Adsense

Isnin, 6 Jun 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Cita-cita dan cinta

Posted: 05 Jun 2011 05:13 PM PDT

Hip

Cinta hanya dalam set, tapi cita-cita besar adalah jadi pelakon terkenal

KEDUA-duanya memang wajah baru dalam dunia hiburan kita. Sebut Chomell Fana dan Izzue Islam boleh membuatkan ramai terpinga-pinga kerana siapalah mereka di dalam drama, mahupun filem.

Belum dikenali bukan bermakna mereka terlalu baru dalam bidang seni. Izzue dan Chomel Fana memang masing-masing sedang mencari nama dan mengukuhkan penampilan dalam bidang lakonan.

Kedua-duanya ditemukan dalam drama Cita dan Cinta yang sedang disiarkan di TV9. Mungkin kerana sudah mengenali di lokasi penggambaran drama itu menyebabkan mereka kelihatan mesra apabila diminta untuk mengikuti sesi fotografi bersama. Ada ketikanya keserasian, kemesraan dan keintiman mereka dilihat seolah-olah seperti pasangan sedang bercinta. Hakikatnya, itu semua kemesraan itu kerana terbawa-bawa dengan watak yang dihayati dalam drama yang mereka bintangi itu.

Itu semuanya jelas memudahkan lagi jalan cerita dalam drama Cita dan Cinta yang diarahkan oleh pengarah muda, AzmanA Aizal Yusoof.

Berlakon, menyanyi seiringan

DISEBABKAN masih berasa baru lagi dalam bidang yang diceburinya membuatkan Izzue berasa satu cabaran besar bagi dirinya apabila dia diberikan peranan utama kerana sebelum ini hanya mendukung watak sampingan sahaja.
"Susah sebagai pelakon utama nak pula bergandingan dengan pelakon berpengalaman macam Beto Khusyairi, Sharifah Amani dan Nadia Aqilah. Tapi selalunya orang berpengalaman seperti mereka banyak membantu saya," katanya.

Walaupun pertama kali digandingkan, Izzue merasakan keserasiannya dengan Chomell membuatkan watak yang dilakonkan lebih berkesan.

Namun bagi Chomell, bekerjasama dengan Izzue memudahkan lakonannya kerana perwatakan dan karektor lelaki ini yang mudah mesra serta senang bergaul dengan siapa saja.

"Dia mempunyai perwatakan menarik serta mudah mesra. Itu membuatkan senang bekerjasama. Saya dan Izzue masih baru dalam bidang ini tetapi apabila pertama kali di gandingkan keserasian itu sudah ada. Saya tak rasa kekok dengannya," kata Chomell.

Setelah dua tahun terbabit dalam bidang lakonan, Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan berasakan banyak yang perlu diterokai bagi memperbaiki kelemahan agar dapat membawakan watak lebih besar dan mencabar dengan berkesan.

Bermula sebagai pelakon tambahan, jejaka berusia 21 tahun ini mampu melata di bibir setiap pengarah yang ingin bekerjasama dengannya kerana memiliki pakej yang lengkap bukan saja dari segi bakat bahkan perwatakan yang menarik.
Bahkan bakatnya kini berkembang dengan pembabitannya dalam filem terbaru terbitan KRU, King Kapcai Kuang.

"Selepas habis sekolah saya buka gerai burger di kampung, kemudian ke Kuala Lumpur kerja di kedai makan sebagai pembancuh air sebelum terjebak dalam bidang seni. Masa itu saya ikut casting drama Kampung Jaguh dan dari situ saya bergiat aktif dalam lakonan," katanya.

Bertitik tolak dari situ, bakat Izzue kian dikenali dalam drama Papa Nak Kahwin, Bola Cinta dan Gemilang.

Malah, kini Izzue berjinak-jinak dalam bidang nyanyian dan mempunyai kumpulannya sendiri, Forteen Boy Band di bawah jenama KRU.

Kumpulan ini dianggotai Ameerais, Ariz dan One itu bakal melahirkan single pertama berjudul Berdua Bersatu hujung bulan ini.

"Ketika membuat sesi uji bakat sebagai pengacara di KRU Studio, mereka mendapati saya boleh menjadi penyanyi. Dari situ juga saya berkenalan dengan tiga lagi anggota kumpulan ini. Single terbaru itu sepenuhnya ciptaan Edry Abdul Halim," jelasnya.

Tidak terburu-buru beralih ke filem

SELEPAS terbabit lebih 20 drama, Chomell atau nama sebenarnya, Noorhanis Farhana Shaharuddin memang mahu namanya lebih dikenali dalam bidang lakonan.Dia tidak mahu terburu-buru berlakon filem.

Bagaimanapun, Aziz M Osman melamarnya sebagai pelakon tambahan dalam filem Azura 2.

"Sebelum berlakon saya lakukan banyak kerja di belakang tabir macam jurusolek, pakaian, konti dan pembantu pengurus produksi. Lepas habis sekolah, saya ikut kakak buat kerja solekan tetapi tetapi lepas itu boleh jadi jurusolek artis pula. Bermula dari situ saya mengenali abang Aziz dan disebabkan perwatakan saya yang pelik, abang Aziz suruh saya berlakon dalam drama Comel," katanya.

Siapa sangka gadis kecil molek berusia 25 tahun ini dulunya seorang pemain bola sepak wanita Malaysia B serta bekas ahli Silat Selangor dan Olahragawati negeri Selangor. Walaupun bertubuh kecil, kecekalan dan semangat Chomell di luar jangkaan, malah pernah bekerja sebagai pengawal pantai di sebuah pusat rekreasi air.

Gadis yang pernah berlakon dalam drama Bong, Putri, Kaisarah, Hotel Mania dan filem Cinta Kura-kura ini turut terbabit dalam bidang nyanyian di bawah KRU. Single pertamanya berjudul, BFF Ku dalam proses rakaman.

"Sebelum berlakon saya aktif dalam nyanyian. Dari situ ada seseorang yang lihat bakat saya nak rakamkan 10 lagu tetapi kesudahannya lagu itu tak dipasarkan. Sebab itu saya berhenti menyanyi," katanya.

Mengimpikan watak serius, Chomell mengakui berlakon dalam drama tidak sesukar filem yang mengambil masa agak panjang untuk penggambaran. Bahkan bagi satu babak lakonan mengambil masa sehari penggambaran berbanding drama.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Setiap angka boleh dipercayai

Posted: 05 Jun 2011 05:11 PM PDT

Hip

FINAS kumpul data kutipan kasar setiap filem terus daripada panggung wayang

PERKARA yang sering diumumkan oleh produser atau wakil syarikat produksi apabila filem mereka masuk ke panggung ialah kutipan kasar selepas sehari atau seminggu ditayangkan.

Selain strategi pemasaran dan publisiti, ia juga sebagai ukuran untuk mengetahui sesebuah filem itu mendapat sambutan atau sebaliknya. Bagaimanapun, setiap angka yang dinyatakan oleh produser kadang-kadang mengelirukan.

Persoalannya, siapa yang boleh mengesahkan jumlah yang diumumkan itu sah dan betul? Pihak mana yang boleh memperakui setiap angka yang dikeluarkan sudah disahkan oleh juruaudit bertauliah? Malahan ada kutipan kasar yang dikeluarkan oleh produser filem kadang-kadang tidak sama atau tidak selari dengan data daripada Unit Wajib Tayang di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

FINAS dipertanggungjawab memberi galakkan berkaitan pertumbuhan penerbitan filem dan hal lain berkaitan industri perfileman tempatan, sebenarnya tiada kuasa yang termaktub di dalam akta menghalang produser filem mengeluarkan angka kutipan yang dihimpun melalui Skim Wajib Tayang dan daripada produser filem menerusi pawagam bebas atau medium lain.

Bererti produser filem memang boleh meletakkan apa saja jumlah atau angka kutipan kasar setiap filem yang sudah ditayangkan. Jadi, sejauh mana relevannya jumlah kutipan tiket yang diumumkan produser di tambah dengan jumlah yang diperolehi daripada FINAS.

Wartawan HIP, Rozdan Mazalan menemubual Ketua Pengarah FINAS, Mohd Mahyidin Mustakim bagi mendedahkan format dan mekanisme yang digunakan FINAS bagi memperoleh jumlah kutipan tiket daripada pihak pawagam.
Hip: Bagaimana dan apakah bentuk format yang diguna pakai FINAS dalam mendapatkan angka kutipan tiket melalui pawagam?
Mahyidin:
Kutipan tiket dibuat menggunakan dua mekanisme iaitu secara online iaitu menerusi sistem e-wajib tayang di mana semua panggung perlu mengisi secara harian setiap kutipan filem tempatan yang ditayangkan. Mekanisme kedua pula ialah secara manual iaitu setiap panggung perlu menghantar faks ke FINAS untuk semakan kutipan bagi pawagam yang tidak mempunyai sistem online.

Hip: Adakah angka itu boleh diperolehi oleh produser sendiri atau panggung dan sekiranya dari panggung macam mana sistem yang digunakan, adakah terus secara online?
Mahyidin:
Angka kutipan adalah terus dari panggung berdasarkan jualan tiket yang terjual. Kaedah penerimaan angka kutipan berdasarkan sistem talian e-wajib tayang dan secara manual melalui faks dari panggung setiap hari.

Hip: Adakah ia diberikan secara harian?
Mahyidin:
Ia dibuat secara harian bagi pengiraan dan pengemaskinian oleh FINAS. Ini adalah prosedur yang sudah ditetapkan. Tetapi ada kalanya kelewatan berlaku satu atau dua hari sebelum dapat memberi angka berkenaan oleh segelintir pawagam.

Hip: Siapa yang mengesahkan atau mengaudit angka kutipan itu?
Mahyidin:
Ia melalui dua kaedah iaitu dari pihak panggung sendiri dan disemak oleh FINAS sama ada mempunyai perbezaan atau tidak.

Hip: Sejauh mana angka kutipan daripada FINAS ini boleh dipercayai (reliable)
Mahyidin: Jumlah kutipan ini perlu reliable kerana ia akan membabitkan laporan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hip: Adakah produser berhak melaporkan sendiri angka kutipan tanpa melalui FINAS?
Mahyidin:
FINAS hanya mengambil kira angka yang dilaporkan oleh pawagam melalui sistem e-wajib tayang. Apa yang dilaporkan oleh produser kepada media adalah inisiatif mereka sendiri.

Hip: Perlukah pihak kedua selain FINAS mengumumkan jumlah kutipan tiket kepada media?
Mahyidin:
FINAS akan mengumpul dan menyenaraikan kutipan melalui sistem yang sudah dinyatakan dan FINAS tidak menghalang sesiapa untuk mengeluarkan mengenai jumlah kutipan.

Hip: Apakah perancangan FINAS di dalam membaikpulih format kutipan tiket yang dapat memberikan jumlah tepat sepanjang tempoh wajib wayang ini.
Mahyidin:
FINAS sedang mengkaji sistem kutipan jualan tiket secara 'real time' yang mana sedang dijalankan bersama Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan akan berunding dengan Persatuan Pemamer Malaysia (MAFE). Semua produser yang layak boleh memohon untuk menyertai sekali skim wajib tayang yang merangkumi semua 98 pawagam pada masa ini. Justeru, terpulang kepada prosedur untuk menentukan pawagam mana yang ingin dipilih untuk dimasukkan di dalam skim wajib tayang dan yang mana dibiarkan sebagai independen atau bebas. Sebagai purata, produser akan memohon di antara 50 hingga 60 pawagam untuk skim ini," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.