Berita Harian: Hip |
Posted: 31 May 2011 06:04 PM PDT Hip NAMANYA masih baru, namun Nor Shafiza Iskandar Azizan atau dikenali sebagai Feeya kian menyerlah sebagai penyampai radio di EraFM sedangkan bakatnya dicungkil daripada program realiti TV, Anak Wayang. Adakah ini petanda yang Feeya akan mengikut jejak langkah atau menggantikan tempat Nana yang bakatnya juga dicungkil daripada program realiti, Akademi Fantasia musim pertama. Nana yang pernah menjadi penyampai EraFM sebelum ditukar ke radio Xfresh sebelum menamatkan itu kerjayanya beberapa minggu lalu. Bagaimanapun, Feeya seboleh-bolehnya tidak mahu dikaitkan atau disamakan dengan sesiapa, sama ada dalam dunia lakonan atau penyampai radio.Masih menyimpan harapan untuk dikenali sebagai pelakon, gadis ini tetap komited dalam kerjaya yang diceburinya kini dan menganggap peluang yang diberikan sebagai rezeki disamping mengangkat namanya di persada seni. Petah berbicara ketika diajukan soalan membuktikan gadis kecil molek yang mudah tersenyum ini memang sebagai penyampai radio, malah program yang dikendalikannya turut dikatakan mendapat sambutan pendengar. "Selepas keluar daripada program itu (Anak Wayang) saya cuba uji bakat sebagai penyampai radio dan tak sangka dapat. Mulanya sebagai sambilan sahaja tapi sekarang sudah sepenuh masa sejak Oktober tahun lalu," katanya.
MENGAKUI memang terlalu banyak yang perlu dipelajari untuk berjaya dalam karier serta menyimpan impian bergelar personaliti radio terkenal, Feeya banyak menimba ilmu daripada mereka yang berpengalaman. Bahkan, turut menjadikan penyampai radio seperti Raja Azura dan Abby Fana sebagai idola dalam mempelajari cara penyampaian supaya tidak membosankan pendengar. "Duduk dalam konti bukan bercakap saja tetapi kena tahu cara mengawal panel yang ada di depan mata. Semua kemahiran itu tidak boleh dipelajari dalam sekelip mata. Ia mengambil masa untuk menjadi lebih cekap. "Mulanya saya digandingkan dengan penyampai senior tetapi sekarang saya kendalikan seorang diri. Pernah juga tersasul masa ke udara tetapi banyak belajar daripada senior cara penyampaian yang betul," jelasnya. Banyak meluangkan masa dengan membaca pelbagai bahan bacaan membantu Feeya menyampaikan maklumat kepada pendengar agar dapat berkongsi sumber yang diperoleh untuk dibincangkan dengan pendengar. Mengendalikan dua program serentak setiap hari, RockPOD Era dari jam 10 hingga 11 pagi dan Muzik Hit Bertubi-tubi dari jam 11 pagi hingga 1 tengah hari membuatkan nama Feeya kini semakin dikenali di stesen radio swasta itu. Malah, rating pendengar bagi kedua-dua program yang dikendalikannya itu juga meningkat sehingga 17,000 pendengar berbanding 1.72 juta pendengar sejak awal tahun ini. "Dulu nak dapat pemanggil pun susah dan pernah saya ke udara selama sejam hanya empat pemanggil saja, tetapi kini tak menang tangan nak jawab panggilan. Bukan setakat bekerja saja, kita kenal tahu semua yang berlaku dalam dan luar negara kerana selain menghiburkan pendengar, menjadi tanggungjawab kita memberi maklumat kepada pendengar," katanya. Bidang lakonan tak dilupakan MENYEDARI bakatnya lebih menyerlah dalam penyampaian radio, Feeya tidak mahu dirinya ditenggelami bidang terbabit sebaliknya pada masa mahu juga menyerlah dalam dunia lakonan. Setelah sekian lama menanti, akhirnya bakat lakonannya itu diangkat dalam drama 26 episod, Kasih Alia terbitan JS Pictures. "Watak yang diberikan memang menarik iaitu watak jahat dan tak sangka dapat watak yang di luar karektor sebenar saya. Selain drama ini, saya turut terbabit dalam drama Jamilah I Love U dan memegang watak sebagai DJ radio," katanya.
