Adsense

Khamis, 21 April 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Mangsa cemburu

Posted: 20 Apr 2011 04:15 PM PDT

Hip

Linda Jasmine

Linda Jasmine

Linda tepis gosip dirinya muflis, rumah tangga dilanda konflik

INSAN mana yang tidak terkesan apabila cerita tidak benar menimpa diri? Apatah lagi jika cerita itu bersifat negatif. Tanyalah kepada sesiapa pun, pasti mereka juga seboleh-bolehnya enggan berdepan situasi tidak menyenangkan seperti ini.

Pereka tari terkenal, Linda Jasmine tidak terkecuali daripada terkena tempias gosip liar apabila bergelar selebriti. Wanita yang sinonim dengan program Akademi Fantasia ini turut berdepan dengan cerita yang mengganggu emosi, apabila namanya juga tergolong dalam kelompok yang dikenali. Baru-baru ini, tersebar cerita kononnya wanita anggun ini berdepan masalah kewangan sehingga dikatakan jatuh bankrap. Akibatnya, dia terpaksa menutup studionya di Ampang, malah rumah tangga yang dibina bersama pelakon Que Haidar juga bergolak dek masalah dihadapi.

Tentunya bukan gosip yang kecil, yang boleh dilupakan begitu saja. Linda sendiri mengaku agak tertekan dengan khabar angin yang bertiup itu. Begitupun, dia nyata tidak mudah patah semangat dengan cerita liar begitu, sebaliknya semua itu tidak menghalang wanita ini untuk terus bergerak aktif dalam bidang yang cukup sebati dengan dirinya.

Lebih daripada itu, dia melihat semua khabar angin itu tidak lebih daripada secubit cabaran hidup yang perlu ditempuh. Bahkan, gosip yang dikaitkan dengan dirinya itu dianggap sebagai propaganda pihak tertentu yang kurang senang dengan kehidupannya kini serta cemburu dengan perniagaan yang diuruskan.
Pokok pangkalnya, segala tohmahan itu tidak berasas sama sekali.
"Gosip mengatakan studio saya ditutup kerana muflis itu hanyalah tindakan jahat pihak tertentu yang tidak senang dengan kami," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi Linda, apa saja gosip yang dikaitkan dengan dirinya hanyalah usaha pihak tertentu untuk meraih perhatian media, malah dakwaan yang dilemparkan pihak terbabit bermotifkan cemburu. Mereka ingin melihat perniagaannya jatuh.

Linda turut bersyukur apabila sikap saling memahami antaranya dan suami, mengeratkan lagi hubungan mereka tatkala gosip terbabit dikatakan turut menjejaskan mahligai bahagia dua selebriti ini. Kehadiran dua cahaya mata, Qalif Khan, 10, dan Tengku Ratu Haidar, setahun setengah, menidakkan lagi dakwaan hubungan mereka keruh dek gosip itu.

"Alhamdulillah, hubungan kami baik dan bertambah mesra. Walaupun berdepan gosip seperti ini, ia sedikit pun tidak menjejaskan rumah tangga kami, malah dengan adanya anak-anak di sisi menguatkan lagi perhubungan kami.

"Gosip mengenai studio saya bankrap sudah lama tersebar. Padahal sampai sekarang saya masih menguruskan studio itu. Perniagaan kami semakin baik, walaupun memang ada pasang surut. Itu kan adat dalam berniaga," katanya.

Kegetiran berdepan cerita liar begitu enggan dijadikan alasan olehnya untuk mengabaikan perkara lebih penting dalam hidup, iaitu keluarga dan kerjanya.

Katanya, fokus kepada suami, anak-anak dan pengurusan perniagaan Linda Jasmine Performing Arts Studio miliknya itu tidak pernah dipinggirkan ke tepi.

Apapun cabaran yang datang, Linda tidak pernah mengalah atau berputus asa, baginya setiap masalah yang berlaku adalah norma kehidupan yang perlu ditempuhi setiap insan. Dia juga tidak pernah menjadikan masalah sebagai bebanan dalam rumah tangga.

Mengambil sikap berbincang dan berkongsi pandangan dengan suami bukan saja dapat menyelesaikan masalah, malah dapat mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

Meskipun Linda sendiri kurang terbabit dalam program TV, namun dia sebenarnya masih aktif dalam bidang tarian, termasuk mengajar di kelas kendaliannya di studio, di samping masih terikat dengan Astro.

Tidak lagi terbabit dengan program Akademi Fantasia bukan bermaksud dia tidak diperlukan lagi, bahkan pandangan dan pendapat Linda masih diterima dalam membentuk barisan pelapis muda tanah air.

Cari pelajar sekolah pandai menari

TERBARU, Linda terus diberi kepercayaan sebagai juri pertandingan My School Rocks bergandingan dengan juri baru, Stacy, yang menggantikan Sazzy Falak pada kali ini. Uji bakat tarian membabitkan pelajar sekolah akan bermula pada Jun ini.

"Sudah empat tahun saya dilantik sebagai juri program ini dan kali ini saya akan bergandingan dengan Stacy yang mempunyai bakat tariannya tersendiri.

"Tahun ini berbeza daripada sebelumnya kerana peserta boleh memilih daripada 100 lagu yang disediakan. Mereka juga dibahagikan kepada dua kategori iaitu sekolah menengah dan rendah. Jadi ramai yang akan mencuba nasib tahun ini," katanya.

Selain itu, 120 sekolah pertama yang mengesahkan penyertaan untuk sesi uji bakat yang akan bermula 25 Jun hingga 23 Julai depan berpeluang mempunyai bengkel tarian peribadi di sekolah untuk membantu memperbaiki koreografi mereka.

Bagi Linda, cabarannya kali ini tentunya semakin sukar kerana pertandingan dibahagikan kepada dua kategori, apatah lagi ia membabitkan penyertaan peserta yang ramai.

Stacy pula menganggap tugas diberikan itu satu cabaran baru bagi dirinya.
Meskipun masih mentah dalam mengadili bakat tarian memandangkan dirinya sendiri kurang berpengalaman, dia bagaimanapun cukup teruja untuk menunaikan tanggungjawab terbabit.

"Sebelum ini saya tak fikir nak jadi juri kerana masih baru, tetapi apabila dapat tawaran daripada Cikgu Linda, saya terima kerana sedikit sebanyak kita dapat membantu peserta dalam tarian mereka.

"Ini peluang keemasan mereka dalam mengembangkan bakat tarian kerana suatu ketika dulu, pertandingan seperti ini belum wujud," katanya.

Bagi pelajar sekolah menengah dan rendah yang ingin mengikuti uji bakat terbabit boleh melayari laman web www.disneychannel-asia.com atau menghubungi 03-2785 2177 untuk maklumat lanjut.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bercerita menerusi lagu

Posted: 20 Apr 2011 04:13 PM PDT

Hip

SITI Zubaidah dilakonkan Siti Lela Mayang Zulkifli dan Muhammad Fikrie.

SITI Zubaidah dilakonkan Siti Lela Mayang Zulkifli dan Muhammad Fikrie.

Kisah isteri menyamar jadi lelaki demi selamatkan suami temui penonton di DFP

KEHEBATAN kisah seorang isteri bernama Siti Zubaidah yang sanggup menyamar menjadi lelaki semata-mata mahu membebaskan suaminya, Sultan Zainal Abidin, yang ditawan oleh puteri China ialah antara karya sastera yang sering diangkat ke pentas persembahan sebagai bahan hiburan buat khalayak.

Bukan saja di pentas teater, tetapi kisah Syair Siti Zubaidah ini juga pernah dijadikan naskhah filem yang ditunjangi pelakon hebat era Jalan Ampas itu Nordin Ahmad dan Datuk Maria Menado. Begitupun, sehingga kini peminat karya itu tidak pernah jemu untuk menontonnya dan atas alasan itu, terbaru, karya yang mengandungi syair romantik yang penuh dengan rasa cinta, taat dan keberanian ini bakal dipentaskan sekali lagi. Kali ini, ia berkonsepkan muzikal.

Bakal dipentaskan di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 29 dan 30 April ini, jam 8.30 malam, teater muzikal ini menjelma hasil penat lelah Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) dalam usaha mereka untuk memartabatkan seni budaya bangsa. Sebelum ini KSPP pernah mementaskan beberapa karya sastera lain seperti Semerah Padi, Rawana dan Raja Bersiong.

Tanpa mengubah jalan cerita asalnya, pementasan di bawah arahan Zahari Hamzah ini lebih menumpukan perhatian kepada tarian, lagu, selain aspek lakonan.
Justeru, dengan kerjasama pengarah muzik, Azizi Abdul Rahman, Zahari yang juga bertindak sebagai penulis skrip dan lirik untuk muzikal itu menggunakan daya kreativitinya untuk memperkemaskan lagi jalan cerita.
"Muzikal ini mengandungi 27 lagu baru, dengan kesemuanya hasil ciptaan Azizi. Memandangkan ia pementasan muzikal, jadi ada di antara dialog yang dituturkan adalah berbentuk nyanyian. Asalkan penonton faham dengan jalan cerita, itu sudah memadai.

"Bagaimanapun, kami melihat juga kesesuaian babak mana yang dialognya boleh dilafazkan dalam bentuk lagu dan babak mana dalam bentuk skrip," kata Zahari pada sidang media sejurus selepas majlis pratonton teater muzikal itu, di Dewan Filharmonik Petronas, berakhir.

Selain Azizi, hadir sama pada sidang media berkenaan ialah penerbitnya, Hartini Abdullah; dan koreografer, Rozilah Abdul Abdul Rahman dan Jefri Mokhtar.

Hanya mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan kesemua 27 lagu, Azizi berkata, kesemua melodi yang disiapkan perlulah bersesuaian dengan jalan cerita.
"Selalunya Zahari akan menyiapkan liriknya terlebih dulu kemudian barulah saya cipta melodi. Tapi kalau liriknya tidak cukup untuk dimuatkan dalam lagu itu, saya akan ubah suai atau potong saja sebahagiannya. Untuk menyiapkan lagu ini, saya turut mendapat bantuan dua pemuzik lain," katanya.

Pelakon perlu menari dan bersilat

MENGULAS penggunaan dua koreografer untuk teater terbabit, Zahari menjelaskan, selain memberi peluang kepada pereka tari yang ada dalam produksi ini menunjukkan seni kemahiran mereka, ia juga ada kaitan dengan konsep pementasan itu. Pelakonnya bukan saja menari dan menyanyi, tetapi mereka juga menunjukkan kemahiran seni mempertahankan diri seperti silat.

"Rozilah yang banyak mendapat pendedahan di ASWARA berkemahiran dalam tarian kontemporari dan juga seni silat, manakala Jefri yang lama berkhidmat dengan KSPP mempunyai asas dalam tarian tradisional. Atas alasan itu kami kami memerlukan dua koreografer untuk muzikal ini. Hasil gabungan kreativiti dua koreografer ini akan menjadikan tarian dalam muzikal ini lebih kemas dan cantik," katanya yang pernah mengarahkan muzikal Pak Pandir.

Pementasan yang berlangsung selama lebih dua jam ini membabitkan 39 pelakon dan 15 pemuzik. Antara pelakon yang terbabit ialah Siti Lela Mayang Zulkifli sebagai Siti Zubaidah, Muhammad Fikrie Mat Adan (Sultan Zainal Abidin), Wan Farahi Wan Yusoff (Puteri Sajarah), Shalinda Ismail (Permaisuri Kuning), Ayu Shahira Sulaiman (Puteri Rukiah), Fahizal Ismail (Darman Syah), Haslinda Mohd Ali (Raudah) dan Norzaimaziah Mat Som (Zahrah).

Bagi mereka yang berminat untuk menyaksikan pementasan ini bolehlah mendapatkan tiket yang berharga RM15 hingga RM60 di kaunter Box Office ataupun menerusi e-mel dfp_boxoffice@petronas.com.my

SINOPSIS

SITI Zubaidah, isteri pertama Sultan Zainal Abidin, pemerintah Kembayat Negara, tidak disukai bonda Sultan iaitu Permaisuri Kuning, jika dibandingkan dengan Puteri Sejarah yang juga isteri kedua baginda. Puteri Sajarah ialah puteri Raja Yaman. Tukang Tilik meramalkan Kembayat Negara akan ditimpa bencana dan Sultan Zainal Abidin akan menghadapi kesusahan dengan kehadiran Siti Zubaidah.

Sewaktu baginda pergi memburu kijang untuk Siti Zubaidah yang sedang mengidam, baginda diculik Kilan Cahaya. Permaisuri Kuning sedih dengan berita penculikan itu dan menganggap Siti Zubaidah pembawa sial lalu menitahkan agar Siti Zubaidah dihantar pulang ke Pulau Peringgi.

Setelah melahirkan seorang putera, dia mengambil keputusan untuk menyamar sebagai lelaki dan pergi ke China untuk menyelamatkan suaminya itu.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.