Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Transformasi Remy IshakBERTALI arus dia dijadikan pokok kalimat dan setiap frasa menjadi takrifan prinsip pada setiap garis di wajah serta sosok tubuhnya. Dia sering dibayangi warna-warna subjektif. Dia juga tidak bermula sebagai Adam Nur Kasih yang mencetuskan fenomena, sebaliknya kisah jejaka kampung bernama Mohammad Zalimei Ishak itu bermula ketika kali pertama memperdagangkan nasib datang ke kota, hampir sepuluh tahun lalu. Bertukar sisinya, dia menumpang tuah sebagai insan seni bernama Remy Ishak. Berpijak pula di landai pesisir sinema Malaysia, tanpa mahunya banyak kerikil tajam yang harus diinjak. Baru tiga tahun aktif, namanya memuncak dalam dua dimensi. Dikategorikan sukses di lapangan karier, dia juga hangat dibumbui sensasi. Ibaratnya, dia berumah di birai kontroversi. Itulah Remy, 28, lelaki 'hangat' seperti yang pernah diusik media. Melamarnya sebagai pengisi portfolio kali ini, dia tetap diusik lagi. Kononnya kontroversi-kontroversi yang menyusul tanpa diundang sebelum ini menjadikannya popular lebih pantas. Menujah emosi lelakinya, akurkah dia dengan persoalan itu, begini tafsir Remy: "Itu hanya pandangan orang. Secara peribadi, saya sendiri tidak pernah terdetik memikirkan hal itu. Demi Tuhan, saya tidak terdetik untuk dipopularkan oleh kontroversi. "Rasanya hanya kerja yang bagus dan kualiti daripada kerja itu sahaja yang akan buat seseorang pelakon itu termasuklah saya untuk jadi 'panas'. Itu yang cuba saya pertahankan dan buktikan. Bagaimanapun, saya juga tidak boleh lari daripada warna-warna lain. Gosip sememangnya sudah sebati dengan dunia hiburan, ibarat irama dan lagu yang tak boleh dipisahkan. "Saya tidak pernah terfikir sampai ke tahap bahawa gosip dan kontroversi boleh menaikkan seseorang artis dan saya tidak suka dilabelkan begitu. Apa lagi yang boleh saya lakukan, saya kena terima juga kerana walau sekuat mana saya cuba pertahankan, ia tetap datang," getusnya sedikit terheret oleh naluri. Tidak perlulah dicondongkan semula terhadap sumbu-sumbu yang pernah memanaskan namanya. Cukuplah sekadar dibiaskan sedikit, lelaki tegap berusia berusia 28 tahun itu pernah terheret bersama kisah Ummi Nazeera, Maya Karin serta Tiz Zaqyah. Namun, dalam waktu yang sama, dia pantas mengejar waktu. Tempoh tiga tahun yang dilalui selepas watak kecil menerusi Anak Halal, Remy kini setanding angkatan senior seperti Farid Kamil, Adi Putra, Fizz Fairuz, Bront Palarae, Zul Huzaimy atau Aaron Aziz. Profilnya pula terisi oleh drama-drama yang masih diingatan. Dua buah filem baru, Cun dan Nur Kasih pula menunggu hari ke pawagam. Teater Natrah yang barangkali menjadi teater paling kontroversi pula sedang berkampung di Istana Budaya dari 25 November hingga 5 Disember nanti.
