Adsense

Sabtu, 14 Mei 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Anak kembar sazzy falak terbaru

Posted: 13 May 2011 08:09 PM PDT


Mimie Haris Tidak Kisah Publisiti Kurang

Posted: 13 May 2011 07:55 PM PDT


PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Mimie Haris, 20, mengakui tidak kisah walaupun publisiti mengenai dirinya kurang diketengahkan oleh pihak media selepas hampir dua tahun berkecimpung dalam bidang seni.

Kata Mimie, walaupun kurang popular, dia berasa tidak perlu untuk mencari atau mencipta kontroversi semata-mat untuk dikenali ramai.

"Saya sedar nama saya tidak popular mana namun saya selesa dengan apa yang dikecapkan. Platform yang diberikan oleh industri ini sudah memadai buat orang baru seperti saya.

"Tak perlulah saya hendak mencari publisiti atau melakukan perkara-perkara negatif atau sensasi hanya kerana ingin popular," katanya yang ditemui di Menara Star, baru-baru ini.

Tambah Mimie, dia tidak kisah dengan isu populariti pada waktu ini kerana sedang sibuk menamatkan pengajiannya di peringkat Diploma Seni Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

"Mungkin antara sebab saya tidak begitu kisah untuk popular adalah kerana saya ingin mengutamakan pengajian terlebih dahulu supaya cepat habis.

"Sudah beberapa tahun ia tertangguh kerana terlibat dengan komitmen My Starz LG pada 2009 dan penggambaran pelbagai drama sebelum ini.

"Mungkin selepas tamat pengajian nanti, baru saya bergerak lebih aktif untuk mengukuhkan nama," kata anak bongsu daripada tiga beradik ini.


Bercakap soal kerjaya, Mimie masih lagi diberikan kepercayaan oleh stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai pengacara program remaja iaitu In Trend untuk musim ketiga.

"Mungkin saya tidak menonjol atau jarang menghiasi akhbar tetapi tawaran kerja tidak pernah putus.

"Selain undangan nyanyian, saya juga sibuk mengacarakan program In Trend di TV2 bagi musim ketiga di samping penyanyi Nubhan," jelasnya.

Terbaru, Mimie yang pernah popular dengan lagu Jatuh Cinta Lagi pada tahun lalu kini muncul dengan "single" ciptaan Adi (Sixth Sense) iaitu Kakiku Kaku.

Selepas membina nama menerusi program nyanyian My Starz LG 2009, Mimie pernah membintangi beberapa drama seperti Wira Malam Bisikan Naga, Datang Bulan dan Kau dan Aku 2.

Penyanyi Orchid Abdullah Meninggal Dunia

Posted: 13 May 2011 07:53 PM PDT

KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran Datin Orchid Abdullah, 64, meninggal dunia di Hospital Ampang dekat sini kira-kira pukul 12.40 tengah hari Jumaat.

Menurut anak bongsu Allahyarham, Nur Shafinaz Mokhtar,31, menerusi akaun Twitter miliknya, jenazah akan dimandikan di hospital tersebut dan dibawa ke Masjis Al-Ansar, AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur untuk disembahyangkan.

"Doakan dia (Orchid) dirahmati Allah dan ditempatkan dengan golongan orang yang beriman," katanya pada Twitter tersebut.

Penyanyi yang popular dengan lagu Penawar Rindu itu menghidap ketumbuhan hormon yang tidak stabil atau paraganglioma sejak tiga tahun lalu.

Beliau telah dibawa ke hospital tersebut pada pukul 3 pagi, Khamis.

Setelah tiba di hospital, Allahyarham yang pada mulanya ditempatkan di wad biasa dipindahkan pula ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemeriksaan lanjut.

Selain Shafinaz, Allahyarham turut meninggalkan tiga orang anak yang lain iaitu Nur Shalina, 42, Md. Nor Shareen, 39, dan Mohd. Noor Shafri Mokhtar,35.

Suami Allahyarham Datuk Mokhtar Omar,70, yang sedang dirawat di Unit Rawatan Jantung (CCU) di hospital yang sama kerana komplikasi kesihatan yang serius.

