Adsense

Selasa, 18 Januari 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Masih solo!

Posted: 17 Jan 2011 02:53 PM PST

Hip

pix_gal0
Ezlynn nafi khabar angin sudah bernikah Oktober lalu

LAMA menyepi, kehilangan penyanyi yang suatu ketika dulu cukup popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye, Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin menjadi tanda tanya.

Dek kelibat Ezlynn yang sukar sekali untuk dilihat dalam acara hiburan tanah air juga mencetuskan spekulasi yang penyanyi ini sebenarnya sudah berkahwin. Kononnya, wanita berasal dari Ulu Kinta, Perak ini sengaja menghilangkan diri untuk menyorokkan tubuhnya yang berbadan dua. Malah sebuah portal hiburan pernah menyiarkan cerita kononnya penyanyi itu pernah dilihat menolak kereta sorong bayi bersama-sama pengurusnya, Adam, di sebuah kompleks membeli belah terkemuka.

Kemunculan penyanyi berusia 29 tahun itu pada majlis sambutan ulang tahun Datuk Siti Nurhaliza baru-baru ini sudah tentu tidak dilepaskan begitu saja oleh pihak media. Mereka pasti tertunggu-tunggu penjelasan daripada mulut empunya diri, sejauh mana kesahihan berita yang digembar-gemburkan itu.

Barangkali sudah mengagak cerita kehilangannya lebih menarik untuk dicungkil berbanding kerjaya seninya, tiada langsung riak terkejut terbias pada wajah Ezlynn tatkala soalan mengenai perkahwinan diajukan kepadanya.

"Saya masih belum berkahwin! Jangan bimbang, saya sendiri akan maklumkan kepada semua, apabila tiba waktunya saya mendirikan rumah tangga nanti.
"Saya tidak nafikan memang ada majlis perkahwinan berlangsung dalam keluarga saya baru-baru ini, tetapi itu bukan majlis pernikahan saya. Sebaliknya ia majlis adik saya. Ibu saya sendiri terkejut apabila rakan-rakannya memaklumkan saya akan akan berkahwin pada tarikh itu, sedangkan dia sendiri tidak tahu menahu mengenai hal terbabit," jelas penyanyi yang turut bergelar pelakon ini.
Menurutnya, setiap insan pasti mempunyai keinginan untuk berkeluarga.

"Saya mengaku, saya berkawan dengan beberapa lelaki tetapi siapa sebenarnya calon suami, masih belum boleh saya dedahkan lagi. "Berhubung gosip mengatakan saya menolak kereta sorong bayi, saya tak nafikan memang kerap membawa anak buah keluar berjalan-jalan. Selalunya saya akan keluar bersama pengurus saya, Adam, ataupun bersama keluarganya ataupun keluarga saya sendiri," kata Ezlynn sambil memaklumkan, ada pihak yang mendakwa dirinya sudah pun bernikah pada tarikh 10.10.10 yang lalu.

Selagi belum ada lagi majlis merisik, kata Ezlynn, dia tidak berani mendedahkan siapakah pilihan hatinya.

Penyanyi yang bakal muncul dengan single terbaru berjudul Dusta ciptaan Francis Cobb dan Kim itu juga berkata, dia hanya bersedia berkongsi berita gembira itu dengan peminat apabila jejaka yang bertakhta di hatinya masuk melamar.

Ketika ditanya apakah jejaka bertuah itu ialah pengurusnya sendiri, memandangkan sebelum ini pernah muncul gosip mengatakan Ezlynn bercinta dengan jejaka terbabit. Ezlynn yang turut menghiburkan tetamu pada majlis ulang tahun Siti terus cuba bermain tarik tali.

"Saya mempunyai ramai kawan lelaki. Adam pula ialah pengurus saya. Insya-Allah, sekiranya itu jodoh saya, saya terima. Saya tak nafikan memang kami rapat dan kami berkawan baik kerana dia menjaga saya sejak 2005 lagi. Adam tahu banyak perkara mengenai saya.

"Saya bukan sengaja mahu berselindung, tetapi saya banyak belajar daripada kesilapan lalu. Sebelum ini saya pernah menghebahkan yang berkawan dengan seseorang, tetapi akhirnya hubungan itu tidak menjadi. Perkara itu benar-benar mengajar saya, yang turut menyebabkan saya malas untuk menghebohkan apa-apa selagi belum benar-benar pasti," kata Ezlynn yang mengaku cukup mengenali keluarga pengurusnya itu.

Kembali ligat selepas sembuh

BERBICARA mengenai kerjaya seninya pula, Ezlynn tidak menafikan karier seninya bergerak agak perlahan sejak kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi, selepas dirinya ditimpa kemalangan di rumah sendiri hingga menyebabkan kakinya patah.
Malah dia juga perlu menjalani pembedahan kecil bagi memasukkan skru ke kakinya, kira-kira empat bulan lalu.

Oleh kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, Ezlynn terpaksa membatalkan semua undangan nyanyian, lakonan dan pengacaraan bagi memastikan kecederaan itu sembuh sepenuhnya.

Kini, ungkap wanita ramah ini, kakinya sudah pulih, malah dia juga sudah kembali ligat memenuhi pelbagai undangan menyanyi.