Memerhatikan anak kelahiran negeri adat pepatih itu 'membesar' di alam seni, transformasi dijananya nyata, bukan sedikit. "Rasanya perkembangan saya agak pantas. Saya teringatkan kata seorang aktor senior. Masa itu saya hanya pelakon tambahan, katanya, bukan senang untuk dia berada di tahap yang dimiliki. Dia ambil masa lima tahun untuk berada di situ. "Saya sukakan cabaran dan saya cabar diri sendiri. Kalau aktor itu boleh buat dalam tempoh lima tahun, saya juga boleh dan mahu lebih cepat daripadanya," katanya yang kerap terinspirasi oleh percakapan sekeliling. "Ini semua berkat kecekalan dan kerja keras. Sebelum ini ada orang kata saya tidak boleh bawa watak jahat, sebab muka saya baik, begitu juga dengan watak komedi. Pilihan-pilihan yang saya putuskan rasanya berbaloi. Menyelitkan perbandingan, jentera yang dipecut laju mudah tersasar daripada laluan atau terhumban dek kelajuan yang tidak selari, respons Remy pula, jika langkah sudah dihayun, hati dan jiwa jadi satu manakala akal pula berdiri jadi pedoman. Skeptikal tentang zaman kejatuhan atau bahaya di depan, dibuangnya jauh-jauh. "Bulat hati saya adalah untuk sukses dalam kehidupan. Saya buangkan jauh-jauh fikiran yang mendorong kepada kejatuhan. "Tetapi, andai kata nasib tidak menyebelahi, saya tetap bersedia," optimis Remy. Mengisi bicara bersamanya juga, penulis mengungkit soal hipokrasi dan pembawaan diri sebagai selebriti. Katanya, berdiri di posisi ini, tidak salah jika dia semakin berhati-hati mencanai karakter. "Dalamannya saya masih Remy seperti yang dikenali dulu, cuma peningkatan usia serta pergaulan mematangkan saya. Saya cuba menjadi seorang lebih baik dan cuba menjaga pandangan orang. Tapi itu bukan bermakna saya seorang yang plastik atau talam dua muka. Itulah yang didefinisikan sebagai hipokrit," tuturnya sambil mengistilahkan pengalaman sebagai guru. Duta pertama Dashing Tiga tahun dalam industri juga, gelaran Pelakon TV Lelaki Popular sudah digenggaman, dan dari situ juga peluang yang diraih semakin ketara. Remy melakar sejarah peribadi apabila diumumkan sebagai duta produk Dashing. Remy merupakan wajah sulung jenama Dashing For Men sejak lebih 20 tahun produk penjagaan diri buatan Malaysia itu berada di pasaran.
Mengakui akrab dengan penggunaan produk Dashing sejak remaja, pelantikannya sebagai jurucakap jenama berkenaan menandakan penerimaan dan penghargaan besar buatnya. "Ini kali pertama saya dipilih sebagai duta produk. Imej Dashing yang muncul dengan slogan Kemuncak Keyakinan itu sealiran dengan diri saya. Ia berkembang dan berdepan transformasi untuk bersaing dengan produk lain. "Saya lihat Dashing sudah mula meneroka wangian baru, imej baru yang sesuai dengan cita rasa lelaki moden. Itu yang membuatkan ia dekat dengan saya," jelasnya yang akan terlibat dengan sesi jelajah memperkenalkan empat pewangi semburan Dashing iaitu Active, Speed, Cool dan Style. Barajiwa Mansor Adabi Pada penghujung tahun ini, aktor yang bernaung bawah bumbung Satu Entertainment itu meletakkan fokusnya terhadap dua komitmen, satunya sedang terzahir menerusi watak pencinta Natrah, Mansor Adabi dan keduanya, Firman Mustakim, untuk filem aksi terbaru karya Osman Ali, Barajiwa. Kali kedua beraksi sebagai pelakon teater, kata Remy, Mansor Adabi kali ini bertambah menarik untuk disaksikan. Bukan semata-mata kerana cinta terhadap Natrah lakonan Maya Karin sahaja kembali yang berputik tetapi kerana pengisian watak Mansor itu sendiri yang semakin divariasikan aksi yang boleh menarik pesona. "Watak saya masih sama, cuma ada sedikit perubahan, paling ketaranya, kami banyak menari kali ini," katanya tertawa kecil. Belum berani meletakkan diri sebagai pelakon teater, tetapi pengalaman memasuki musim kedua teater yang pernah disaksikan 18,000 penonton ketika musim pertama itu, dia menaruh lebih keyakinan. "Teater adalah penipuan secara terang-terangan di atas pentas, jika penonton terhibur, ia akan memberikan lebih keyakinan kepada pelakon itu sendiri," katanya sambil menyifatkan penghayatan berteater sebagai perkongsian rasa secara spontan di pentas terbuka. Berbalik kepada Barajiwa yang akan memulakan penggambaran pada 15 Disember nanti, Remy akan berganding bersama Diana Danielle, Bront Palarae, Nadia Nissa, Fizz Fairuz serta Mislina Mustafa. | ||||
Posted: Kamar bicara ArielARIEL berhadapan hukuman penjara maksimum 12 tahun jika mahkamah mendapatinya bersalah menurut undang-undang antipornografi Indonesia. TAMPIL kemas berkemeja kelabu dan berseluar hitam, Ariel Peterpan kelihatan tenang duduk di bangku ruangan menunggu sambil menghisap lima batang rokok dalam jangka masa yang pendek. Vokalis grup Peterpan itu kemudiannya ditemani peguam bela yang muncul memberi penerangan kepadanya tentang perjalanan perbicaraan kes video seks miliknya. Perbicaraan penyebaran klip video seks Nazriel Irham yang lebih popular dikenali sebagai Ariel itu berlangsung di Bandung pada Isnin lalu. Buah hatinya yang juga merupakan saksi kepada kes tersebut, Luna Maya, turut hadir bagi menunjukkan sokongannya kepada Ariel. Air mata Luna dilihat berguguran dan sebagai tanda kasihnya kepada Ariel, Luna mengucup kedua pipi Ariel sebelum kekasihnya itu dibawa masuk ke dalam mahkamah. Itu babak-babak yang berlaku sebelum sesi perbicaraan berlangsung Perjalanan kes itu mendapat liputan meluas media Indonesia, malah lebih daripada enam buah kenderaan stesen televisyen memenuhi kawasan mahkamah. Walaupun dijalankan secara tertutup, sekumpulan wartawan sabar menunggu di ruang legar mahkamah bagi mendapatkan perkembangan kes. KELIHATAN sekumpulan aktivis Islam Indonesia berkumpul untuk mendesak Ariel dijatuhkan hukuman berat. Ariel sempat meluangkan waktu seketika dan membenarkan dirinya ditemu ramah dalam kawalan ketat polis sejurus dibawa keluar daripada kenderaan pihak berkuasa itu. Sahabat Peterpan VS aktivis Islam Kelab peminat Peterpan, Sahabat Peterpan hadir membawa kain rentang menunjukkan sokongan terhadap pemuzik kesayangan mereka. Kumpulan itu turut bersama-sama menyanyikan lagu-lagu hit daripada Peterpan sambil melaung-laungkan kalimat 'Bebaskan Ariel.' Di sudut yang lain, sekumpulan aktivis Islam Indonesia kelihatan berkumpul untuk mendesak Ariel dijatuhkan hukuman berat atas dosa besar yang dilakukannya sebagai seorang Muslim. "Ariel dan Luna Maya seharusnya direjam sampai mati kerana itu merupakan hukuman buat pelaku zina," tegas seorang aktivis yang turut menyertai protes tersebut. Protes warga Malaysia Di sebalik bantahan itu, seorang warga Malaysia yang dikenali sebagai Mal Putrajaya sanggup ke Indonesia semata-mata mahu menyertai protes terhadap tindakan penyanyi tersebut yang melakukan hubungan seks luar nikah. Bapa kepada empat cahaya mata itu hadir merentang sepanduk di Penjara Kebon Waru yang menjadi lokasi Ariel ditahan. Ketika ditanya wartawan, Mal mengatakan dia tidak mahu kes Ariel diadili dengan sambil lewa. KES Ariel mendapat liputan meluas dan dia terpaksa dikawal ketat. "Saya mahu Ariel dikenakan hukuman yang setimpal di atas dosa yang dilakukannya," luahnya menyalahkan Ariel berikutan malapetaka tidak henti-henti di Indonesia termasuk letusan Gunung Merapi dan Banjir Wasior. Redjoy VS Ariel Tertuduh pertama yang didakwa menjadi dalang penyebaran klip video seks itu, Reza Rizaldy, tetap mempertahankan dirinya tidak terlibat dengan penyebaran video tersebut. Penyunting muzik yang dikenali sebagai Redjoy itu mendakwa dia langsung tidak mengetahui akan kewujudan video tersebut di dalam cakera keras mudah alih milik Ariel yang dipinjamkan kepadanya. Perbicaraan hari pertama juga melihatkan kumpulan pembelaan Ariel menyatakan mustahil untuk Ariel menyebarkan sendiri video tersebut yang ternyata akan menjerat dirinya sendiri. Tuduhan terhadap Ariel dikatakan tidak masuk akal dan peguam belanya meletakkan Ariel sebagai mangsa keadaan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |