Saya mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan album ini. Ia adalah satu tempoh yang agak panjang dan nampak seperti bermewah-mewah terhadap pembikinannya (dari segi waktu), namun saya sukakannya kerana saya mahu lebih berhati-hati untuk memilih tema lagu-lagu yang saya bikin, biar ia lebih memberi kesan," ujar Anggun memulakan bicara mengenai Echoes yang bermaksud gema dan dia mendefinisikan album tersebut sebagai gema kehidupannya dan teman-teman.

Antara lagu yang dibikin dengan penuh perhatian dan mempunyai tema yang kuat kata Anggun adalah lagu Year of Snake yang diinspirasi daripada hal-hal negatif dan buruk yang terjadi dalam kehidupannya serta yang terjadi kepada dunia mengikut kalendar masyarakat Cina iaitu tahun ular dan Eternal yang ditujukan khas buat arwah bapanya yang telah meninggal dunia tujuh tahun lalu.

Ditanya mengapa dia perlu mengambil jarak waktu yang lama iaitu tujuh tahun untuk menggarap sebuah lagu khusus buat arwah bapanya, spontan wanita berusia 37 tahun ini menjawab, dia tidak mahu menghasilkan sebuah lagu yang cengeng.

Katanya: "Saya adalah jenis orang tidak boleh terlalu dekat dengan sesuatu peristiwa. Saya melahirkan karya secara jujur dan tidak terburu-buru. Ia harus ada jarak waktu dan saya sendiri tidak mahu melahirkan sebuah lagu yang kedengaran sangat cengeng untuk dia. Sewaktu membikin lagu ini, saya tahu bahawa saat kita mati, yang pergi itu hanya jasad kita, tetapi roh kita masih di sini, sebab itu saya namakan ia sebagai Eternal."

Echoes lanjut Anggun lagi dihasilkan mengikut cita rasanya kini. Menurut penyanyi yang meninggalkan Indonesia untuk ke Perancis pada usia 20 tahun itu lagi, dia tidak pernah menggarap album dengan nuansa muzik yang sama, semuanya berbeza.


ANGGUN masih sarat dengan sifat rendah diri walau telah tersohor di seluruh dunia.


"Album saya yang pertama berkonsepkan world music, yang kedua dan ketiga pop, yang keempat, ia mempunyai unsur hip-hop dan r&b kerana pada waktu itu saya sedang gemar mendengar lagu sebegitu.

"Namun untuk Echoes, ia adalah campuran gema, rock dan orkestra. Ia adalah 100 peratus dibikin tanpa mesin, tetapi dimainkan oleh pemuzik dan kosnya memang cukup mahal. Walau begitu, saya sukakannya kerana sekarang saya memang gemar menikmati muzik sebegini," katanya.

Dia juga malah tidak menulis lagu dalam bahasa Perancis, tetapi memilih menulis dalam bahasa Inggeris dan Indonesia. Akui Anggun, walau dia fasih berbahasa Perancis, itu tidak bermakna dia boleh menulis lirik dengan baik dalam bahasa tersebut. Ironi, katanya dia tidak boleh menghasilkan karya dalam bahasa tersebut kerana ia barangkali akan kedengaran tidak terlalu menyentuh hati.

Echoes yang telah dilancarkan di Indonesia berbanding Perancis yang hanya akan dilancarkan pada bulan Oktober nanti, ia adalah simbolik cintanya kepada republik tersebut.

"Alasannya kerana ini adalah album pertama yang saya bikin sendiri dan saya mahu ia dipersembahkan di negara saya sendiri berbanding negara orang. Saya juga mahu membuat promosi album ini di negara-negara Asia dahulu kerana di negara-negara Eropah, saya boleh melakukannya pada bila-bila masa," katanya.

Ia sekali gus menunjukkan bahawa cinta Anggun yang kini bukan lagi warganegara Indonesia masih kejap di republik tersebut. Sementelah dia sendiri begitu mengagungkan bahasa ibundanya dan mengajar anaknya bercakap dalam bahasa Indonesia sebagai bahasa sehari-harian mereka di rumah.

