Adsense

Isnin, 29 November 2010

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Merungkai misteri Eman

Posted:

Merungkai misteri Eman

Merungkai misteri Eman

Oleh MUZLINA ABU BAKAR
muzlina.bakar@utusan.com.my
Gambar JEFFRI IRAN


WALAUPUN usianya sudah mencecah separuh abad, Eman Manan sentiasa menjaga penampilan dirinya.


KEBANYAKAN daripada kita barangkali terlupa, aktor yang saya temui baru-baru ini pernah melalui zaman kegemilangan yang bukan kecil.

Pastinya ada juga yang terlepas pandang dengan pelakon ini dengan membuat pelbagai tafsiran yang tidak tepat mengenainya hanya kerana tidak pernah mengenalinya dengan dekat.

Lantas kerana terjemahan segelintir pihak yang bersumberkan akal yang dangkal menjadikan dia dilupakan dan dipinggirkan.

Apa salah Eman Manan kalau dia mahu menjadi pelakon yang pemilih?

Di mana kesilapan Eman yang lebih selesa menjalani kehidupan yang jauh daripada arus populariti, tidak memandu kenderaan mewah, tidak menggatal dengan aktres-aktres muda yang cantik dan seksi?

Kita mudah menjatuhkan hukuman. Itu sifat orang kita (maaf kalau pandangan ini kurang disenangi).

Hakikatnya, hero Melayu yang pernah dipuja ramai ini sudah lali dengan pandangan kurang elok sesetengah orang padanya.

Pertemuan dengan Eman atau nama sebenarnya, Abd. Manan Embong baru-baru ini merungkai banyak persoalan yang sudah lama bersarang di fikiran.

Pada pertemuan yang berlangsung cukup santai itu, Eman menjawab dakwaan dia seorang pelakon yang kental egonya.

Memberanikan diri, kepada Eman saya meminta dia menjawab juga isu kononnya dia pernah dimasukkan ke Pusat Serenti kerana pengambilan dadah.

Tidak ketinggalan, persoalan mengenai alam perkahwinan serta dakwaan kononnya dia 'artis miskin' turut dijawab oleh Eman.

Saya gembira kerana semua soalan itu dijawab oleh Eman dengan rasa terbuka dan tanpa perlu menjadi artis hipokrit atau plastik!

Sebagai seniman, Eman mengakui, apa saja peluang lakonan yang diterima semuanya bersandarkan kepada keinginannya berteraskan elemen realisme.

Eman tidak gemar dengan kepura-puraan dan kerana itu dia tidak akan berlakon naskhah yang tidak masuk akal.

Pendek kata, dia rela menolak tawaran jika skripnya tidak menepati piawaiannya.

Anak seni yang berasal dari Terengganu ini mengakui, dia sanggup hidup susah kerana enggan 'menggadai' bakat lakonannya hanya semata-mata memenuhi tuntutan kehidupan yang memerlukan duit.

Berpegang pada prinsip itulah menyebabkan timbul cerita-cerita kurang manis yang sering sampai ke telinga wartawan.

Apabila tiada tawaran berlakon, tiada duit. Lalu, kesimpulan yang dibuat kepada Eman oleh mereka yang kurang senang dengan prinsip seni seniman itu ialah, dia 'artis miskin'.

Apa lagi, Eman tidak memandu dan sering menumpang kawan-kawan.

Realiti pada senario ini berbalik pada sikapnya yang tidak suka berpura-pura.

Kata Eman, mengapa dia harus memikul beban kalau tidak mampu untuk memiliki semua perkara itu.

Bahkan, andai dalam poketnya hanya ada sejumlah wang hanya sekadar untuk menampung keperluan harian dia sudah bersyukur.

"Baru semalam saya menolak tiga tawaran berlakon daripada tiga produksi yang berlainan. Saya bukan ego tetapi dalam usia begini saya rasa perlu memilih kerana buat masa ini duit bukanlah segala-galanya.

"Saya lebih mementingkan kepuasan dalam berlakon. Sebab itu apabila membaca skrip yang klise, biarpun tawarannya tinggi menggunung saya sanggup menolaknya," jujur Eman berkongsi caranya 'berurusniaga' dengan tauke drama atau filem.

Kata Eman lagi, dia tidak pernah ambil peduli kalau ada produser melabelkannya sebagai pelakon yang ego tidak bertempat kerana enggan menjadi hamba kepada duit semata-mata.

"Saya suka berlakon dengan naskhah yang manis dan apabila divisualkan ia nampak lebih manis.

"Naskhah yang manis ialah naskhah yang ada jiwa di dalamnya, naskhah yang ada emosi, naskhah yang kaya dengan budayanya.

"Jika saya menerima tawaran daripada sesebuah syarikat penerbitan soalan pertama saya bukan berapa mereka mahu membayar saya.

"Tetapi saya akan bertanya kepada pereka naskhah siapa dan setelah saya membaca naskhah itu saya akan berikan kata setuju atau tidak.

"Biarlah saya hanya muncul setahun tiga empat drama yang penting ia meninggalkan kesan di hati para penonton," akui Eman Manan.

Lantaran pendiriannya itu, pembaca tidak perlu terkejut jika Eman memberitahu, sepanjang 29 tahun bergelar anak seni, dia hanya membintangi tidak sampai 100 drama televisyen.


MENERUSI filem Bintang Malam, Eman Manan dianugerahkan trofi Pelakon Lelaki Terbaik.
Di sebelahnya, aktres Deanna Yusoff yang memenangi kategori wanita menerusi filem Selubung.


Jumlah filem lakonannya pula hanyalah 15 buah.

Bagi seorang pelakon hebat yang beberapa kali ditabalkan sebagai pelakon terbaik negara, jumlah lakonannya amat kecil berbanding 'budak-budak baru' dalam gelanggang filem.

Kerana kurang berlakon, maka benarlah Eman tidak punya wang yang banyak dalam akaunnya?

Disebabkan 'kesempitan' itu juga, Eman tidak mampu memiliki kereta?

"Memang betul. Suatu ketika saya tidak punya kereta kerana saya tidak ada wang untuk semua itu. Wang yang saya miliki hanya untuk menampung keperluan harian saya.

"Tapi semua itu tidak meninggalkan kudis bagi saya. Biarlah apa pandangan orang kerana bagi saya bekerja dengan bakat yang saya miliki.

"Biarlah saya tidak kaya dengan material, memadai dengan bakat yang saya miliki, jiwa saya tenang," Eman menyuarakan suara hatinya.

Bukan penagih dadah

SEINGAT saya, kira-kira 10 tahun lalu, tersebar luas berita di kalangan peminat dan media kononnya juga Eman seorang artis yang terlibat dalam najis dadah.

Lebih membuatkan ramai yang mudah terpengaruh dengan cerita itu ialah, ada orang dalam industri hiburan yang pernah melihat Eman dimasukkan ke Pusat Serenti untuk dipulihkan.

Eman yang pada mulanya ketawa mendengar persoalan itu, tiba-tiba terdiam dan berfikir panjang sebelum menjawab dengan penuh tegas.

"Bukan anda sahaja yang mendengar mengenai cerita itu, saya juga. Macam-macam versi mengenai saya, dadah dan Pusat Serenti.

"Saya sendiri tidak tahu dari mana puncanya. Banyak sangat Pusat Serenti yang menjadi tempat saya. Ada yang kata saya ditempat di Pusat Serenti Bukit Mertajam, Pahang dan Terengganu.

"Ketika gosip itu heboh, sebenarnya saya tinggal di Terengganu menjaga arwah ayah saya yang sakit. Setiap hari saya akan mendukung arwah ayah untuk bawa dia melihat kawasan kebunnya.

"Tetapi siapalah saya untuk menutup mulut mereka yang menyebarkan fitnah ini. Saya hanya manusia biasa yang tidak punya kuasa untuk melakukan itu.

"Saya berpegang kepada prinsip dan apakah kerana satu fitnah saya harus tumbang?" tegasnya sambil memberi ingatan kepada penyebar berita palsu supaya menghentikan kerja bodoh itu.

Menurut Eman, walaupun menyedari dia tidak mampu menghentikan fitnah yang disebarkan namun ia menerima semuanya dengan hati terbuka.

Namun sesuatu yang tidak dapat dilupakan kerana fitnah itu juga, periuk nasinya hampir terjejas teruk.

"Sewaktu fitnah itu bermula, saya ditawarkan oleh sebuah syarikat penerbitan untuk membintangi drama 52 episod untuk sebuah stesen televisyen. Namun apabila nama saya disenaraikan stesen itu menolaknya.

"Bayangkan ketika itu, saya tidak berduit walapun saya amat memerlukan wang ketika itu. Namun saya tidak mampu melawan takdir.

"Bukan itu sahaja, malah selepas itu ketika saya sedang menjalani penggambaran drama saya juga hampir ditendang daripada produksi itu namun kebenaran mengatasi segala-galanya," cerita Eman berkongsi kesengsaraan yang pernah dilaluinya.

Bagi Eman, walaupun gosip itu hampir menutup periuk nasinya, dia tidak pernah menyesal apalagi mencari punca cerita untuk mendakwa mereka yang menyebarkannya.

"Itu semua kerja Tuhan. Biarlah ia berlalu. Saya tidak mahu mencari siapa salah kerana kebenaran membuktikan segala-galanya," kata Eman sambil tersenyum penuh makna.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Hanya Ogy isteri saya

Posted:

Hanya Ogy isteri saya

Hanya Ogy isteri saya

SEPERTI disebut di awal artikel, pada pertemuan itu, saya juga bertanya pada Eman mengenai kehidupan peribadinya, lebih tepat mengenai alam rumah tangganya.

Pada 23 Disember 1990, perkahwinan Eman dengan primadona, Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) mendapat liputan meluas daripada media.

Ini kerana, pasangan itu memilih untuk bernikah ketika masing-masing berada di puncak kerjaya mereka.

Doa peminat dan masyarakat, perkahwinan pasangan anak seni itu kekal hingga ke akhir hayat.

Namun, siapa kita untuk melawan ketentuan Ilahi. Rumah tangga Eman dan Ogy dilanda masalah selepas lebih sedekad mereka hidup bersama sebagai suami isteri.

Barangkali, kedua-duanya juga tidak pernah menyangka, impian kasih dan cinta mereka musnah di pertengahan jalan.

Mahligai cinta yang dibina atas dasar cinta hanya bertahan selama 12 tahun, enam bulan dan lapan hari apabila. Eman melafazkan cerai pada 2 Julai 2003 di Mahkamah Syariah, Kuala Lumpur.

Sejak perceraian itu, tidak pernah terdengar gosip cinta sama ada Eman ataupun Ogy. Apa yang pasti masing-masing hingga kini melayari hidup sendirian tanpa mencari pengganti.

Kini setelah tujuh tahun mereka bercerai, apa yang mengejutkan bukan gosip cinta baru mereka menjadi perhatian, sebaliknya timbul pula cerita kononnya Eman pernah menikahi perempuan lain sebelum Ogy.

Khabar itu pernah sampai ke telinga media sebelum Eman dan Ogy berkahwin.

Eman didakwa pernah menikahi seorang wanita di negeri kelahirannya sebelum popular sebagai pelakon. Hasil perkahwinan pertama itu juga, Eman khabarnya memiliki cahaya mata.

Bukan itu sahaja, kononnya Eman menceraikan isterinya ketika mahu menikahi Ogy demi membina sebuah mahligai cinta bersama pelakon popular itu.

Bimbang hati Eman akan terusik kerana ditanya soalan yang sensitif seperti itu, namun reaksi Eman selepas mendengar soalan itu membuatkan saya kembali tenang.

"Saya pernah bernikah dan mempunyai anak sebelum berkahwin dengan Ogy? Karut! Kalau betul saya ada anak, saya amat bersyukur, tetapi semua itu fitnah.

"Saya tidak pernah menikahi perempuan lain selain Fauziah Ahmad Daud. Dialah satu-satunya isteri saya tapi sayang sekali jodoh kami tidak panjang," Eman menjawab sambil sesekali menghela nafas yang panjang.

Menerima perceraian itu sebagai takdir, prinsip Eman tidak berganjak sejak dari hari pertama berpisah secara rasmi dengan Ogy iaitu tidak akan berkongsi masalah yang membawa kepada perpisahan itu.

Bahkan, Eman tidak pula berpendapat, perceraian itu menjadi punca kenapa dia tidak mengambil keputusan untuk menamatkan zaman dudanya.

"Saya terima segala takdir yang ditentukan dalam hidup saya. Tetapi satu yang saya pegang walau apapun yang terjadi antara saya dengan Ogy saya tidak akan bercerita pada sesiapa.

"Apa yang pasti selepas perceraian itu hati saya belum terbuka untuk wanita lain, bukan saya serik untuk berkahwin tetapi jodoh belum ada.

"Bukan sahaja peminat yang bertanya malah adik beradik saya juga ingin tahu tetapi tiada jawapan yang boleh saya berikan.

"Saya adalah seorang lelaki yang bangga kalau ada isteri. Namun kerana waktu yang begitu terhad dan kerja saya terlupa yang saya hidup sendirian.

"Cuma kadangkala apabila terjaga di tengah malam saya dan melihat di sebelah saya tiada sesiapa, barulah saya teringat yang saya belum ada isteri," cerita Eman Manan sambil ketawa.

Bagi Eman, walaupun perkahwinan pertamanya dengan Ogy hanya separuh jalan, namun ia tidak membataskan jodohnya pada masa depan.

"Saya tidak pernah serik untuk berkahwin lagi apalagi jika ditakdirkan jodoh dengan artis. Saya serahkan segala-galanya pada takdir," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.