Adsense

Khamis, 9 Disember 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Gembira dengan pencapaian

Posted: 08 Dec 2010 05:05 AM PST

MERAIH populariti dan kejayaan pada usia muda dianggap bonus pada pelakon cantik Liyana Jasmay dalam mengembangkan bakat seninya.

Berbeza dengan penampilan sulung ketika membintangi filem Castello bersama aktor popular, Rosyam Nor, lima tahun lalu, Liyana kini tampak lebih matang dari segi penampilan diri mahupun mutu lakonan.


Menerusi filem Papadom bergandingan bersama Afdlin Shauki juga bertindak sebagai pengarah, Liyana meraih pencapaian terbesar dalam kariernya apabila menang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22, tahun lalu.

Menariknya, filem itu turut mengiktiraf Afdlin sebagai Pengarah Terbaik sebelum diumumkan Filem Terbaik. Begitu juga keserasian gadis genit ini bersama pengarah terkenal itu terbukti menerusi anugerah Best On Screen Chemistry yang dimenangi pada majlis Shout! Awards anjuran 8TV, baru-baru ini.


Menimba pengalaman baru dalam bidang lakonan, Liyana kini sibuk memberi sepenuh fokus pada latihan teater muzikal, Siti Di Alam Fantasi 2 yang akan dipentaskan di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada 22 hingga 31 Disember ini.


Liyana berkata, pertama kali berlakon teater memberikan pengalaman baru yang begitu menyeronokkan. Selepas seminggu mengikuti latihan teater ini, dia dapat memahami karakter Siti yang dibawanya secara mendalam.

"Dalam teater ini, hanya saya bersama Ebby Yus membawa watak manusia. Saya juga bekerjasama dengan Johan Raja Lawak melakonkan watak pokok.


"Berbeza dengan filem atau drama, teater memerlukan pengucapan dialog tanpa henti dan pergerakan bahasa tubuh yang lebih besar.

"Siti adalah watak utama digambarkan berusia 12 tahun, anak orang kaya dan bersikap mengada-ngada. Sebenarnya, ramai yang tidak tahu dia ada batu geliga yang membawa kekayaan dalam hidupnya.


"Kerana itu, dia menjadi sombong dan berlagak. Hingga suatu hari, dia menerokai alam fantasi dan menemui perkara pelik seperti lipas bercakap dan lalang menjadi tinggi.


"Menariknya, berlaku sumpahan ke atas dirinya apabila bersikap jahat iaitu berubah kepada keldai. "Ketika ini, saya kena menggunakan kostum keldai dan membuat bunyi seperti haiwan itu.


"Banyak pengajaran yang cuba disampaikan seperti sikap tolong menolong yang harus dipraktikkan. Dalam mengubah sikapnya itu, dia jatuh cinta dengan Putera Raja lakonan Fizo Omar," katanya.


Menyelami karakter dan perangai kanak-kanak, Liyana juga seronok apabila berpeluang menyanyi dalam pementasan arahan Aminah Rhapor itu.


Katanya, Aminah banyak memberi tunjuk ajar seperti memberi contoh dengan melakonkan sendiri sesuatu watak.


Liyana berkata, dia tidak pernah bertemu pengarah yang komited dan memberi emosi mendalam pada watak yang ingin ditonjolkan seperti Aminah.


"Seramai 40 kanak-kanak berusia antara enam dan 12 tahun tampil menjayakan pementasan ini. "Ada yang melakonkan watak seperti lipas, kelip-kelip termasuk Vanidah Imran yang menjadi labah-labah.


"Berlakon dan menyanyi dalam pementasan ini memberikan pengalaman menyeronokkan walaupun cabaran tetap ada. Saya sendiri suka pada pementasan berkonsep muzikal dan sudah lama mahu berlakon teater. "Mungkin pada tahun depan, saya berhasrat sekurang-kurangnya terbabit dengan satu teater," katanya dengan mata yang bersinar.


Bersandarkan pada pengalaman lakon dan anugerah yang pernah diterima, Liyana menyatakan dia bukan bersikap 'demanding' terhadap tawaran yang diterima.


Katanya, pelakon tidak seperti penyanyi di bawah label syarikat rakaman yang boleh menentukan jumlah bayaran tertentu. Sebaliknya, dia percaya bidang lakonan adalah lebih berkaitan dengan minat.


"Ketika berlakon filem Kami The Movie, bajet produksinya kecil, tetapi saya tetap ambil tawaran itu kerana percaya pada kredibiliti pengarah. Pada saya, ada ketika kita harus bekerja untuk membantu orang lain.


"Tahun depan, saya kembali dengan tiga filem baru iaitu Khurafat, Tolong Awek Aku Pontianak dan Senjakala. "Menerusi Khurafat, saya berlakon dengan Syamsul Yusof sebagai isteri dan dalam Senjakala menjadi kekasih Zahiril Adzim.


"Ketika ini, saya gembira dengan pencapaian sendiri. Saya tidak merancang berlakon 10 filem, setahun tetapi saya juga berharap dapat memberi fokus lain seperti menulis skrip dan nyanyian.


"Kalau boleh, saya berhasrat berlakon dalam genre epik, perjuangan atau 'thriller'. Mungkin, saya juga ingin menjadi pengarah dan produser satu hari nanti.


"Soal album, saya mahu hasilkan album kedua selepas kehadiran mini album yang menampilkan single, Percaya Cinta. Nyanyian menjadi suatu yang peribadi pada diri saya yang disampaikan menerusi lagu. "Apa yang saya harapkan, bidang nyanyian saya dapat berkembang seiring lakonan. Begitu juga, saya berharap lakonan terus diterima dan filem yang dijayakan mendapat sambutan menggalakkan," katanya.

>PROFIL
NAMA: Liyana Jasmay
TARIKH LAHIR: 28 Mac 1988
USIA: 22 tahun
ASAL: Kuantan, Pahang
PENDIDIKAN: Diploma Seni Persembahan & Media, Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor
FILEM: Castello, Syaitan, Maut, Histeria, Kami The Movie, Papadom, Pisau Cukur, Duhai Si Pari Pari, Niang Rapik The Movie, Khurafat, Tolong Awek Aku Pontianak dan Senjakala.
DRAMA: Laila Sari, Zeti & Mawas, Ponti Anak Remaja, Niang Rapik The Series, Najwa, Sari Maya dan Kapoww The Series.
ALBUM (EP): Liyana Jasmay
PENCAPAIAN: Aktres Terbaik, Anugerah Skrin 2009 (ASK2009); Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-22, Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2009) dan Best On Screen Chemistry (Shout! Awards, 2010)

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Menggilap bakat muda

Posted: 08 Dec 2010 05:00 AM PST

SESUAI dengan pepatah, Melentur buluh biarlah dari rebungnya, usaha murni dicetuskan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mewujudkan Permata Negara berjaya mendidik dan mencungkil bakat terpendam kanak-kanak dalam bidang seni.

Memfokuskan tiga bidang seni iaitu tarian, koir dan muzik, kanak-kanak ini bukan saja dibimbing mengikut kelas yang disediakan, malah mereka juga mendapat tunjuk ajar daripada tenaga pengajar profesional dalam dan luar negara.


Sejajar dengan usaha kerajaan mentransformasi negara ke arah memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan unggul, hala tuju program ini semakin berkembang apabila kanak-kanak berbakat besar ini diberi peluang mengadakan persembahan bertaraf konsert.

Dikenali Konsert Permata Seni, persembahan julung kali ini bakal dijayakan 174 kanak-kanak daripada tiga bidang seni berbeza. Menariknya, kanak-kanak Permata Seni Tari dan Koir berusia antara enam hingga 12 tahun manakala Permata Seni Muzik dari tujuh hingga 15 tahun, mendapat latihan secara intensif menerusi kem latihan yang dijalankan di sini termasuk Singapura.


Konsert selama 90 minit ini akan diadakan selama dua hari di Panggung Seni, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur bermula 14 Disember ini. Persembahan yang membawa tema Menggilap bakat muda, menyerlah rentak bangsa, menggabungkan tiga segmen iaitu tarian, koir dan muzik.


Rosmah berkata, pencapaian kanak-kanak ini dalam tiga bidang seni berkenaan menjadi kebanggaan pada semua yang memperlihat bakat mereka dipertontonkan pada khalayak.

"Memang menjadi hasrat Permata Negara mahu membawa persembahan mereka ke peringkat antarabangsa. Mungkin konsert ini dapat dijadikan acara tahunan pada masa depan.


"Untuk persembahan pada hari pertama, ia terbuka pada orang ramai manakala persembahan hari kedua akan dihadiri tetamu jemputan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menteri Kabinet, wakil kedutaan dan badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Antara jenis tarian yang dipersembahkan adalah Ketam Bangkang, Zapin Hujung Madini, Tanglung, Etnik Borneo dan masyarakat India. Persembahan koir pula yang dibimbing pengarah vokal, Syafinaz Selamat menampilkan lima seleksi lagu seperti Buih Sabun, Kain Pelekat, Tepuk Amai-Amai, One Song dan When The Saints Go Marching In.


Untuk persembahan Permata Seni Muzik bersama konduktor Orkestra Simfoni Kebangsaan, Mustapha Fuzer Nawi, merangkumi empat susunan lagu iaitu Bach: Concerto For 2 Violins, Vivaldi: Concerto For 4 Violins, piano solo klasikal dan electone secara medley lagu-lagu Malaysia. Kemuncak persembahan pula menyaksikan gabungan ketiga-tiga kumpulan Permata Seni mendendangkan medley lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee.


Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani berkata, persembahan ini membuktikan program yang dirancang isteri Perdana Menteri itu memberi impak kepada penonton khususnya kanak-kanak yang mempunyai bakat semula jadi.


"Usaha seperti ini tidak pernah dilakukan pihak lain yang percaya pada bakat kanak-kanak yang mempunyai kemampuan luar biasa terhadap bidang seni.


"Sebenarnya, ada bakat kanak-kanak ini yang menandingi golongan dewasa seperti Tengku Ahmad Irfan Tengku Ahmad Shahrizal yang turut menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa.


"Dalam persembahan ini juga menyaksikan ada kanak-kanak yang meminati lagu klasik. Ini suatu yang jarang kita dengar.


"Apa yang jelas, pembabitan kanak-kanak dalam bidang seni ini adalah pendedahan awal daripada ibu bapa yang mengambil berat pendidikan anak mereka.


"Bagi IB, kami sentiasa menyokong usaha dan aktiviti yang dijalankan di bawah Permata Negara. Pihak IB juga berharap persembahan ini dapat dijadikan acara tahunan.


"Jika benar, ia akan menjadi acara yang ditunggu ramai, malah memberi peluang terhadap usaha mencungkil lebih ramai bakat baru pada masa akan datang," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.