Patriotisme

Sewaktu disogok tentang pertimbangan patriotisme antara bukan lagi warganegara Indonesia tetapi cukup menyanjungi bahasa ibundanya, Anggun memberi penjelasan panjang lebar.

Dia memberi metafora tersendiri dengan mengatakan jika warna pastel itu berubah, yang berubah hanya warnanya, tetapi tidak bermakna pada jati diri. Ia sama seperti dirinya yang masih sangat lapar kalau tidak memakan nasi. Begitulah jati dirinya terhadap negara tercinta biar memang bukan lagi memegang pasport berwarna hijau.


ECHOES menjadi begitu bermakna buat Anggun kerana dia terbabit secara total dalam album tersebut.


"Banyak orang bertanya tentang nasionalisme atau patriotisme saya hanya kerana saya menukar warga negara saya. Adalah tidak adil untuk menilai seseorang itu daripada pandangan mata kasar hanya kerana hal sedemikian.

"Saya juga pernah dikritik tidak patriotisme hanya kerana tidak memakai baju batik. Adakah orang yang masih menjadi warganegara Indonesia, tetapi melakukan korupsi dan tidak hormat kepada negara sendiri itu sudah cukup patriotisme atau lebih tinggi nasionalisme mereka daripada saya?

"Jangan kita menghakimi atau melabel seseorang itu hanya kerana ia sudah menukar warga negara. Jangan melihat luaran, tapi lihatlah ia lebih jauh ke dalam," katanya serius.

Justeru kerana cintanya terhadap Indonesia, dia sangat menyayangi bahasa ibundanya itu. Dia berpendapat bahasa itu lambang bangsa, bukan sekadar terletak pada pasport hijau yang dipegang rakyat republik tersebut.

Anggun kemudian menyambung: "Bahasa itu kultur. Saya tidak mahu anak saya tidak mengenal bahasa sendiri dan saya akui, saya sedih kerana pada masa kini, banyak anak Indonesia yang sudah tidak berbahasa ibunda dan senang berbahasa Inggeris. Ini sangat rugi kerana bahasa akan mati jika kita mengagungkan bahasa orang lain."

Saat ditanya adakah dia berfikir untuk berhenti bermuzik, pantas Anggun memberitahu dia akan mati tanpa muzik. Muzik adalah identitinya, sama penting seperti keluarganya sendiri.

Katanya: "Famili sangat penting buat saya. Begitu juga muzik. Muzik adalah saya. Bila saya berhenti bermuzik, pada waktu itu saya mati kerana muzik adalah identiti saya."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Habuan Karnival Amal Silaturrahim

Posted:

Habuan Karnival Amal Silaturrahim

Habuan Karnival Amal Silaturrahim

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my


BARISAN artis (dari kiri) Azrul Raja Lawak, Roslan Shah, Jamal Abdillah, DJ Dave dan Azad Jazmin bakal memeriahkan Karnival Amal Silaturrahim pada 2 dan 3 Julai ini.


DUA penyanyi popular tanah air, Jamal Abdillah dan Datuk DJ Dave akan memeriahkan Karnival Amal Silaturrahim yang dianjurkan oleh Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) selama dua hari pada 2 dan 3 Julai ini.

Presiden Usahanita, Faridah A. Jabbar berkata, tujuan karnival tersebut diadakan untuk mengumpul dana dari pihak korporat dan perseorangan untuk diserahkan kepada rumah anak yatim dan juga golongan kurang upaya.

"Sebenarnya karnival sebegini adalah antara acara tahunan yang dilakukan oleh Usahinta, namun kami lebih banyak melakukan aktiviti yang berbentuk kekeluargaan.

"Namun untuk tahun ini, kami telah mengambil keputusan untuk menganjurkan dua aktiviti utama iaitu pertandingan memancing dan majlis makan malam," ujarnya pada satu sidang akhbar baru-baru ini.

Tambahnya lagi, bagi menarik lebih ramai penyertaan untuk kedua-dua aktiviti berkenaan, beberapa artis popular turut diundang untuk memeriahkan lagi aktiviti.

Ujarnya, pada hari pertama akan berlangsung acara santai iaitu Karnival Memancing 1Malaysia 1Hati bertempat di Taman Tasik Titiwangsa yang akan dimeriahkan oleh beberapa artis seperti Roslan Shah, Fazli Zainal dan Azrul Raja Lawak.

"Kemudian pada hari kedua pula dua penyanyi popular iaitu Jamal Abdillah dan Datuk DJ Dave akan membuat persembahan pada majlis Makan Malam Amal di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Selain mereka berdua yang akan menghiburkan orang ramai menerusi lagu-lagu popular mereka, ia turut dimeriahkan lagi oleh beberapa artis seperti Ogy Ahmad Daud, Azad Jazmin dan Eira Syazira," katanya yang memberitahu meja berharga di antara RM250 sehingga RM5,000 sudah mula dijual.

Ujarnya, 100 peratus hasil kutipan pada karnival berkenaan akan diagihkan kepada empat buah rumah kebajikan yang dipilih oleh pihak Usahanita.

Antaranya, Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur, Rawang; Pertubuhan Kebajikan Anak-Anakku Sayang, Seremban; Rumah Anak Yatim Kesayanganku, Bukit Beruntung dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Istimewa, Hulu Klang.

Sementara itu, DJ Dave ketika ditemui berkata, dia sangat teruja untuk sama-sama terlibat dan menyokong usaha yang dilakukan oleh Usahanita dengan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Ujarnya, dia sendiri tidak keberatan dan sangat menyokong usaha yang dilakukan oleh pihak Usahanita itu kerana dia juga sering menganjurkan aktiviti amal setiap tahun.

"Saya yakin yang para peminat tentunya sangat menantikan kemunculan saya dan Jamal di atas pentas yang sama dan sudah tentu kami akan menampilkan satu persembahan yang yang cukup menarik serta berharap tetamu yang hadir akan terhibur," katanya.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai kedua-dua aktiviti tersebut boleh menghubungi pejabat Usahanita di talian 03-55192534.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Harapan Wani

Posted:

Harapan Wani

Harapan Wani


WANI


WALAUPUN baru mencecah usia 11 tahun, vokal Syazwani Sapari atau lebih dikenali sebagai Wani sangat mengagumkan dan tidak dinafikan Wani mampu mencapai not tinggi yang kebiasaan dinyanyikan oleh golongan yang lebih berusia darpadanya.

Buktinya, Wani beberapa kali memenangi tempat tiga teratas apabila beradu suara dengan peserta dewasa ketika sering memasuki pertandingan karaoke dan nyanyian kategori terbuka.

Minat yang mendalam terhadap bidang nyanyian mendorong Wani memasuki rancangan realiti televisyen terbitan Astro Ceria, Kamilah Bintang dan telah pun bergelar juara musim pertama.

"Saya yang mahu masuk ke program itu kerana saya memang meminati bidang nyanyian. Ibu juga selalu menyokong dan berkata tidak salah jika saya mahu mencuba. Keluarga banyak beri sokongan kepada saya," bicara Wani yang mula menyanyi sejak berumur tujuh tahun.

Gelaran juara yang dimenangi memberikan Wani peluang muncul dengan album sulung yang diberi judul Wani terbitan Measat Broadcast Network System (MBNS).

"Kelahiran album Wani ini bukan sekadar mewarnai persada seni hiburan tempatan sebaliknya ia membuktikan artis kelahiran Kamilah Bintang mampu menjadi pelopor generasi pelapis industri muzik tanahair," jelas pengurus saluran Ceria, Evon Koh.

Album mini yang memuatkan lima buah lagu iaitu Cintamu Bermakna, Sabar, Mengejar Bintang, Tra La La dan Teman Setia ini mendapat hasil sentuhan tiga komposer yang tidak kurang hebatnya iaitu Kunci Demak, Sham Kamikaze dan Shazee Ishak.

Menurut Evon lagi, konsep album mini Wani ini diberi sentuhan genre balada dan pop mengikut kesesuaian umur dan perwatakannya yang ceria.

Bukan itu sahaja, Wani juga cuba mengasah bakat di dalam bidang lakonan apabila terbabit dalam filem pertama lakonannya, Jidin Sengal. Wani yang memegang watak Piah sewaktu kecil tampil dalam lima babak sahaja dan dijangka menemui penonton pada Ogos ini. – NOOR ASHREEN ISMAIL

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.