Adsense

Rabu, 3 November 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Memang kami keluar bersama

Posted: 02 Nov 2010 07:45 AM PDT

HIDUP bergelar selebriti sering menarik perhatian khalayak. Apa jua yang dilakukan sama ada bekerja mahupun meluangkan masa untuk soal peribadi, gerak geri mereka sentiasa menjadi tumpuan.

Bagi artis popular, Maya Karin, kehidupan peribadinya turut diselongkar peminat yang ingin tahu sejauh mana kebenaran kononnya dia kembali dilamun cinta.

Jika sebelum ini Maya dilihat cukup mesra dengan Remy Ishak sejak menjayakan filem Anak Halal arahan Osman Ali tiga tahun lalu, kemesraan mereka juga terserlah apabila digandingkan sebagai pasangan menerusi teater Natrah.

Namun, belum reda kisah 'cinta' dengan jejaka kacak itu, Maya kelihatan mesra pula dengan anggota KRU, Yusry Abdul Halim. Ada peminat ternampak mereka berdua menonton wayang bersama.


Apa yang menarik, hubungan mereka dikatakan kembali terjalin selepas masing-masing kembali solo. Sebelum ini, Maya dan Yusry pernah digosipkan ketika sama-sama membintangi filem Mr Cinderella 2, tetapi ketika itu kedua-duanya masih solo, tetapi Yusry berkahwin dengan Erra Fazira pada 2003 manakala Maya bertemu jodoh dengan guru Matematik, Steven Shorthose atau nama Islamnya, Mohammad Ali pada 2008.


Tambah menguatkan lagi cerita ini apabila Maya turut hadir pada majlis kesyukuran filem Magika sempena kemenangan besar filem itu di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), di KRU Studios, Cyberjaya, baru-baru ini. Kemesraan mereka berdua ketika berbual mesra menarik perhatian wakil media yang hadir.

Apabila ditanya perkara itu, Maya yang kembali sibuk dengan latihan Natrah musim kedua menafikan ada hubungan istimewa antara mereka sebagaimana disangka ramai.

Katanya, ketika berlakon bersama Remy, ada yang bertanya jika mereka mempunyai hubungan lebih sekadar kawan. Begitu juga, apabila keluar bersama Yusry, peminat membuat tanggapan sama.

"Memang kami keluar bersama, seperti Remy, Yusry juga adalah kawan. Setakat ini saya selesa berkawan dengan mereka. Soal jodoh memang sukar diramal. Apa yang boleh saya katakan, hingga hujung tahun, saya sekadar mahu bersendirian dan menikmati zaman solo.

"Tidak semestinya keluar berdua sudah dianggap bercinta. Walaupun keluar berdua, saya juga masih tahu batas pergaulan. Setakat berjalan ke pusat beli-belah dan menonton wayang bersama, saya tidak anggap ia 'dating'.

"Buat masa ini, saya perlu masa untuk diri sendiri sambil tenangkan hati. Jika ditanya, saya tidak kisah andai jodoh menemukan saya dengan artis.

"Saya kisah dengan apa orang cakap tapi takkan saya duduk diam di rumah tanpa keluar berhibur dengan rakan-rakan. Namun, saya tetap terima pandangan peminat pada saya," katanya.

Bercerita mengenai kerjaya, Maya menyatakan latihan teater Natrah baru saja bermula. Katanya, jadualnya kembali sibuk apabila latihan selama tiga minggu pada setiap hari bermula jam 12 tengah hari hingga tengah malam.

"Saya baru mendapat skrip dan berkenalan dengan pelakon yang terbabit dalam pementasan ini. Untuk musim kedua, saya teruja untuk berlakon apatah lagi pengalaman musim pertama lalu suatu yang luar biasa.

"Untuk musim baru, saya berharap ia mampu mencetuskan fenomena sekali lagi. Saya melihat kisah Natrah begitu kuat, penting dan dekat dengan kehidupan masyarakat Melayu.

"Begitu juga, saya masih sibuk dengan rakaman program Nona. Untuk dua komitmen ini, jadual saya sudah penuh. Pada masa sama, saya juga perlu hadir promosi filem terbaru saya, Cun arahan Osman Ali dan memenuhi sesi fotografi.

"Dalam filem romantik komedi ini, saya memainkan watak Luna Latrisya, gadis bandar dan penyampai TV yang 'tercampak' ke kampung dan berkenalan dengan jejaka lakonan Remy.

"Pada saya, Remy sangat berbakat dalam lakonan dan selesa bekerjasama dengannya. Saya juga terbabit dalam satu lagi filem baru bersama Osman berjudul Ombak Rindu.

"Dalam genre drama ini, saya memainkan watak gadis kampung dan bergandingan bersama Aaron Aziz. Bagi saya, pengalaman tiga filem bersama Osman sangat berbaloi dan setiap filem mempunyai keistimewaan serta tarikan berbeza," katanya.

Untuk program Nona, Maya akui karier pengacaranya itu akan berakhir pada hujung tahun ini. Selama setahun mengacara program popular itu untuk 52 episod, dia bersedia melepaskan tanggungjawab itu kepada pengacara lain.

"Pengalaman yang ditimba memang menarik dan memenatkan. Sepanjang setahun ini, saya sudah berikan yang terbaik walaupun dikritik.

"Lakonan masih menjadi keutamaan dan saya juga akan memberi tumpuan pada nyanyian apabila album baru akan muncul di pasaran tahun depan," katanya.

Bagi Yusry, dia terbuka berkongsi kisah peribadi bersama peminat. Tanpa berselindung di sebalik hubungan persahabatan yang terjalin, dia berterus terang menceritakan perkara sebenar.

Pada Aidilfitri lalu, Yusry digosipkan mempunyai hubungan istimewa dengan anak gadis penyanyi Rohana Jalil, Shaqila. Kelibat Yusry menangkap perhatian media, tetapi akuinya, mereka bukanlah seperti yang disangka.

"Ketika itu saya hadir rumah terbukanya. Sebenarnya, ramai kru filem Karak yang lain hadir pada masa itu dan tidak timbul soal kami bercinta.

"Shaqila pernah berlakon dalam Karak yang turut dibintangi juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir selain Along Cham dan Shera Aiyob.

"Apapun cakap orang, saya tidak berkecil hati. Begitu juga, ketika saya keluar bersama Maya, kami jarang bercakap soal peribadi. Atas dasar kawan, kami tiada masalah keluar berdua depan khalayak. Kami sudah kenal lama sejak membintangi Mr Cinderella 2 (2003) dan mula rapat kembali selepas dia hidup solo.

"Saya rasakan tidak salah kami keluar berdua, tetapi tidaklah sampai berpegang tangan. Saya tidak takut dengan tekanan dan gosip yang dilemparkan.

"Dulu pun bermacam tohmahan saya terima termasuk dikatakan gay. Secara peribadi, saya senang untuk bersembang dengan Maya. Kami banyak bercerita soal kerja dan saya sendiri tidak kenal rapat dengannya. Sepanjang tiga kali bekerjasama termasuk Duyung dan Magika, saya melihat Maya mempunyai komitmen kerja yang tinggi.

"Dulu ada yang berkata dia tidak boleh berlakon, tetapi dia tidak putus asa mengasah bakat. Hingga kini, saya masih selesa hidup sendiri. Hidup saya sebenarnya lebih teratur dan saya juga mempunyai masa untuk riadah dan bersama keluarga," katanya.

Yusry kini berada di Los Angeles mempromosi filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) sempena America Film Market. Katanya, dia masih sibuk dan memberi fokus pada kerja.

Pengarah Cicak-Man itu juga tidak mahu membuat jangkaan awal pada kutipan dan sambutan HMM yang dijangka ditayangkan tahun depan. Sebaliknya, dia menyatakan mahu kepuasan dalam berkarya dan menjadi produk kebanggaan negara di pasaran antarabangsa.

