Adsense

Khamis, 9 Disember 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Mahu berehat

Posted: 08 Dec 2010 06:54 AM PST

Hip

pix_gal0
Rindu berlakon diketepikan, nekad tumpukan bidang baru

HASRAT mengadakan sesi fotografi bersama Ummie Nazeera iaitu antara pelakon utama untuk filem Hantu Kak Limah Balik Rumah tidak kesampaian. Pelawaan Hip ditolak secara baik oleh gadis ini yang kebetulan pulang ke tanah air selama tiga bulan menghabiskan cuti semester daripada pengajiannya di Australia.

Katanya, dalam perbualan menerusi telefon, dia baru saja menamatkan kursus persediaan selama setahun sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah pada Februari nanti, juga di tempat yang sama iaitu Royal Melbourne Institute of Technology di Australia. Justeru, dia memerlukan sedikit ruang untuk bernafas.

Lagipun, rencananya sepanjang percutian ini dia mahu membantu ibunya menguruskan perniagaan. Pada waktu sama, dapatlah dia mempelajari selok belok ilmu pemasaran daripada ibunya.

Awal-awal lagi sebelum kepulangannya ke sini, Ummie nekad tidak mahu terbabit dengan sebarang aktiviti lakonan mahupun memenuhi undangan fotografi kerana mahu memberi tumpuan kepada perniagaan ibunya.

Bagaimanapun, dia akan tetap meluangkan sedikit masa untuk turut terbabit dalam sebahagian aktiviti promosi filem keduanya Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid yang menemui penonton bermula hari ini.
"Saya mahu mengambil kesempatan cuti selama tiga bulan ini untuk berehat seketika daripada sebarang aktiviti seni, kerana ingin memberikan tumpuan kepada bidang perniagaan.

"Disebabkan saya bakal menyambung pengajian di peringkat Ijazah Pemasaran pada Februari nanti, lebih elok jika saya gunakan kesempatan ini untuk belajar selok belok berkaitan pemasaran daripada mama.

"Keputusan untuk menolong mama dan berehat seketika daripada dunia lakonan adalah pilihan saya, bukan atas desakan sesiapa. Memanglah rindu juga pada bidang lakonan tetapi saya harus memberikan keutamaan kepada perkara yang lebih penting. Saya sudah mula bekerja sejak beberapa hari kembali dari Australia, dan sepanjang bekerja dengan mama, saya akan mengikut dia berjumpa dengan pelanggan.

"Dengan cara itu, dapatlah saya belajar cara mama berurusan serta berkomunikasi dengan pelanggan," kata Ummie yang kali pertama berlakon di bawah arahan Mamat Khalid.

Gadis berusia 20 tahun yang mula terbabit dalam dunia lakonan sejak usia 16 tahun ini, membuka cerita, memang sudah lama dia menyimpan hasrat untuk berlakon di bawah Mamat Khalid.

Justeru, apabila tawaran itu datang kepadanya, dia tidak sanggup menolaknya. Namun begitu, Ummie mengaku, dia tetap melihat kepada skrip dan jalan cerita sebelum menerima filem terbitan Tayangan Unggul itu.

Bekerja di bawah Mamat Khalid memberi pengalaman baru kepada Ummie. Dia mengakui pada mulanya agak segan dan kekok dengan Mamat, tetapi selepas duduk berbincang dengan pengarah berkenaan, dirinya semakin selesa apatah lagi dengan sikap gila-gila sutradara berkenaan.

Malu, kekok dengan Mamat dan Awie

SELAIN Mamat, Ummie juga pada mulanya malu apabila terpaksa berlakon di samping Awie kerana pengalaman serta nama besar yang dimiliki pelakon serta penyanyi itu.

Namun Awie juga ternyata seorang yang baik dan tidak lokek berkongsi ilmu.

"Saya mengaku segan pada mulanya apabila pertama kali bergandingan dengan Awie, tetapi selepas bekerja dengannya, ternyata Awie seorang yang mudah untuk didekati. Dia juga suka menolong menyebabkan saya berasa selesa untuk bekerja dengannya.

"Begitu juga dengan abang Mamat. Mula-mula memang rasa segan dan kekok.
Bagaimanapun selepas duduk berbincang dengannya mengenai gaya lakonan saya, ternyata abang Mamat seorang yang gemar memberi semangat. Karakter dia yang gila-gila juga menyebabkan perasaan malu saya hilang," katanya.

Bercerita mengenai watak Che Nin, watak berkenaan tidaklah besar tetapi Ummie perlu membawa karakter seorang wanita yang sangat lemah lembut serta terlalu mengagungkan cintanya. Che Nin perlu banyak bermain dengan emosi bagi menunjukkan cinta agungnya terhadap bekas tunangnya Hussein (lakonan Awie).

Kebetulan menyentuh mengenai cinta, soalan berkaitan cinta tidak mahu terlepas daripada diajukan. Khabar angin bertiup mengatakan Ummie kini sedang bermain cinta dengan seorang jejaka yang bertugas di sebuah stesen televisyen.
Difahamkan, jejaka berkenaan kerap berulang alik dari Malaysia ke Melbourne semata-mata untuk bertemu dengannya.

Soalan itu disambut dengan derai ketawa oleh gadis berkulit hitam manis ini sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai mengarut.

Katanya, tumpuannya kini adalah pada pelajaran namun dia tidak pernah membataskan dirinya untuk berkawan dengan sesiapa saja.

"Saya berkawan dengan sesiapa saja, manakala dakwaan mengatakan teman lelaki saya datang menjenguk saya di Melbourne tidak benar. Saya mempunyai ramai kawan dan sepanjang setahun berada di sini, sudah ramai rakan-rakan yang datang menjenguk. Setakat ini saya mahu memberikan tumpuan kepada pelajaran terlebih dulu," katanya.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Kualiti bertaraf dunia

Posted: 08 Dec 2010 06:46 AM PST

Hip

FINAS tingkatkan kepakaran studio pos produksi Digital Mix Stage demi keperluan industri perfileman

HASIL dan kualiti studio pos produksi, Digital Mix Stage di Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) bukanlah sekadar cakap-cakap kosong saja.

Selagi tidak dicuba terlebih dahulu, selama itulah bermacam-macam tanggapan dan kesimpulan wujud dalam pemikiran beberapa karyawan filem kita. Bagaimanapun, Ahmad Idham membuktikan kemudahan dalam Digital Mix Stage di FINAS tidak menghampakan sama sekali. Kualiti dan kemahiran dalam menghasilkan produk bermutu itu terbukti menerusi menerusi filem terbaru arahannya Senjakala.

Hasil audio dalam filem terbitan Excellent Pictures Sdn Bhd, itu dijadikan kajian kes oleh pihak Lembaga Perbadanan FINAS setelah ada ura-ura cadangan penswastaan studio berkenaan baru-baru ini.

Melalui kajian ini, membuktikan bahawa studio Digital Mix Stage ini mampu berdaya saing di bawah pengurusan sedia ada selain memperlihatkan kualiti adunan yang dihasilkan mencapai piawaian tertinggi industri.

Pengerusi FINAS, Datuk Mohammed M Daud ketika ditemui berkata, beliau berpuas hati dengan hasil produk yang dihasilkan sepenuhnya di Digital Mix Stage.
"Ia membuktikan, kemudahan dan tenaga kerja di sini (FINAS) dapat memenuhi keperluan industri perfileman tempatan," katanya yang ditemui selepas sesi tayangan tertutup filem Senjakala di sebuah pawagam di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau juga ditanya mengenai masalah yang dihadapi oleh studio berkenaan hingga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, menerima cadangan untuk menswastakan studio bernilai RM53 juta ini.

"Antara masalah yang kita hadapi sebelum ini berkaitan slot (masa menyiapkan proses adunan) selain ketidakpercayaan kepada tenaga kerja sedia ada. Masalah ini di atasi dengan pihak Digital Mix Stage menyediakan tiga slot yang beroperasi 24 jam sehari selain tenaga kerja dihantar ke luar negara seperti ke Amerika Syarikat dan New Zealand, dalam mempertingkatkan kemahiran dalam proses ini.

"Ramai pembikin filem tempatan, tidak tahu kemudahan di Digital Mix Stage menawarkan perkhidmatan pada harga berpatutan," katanya.

Studio berkeluasan 2,396 meter persegi ini menyediakan kemudahan adunan bunyi bertaraf Dolby, dengan proses adunan audio (audio dubbing)' 'foley,' dan 'optical sound' setempat yang pertama di Malaysia.

Studio Digital Mix Stage juga turut diiktiraf sebagai antara 13 studio terbaik di dunia dan pertama di Asia Tenggara. Selain itu, Digital Mix Stage ini dikategorikan dalam kelas 'Premier' yang satu-satunya di rantau ini, selain Australia.

Bagi Ahmad Idham, dia cukup berpuas hati dengan hasil kerja dari studio ini. Baginya yang pernah menjalani proses adunan bunyi di luar negara untuk filem terdahulu menambah, selain dapat menjimatkan kos pos produksi secara keseluruhan ia juga memberikan hasil terbaik.

"Penasihat Dolby Digital, Bruce Emery sendiri memberitahu kepada saya yang hasil kerja anak tempatan ini boleh dibanggakan kerana ia setaraf hasil studio terbaik yang berada di Australia.

"Ini satu penghargaan kepada tenaga kerja studio Digital Mix Stage khasnya dan produksi Senjakala kerana ia pengiktirafan yang mampu menarik minat syarikat produksi tempatan mahu pun luar negara untuk menggunakan kemudahan yang disediakan di studio ini," katanya.

Dalam pada itu, ramai penggiat juga pembikin filem, terutamanya dari studio persendirian sering menjalankan proses adunan bunyi secara dalaman, seperti proses 'foley' yang mengambil contoh bunyi dari dalam cakera padat berbanding menjalankan proses berkenaan secara nyata di studio 'foley' yang ada di studio Digital Mix Stage di Finas.

Proses ini dilihat tidak penting kerana beranggapan penonton tidak terlalu mementingkan kualiti bunyi perincian, sehinggakan proses yang dilakukan tidak menepati piawaian industri filem antarabangsa.

Penyelia bunyi dan adunan di Studio Digital Mix Stage, Azriddin Hamzah berkata, menerusi kemudahan yang disediakan oleh FINAS itu, ia sepatutnya menghasilkan adunan terbaik bagi sesebuah filem.

"Dengan adunan terbaik, filem yang dihasilkan dari studio Digital Mix Stage Finas ini mampu memenuhi keperluan pawagam tempatan yang menyediakan sekurang-kurangnya sistem audio bertaraf Dolby.

"Ini memberikan kesan terbaik, terutamanya kepada penonton. Selain itu, filem tempatan juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa dari aspek teknikal," terang Azriddin yang menyelaras sistem audio Dolby bagi 'Senjakala.'

Ketika ini, kebanyakan pengarah atau penerbit filem menghasilkan proses pengadunan bunyi dan kesan khas muzik di Bangkok, Thailand juga Mumbai di India.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.