"Saya ingin panaskan kembali dunia seni saya yang sejuk sejak ditimpa kemalangan tempoh hari. Setakat ini, saya sudah kembali menerima undangan menyanyi. Undangan berlakon dan mengacara bagaimanapun masih belum saya terima," katanya yang pernah muncul dengan single Tic Tac Toe ciptaan Noh Hujan edaran Alibi Music.

Saat ini, penyanyi itu bernaung di bawah syarikatnya sendiri iaitu Ezlynn Entertainment, yang turut menguruskan kerjaya seni pelakon dan pengacara Juliana Evans.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Rujuk FINAS dulu

Posted: 17 Jan 2011 02:49 PM PST

Hip

pix_gal0
Astro First dipantau, bimbang beri kesan buruk kepada industri filem

ENTAH di mana silapnya apabila stesen televisyen berbayar Astro bertindak mengetepikan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk mengadakan perbincangan sebelum mengambil keputusan menyiarkan filem terbaru tempatan yang masih ditayangkan di pawagam, untuk disiarkan di saluran Astro First.

Tindakan stesen penyiaran terbabit mengetepikan badan perfileman itu seperti ingin mengaut keuntungan berganda dan seolah-olah ingin 'menangguk di air yang keruh' ke atas filem yang ditayangkan itu. Namun, tindakan itu dikatakan tidak menyalahi sebarang akta kerana tiada peruntukan undang-undang yang menghalang pihak terbabit menyiarkan filem itu walaupun ia masih ligat ditayangkan di pawagam.

Bagi mengelakkan penggemar filem bertindak untuk tidak lagi pergi menonton filem tempatan di pawagam sehingga mampu menyekat perkembangan industri perfileman negara, satu mesyuarat khas akan diadakan antara FINAS dan pihak stesen penyiaran itu bagi mencari jalan penyelesaian.

Apapun, bagi Ketua Pengarah FINAS, Mohd Mahyidin Mustakim, pihak terbabit perlu merujuk kepada FINAS terlebih dulu sebelum bertindak demikian bagi mengelakkan ada pihak yang menuding jari dan menganggap FINAS tidak memainkan peranan.

"FINAS dimaklumkan, pihak terbabit menyiarkan filem-filem yang kurang mendapat sambutan di pawagam, dan difahamkan perbincangan antara syarikat terbabit dengan pempamer filem sudah diadakan tanpa memaklumkan kepada kami.
"Mesyuarat ini akan diadakan awal minggu depan (minggu ini) di FINAS supaya kita boleh mendapat gambaran sebenar dan jelas berhubung perkara itu. Ia juga diadakan bagi membincangkan kesan akibat penyiaran filem-filem itu terhadap industri perfileman negara," katanya ketika ditemui pada acara Malam Bersama Bintang, di Hulu Klang, Jumaat lalu.

Walaupun dianggap tidak menjejaskan industri filem negara, namun FINAS akan membuat pemantauan selama sebulan bermula daripada hari pertama siaran saluran berbayar itu bagi memastikan filem-filem yang disiarkan tidak menjejaskan prestasi pungutan filem terbabit di pawagam.

Jika dibandingkan dengan suasana serupa di Hollywood, tempoh enam bulan akan diberikan kepada filem yang ditayangkan di pawagam sebelum ia boleh disiarkan di televisyen.

Namun di Malaysia, pihak FINAS tidak mempunyai kuasa untuk menghalang filem-filem berkenaan ditayangkan di televisyen disebabkan tiada peruntukan khas yang boleh menyekat stesen televisyen tempatan untuk berbuat demikian.

"Memang tidak nafikan, jika saluran ini ke udara, orang ramai akan lebih memilih untuk menonton di rumah berbanding di pawagam dan keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan hasil kutipan sesebuah filem.

"Jika dilihat dari sudut positif pula, mungkin tindakan stesen terbabit boleh membantu filem-filem yang kurang mendapat tempat di hati penonton untuk beralih ke kaca televisyen.

"Disamping itu juga stesen penyiaran terbabit sedikit sebanyak membantu kerajaan membanteras kegiatan cetak rompak, tetapi kita kena juga lihat dari setiap aspek supaya ia tidak menjejaskan industri perfileman negara," jelasnya.

Apa yang penting, pihak FINAS perlu merangka strategi baru bagi memberi keadilan kepada semua pihak termasuk produser, pengedar, pempamer dan penyiar supaya tidak ada pihak yang akan tersinggung.

Mungkin agak tepat dikatakan stesen penyiaran itu bertindak untuk melariskan filem-filem berkenaan, namun ia perlu melalui saluran yang betul dan tidak dianggap semata-mata mengaut keuntungan tanpa memikirkan pihak lain.

Bagi FINAS, apa saja tindakan yang dilakukan pihak tertentu untuk memajukan industri filem negara akan disambut baik tetapi perlu diperbincangkan terlebih dulu untuk meneliti kesannya ke atas filem terbabit dan penonton serta penggiat filem.

"Jika FINAS tidak meneliti perkara ini, mungkin akan ada pihak yang akan menyalahkan FINAS dan menganggap FINAS menganaktirikan stesen televisyen yang lain," katanya.

Apapun, tindakan FINAS untuk mengadakan mesyuarat itu adalah satu langkah tepat bagi mengelakkan pihak tertentu daripada membuat keputusan sendiri tanpa merujuk badan itu terlebih dulu.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.