Adsense

Rabu, 19 Januari 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Mata tidak berkelip

Posted: 18 Jan 2011 04:14 PM PST

Hip

Misha, Elly Mazelin amat teruja tatkala diberi kesempatan bertemu Tun Dr Siti Hasmah untuk teater muzikal Tun Mahathir

BAGI Elly Mazelin dan Misha Omar, masing-masing berasakan diri mereka amat bertuah apabila dapat bertentang mata dengan mantan Wanita Pertama Negara, Tun Dr Siti Hasmah secara peribadi di aras 83, Menara Berkembar Petronas KLCC, baru-baru ini.

Kagum dengan penampilan dan kelembutannya yang penuh dengan ciri-ciri keibuan membuatkan kedua-dua penyanyi ini tidak mampu berkata apa-apa apabila mendengar cerita daripada Dr Siti Hasmah. Malahan Elly yang memegang watak Tun Dr Siti Hasmah dalam teater muzikal Tun Mahathir terlalu teruja sehingga tidak berkelip-kelip memandang wanita itu.
Kesempatan itu juga digunakan Elly untuk bertanya beberapa kemusykilan yang selama ini sudah lama ingin ditanyakan iaitu mengenai perasaan wanita itu ketika suaminya mengumumkan ingin meletak jawatan.

"Sebelum ini saya agak keliru untuk babak itu. Adakah saya perlu menangis ketika babak Tun Dr Mahathir mengumumkan mahu letak jawatan. Setelah bertemu sendiri dengan Tun Siti Hasmah, saya berasa sangat bertuah kerana mendapat maklumat secara terus daripada tuan punya badan sendiri.

"Sepanjang pertemuan itu tadi, saya mengambil kesempatan memerhati cara Tun Siti Hasmah bercakap dan karakternya supaya boleh digunakan ketika pementasan nanti," kata Elly.
Misha pula berkata, semua soalan yang ditanyakan kepada Dr Siti Hasmah lahir secara spontan.

Katanya, semua maklumat mengenai wanita itu sudah diketahui melalui skrip.
Kesempatan pada pertemuan itu pula hanya digunakan untuk mengenali wanita bernama Dr Siti Hasmah dengan lebih dekat.

"Ini adalah pengalaman pertama kali dalam seumur hidup dapat duduk bersebelahan dan berbual dengan isteri kepada bekas pemimpin nombor satu negara. Saya tidak sangka beliau seorang yang cukup merendah diri.

"Sukar untuk menemui orang yang berada pada kedudukan tinggi seperti Tun (Dr Siti Hasmah) tetapi bersikap sangat rendah diri," kata Misha yang mempunyai tiga babak dalam Muzikal Tun Mahathir.

Muzikal Tun Mahathir akan dipentaskan di Istana Budaya bermula 21 Januari hingga 30 Januari ini.

Daripada berkawan jadi berkasih

PERTEMUAN selama sejam setengah bersama isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di aras 83, Menara Berkembar Petronas (KLCC), Khamis lalu menjadi kenangan paling indah yang tidak mungkin dilupakan peneraju watak bekas Wanita Pertama Negara Elly Mazlein dan Misha Omar dalam hidup mereka.

Langsung tidak pernah terlintas di fikiran mereka untuk duduk semeja dan berbual mesra dengan wanita yang sebelum ini kelibatnya hanya dapat disaksikan menerusi kaca televisyen.

Dr Siti Hasmah yang hadir dengan baju kurung corak batik rona merah jambu tiba tepat pada waktu dijanjikan. Namun beliau pula terpaksa menunggu kehadiran kami kerana beberapa tenaga produksi Tun Muzikal tiba sedikit lewat.

Oleh kerana belum cukup korum, kami tidak dibenarkan naik bertemu dengan Dr Siti Hasmah sehinggalah korum mencukupi.

Kami kemudian di bawa naik ke aras 83 dan diminta menanti di bilik tetamu. Tidak sampai beberapa minit, Dr Siti Hasmah dengan wajah keibuan yang sungguh berseri-seri melangkah perlahan sambil menguntum senyum tiba dipimpin seorang wanita yang kemudian meminta izin untuk pergi bagi memberi ruang kepada kami mengenali isteri kepada Tun Dr Mahathir Mohamed itu dengan lebih intim.

Duduk diapit Elly dan Misha, Dr Siti Hasmah nyata seorang yang peramah dan amat merendah diri. Seakan-akan tiada jurang walaupun beliau adalah isteri kepada bekas pemerintah negara.

Seperti dinyatakan, sifat keibuannya cukup jelas apabila melayan kami seperti anak-anaknya.

Sebaik melabuhkan tubuhnya di kerusi empuk, Dr Siti Hasmah terus membuka bicara tanpa dipinta. Kisah persahabatannya dengan Dr Mahathir ketika menuntut di kolej dan cerita bagaimana bibit-bibit cinta mereka berputik begitu mencuit hati.

Sesuatu yang mengagumkan, ingatan wanita kelahiran Selangor itu masih lagi tajam walaupun pada usia 85 tahun.

"Saya seorang yang cukup feminin di zaman kolej. Sebagai wanita, saya gemar berbaju kurung, berkebaya dan suka mengikat tocang. Sehinggalah pada suatu hari, saya ditegur profesor yang meminta supaya saya memotong pendek rambut kerana bimbang disambar api ketika melakukan uji kaji," katanya sebagai pembuka bicara.

Cerita rambut tocang hendak disambar api oleh Dr Siti Hasmah ini menyebabkan kami semua ketawa. Memang aaak lucu. Mungkin sudah terbiasa sejak di zaman kolej, beliau memang nampak lebih selesa untuk terus berbaju kurung.

Berbicara mengenai lelaki yang berjaya menambat hatinya, kata Tun Siti Hasmah, suaminya yang dipanggil 'Det' adalah seorang yang pemalu serta sukar meluahkan perasaannya secara terang-terangan.

Mereka berkenalan pada 1947 dan mulai rapat apabila Tun Mahathir menjadi tutornya.

"Walaupun zahirnya hubungan kami nampak mesra, namun setiap kali mengikuti kelas bersama Tun Mahahtir, kami selalu juga berkelahi.
"Tapi dia (Dr Mahathir) seorang yang bijak. Jadi setiap kali mengajar, dia tidak suka sekiranya saya mempertikaikan apa yang diajar. Baginya kalau itu jawapannya, jangan pertikaikan dan jangan cuba mencari formula lain kerana memang itu jawapannya.

"Dia juga seorang yang kuat cemburu. Ketika di kolej, saya satu-satunya wanita Melayu. Saya pula suka berkawan dengan sesiapa saja tetapi rupa-rupanya Tun tidak suka. Mula-mula saya tidak faham, tetapi lama-kelamaan barulah saya sedar yang dia tidak suka saya terlalu rapat dengan lelaki lain. Bila tahu begitu, saya cuba tidak berkawan rapat dengan lelaki lain," kata Dr Siti Hasmah.

Yang penting fakta tepat

Ditanya bagaimana perasaannya apabila kisah beliau suami isteri diangkat sebagai muzikal dan melihat orang lain melakonkan wataknya. Dalam nada spontan, wanita itu berkata, barisan pelakonnya lebih cantik dari dirinya.

Beliau juga mengakui pada mulanya terbit kebimbangan bagaimana karakternya mahu ditonjolkan dalam pementasan itu. Namun setelah menonton sendiri pementasan itu pada musim pertama yang lalu, beliau berpuas hati cuma meminta supaya wataknya tidak ditonjolkan terlalu lincah kerana walaupun aktif dalam sukan, ciri-ciri kewanitaan masih menebal dalam dirinya.

"Saya tidak kisah macam mana karakter saya ingin ditonjolkan, tapi yang penting sejarahnya perlu betul. Saya faham ini sebuah muzikal, mungkin sesetengah karakter saya dibawakan berlebih-lebih apabila perlu menyanyi dan menari untuk menjadikan pementasan ini lebih menarik.

"Anak saya Marina agak terkejut kerana dia melihat karakter saya yang ditonjolkan dalam muzikal itu berbeza dengan diri saya yang sebenar. Ada juga rakan-rakannya yang menonton muzikal itu tempoh hari juga mengatakan perkara sama kepadanya. Bagaimanapun, saya katakan padanya, saya tidak kisah kerana ini adalah muzikal, yang penting fakta sejarahnya hendaklah tepat," katanya.

Tidak berkelip memandang Siti Hasmah

Bagi Elly Mazelin dan Misha Omar, masing-masing berasakan diri mereka amat bertuah apabila dapat bertentang mata dengan mantan Wanita Pertama Negara, Tun Dr Siti Hasmah secara peribadi di aras 83, Menara Berkembar Petronas KLCC, baru-baru ini.

Kagum dengan penampilan dan kelembutannya yang penuh dengan ciri-ciri keibuan membuatkan kedua-dua penyanyi ini tidak mampu berkata apa-apa apabila mendengar cerita daripada Dr Siti Hasmah.

Malahan Elly yang memegang watak Tun Dr Siti Hasmah dalam teater muzikal Tun Mahathir terlalu teruja sehingga tidak berkelip-kelip memandang wanita itu.
Kesempatan itu juga digunakan Elly untuk bertanya beberapa kemusykilan yang selama ini sudah lama ingin ditanyakan iaitu mengenai perasaan wanita itu ketika suaminya mengumumkan ingin meletak jawatan.

"Sebelum ini saya agak keliru untuk babak itu. Adakah saya perlu menangis ketika babak Tun Dr Mahathir mengumumkan mahu letak jawatan. Setelah bertemu sendiri dengan Tun Siti Hasmah, saya berasa sangat bertuah kerana mendapat maklumat secara terus daripada tuan punya badan sendiri.

"Sepanjang pertemuan itu tadi, saya mengambil kesempatan memerhati cara Tun Siti Hasmah bercakap dan karakternya supaya boleh digunakan ketika pementasan nanti," kata Elly.

Misha Omar pula berkata, semua soalan yang ditanyakan kepada Tun Siti Hasmah lahir secara spontan. Katanya, semua maklumat mengenai wanita itu sudah diketahui melalui skrip.

Kesempatan pada pertemuan itu pula hanya digunakan untuk mengenali wanita bernama Dr Siti Hasmah dengan lebih dekat.

"Ini adalah pengalaman pertama kali dalam seumur hidup dapat duduk bersebelahan dan berbual dengan isteri kepada pemimpin negara. Saya tidak sangka beliau seorang yang cukup merendah diri.

"Sukar untuk menemui orang yang berada pada kedudukan tinggi seperti Tun Siti Hasmah tetapi bersikap sangat rendah diri," kata Misha yang mempunyai tiga babak dalam Muzikal Tun Mahathir.

INFO: Tun Muzikal

  • MUZIKAL Tun Mahathir akan dipentaskan bermula 21 hingga 30 Januari bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya.
  • TIKET untuk menyaksikan pementasan itu sudah mula berharga dari RM32, RM52, RM82, RM102, RM152 dan RM302 atau boleh ditempah dengan melayari www. ticket2u.biz.
  • Keterangan lanjut mengenai muzikal ini boleh layari laman web www.muzikaltunmahathir@blogspot.com.
  • Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

    Bukan mudah jadi penyanyi

    Posted: 18 Jan 2011 03:45 PM PST

    Hip

    pix_gal0
    Sanggup berbaris panjang, berpanas untuk jalani uji bakat bersama Afdlin, Erra Fazira

    PELBAGAI aksi, ragam dan gelagat dapat dilihat sepanjang sesi uji bakat Mentor bersama Erra Fazira dan Afdlin Shauki yang diadakan di Sri Pentas, TV3 pada Sabtu dan Ahad lalu.

    Sejak awal pagi lagi perkarangan TV3 sudah dipenuhi mereka yang ingin menjadi protege kepada Afdlin dan Erra. Ada yang datang dengan menyandang gitar di belakang, mengusung beg dan tidak ketinggalan mengendong anak sambil ditemani isteri. Mereka yang datang awal agak bernasib baik kerana dapat menunggu giliran di dalam bangunan tetapi bagi yang terlewat, terpaksalah menahan diri daripada panahan cahaya matahari di luar bangunan Sri Pentas.

    Begitulah besarnya impian dan harapan mereka untuk menjadi penyanyi atau penghibur. Segala-galanya tidak mudah disangka.

    Sayangnya, hampir 90 peratus daripada hampir 500 hingga 600 peserta yang mencuba nasib, seperti tidak ada persediaan secukupnya. Walaupun sekadar uji bakat, mereka tidak berada dalam keadaan yang benar-benar bersedia dari sudut vokal dan penampilan.

    Tidak hairanlah ramai yang terkandas sejak peringkat saringan lagi sebelum uji bakat sebenar dilakukan di hadapan Afdlin mahupun Erra.
    Oleh kerana menyedari dirinya tidak layak pada sesi uji bakat, ada pula yang memberanikan diri dengan meminta kebenaran Erra untuk bergambar bersama-sama. Tidak menghampakan permintaan peminatnya, Erra melayan saja kehendak mereka meskipun dia sendiri keletihan kerana seharian mendengar dan melihat pelbagai gelagat dan aksi.

    Geram tak dapat jumpa Erra

    Bukan karenah peserta yang mahu bergambar serta bersalaman, Erra juga terpaksa melayan adegan air mata empat peserta yang tidak berpuas hati apabila penyertaan mereka ditolak oleh Ajai yang menapis peserta pada peringkat saringan lagi.

    Mereka yang gagal di peringkat awal tidak dibenarkan memasuki bilik uji bakat bersama Erra kerana pihak produksi ingin menjimatkan masa. Ini berikutan sesi uji bakat bersama Afdlin pada Sabtu berlanjutan sehingga hampir Subuh. Tidak puas hati dengan tindakan Ajai, keempat-empatnya membuat aduan kepada pihak produksi.

    Khairul Anwar Omar, 19, dari Jalan Klang Lama berkata, dia tiba di Sri Pentas sejak jam 8 pagi lagi setelah gagal menyertai uji bakat bersama Afdlin Shauki berikutan terlalu ramai orang.

    "Saya teringin sangat menyertai Mentor kerana berbakat dalam bidang nyanyian dan tarian. Saya tidak puas hati apabila tidak diuji bakat oleh Erra sebaliknya ditapis oleh Ajai. Saya tidak berniat buat kecoh tetapi saya datang sebab Erra, jadi biarlah Erra yang beritahu sendiri saya layak atau tidak. Saya tidak mahu orang lain yang menolak penyertaan saya.

    "Saya sedih sangat melihat cara Ajai. Dia seakan-akan memperlekehkan bakat saya kerana langsung tidak mahu memandang ke arah saya ketika membuat persembahan," katanya yang pernah mencuba nasib dalam MyStarz LG, Akademi Fantasia.

    Sepanjang sesi uji bakat ini, Erra ternyata menghadapi saat sukar membuat pilihan. Sejak tengah hari hingga jam 5.30 petang, hanya lima peserta yang benar-benar menepati cita rasa penyanyi itu.

    "Memang boleh menyanyi, tapi mereka tidak menepati kehendak serta genre yang saya mahukan. Sesetengahnya membawakan genre yang sesuai dengan mentor lain.

    "Kebanyakannya tidak buat persediaan. Saya bukan mencari peserta yang ada vokal yang benar-benar bagus, sebab ia boleh dibentuk sepanjang program ini nanti. Saya cari peserta yang mempunyai faktor X, yang kuat dan penampilan menarik.

    "Saya tak kisah siapa pun protege saya, lelaki atau perempuan tetapi mereka perlu bersikap positif. Saya mahu protege yang mudah dibentuk," kata Erra.

    Katanya, dia sedar ramai mempertikaikan kebolehan vokalnya untuk diangkat sebagai mentor. Namun menegaskan, untuk menggilap protegenya dalam program itu nanti, dia tidak sendirian sebaliknya dibantu teman sepasukan yang terdiri daripada guru vokal, juru tari, penata gaya dan perunding pentas.

    Bukan sekadar boleh nyanyi

    Afdlin berkata, kebanyakan mereka yang datang menjalani sesi uji bakat di bawah kendaliannya, memang boleh menyanyi, namun mereka tidak mampu diketengahkan sebagai penghibur.

    "Memang betul, objektif utama program ini adalah mencari penyanyi. Tapi saya ada penilaian sendiri yang lebih berkehendakkan jadi penghibur. Perkara pertama saya lihat adalah dari segi ketrampilan mereka di atas pentas. Kalau boleh berborak, bercerita dan melayan segala pertanyaan dengan selamba bermakna dia boleh menghiburkan saya. Itulah yang saya cari. Apabila diminta menyanyi, dia mempunyai vokal yang unik, dialah juga orang yang saya cari," katanya.

    Tidak dinafikan ramai bakat baru yang boleh digilap menjadi penyanyi, tetapi kebanyakan hanya mampu bertahan beberapa tahun saja.

    Atas keprihatinan itu Afdlin rela berkongsi pengalaman lebih 20 tahun dalam industri untuk bakal protegenya.

    "Sebab itu saya tidak boleh ambil mereka yang masih kosong dalam dirinya. Sekurang-kurangnya separuh dalam dirinya sudah ada bakat seni secara semula jadi dan kami sebagai Mentor akan menggilap dan membuka ruang untuk diketengahkan.

    "Saya bukan nak cari pengganti Tan Sri P.Ramlee tetapi yang ada kelebihan macam P.Ramlee, boleh menyanyi, menulis lirik, berlakon dan berlawak. Saya tak nak cari yang boleh menyanyi saja, takut kariernya akan mati macam itu saja. Nanti kalau tak ada show, dia tak tahu buat apa-apa," katanya yang agak tertekan mencari protege dalam masa sehari, bimbang takut terlepas mana-mana permata yang boleh digilap.

    Apa yang pasti, protege yang bakal mendapat asuhan dan galakkan daripada Afdlin akan merasai pelbagai kemudahan yang disediakan dan mampu berdikari dalam industri ini.

    "Walaupun protege yang saya pilih tidak menang, saya akan pastikan mereka memperoleh kerjaya dalam bidang seni. Saya memiliki syarikat sendiri yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti studio, produksi tv, filem dan teater. Dengan kemudahan ini, calon protege saya boleh mengembangkan bakatnya dan mencari pendapatan sendiri," katanya.


    Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.