PROFIL
NAMA: Maya Karin Roelcke
TARIKH LAHIR: 29 Oktober 1979
USIA: 31 tahun
ASAL: Bayreuth, Bavaria, Jerman
KERJAYA: Pelakon, penyanyi, model, pengacara
FILEM: No Problem, Pontianak Harum Sundal Malam, Pontianak Harum Sundal Malam II, Mr Cinderella 2, Tujuh Perhentian, Waris Jari Hantu, Anak Halal, 1957: Hati Malaya, Duyung, Punggok Rindukan Bulan, Pisau Cukur dan Magika.
Album: Erti Cinta dan Bukan Qalamaya
Pencapaian: Artis Baru Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001 (ABPBH2001); Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun (2004); Pelakon Terbaik Festival Filem Fantasi dan Seram Estepona, Malaga, Sepanyol (2005); Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH2005; Aktres Filem Pilihan Anugerah Oskar Ke-6; Pelakon Wanita Terbaik FFM21.

PROFIL
NAMA: Yusry Abdul Halim
TARIKH LAHIR: 15 Jun 1973
USIA: 37 Tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KARIER: Penyanyi, pelakon dan pengarah
FILEM ARAHAN: Cicak-Man, Cicak-Man 2: Planet Hitam dan Merong Mahawangsa.
LAKONAN: Awas (1995), Cinta Metropolitan (1996), Gerak Khas The Movie 2 dan Mr Cinderella (2002), Cinta Kolestrol dan Mr Cinderella 2 (2003), Kuliah Cinta dan Hingga Hujung Nyawa (2004), Lady Boss (2005), Cicakman (2006), Cicakman 2: Planet Hitam (2008) dan Rasukan Ablasa (2009).
ALBUM: Canggih (1992), Rekrued (1993), Awas (1994), Awas Da Soundtrack (1995), Oh La La dan Krumania (1997), The Way We Jam (1998), Formula Luar Biasa (1999), Tyco (2000), Empayar Krujaan (2002), Yusry (2003), Krunisme (2005) dan Di Skala Richter (2006).

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Nancie pertahankan juri

Posted: 02 Nov 2010 07:31 AM PDT

SUDAH menjadi perkara biasa setiap kali berlangsungnya Festival Filem Malaysia (FFM), pasti ada yang mempertikaikan keputusannya. Itulah komen Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Penjurian FFM23, Nancie Foo mengenai kontroversi keputusan FFM23 yang berpihak kepada filem Magika untuk Filem Terbaik dan Syamsul Yusof (Pengarah Terbaik) melalui Evolusi KL Drift 2.

Sejak dianjurkan Persatuan Penulis dan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA) pada 1981, keputusan FFM23 tahun ini disifatkan paling mengejutkan.

Tahun ini, sebanyak 29 filem bertanding iaitu Karaoke (Tanjung Aru Pictures), Woo Hoo, Lagenda Budak Setan (Astro Shaw Sdn Bhd), Muallaf (MHZ Film Sdn Bhd), Estet (Naga VXS Sdn Bhd), Kapoww (Tayangan Unggul), My Spy, Jin Notti, Magika (KRU Studios Sdn Bhd), Belukar (Preston Zaidan Production Sdn Bhd), 2 Alam (dR Movie Production Sdn Bhd, Haq (kasehDia Sdn Bhd), Evolusi KL Drift 2 (Skop Production Sdn Bhd) dan Kecoh Betul (Sri Saheb Production Sdn Bhd).

Cinta Ais Kacang (Asia Tropical Films Sdn Bhd), Andartu Terlampau 21 Hari Mencari Suami (Big Productions Sdn Bhd, Lu Fikirlah Sendiri The Movie (SDAF Pictures (M) Sdn Bhd), Pulau Asmara (Alakazam Productions Sdn Bhd), Zoo, Semerah Cinta Stilleto, V3: Samseng Jalanan, Adnan Sempit, Santau, Senario The Movie Beach Boys (MIG Production Sdn Bhd), Niyang Rapik (Excellent Pictures Sdn Bhd), Dua Hati Satu Jiwa, Hooperz (Primeworks Studios Sdn Bhd), Pisau Cukur (Red Films Sdn Bhd) dan Duhai Si Pari Pari (Tayangan Unggul Sdn Bhd).


Kejayaan Magika dipersoalkan kerana tiada kejayaan sokongan untuk diangkat menjadi Filem Terbaik seperti Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik atau Pelakon Lelaki/ Wanita Terbaik, sebaliknya menang Pengarah Harapan, Pelakon Kanak-kanak Terbaik, Busana Terbaik, Lagu Tema Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik


Syamsul pula dianggap masih muda dan terlalu awal diangkat Pengarah Terbaik hanya melalui filem ketiga dan karyanya dilihat lebih condong kepada filem aksi Hollywood yang sedia ada seperti Tokyo Drift dan Too Fast Too Furious. Kejayaan lain filem itu ialah melalui Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Penyunting Terbaik.

Secara tidak langsung, kreadibiliti lima juri diketuai Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin turut dipertikaikan. Juri lain adalah Panchacharam (Panshah), Dr Naim Ahmad, Kamarudin Abu dan Akmal Abdullah.

Juri dikatakan lebih kepada membahagi-bahagikan kejayaan sama rata kepada calon tertentu apabila Sinematografi Terbaik diberikan kepada Niyang Rapik, Lakon Layar Terbaik (Haq), Pelakon Lelaki Terbaik (Belukar) dan Pelakon Wanita Terbaik (Lagenda Budak Setan).

Mengulas perkara itu, Nancie mempertahankan barisan juri yang dipilih. Secara peribadi, katanya, tiada apa yang perlu dipersoalkan kerana juri ada alasan kukuh dan keputusan juri adalah muktamad.

"Juri juga sudah diberi garis panduan apa yang dicari setiap tahun tetapi keputusan terakhir tertakluk kepada mereka. Sebagai pengerusi, saya hormati pilihan mereka bermula dengan senarai Top 5 hinggalah keputusan akhir.

"Pemilihan barisan juri juga daripada pelbagai bidang dan latar belakang. Tan Sri Kamarul Ariffin dipilih sebagai ketua juri kerana kredibilitinya sebagai tokoh perfileman, pernah menerbitkan filem dan juga bekas pemimpin Persatuan pengeluar Filem Malaysia (PFM). Beliau juga pengasas Dasar Perfileman Negara dan masih mengikuti perkembangan filem semasa.

"Panshah pula adalah pengarah, produser dan pelakon. Dia berpengalaman sebagai juri di festival tempatan dan luar negara, beberapa kali dilantik sebagai juri Festival Filem Asia-Pasifik. Beliau juga panel Syarat Wajib Tayang yang menonton semua filem sebelum ditayangkan kepada umum.

"Prof Dr Naim pula adalah pensyarah Komunikasi dan Filem di Universiti Sains Islam Malaysia serta mewakili golongan intelek sekali gus penasihat jawatankuasa penjurian untuk pemarkahan mengikut garis panduan diberikan. Beliau pernah menjadi juri festival anjuran kerajaan dan swasta seperti Anugerah Skrin.

"Kamarudin pula dari latar belakang penyunting yang bertugas dengan Filem Negara Malaysia. Beliau diperlukan mengadili dan memberi pandangan dari segi teknikal sesebuah filem.

"Akmal dari Berita Harian memang setiap tahun seorang juri dilantik daripada kalangan media kerana mereka mengikuti perkembangan dunia filem tanah air. Sebelum ini Zainuri Misfar, A Wahab Hamzah, Roslen Fadzil dan Suraya Al-Attas juga pernah menjadi juri," katanya.

Mengenai nama-nama lain kata Nancie, ada juga dicadangkan, tetapi mereka tidak dapat memberi komitmen kerana tempoh penjurian agak panjang iaitu selama dua minggu.

Nancie akui sudah menerima laporan daripada Ketua Juri mengenai rumusan penjurian dan ia sudah diserahkan kepada penganjur. Katanya, dalam laporan itu dinyatakan secara umum mengenai kualiti filem yang menyertai FFM23 dan bukan laporan terperinci mengapa filem itu dipilih sebagai pemenang.

"Walaupun dari segi kuantitinya penyertaan tahun ini bertambah (29 filem) berbanding 26 filem tahun lalu, dari segi kualiti masih tiada perubahan dan perlu diperbaiki. Satu mesyuarat post mortem FFM23 akan diadakan Khamis minggu depan membabitkan semua jawatankuasa," katanya.

Nancie tidak setuju dengan tanggapan mengatakan juri memberi anugerah kasihan dengan membahagi-bahagikan kemenangan untuk menggembirakan semua pihak. Katanya, ia hanya anggapan umum, tetapi hakikatnya mereka memang berhak menang kategori itu.

"Saya melihat setiap keputusan ada alasan masing-masing. Ia berdasarkan merit tertentu dan bukan atas dasar kasihan," katanya.

Meletakkan tanggungjawab mengadili 29 filem yang bertanding kepada lima juri saja juga dilihat memberi ruang kepada masyarakat mempertikaikan keputusan mereka kerana penilaian mereka dilihat tidak menyeluruh.

Pada masa akan datang, penganjur harus memberi penekanan kepada juri filem cereka dengan lebih ramai barisan juri sekurang-kurangnya 10 orang merangkumi tokoh filem, karyawan seni, pengamal media, ahli akademik dan pelajar filem.

Dalam artikel Alasan Magika, Syamsul Menang di Berita Minggu Ahad lalu, Akmal mengatakan, penjurian berpandukan kepada ciri atau kriteria pemarkahan, kelainan yang dipersembahkan, semangat tema festival dan elemen transformasi dalam sebuah filem tempatan.

Katanya, semua itu merangkumkan erti mutu bagi sesebuah filem cereka mengikut perspektif juri yang membuat penilaian berdasarkan ilmu pengetahuan, pengalaman dan hujah diutarakan lima panel juri.

"Ada enam alasan konkrit mengapa panel juri mengangkat Magika sebagai filem Terbaik. Pertama, filem ini agak unik dan jauh berbeza dengan kebanyakan filem lain yang bertanding.

"Kedua, persembahan dan penceritaan filem ini cerdik kerana berjaya menggabungkan semua watak popular dalam kisah mitos, legenda dan sejarah Melayu secara lancar dan konsisten tanpa dirasakan seperti dibuat-buat.

"Ketiga, ada 21 watak mitos, legenda dan sejarah Melayu dipaparkan serentak dalam sebuah filem dan ini sesuatu yang hebat dan tidak terfikir kebanyakan pengarah filem senior mahupun pengarah baru yang lain untuk hasilkan cereka sebegini yang boleh dibawa ke pawagam.

"Keempat, Magika menampilkan elemen penggunaan teknologi dunia perfileman yang baik menerusi imej janaan komputer (CGI) yang dibuat teliti dan tidak menampakkan cacat cela. Keseluruhan filem arahan Edry Abdul Halim ini mempamerkan penggunaan CGI yang rapi lagi profesional setaraf kualiti filem hebat Hollywood.

"Kelima, daya pengarahan dan corak pembikinan filem ini dibuat kemas dan kekemasan itu dilihat serasi dengan mood, feel, milieu dan genre Magika sebagai filem muzikal bersama elemen lagu dalam irama moden menerusi melodi ceria, gembira, sedih, terharu dan romantik.

"Keenam, sekalipun tidak menang kategori penting seperti Pelakon Terbaik atau Pengarah Terbaik, jangan diabaikan elemen yang membantu dan merangsang mood filem itu seperti menang Skor Muzik Asal Terbaik, Tata Busana Terbaik dan Tata Seni Terbaik," katanya.

Difahamkan, ada tiga filem yang ditolak panel juri untuk dinilai dan bertanding kerana tidak menggunakan bahasa kebangsaan sekurang-kurangnya 50 peratus dalam pengisian filem sebagai teras dialog watak.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.