Difahamkan, ibu saudara Shafinaz yang rapat dengan keluarganya, Rogayah Yaakob, 59, juga ditempatkan di hospital sama sejak Jumaat lalu kerana penyakit asma.

Sementara itu, jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Taman Keramat, di sini, selepas solat Asar.

Antara rakan selebriti yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir termasuklah pelakon veteran Datin Umi Kalthum dan Datuk Sarimah Ahmad, penyanyi 60-an Datuk Jeffrydin, promoter persembahan Mas Omar dan penyanyi muda Nadia Aqilah.

Anggota kumpulan marhaban dan zanji yang dianggotai oleh Allahyarham iaitu Kawan turut hadir seperti Aspalela Abdullah, Datuk Yusni Hamid, Zalifah Ibrahim, Hamidah Urip, pelakon Maimunah Ahmad (Mak Jah) dan ramai lagi.

Majlis Resepsi Tengku Zawyah Meriah

Posted: 13 May 2011 07:49 PM PDT

KUALA LUMPUR: Lebih 400 tetamu meraikan pasangan pengantin baru DatinTengku Zawyah dan Datuk Rayyan Joseph King dalam satu majlis resepsi di Hotel Royal Chulan, di sini, malam Khamis.

Pasangan ini telah dinikahkan pada pukul 11.06 pagi hari yang sama oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali yang juga merupakan wali hakim kepada pihak pengantin perempuan.

Pasangan mempelai tiba di pekarangan Taman Mahsuri, hotel tersebut pada kira-kira pukul 8.30 malam diiringi anak-anak daripada kedua-dua belah pihak.


Kebahagiaan pada wajah kedua-dua mempelai.
Pada majlis sederhana tetapi meriah yang bertemakan persandingan dalam taman itu, Tengku Zawyah mengayakan busana berwarna putih rekaan pereka fesyen terkenal Calvin Thoo.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh anak ketiga Tengku Zawyah, Muhammmad Asyraf dan penyanyi terkenal Jamal Abdillah.

Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, isteri baginda, Tengku Azizah Aminah Sultan Iskandar, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan isteri, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah serta kerabat diraja Pahang.


Manakala antara rakan artis yang menyerikan majlis tersebut ialah Datuk Ramli MS, Zizie Ezzete, Sofea Jane beserta suami.

Tengku Zawyah yang juga kerabat diraja dari Kedah pernah mendirikan rumah tangga dengan Datauk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk yang kini merupakan suami penyanyi tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Datuk K dan tengku Zawyah bercerai pada 2005 dan hasil perkahwinan selama 20 tahun itu mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Muhammad Anas Zawawi, 24, Muhammad Adib, 21, Muhammad Asyraf, 19 dan Muhamad Aazief, 13.

Adam (AF4) Dapat Rawatan Penyakit Ganjil Dengan Ashraf Muslim

Posted: 13 May 2011 07:48 PM PDT

PETALING JAYA: Penyanyi Adam AF4 mengakui diganggu makhluk halus sehingga membuatkan dia sukar untuk bersolat sejak tahun lalu.

Adam berkata, berikutan itu dia telah mendapatkan rawatan dengan pelakon Ashraf Muslim yang bekerja sebagai pengamal perubatan tradisional di sebuah klinik tersebut di Gombak, Selangor.

"Saya ke klinik tempat Ashraf bekerja kerana mendapatkan rawatan cara Islam untuk membuang makhluk yang berada dalam badan saya.

"Sejak beberapa bulan lalu badan saya lemah, sakit, dan hilang tumpuan terutamanya ketika ingin bersolat," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Suria Wheels & Red Riders, di sini, Khamis.

Katanya, setelah beberapa bulan mendapatkan rawatan tersebut keadaannya semakin pulih terutamanya ketika melakukan ibadah.

"Saya tahu ini dugaan kecil buat saya yang baru ingin berubah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

"Selepas berubat Alhamdulillah rasa yang saya alami itu semakin berkurangan dan perjalanan hidup saya menjadi lebih baik," katanya.

Selain itu, Adam turut menganggap persahabatannya dengan Ashraf membantu dirinya mendalami dan mempelajari lebih banyak lagi tentang agama Islam.

"Saya sering datang ke klinik dia bukan sahaja untuk berubat tetapi saya banyak belajar tentang Islam.

"Kami bertukar-tukar pendapat, kerana bagi saya dia memahami situasi yang sedang saya alami kerana dia juga seorang artis," ujarnya.

Jelas Adam, kehidupannya kini lebih tenang sejak melakukan perubahan iaitu mula mendekatkan diri kepada Allah sejak akhir tahun lalu.

"Saya memang sedang belajar banyak ke arah itu dan mendalami tentang Islam.

"Tentang apa yang saya lakukan sekarang iaitu menyanyi saya menganggap ia sebagai rezeki dalam bidang ini. Apa yang penting ialah niat kita dan menjaga ibadah wajib," katanya.

Jelas Adam, dia kini dalam perancangan untuk membuat beberapa lagu tentang ketuhanan bagi projek album akan datang.

Yana Samsudin Tidak Terdesak Punyai Kekasih

Posted: 13 May 2011 07:47 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Yana Samsudin (Yana), 27, tidak terdesak untuk mempunyai kekasih selepas empat tahun berpisah dengan aktor Pierre Andre.

Ujar Yana, sekalipun dia belum menemui pengganti, hidupnya sentiasa dikelilingi kelompok rakan baik untuk mengadu atau berkongsi masalah.

"Selepas hubungan dengan Pierre berakhir, ada juga saya berkawan dengan beberapa lelaki tetapi tiada yang benar-benar serasi.

"Buat masa ini, saya tidak nampak mengapa perlu terdesak untuk mempunyai kekasih. Saya sentiasa ada sekumpulan teman baik untuk mengadu masalah atau bertukar pendapat," katanya yang ditemui di Menara Star, baru-baru ini.

Tambah Yana, perkara tersebut tidak menjadi keutamaannya pada waktu ini kerana bukan mudah untuk mencari lelaki yang ikhlas dan terbuka menerima dirinya sebagai anak seni.

"Saya tidak mahu lelaki berkawan dengan saya kerana status selebriti yang saya miliki. Sebagai pelakon, agak sukar juga untuk mendapatkan pasangan yang begitu terbuka dan memahami bidang ini.

"Susah juga kalau teman lelaki itu seorang yang mudah cemburu dan tidak terbuka menerima pergaulan dalam dunia seni. Jadi, saya tidak mahu pening-pening untuk mempunyai kekasih," kata pelakon filem Kongsi ini.

Menyentuh soal kerjaya, Yana kini sibuk di lokasi penggambaran filem Adnan Semp-it 2 arahan Ismail Bob Hasim sejak minggu lalu.

Dalam filem sekuel ini, Yana yang masih menggalas watak Wawa bergandingan dengan Shaheizy Sam, Intan Ladyana dan Along (Raja Lawak).

Rizz Ainuddin Belum Terlewat Menjadi Pelakon

Posted: 13 May 2011 07:46 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Riz Ainuddin,33, mengakui dirinya lebih berusia jika dibandingkan dengan barisan hero-hero Melayu yang sering membintangi drama dan filem tempatan.

Namun, dia menganggap langkahnya untuk terlibat dalam bidang seni masih belum terlewat dan menganggap ia sebagai satu cabaran buat menempuh bidang tersebut.

"Mungkin rezeki saya dalam bidang ini baru sahaja tiba. Kebanyakan watak yang mereka beri kepada saya sesuai dengan umur dan tidak pernah watak seorang remaja.

"Saya tahu usia saya agak tua berbanding hero lain tetapi saya masuk dalam bidang ini untuk mewarnai lagi industri bukan untuk bersaing," katanya.

Tambah Riz, perjalanan kerjaya lakonannya sudah bermula sejak 2006 namun dia tidak terlalu fokus dalam bidang seni kerana komitmen terhadap pekerjaannya.

"Drama Bait Cinta ini merupakan drama kelapan saya. Saya mula terlibat dalam industri ini sejak 2006 untuk filem Anto Fighter tapi watak-watak kecil. Cuma beberapa drama kebelakangan ini saja saya diberikan watak berat dan utama iaitu Ajuna, Awan Dania 1& 2 serta telefilem Berkalong Noda.

"Saya selalu berada di belakang tabir iaitu bekerja sebagai pengarah seni di syarikat periklanan Leo Burnet, tapi disebabkan minat mendalam menyebabkan saya tercebur dalam bidang ini," ujarnya.

Bercerita tentang lakonan dalam drama tersebut, Riz memberitahu dia agak bertuah kerana diberi peluang untuk menjadi teraju utama drama tersebut.

"Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk berada dalam kumpulan ini, kalau dilihat pelakon-pelakon di sekeliling saya yang menjayakan drama ini semuanya sudah berpengalaman.

"Saya banyak meminta pandangan daripada mereka apabila ingin melakukan sesuatu watak. Mereka pula kesemuanya tidak lokek memberi pendapat dan ilmu kepada saya," katanya.

Drama Bait Cinta turut dibintangi oleh Eira Syazira, Natasha Hudson, Charmaine Poo dan Ann Ngasri. Ia bakal ditayangkan pada setiap Isnin dan Selasa, pukul 8.30 malam bermula 17 Mei ini di TV9.

Putri Mardiana akan Bertunang Hujung Tahun

Posted: 13 May 2011 07:45 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Putri Mardiana Zainal Abidin, 29, atau Nina mengesahkan untuk mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Mohd Hasnul Amril (Anol), 29, pada bulan Disember depan.

Kata Nina, perancangan untuk ke arah itu sudah lama dirancang namun perkara tersebut terpaksa ditangguhkan ekoran beberapa urusan peribadi yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

"Sebenarnya, abang kandung saya pun sudah bertanya tentang hubungan kami. Alhamdulillah, hubungan ini mendapat restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak.

"Kalau diikutkan, pada bulan April lalu kami ingin bertunang tetapi terpaksa ditangguhkan dulu," katanya yang ditemui pada majlis pratonton filem Kongsi, di sini, malam Selasa.

Bercerita tentang perkembangan isu hak penjagaan anak-anaknya dengan bekas suaminya Shahnaz Norwawi, wanita itu berkata masalah itu masih lagi belum selesai sementara anak-anaknya tinggal di rumah bekas mertua dan bersekolah di Bentong, Pahang.

"Agak leceh untuk urusan pertukaran sekolah dan sebagainya. Tidak mengapalah, buat masa ini yang penting anak-anak selamat dan gembira.

"Sekali-sekala, saya akan berjumpa dan menghabiskan masa dengan mereka juga," kata ibu kepada Alia Wirdani, 7, Amir Firman, 5 dan Airell Zuhair, 4 ini.

Mengenai perkembangannya dalam dunia lakonan, Nina akan muncul dengan filem terbaru iaitu Kongsi sebagai Inspektor Yati.

Beritahu Nina, dia sangat teruja membintangi filem komedi aksi arahan Farid Kamil itu kerana berpeluang untuk melakukan babak-babak lasak dan pertarungan.

"Ini adalah kali pertama saya terlibat dalam filem aksi lasak. Ia satu pengalaman yang menyeronokkan kerana saya membawa dua watak iaitu pegawai polis yang menyamar sebagai pembantu rumah.

"Pihak produksi memilih saya kerana kesesuaian air muka saya yang serius selain saya dilihat agak tegas," jelas aktres yang kian sibuk dengan perniagaan pakaian "bundle" ini.

Filem Kongsi yang mula ditayangkan hari ini mencatatkan sejarah tersendiri dalam perfileman tanah air dengan pembukaan terbesar iaitu 100 salinan filem di seluruh pawagam di Malaysia.

Penceraian Siti Saida: Suami Terbaca SMS 'Sayang' Pada Telefon Saida

Posted: 13 May 2011 07:44 PM PDT

KUALA LUMPUR: Suami kepada penyanyi, Saida mendakwa isterinya sedang 'angau' dengan seorang lelaki sehingga menyebabkan rumah tangga mereka yang dibina sejak 15 tahun lalu terabai.

Mohd Ghazali Yahya Zikri seterusnya mendakwa, dia pernah berjumpa Saida dengan lelaki tersebut yang bernama Hafiz Che Mat berada di dalam sebuah kereta di Balakong, dekat sini.

"Saya telah tanya pada lelaki itu jika dia tahu Saida adalah isteri saya? Waktu itu, Saida menjawab lelaki itu mahu memulangkan telefon bimbit miliknya.

"Saya rampas telefon bimbit tersebut dan jumpa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengandungi perkataan seperti sayang, rindu dan sebagainya," katanya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Rabu.

Lelaki tersebut kemudiannya memberitahu bahawa dia mempunyai bukti iaitu bil telefon menunjukkan Saida yang juga kakak kepada penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza menghabiskan masa berjam-jam untuk berbual dengan lelaki itu.


Mohd Ghazali.
Mohd Ghazali seterusnya mendakwa, dia menganggap anasir luar itulah yang menyebabkan Saida mahu bercerai dan keluar daripada rumah kelamin mereka yang terletak di Alam Damai, Cheras, kira-kira sebulan lalu.

Pada prosiding itu, Saida atau nama sebenarnya, Siti Norsaida Tarudin mengakui mengenai kejadian dalam kereta yang didakwa suaminya itu, tetapi menambah hubungan dia dengan lelaki berkenaan sekadar rakan sekerja.

Pada masa itu, Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi berkata: "Industri kerja seperti kamu memang akan berjumpa ramai orang. Tetapi tidak perlulah saya bercakap banyak kerana semua orang tahu tentang hukum hakam".

Mohd Ghazali kemudiannya berdiri dan menambah, dia boleh memahami sekiranya Saida perlu berjumpa ramai orang, tetapi tidak perlu sampai ke tahap untuk memanggil sayang dan mendesak untuk bercerai.

"Bila saya siasat dia tidak mahu mengaku. Tapi bila saya sudah jumpa gambar-gambar dan SMS ada sayang, itu bukan rakan biasa.

"Saya sangat sedih, kecewa dengan isteri saya. Dahulu, dia seorang yang sangat lemah-lembut dan sekarang lupa tanggung jawab.

"Saya harap hakim boleh beri nasihat. Apa salah saya sehingga dia buat begini? Saya kasihankan anak-anak. Mereka sampai tidak pergi ke sekolah. Dulu dia tidak begini," tambahnya.

Selain itu, Mohd Ghazali juga memberitahu, dia tidak melihat masalah besar dalam perkahwinan mereka yang boleh membawa kepada perceraian, sebaliknya hanya masalah-masalah kecil.

Saida pula memberitahu, dia telah meminta cerai sejak tahun 2008 kerana tidak boleh menerima suaminya ekoran tiada persefahaman.

Selepas mendengar keterangan-keterangan yang dinyatakan oleh Mohd Ghazali dan Saida, Mohd Suhaily memutuskan untuk memberi peluang terakhir kepada pasangan tersebut untuk mencari penyelesaian dalam masalah yang dihadapi.

Beliau juga menasihatkan mereka untuk mengerjakan umrah seperti yang dicadangkan oleh Mohd Ghazali yang berhasrat mahu membawa isterinya itu ke Tanah Suci.

Saida yang pernah menyertai rancangan realiti, Akademi Fantasia bersetuju dengan cadangan itu namun memberitahu akan membawa ahli keluarganya bersama.

Pada prosiding sama, Mohd Suhaily memutuskan bahawa wakil hakam pasangan tersebut telah gagal untuk mencapai matlamat bagi menyelesaikan masalah perkahwinan mereka dan memutuskan agar diadakan semula perbincangan.

Sekiranya masih gagal, Mohd Suhaily menetapkan agar pasangan itu dibawa bertemu dengan wakil hakam yang akan dilantik oleh mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 15 Jun depan.

Berdasarkan rekod, Mohd Ghazali melantik bapa saudaranya, Shihabudin Alang Mat Piah sebagai wakil hakamnya manakala Saida diwakili oleh seorang rakan, Norhisham Rahmat.

Prosiding di mahkamah bermula selepas Saida memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik atas alasan mereka sudah tidak mempunyai persefahaman dan telah mengalami masalah yang tidak dapat didamaikan.

Saida, 35, dan Mohd Ghazali, 41, mendirikan rumah tangga di kampung halaman penyanyi itu, di Kuala Lipis, Pahang pada 14 Disember 1996 dengan berwalikan bapa kandung.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata, Siti Nurunnyssa, 14, Anas, 12, Khalid, 8, dan Siti Nurul Mashitah, 5 tahun.

Mohd Ghazali diwakili oleh peguam syarie Amli Embong sementara peguam Ahmad Nazib Johari mewakili Saida.

Eira Syazira Tidak Hirau Digelar Ratu Air Mata

Posted: 13 May 2011 07:43 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Eira Syazira,(gambar) 27, tidak pernah kisah gelaran ratu air mata yang sering diberikan kepadanya kerana mengakui watak tersebut begitu sebati dengan dirinya.

Jelas Eira, dia sendiri gemarkan watak-watak berat dan mencabar yang memerlukan dia bermain dengan emosi dan air mata.

"Saya sudah pernah mencuba banyak watak seperti antagonis dan komedi tetapi pada saya watak air mata paling mencabar dan sesuai dengan saya.

"Bagaimanapun, cabaran saya ialah untuk memberi kelainan antara satu drama dengan drama yang lain. Saya terpaksa baca keseluruhan skrip dan buat kajian terlebih dahulu," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Drama Bait Cinta, di sini, Selasa.

Tambahnya, dia tidak pernah menganggap watak air mata yang dimainkannya dalam beberapa buah drama adalah bersifat klise.

Jelas Eira, lakonan drama terbarunya Biat Cinta ini berbeza dengan drama Ustaz Amirul yang baru sahaja selesai ditayangkan di TV3.

"Walaupun kedua-dua watak tersebut seperti sama iaitu menjadi wanita baik yang memakai tudung tapi sebenarnya apa yang ingin ditonjolkan ialah konflik dalam drama itu.

"Bagi drama Bait Cinta ini saya menjadi isteri dalam dilema yang terpaksa berkongsi suami dengan dua wanita lain," katanya.

Bagaimanapun ketika ditanya, jika keadaan poligami tersebut terjadi ke atasnya, Eira memberitahu perkara tersebut sudah ditentukan oleh Allah.

"Semua wanita tidak ingin dimadukan tetapi itu semua adalah ketentuan Allah. Kita tidak tahu perjalanan hidup kita.

"Apa yang pasti segala yang berlaku mempunyai sebab tertentu," katanya.

Drama Bait Cinta bakal ditayangkan pada setiap Isnin dan Selasa, pukul 8.30 malam bermula 17 Mei ini di TV9.

Personaliti ntv7 Jual Barangan Bayi Dalam Talian

Posted: 13 May 2011 07:42 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kesedaran terhadap kekurangan barangan ibu dan bayi, menyebabkan pembaca berita ntv7, Sheahnee Iman Lee mengambil inisiatif membuka perniagaan butik dalam talian, BuggyBabyBoogie.com.

Isteri kepada pengacara Nazrudin Rahman ini memberitahu, idea membuka perniagaan tersebut timbul sejak lima bulan lalu selepas melahirkan anak pertamanya Zara Aaliyah yang kini berusia setahun tiga bulan.

"Saya dapati memang banyak barangan untuk ibu dan anak di pasaran tetapi sukar untuk mencari yang betul-betul sesuai dengan kita. Contohnya baju yang sesuai untuk ibu-ibu yang menyusukan anak mereka, beg untuk kelengkapan bayi yang sesuai dengan keperluan.

"Saya melalui pengalaman tersebut selepas melahirkan Zara. Sebagai ibu muda saya tahu ia sesuatu yang sukar terutamanya untuk menguruskan bayi," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran BuggyBabyBoogie.com, di sini, Rabu.

Selain itu, Sheahnee turut mendapatkan khidmat pereka fesyen terkenal Bon Zinal untuk mencari material yang sesuai untuk pakaian rekaannya.

"Bagi rekaan baju, saya mendapat khidmat nasihat daripada Bon Zainal dan kini sebanyak sepuluh rekaan baju telah terhasil.

"Manakala dari segi material kami menggunakan kain jenis sifon dan kain kapas yang mana tidak terlalu mahal untuk dibeli," katanya.


Dalam pada itu, BuggyBabyBoogie.com juga menawarkan produk penjagaan bayi dari luar negara seperti Australia, Amerika dan Australia.

"Kami mengimport barang-barang unik dari luar negara yang tidak terdapat di Malaysia. Kami juga mengalu-alukan bagi sesiapa yang boleh memperkenalkan barangan ibu dan anak yang belum lagi dijual di Malaysia," katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri beberapa selebriti yang juga rakan baiknya iaitu Aishah Sinclair, Daphne Iking dan Sharifah Sofea.

Tambahnya, sebarang pembelian atau pembayaran boleh dibuat secara perbankan dalam talian. Bagi mendapatkan maklumat lanjut sila lawati www.BuggyBabyBoogie.com.

Foto Separuh Bogel Adik Ipar Putera William Tersebar

Posted: 13 May 2011 07:42 PM PDT

WALAUPUN perkahwinan Putera William dan Kate Middleton sudah berlalu, keluarga Middleton masih lagi menjadi bualan ramai.

Terbaru, adik Kate, Pippa Middleton pula menjadi buruan paparazi apabila foto Pippa tanpa pakaian di bahagian atas telah diedarkan di mana ketika itu dia, Kate, William dan beberapa teman rapat sedang bercuti di Ibiza, Sepanyol pada tahun 2006.

Pada foto tersebut, Pippa yang berusia 27 tahun dilihat sedang duduk di tepi kapal layar dengan hanya memakai seluar bikini sambil mengibas baju bikininya.

Difahamkan, keluarga Pippa sedang berusaha untuk menghentikan edaran foto-foto Pippa dengan membeli hak edaran foto tersebut.


Gambar Pippa yang tersebar. Foto THE DAILY
Sebelum ini, pada hari perkahwinan William dan Kate, Pippa menjadi perhatian jurugambar dan beberapa hari selepas itu, foto Pippa yang sedang menari di sebuah acara hiburan dengan hanya mengenakan skirt pendek dan bra diambil.

Rentetan penyebaran foto tersebut, salah seorang penerbit filem porno telah menawarkan Pippa dengan harga yang tinggi untuk sebuah adegan dalam filemnya.

Shahir (AF8) Janji Tiada Lagi Masalah Disiplin

Posted: 13 May 2011 07:40 PM PDT

PETALING JAYA: Penyanyi Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir (AF8) menganggap masalah disiplin sering dikaitkan dengannya sebelum ini sudah selesai berikutan kesihatannya yang semakin pulih.

Kata Shahir, dia mengaku perkara tersebut telah menimbulkan salah faham banyak pihak dan lebih parah ada yang menokok tambah tentang masalah yang dihadapinya itu.

"Masalah disiplin dulu terjadi berikutan kesihatan saya. Sekarang saya sudah sihat. Saya tiada masalah lagi.

"Apa yang saya kesalkan ketika saya berhadapan dengan masalah itu, ada juga yang menokok tambah tentang cerita tersebut sehingga menjadi satu kontroversi besar," katanya.

Tambah Shahir, banyak perkara yang didengar sesetengah pihak ialah cerita "cakap-cakap mulut" tanpa mengetahui perkara sebenar.

"Saya tahu ramai yang sebarkan berita tersebut melalui mulut ke mulut mengenai kehidupan saya sehingga ada yang tidak pernah bekerja dengan saya juga percaya dengan berita-berita tidak benar itu.

"Saya sebenarnya seorang yang sangat menghargai orang yang bekerja dengan saya," katanya.

Dalam pada itu, dia mengakui disebabkan perkara tersebut popularitinya turut terjejas.

"Saya akui ia memang menjejaskan populariti dan imej saya. Ramai yang menganggap saya berubah dan sehingga satu tahap saya betul-betul rasa kecewa.

"Ia memberi satu pengajaran pada saya untuk lebih berhati-hati dan bijak mengawal keadaan," katanya.