Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Kritikan sosial MamatWALAUPUN filem Estet hanya berjaya mengutip RM500,000 selepas dua minggu tayangannya, itu bukan satu penghalang buat pengarah filem Mamat Khalid untuk muncul dengan sebuah karya baru. Jika Estet sebuah filem yang memaparkan perpaduan kaum dan bersifat kenegaraan, filem terbaru arahannya dengan judul Hantu Kak Limah Balik Rumah sungguh berbeza dengan apa yang dipaparkan dalam Estet. Digarap dengan penuh humor, filem Hantu Kak Limah Balik Rumah merupakan sekuel daripada Zombi Kampung Pisang. Mengambil latar dan karakter yang sama, yang diubah adalah jalan cerita yang tidak lagi berkisar tentang zombi sebaliknya mengenai hantu. "Berbeza dengan zombi yang saya dapati agak sukar untuk penonton kaitkan dengan realiti kerana zombi bukan budaya Malaysia tetapi penonton masih suka dengan elemen kejutan yang diberikan, filem Hantu Kak Limah Balik Rumah pula sebuah filem anti tahyul dan subjek yang saya pilih adalah hantu. "Kalau bercakap tentang hantu rasanya rakyat Malaysia sudah terbiasa kerana sejak kecil lagi kita disogokkan dengan cerita-cerita seram yang kita tidak pernah alami," ujar Mamat ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem tersebut di Wangsa Maju, baru-baru ini. Meskipun satu panggung penuh dengan gelak tawa tanpa henti, sudah menjadi identiti Mamat atau nama sebenarnya Mohamad bin Mohamad Khalid, dalam setiap filemnya pasti diselitkan dengan kritikan sosial. Setiap dialog yang dilontarkan oleh pelakon bukanlah hanya dialog penyambung cerita semata-mata tetapi membuatkan penonton berfikir sejenak. Antara perkara yang disentuh adalah kesedaran sivik, kepercayaan melampau terhadap perkara tahyul yang sememangnya satu perkara biasa di Malaysia serta pemikiran masyarakat yang sukar diubah. "Saya akui skrip filem Hantu Kak Limah Balik Rumah memang berunsur komedi tetapi ia bukan skrip kosong, semuanya berisi. Macam kisah tahyul, saya rasa ramai orang percayakan bomoh dan dalam filem ini saya tampilkan pelbagai jenis bomoh. "Filem ini merupakan sebuah filem saya yang jujur dan disampaikan melalui komedi. Saya cuba menunjukkan bahawa masyarakat kita kuat dengan budaya tahyul. Walaupun sudah maju ke depan, namun tahyul masih menguasai pemikiran.
"Selain itu, saya sentuh perihal masyarakat hari ini yang semakin bersikap penting diri dan pemikiran yang sukar diubah sebagai contoh watak lakonan Pekin, dia seorang bekas penagih dadah. Walaupun telah berjaya dia tetap dicap penagih dadah buat selama-lamanya tanpa masyarakat sekeliling pasti akan kebenarannya. "Harapan saya penonton dapat menangkap dialog yang diselitkan yang menyentuh isu masyarakat. Terimalah dengan hati terbuka dan jangan marah sehingga mengganggu konsentrasi. Matlamat utama filem ini hanyalah untuk berhibur. Secara jujur saya sendiri lebih sukakan filem Hantu Kak Limah kerana durinya lebih tajam berbanding Zombi," tutur Mamat lagi. Tambah anak kelahiran Ipoh, Perak itu, jika ada yang menonton filemnya tetapi masih tidak faham maksud kritikan sosial yang disampaikan, dia tidak kisah kerana dia sedar bukan semua orang ke panggung untuk berfikir sebaliknya hanya mahu berhibur. "Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah adalah untuk semua peringkat umur, bagi kanak-kanak saya ada selitkan lawak-lawak daripada segi perbuatan kerana mereka mungkin tidak faham dialog-dialog yang dilontarkan pelakon seperti seorang yang lumpuh boleh berlari laju sambil menjinjing kerusi rodanya hanya kerana takut hantu. "Bagi penonton yang berusia 30 tahun ke atas, jika mereka tidak faham-faham juga setiap kritikan yang diselitkan, tidak tahulah nak cakap macam mana sebab saya buat dengan cara yang santai dan paling mudah difahami berbanding filem saya yang lain. Apa pun ia sebuah filem, kalau mereka datang menonton hanya untuk berhibur dan tidak mahu berfikir, saya faham," ucapnya tentang filem yang menelan belanja RM1.5 juta itu. WAJAH-wajah gembira para pelakon filem Hantu Kak Limah Balik Rumah bersama Mamat Khalid (tengah) dan penerbit eksekutif Tayangan Unggul, Gayatri Su Lin Pillai (tiga dari kanan). Kata Mamat, walaupun penonton yang datang menonton filem Hantu Kak Limah Balik Rumah tidak menonton filem Zombi Kampung Pisang, mereka masih boleh memahami jalan ceritanya. "Saya yakin orang yang pertama kali menontonnya pasti akan faham kerana filem ini berdiri sendiri, persamannya hanyalah latar filem dan karakter. Itu pun ada yang telah dikembangkan wataknya dan ada watak yang tiada langsung," terangnya. Sekuel ketiga Kampung Pisang Selepas Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah, Mamat merancang untuk membikin sebuah lagi filem sekuel yang akan melengkapkan trilogi kampung berjudul Zombi Kampung Pisang Ultimatum. Namun, ia terpulang kepada pihak penerbitan iaitu Tayangan Unggul untuk membenarkan pelaksanaannya. "Selepas membikin Zombi Kampung Pisang saya menerima banyak kritikan, ada yang tidak suka solekannya, wataknya dan jalan cerita. Kalau jadi sekuel ketiga ini, apa yang kurang, saya baiki. "Bagaimanapun, saya tidak boleh beritahu lagi apa pengisiannya kerana buat masa ini fokus adalah terhadap filem Hantu Kak Limah Balik Rumah," ujar Mamat lagi. Hantu Kak Limah Balik Rumah mengisahkan Hussin (Awie) yang telah lama bekerja di Singapura mengambil keputusan balik ke kampung halamannya, Kampung Pisang. Apabila pulang ke rumahnya, Hussin hairan melihat perangai pelik jiran sebelah rumahnya iaitu Kak Limah. Filem yang akan ditayangkan pada 9 Disember depan dibintangi oleh Awie, Johan Raja Lawak, Ummi Nazeera, Pekin, Shoffi Jikan dan Delimawati. | ||
Astro papar tragedi kawad maut Posted: Astro papar tragedi kawad mautOleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR
PERISTIWA kawad maut yang berlaku sekitar tahun 1943 hingga 1945 mungkin dipandang remeh oleh khalayak yang tidak melalui kisah itu. Realitinya, Kawad Maut Sandakan-Ranau telah mengorbankan 2,428 tawanan perang tentera bersekutu. Hanya enam orang sahaja berjaya melepaskan diri. Hakikat sebenarnya peristiwa tersebut merupakan yang terburuk dalam siri jenayah perang Jepun sewaktu perang Dunia Kedua yang berlaku di tanah air kita. Mungkin ramai yang tidak mengetahui secara mendalam kejadian tersebut kerana ia tidak tercatat dalam pelajaran Sejarah. Astro atas rasa tanggungjawab terpanggil untuk menceritakan semula kisah itu dalam bentuk dokumentari dan drama bersiri demi untuk memberitahu umum berkenaan tragedi hitam tersebut. Menurut Pengarah Dokumentari Suatu Ketika...Kawad Besi, Basir Siswo, cabaran dalam menghasilkan dokumentari itu terletak pada perolehan fakta kerana kejadian itu berlaku kira-kira 60 tahun lalu. Katanya, dia juga perlu mencari mangsa dan ahli-ahli keluarga mereka yang terselamat untuk mendapatkan fakta yang sahih. "Kajian dilakukan selama dua bulan malah kami terbang ke Brisbane, Australia untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci dari Muzium Perang Australia. LAKONAN mantap pelakon muda, Munif Isa (baju hitam) dalam drama bersiri Suatu Ketika... Akinabalu. "Kami juga dapat menjejaki waris askar-askar yang masih hidup serta orang Dusun yang menyelamatkan mereka dan mereka menceritakan keadaan sebenar untuk mendapat gambaran lebih jelas," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran dokumentari itu di Restoran Borneo Rainforest, Subang Jaya baru baru ini. Tambahnya, apa yang menarik cerita waris keluarga mangsa mengenai tindakan seorang anggota tentera Australia mengambil dua orang anak orang Dusun untuk dijadikan anak angkat. Mereka kemudian dibawa menetap di Australia selama lapan tahun. Bagi Khabir Bahtiar pula selaku pengarah untuk drama bersiri Suatu Ketika...Akinabalu, dia banyak bekerjasama dengan Basir untuk mendapatkat plot serta cerita dan ditambah dengan elemen percintaan untuk memberi suntikan dramatik. Katanya, Akinabalu lebih fokus kepada kisah cinta salah seorang askar tempatan di situ. "Walaupun kisah percintaan itu adalah sampingan, fakta tentang sejarah tragedi itu tetap menjadi asas utama Akinabalu," ujarnya. Jelasnya, cabaran bagi menghasilkan drama ini ialah ketika proses menghasilkan skrip yang menggabungkan fakta dan cereka agar ia tidak membosankan serta tidak lari daripada fakta. Suatu Ketika...Akinabalu menampilkan pelakon, Dira Abu Zahar, Gavin Stenhouse, Aaron Aziz dan Munif Isa. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |