Utusan Online - Hiburan |
Posted: Peserta luar negara sertai Imam Muda 2Oleh ZUARIDA MOHYIN PARA peserta Imam Muda musim kedua yang bakal bersaing merebut gelaran Imam Muda Unggul. IMAM MUDA, program realiti terbitan Astro Oasis dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang berjaya menarik perhatian dunia, sekali gus memecah tradisi program-program berkonsep keislaman yang selama ini dipandang sebelah mata atau dikategorikan sebagai program kelas kedua. Namun siapa sangka gelombang baru yang dicetuskan menerusi Imam Muda tidak sahaja mengubah pandangan skeptikal khususnya, penonton di Malaysia terhadap program Islamik tempatan. Bahkan, tempias kejayaannya turut membuka mata masyarakat Islam luar negara akan potensi dunia penyiaran dalam medium dakwah, apatah lagi yang menjurus kepada golongan muda. Menamatkan program Imam Muda musim pertama secara bergaya pada Julai tahun lalu dengan menobatkan Imam Muda Muhammad Asyraf Mohamad Ridzuan sebagai juara pertama, secara tidak langsung menjadi testimoni dalam usaha penerbitan lebih banyak program ilmiah dan tidak tertumpu kepada elemen hiburan semata-mata tetapi dilihat sebagai satu tanggungjawab sosial. Malah, ia sekali gus akan memartabatkan status imam serta memberi pendedahan kepada masyarakat tentang tanggungjawab sebenar yang perlu dipikul dan menjadi pemangkin kepada kelahiran imam muda yang versatil dan relevan kepada komuniti. Lantaran itu, bermula awal tahun 2011 selama dua bulan krew produksi Imam Muda menjelajah ke enam lokasi iaitu ke Johor Bahru, Kota Bharu, Alor Setar, Kuantan, Kota Kinabalu dan berakhir di Kuala Lumpur. Ia dalam usaha mencari 10 lagi calon Imam Muda bagi musim keduanya. Uniknya, pencarian kali ini, terbuka kepada peserta luar negara. Malam tadi, bertempat di Dewan Muktamar, Pusat Islam diumumkan 10 peserta yang berjaya menginjakkan kaki ke akademi yang penuh prestij ini. Sabtu lalu kumpulan pemuda yang mempunyai latar belakang dan kerjaya berbeza ini diserahkan kepada Mudir Imam Muda musim kedua, iaitu bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Hasan Mahmud al-Hafiz dalam majlis penyerahan secara tertutup di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Biarpun ia serba ringkas namun sarat dengan pelbagai mainan perasaan terutamanya pada saat penyerahan ahli keluarga dan tidak ketinggalan isteri untuk melepaskan insan tersayang, waima dalam tempoh tiga bulan. Namun, hanya iringan air mata kegembiraan dan restu serta keredaan mereka menjadi pemangkin semangat kepada 10 peserta Imam Muda ini, demi mengejar impian dan cita-cita bergelar Imam Muda unggul. Bunyinya gah bukan! Imam Muda Unggul. Pun begitu, 10 peserta yang terpilih ini, dua adalah dari negara jiran iaitu Singapura dan Brunei. Mereka akan dihimpunkan di bawah satu bumbung, mengharungi segala suka duka bersama serta berjuang secara sihat, bukan atas tiket peribadi tetapi memartabatkan agama Islam yang syumul. Mega, Utusan Malaysia berpeluang mewawancara tiga peserta yang akan berkongsi perasaan mereka dalam menjalani satu pengalaman baru sebagai persiapan melahirkan pelapis tokoh agama masa hadapan serta persediaan diri kelak dinobatkan Imam Muda unggul... Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Status baru Justin BieberOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
APA yang membuatkan Justin Drew Bieber atau lebih dikenali dengan nama pentas, Justin Bieber begitu istimewa di mata jutaan peminatnya? Kata sesetengah pihak, kalau hendak diukur kepada bakatnya, rasanya ada penyanyi lain yang bakat mereka jauh lebih hebat daripada Bieber. Jika bukan bakat yang menjadi kayu pengukur kepada populariti dan kehebatan Bieber, memang tidak syak lagi, kegilaan peminat terhadap penyanyi kelahiran Kanada itu adalah kerana paras rupa yang comel dan sejuk mata memandang buat peminatnya. Katalah apa sahaja tentang Bieber, dia cukup bertuah kerana sokongan padu peminatnya yang menjadi peguam bela tidak rasmi untuk membidas segala kenyataan negatif terhadap penyanyi pujaan mereka. Biar apa pun kritikan yang dilempar kepada remaja berusia 17 tahun ini, tiada seorang pun yang dapat menafikan fenomena yang dicetuskan oleh Bieber. Hadirnya umpama virus yang menyerang dan kemudiannya dengan pantas merebak sehingga menyebabkan peminatnya diserang histeria setiap kali mendengarkan atau menonton persembahannya. Usianya dalam bidang seni baru setahun jagung tetapi populariti yang dikecapinya mengalahkan penyanyi senior sedia ada. Dan, percaya atau tidak, Bieber kini sudah pun sebaris dengan penyanyi popular dan ternama sedia ada apabila sudah memasuki golongan sebagai artis paling kaya di dunia. Percaya atau tidak, hanya dalam tempoh tiga tahun sahaja sejak dia mula menyanyi pada tahun 2008, Bieber kini dilaporkan sudah pun memiliki aset bernilai lebih daripada AS$100 juta (RM302 juta)! Semuanya adalah hasil daripada penjualan album, muat turun untuk lagu, kutipan tiket filem, penjualan barangan, menjadi duta dan jurucakap barangan selain daripada keuntungan daripada siri konsert jelajah dunianya. Sayugia diingatkan, semua keuntungan itu adalah hak milik mutlak terutama untuk penjualan album dan lagu kerana dia bukan hanya menyanyi tetapi dia juga adalah komposer serta penulis lirik bagi kesemua lagu di dalam albumnya. Untuk setiap kunjungannya ke lokasi konsert terpilih, Bieber dikatakan menerima bayaran sekurang-kurangnya AS$300,000 (RM908,000). Setakat ini, Bieber sudah pun mengadakan persembahan di 140 buah lokasi di seluruh dunia dan terbaru, di Malaysia, esok, 21 April. Bukan itu sahaja, Bieber juga menjadi artis kedua popular selepas Lady Gaga di laman sosial, Twitter dengan jumlah pengikut seramai 8.3 juta dan menjana keuntungan luar biasa dari sudut pengiklanan. Ternyata populariti luar biasa yang telah dicetuskan oleh Bieber membuatkan banyak syarikat mahu menggunakan khidmatnya dalam usaha menarik perhatian pelanggan mereka dalam mencatatkan keuntungan. Sebagai contoh, Bieber dikatakan telah menerima bayaran AS$1 juta (RM3.02 juta) hanya untuk muncul dalam iklan 30 saat untuk mempromosikan produk terbaru keluaran Best Buy yang kemudiannya ditayangkan sewaktu perlawanan US Super Bowl. Berbekalkan wajah comel, bayaran yang diterima pelantun lagu Baby itu memang cukup lumayan iaitu sebanyak AS$3 juta (RM9.06 juta) untuk kontrak selama dua tahun produk ProActiv. Angka itu memang dianggap sebagai luar biasa bagi seorang artis baru dan muda seperti Bieber dan ia juga dikatakan berjaya mengatasi bayaran yang pernah diterima oleh artis dewasa yang menjadi duta produk. Bieber sememangnya cukup bijak mengatur strategi terbaik dalam memasarkan namanya dan dia juga sedar, apa sahaja yang melibatkan dirinya, ia akan menjadi rebutan. Itulah yang dilakukan oleh Bieber apabila dia bersetuju untuk menggunakan namanya bagi produk barangan bilik tidur seperti cadar, sarung bantal dan selimut selain fon kepala (headphone) dan barang kemas untuk kanak-kanak. Malah, jejaka yang cukup terkenal dengan imej potongan rambut mangkuk (bowl cut) itu turut memberikan penghormatan kepada peminat wanitanya apabila dia mengeluarkan produk kecantikan berupa varnis kuku, One Less Lonely Girl. Filem pertamanya, Justin Bieber: Never Say Never juga mencipta rekod luar biasa apabila mencatatkan kutipan sebanyak AS$73 juta (RM221 juta) di seluruh dunia. Dengan angka itu, ia sekali gus menjadi filem konsert paling laris di dunia sejak tahun 1984 dan filem dokumentari ketiga terlaris sejak 1982. Kemewahan Bieber juga dikatakan akan terus meningkat apabila patung mainannya berada di pasaran tidak lama lagi. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |