Adsense

Jumaat, 29 Oktober 2010

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Nolan tolak teknologi 3D

Posted:

Nolan tolak teknologi 3D

Nolan tolak teknologi 3D

SEGALA spekulasi tentang filem terbaru Batman akhirnya terlerai apabila pengarah Christopher Nolan mengumumkan judul filem ketiga Batman arahannya itu.

Diberi judul The Dark Knight Rises, Nolan bagaimanapun memberitahu watak The Riddler yang sebelum ini heboh diperkatakan akan muncul dalam filem itu tidak akan menjadi kenyataan.

Bukan itu sahaja, pengarah filem Inception itu juga tidak mahu The Dark Knight Rises diterbitkan dalam bentuk 3D yang mula menjadi perhatian sebahagian pembikin Hollywood masa kini.

"Hampir keseluruhan pelakon asal sebelum ini akan kembali membawakan watak masing-masing. Dalam masa yang sama juga, kami akan memperkenalkan beberapa watak baru yang masih lagi dirahsiakan.

"Tentang teknologi 3D, saya fikir biarlah saya mengekalkan apa yang telah saya lakukan sebelum ini. Saya mahu peminat filem Batman terus teruja menantikan filem susulan ini sebagaimana mereka mengalaminya menerusi filem-filem terdahulu.

"Cita-cita kami menerusi filem ketiga ini adalah mahu menghabiskan kisah yang terhenti pada The Dark Knight. Ini bukannya sebuah filem baru mahupun kisah yang diceritakan semula.

"Kami hanya mahu konsisten dalam penceritaan menerusi The Dark Knight Rises," cerita Nolan panjang lebar kepada The Los Angeles Times tentang pembikinan filem Batman terbaru itu.

The Dark Knight Rises masih lagi mengekalkan aktor Christian Bale sebagai Bruce Wayne dan Batman selain pelakon seperti Morgan Freeman, Gary Oldman dan Michael Caine.

Peminat setia francais filem itu perlu menunggu dua tahun lagi untuk tayangan The Dark Knight Rises apabila filem itu akan ditayangkan serentak di seluruh dunia pada 20 Julai 2012.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Ako ganti Pierre

Posted:

Ako ganti Pierre

Ako ganti Pierre

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED

WUJUD dengan pelbagai konflik yang menghampiri sifat kemanusiaan yang mendalam, siri lucu Halimah Jongang terus mendapat perhatian masyarakat setempat.

Dihambur dengan pelbagai kritikan, ia sedikit pun tidak menghalang penerbitnya, A. Aida untuk meneruskan karya seterusnya menerusi Halimah Jongang musim kedua.

Terdahulu, siri yang memaparkan kisah hidup wanita bergigi jongang itu membuka tirainya di Astro Prima menerusi sebuah telefilem yang berjaya mencuit hati ramai peminat.

Kemudian, atas permintaan ramai, kesinambungannya diteruskan dengan drama bersiri sebanyak 13 episod.

Menurut Aida, musim kedua akan tampil dengan lebih banyak konflik menerusi 26 episod di samping beberapa muka baru diperkenalkan tetapi masih mengekalkan Sheera Iskandar sebagai Halimah.

Antara pelakon yang terlibat ialah Ako Mustapha, Opie Zami, Aishah Atan, Norlia Ghani, Hamid Ghurka, Zami Ismail, Along Cham, Diya Kholid, Azza AF, Linda Hashim dan Maimunah Ahmad.

Katanya, Ako dipilih bagi memainkan watak Ali yang sebelum ini dilakonkan oleh Pierre Andre disebabkan terdapat beberapa masalah yang tidak boleh dielakkan.

"Ketika penggambaran musim kedua ini hendak dimulakan, Pierre telah mengikat kontrak untuk membintangi sebuah filem terbitan produksi luar.

"Jadi, saya dan pihak Astro Prima berbincang untuk mencari pelakon yang sesuai bagi menggantikan Pierre.

"Selepas berbincang, akhirnya Ako dipilih untuk menerajui drama ini. Kebetulan, Ako pun tidak ada komitmen lain," jelas Aida yang juga merupakan penulis skrip untuk siri itu.

Ako ada gaya tersendiri

Sementara itu, Aida berpendapat, kehadiran Ako tidak dilihat sebagai satu kekangan memandangkan Ako mempunyai gaya lakonannya yang tersendiri.

Sama ada Ako mahu pun Pierre, ujar Aida, kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing untuk menarik minat penonton.

"Jadi, tidak timbul isu penonton lari disebabkan Ako menggantikan tempat Pierre," kata Aida.

Bukan Pierre sahaja, malah Aida juga turut menukar pengarah asal drama ini, Yusmizar dan digantikan dengan T.S. Jeffrey.

"Inilah kali pertama saya bekerja dengan Jeffrey dan hasilnya cukup memuaskan. Saya serasi bekerja dengannya memandangkan suatu ketika dahulu kami pernah berlakon bersama," jawab Aida.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.