Peluang yang diberikan keluarga itu ingin terus diterokainya agar lebih dikenali pada masa depan walaupun bakatnya lebih dulu dikenali dalam bidang penyampaian. "Keluarga sangat menyokong apa saja yang saya buat, malah lepas habis belajar saya terus sertai program Anak Wayang dan keluarga tak pernah halang," katanya.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: 31 May 2011 05:58 PM PDT Hip David Teo kecewa kutipan Kongsi tak capai sasaranTIGA filem tempatan yang ditayangkan sepanjang Mei iaitu Kongsi, Nur Kasih The Movie dan Karak mencatatkan kutipan kasar terkumpul dianggarkan berjumlah RM14.3 juta. Semua angka kutipan kasar itu adalah berdasarkan kenyataan daripada penerbit filem masing-masing. Penerbit Metrowealth Production Sdn Bhd, David Teo mengatakan filem terbitannya, Kongsi yang ditayangkan sejak 12 Mei lalu hingga 29 Mei mencatatkan kutipan sebanyak RM8 juta. Ini diikuti dengan filem terbitan Gran Brilliance Sdn Bhd (GBSB), Nur Kasih The Movie arahan Kabir Bhathia yang memperolehi kutipan RM4.5 juta selepas 10 hari ditayangkan bermula 19 Mei lalu. Sementara itu, filem Karak pula selepas empat hari ditayangkan masih berupaya mengaut pungutan kasar RM1.8 juta.Ternyata anggaran pungutan kasar itu membuktikan sambutan penonton tidak terjejas walaupun dengan kemasukan filem import terutama dari Hollywood, termasuk filem yang dianggap blockbuster, Piratse of the Caribbean: On Stranger Tides, Kung Fu Panda 2 dan Priest. Bagaimanapun, apa yang jelas hasrat penerbit filem Kongsi, David Teo untuk melihat filem terbitannya itu mencatat kutipan kasar RM10 juta daripada penayangan di panggung wayang meleset kerana hanya mampu mengumpul kira-kira RM8 juta saja. Dia meluahkan kekecewaannya kepada dua pempamer terbesar iaitu rangkaian pawagam, Golden Screen Cinema (GSC) dan Tanjong Golden Village (TGV) kerana menarik keluar filemnya selepas dua minggu ditayangkan.
"Mentang-mentang segala keputusan terletak di tangan mereka, dengan mudah pempamer menarik filem saya selepas dua minggu memenuhi syarat wajib tayang sedangkan sambutan untuk filem itu masih menggalakkan. "Kami sering diperlakukan sebegini, apabila ada filem besar dari Hollywood masuk, pempamer dengan sesuka hati mengurangkan jumlah tayangan filem tempatan. Mereka menjadikan kemasukan filem kami ke Astro First sebagai alasan untuk tidak menayangkan filem di pawagam. Walaupun kecewa, saya gembira kerana adanya Astro First. "Dengan adanya Astro First, harapan untuk melihat Kongsi mencatat kutipan RM10 juta akan terlaksana. Empat hari sejak Kongsi memasuki Astro First, filem itu mendapat sambutan yang sangat baik," katanya. GBSB tetap puas hati Sementara itu, GBSB berpuas hati dengan kutipan kasar Nur Kasih The Movie iaitu RM4.5 juta kerana mereka memang tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi.
Ia jelas berbeza dengan filem terbitan GBSB yang lain yang lazimnya menyaksikan pengurangan sebaik saja memasuki minggu kedua. "Jumlah panggung yang menayangkan Nur Kasih The Movie pada minggu pertama dan kedua menyaksikan momentum yang masih lagi sama. Lazimnya apabila memasuki minggu kedua, jumlah tayangan dikurangkan, begitu juga kutipan yang bergerak semakin lama semakin perlahan. Tetapi berbeza dengan Nur Kasih The Movie kerana permintaan penonton untuk filem ini masih lagi tinggi. "Kami dimaklumkan pempamer dari utara tanah air pawagam diserbu peminat filem ini yang terdiri daripada suri rumah yang sebelum ini tidak pernah ke panggung wayang. Walaupun tidak tahu cara untuk membeli tiket tetapi disebabkan minat terhadap drama rantaian Nur Kasih, mereka sanggup membeli tiket sendiri. Ini sesuatu yang amat membanggakan buat kami, " katanya. Filem Nur Kasih The Movie dibintangi Tiz Zaqyah, Fizz Fairuz, Remy Ishak selain penampilan khas dua bintang veteran, Datuk Rahim Razali dan Afidah Es ditayangkan menerusi 62 dewan tayangan. Hari pertama tayangan, filem itu mencatat kutipan sebanyak RM400,000. Karak sasar RM4 juta PENERBIT filem seram Karak, Norman Abdul Halim juga berpuas hati apabila filem seram pertama arahan adiknya, Yusry itu berjaya mengutip RM 1.8 juta selepas empat hari tayangan. Norman yang juga penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studio ketika dihubungi melahirkan rasa amat puas hati kerana purata lima filem seram yang menemui terlebih dulu ditayangkan iaitu Di Larang Masuk, Senjakala, Penunggu Istana, Seru dan Momok Jangan Panggil Aku secara purata mengutip RM1 juta atau kurang selepas empat hari tayangan tetapi Karak pula mendahului dengan RM800,000. Katanya, dia amat puas hati dengan kutipan yang dicatatkan kerana Karak menghadapi persaingan sengit daripada dua filem tempatan dan dua antarabangsa. Katanya, sambutan baik dari penonton menunjukkan genre seram masih ada tempat di hati peminat filem tempatan. "Kami mensasarkan RM4 juta hingga RM5 juta. Karak adalah filem terakhir keluar untuk bulan ini (Mei). Lagipun, kami menghadapi persaingan daripada filem yang kuat seperti Nur Kasih. "Kita akan terus menayangkan Karak di panggung selama yang mungkin supaya penonton dapat merasai pengalaman yang berbeza daripada menonton di TV," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |