MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong |
- Kapal Selam Kedua Negara KD Tun Razak Tiba Di Lumut
- Mahkamah Malam Kini di 6 Bandar Utama
- Pelajar IPTA Bakal Nikmati Kemudahan Teknologi 4G
- World Cup FIFA 2010 Result (Quater Finals) - 02 July 2010
- Judi musnah budaya hidup
- Tun Omar main peranan tuntut merdeka
- CBBC jadi pilihan murah raih keuntungan
Kapal Selam Kedua Negara KD Tun Razak Tiba Di Lumut Posted: 02 Jul 2010 02:53 PM PDT LUMUT: Kapal selam kedua negara, KD Tun Razak selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada pukul 4.40 petang. Sambutan rasmi ketibaan KD Tun Razak itu diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa manakala Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menaiki kapal selam itu dari Langkawi, Kedah. Turut menyambut ketibaan kapal itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. KD Tun Razak akan meneruskan pelayaran ke Pangkalan Kapal Selam di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah selepas seminggu di sini. Ia memulakan pelayaran pulang dari Toulon, Perancis sejak 30 April lepas dengan dikendalikan sepenuhnya 21 pegawai dan 11 anggota TLDM lain-lain pangkat. Pelayaran dari Toulon itu mengambil masa 64 hari dan singgah di empat pelabuhan bagi tujuan ulang bekal iaitu di Pelabuhan Iskandariah (Mesir), Jeddah (Arab Saudi), Salalah (Oman) dan Cochin (India) sebelum tiba di sini. Kemasukan kapal selam dalam inventori aset Armada TLDM bukan sahaja meningkatkan keupayaan Armada malah melengkapkan keupayaan peperangan tiga dimensi iaitu peperangan bawah permukaan, aras permukaan dan anti-udara. KD Tun Razak merupakan antara kapal selam yang paling senyap di dunia dan amat sukar dikesan serta dijejaki pihak lawan. KD Tun Razak dinamakan bersempena Perdana Menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein sebagai mengenang jasa negarawan ulung itu atas sumbangannya kepada kemerdekaan, permodenan, pentadbiran dan pembangunan negara. Ia bergerak dengan tenaga diesel dan boleh beroperasi sehingga kedalaman lebih 300 meter. Kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman tiba di Pelabuhan Klang pada 3 Sept, tahun lepas. - BERNAMA |
Mahkamah Malam Kini di 6 Bandar Utama Posted: 02 Jul 2010 02:52 PM PDT Perbicaraan pada waktu malam di bawah program mahkamah malam telahpun diwujudkan di Georgetown, Johor Baru, Shah Alam, Ipoh, Alor Setar dan Kuala Lumpur sebagai langkah mempercepatkan lagi pendakwaan khususnya yang melibatkan jenayah jalanan. Sehingga 30 Jun lalu, lima kes telahpun dibicarakan oleh mahkamah malam. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihak kementerian telah bekerjasama dengan PDRM, Pejabat Peguam Negara, pihak mahkamah dan juga Jabatan Penjara untuk memastikan sistem keadilan negara diperkukuhkan. "Baru-baru ini semua agensi dan jabatan yang berada di bawah KDN telah berbincang bagaimana langkah-langkah untuk menyelesaikan dengan segera kes-kes tertangguh khususnya yang melibatkan jenayah jalanan dan pihak kementerian telah dikemukakan dengan 28 inisiatif yang boleh dilaksanakan untuk menyelesaikan kes-kes jenayah jalanan. "Memperkenalkan mahkamah malam dan prosedur yang dikenali sebagai Kod-J adalah antara cadangan yang dikemukakan dan saya berasa gembira kerana kita dapat melaksanakan cadangan mahkamah malam sejak 1 Mac lalu," katanya kepada para wartawan hari ini. Hishammuddin menambah, untuk memastikan lebih ramai suspek dalam kes-kes jenayah ganas dibawa ke mahkamah dengan cepat dan cekap, beberapa langkah akan diambil antaranya mengurangkan kes-kes yang dikendalikan oleh pegawai penyiasat hanya kepada lima kes sahaja sebulan. Lain-lain inisiatif termasuklah memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih baik agar pegawai penyiasat mampu mengambil dan mengumpul bukti dan membentuk pasukan khas yang terdiri daripada hakim dan majistret yang akan dibawa ke tempat yang mana banyak kes yang tidak dibicarakan. - MSTAR |
Pelajar IPTA Bakal Nikmati Kemudahan Teknologi 4G Posted: 02 Jul 2010 02:51 PM PDT JOHOR BAHRU - Kira-kira 400,000 penuntut 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam di seluruh negara bakal menikmati kemudahan capaian jalur lebar data suara 4G melalui Program Rakan Pendidikan (EPP) YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms) menjelang akhir tahun ini. Buat permulaan, kira-kira 20,000 penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi pelajar universiti pertama menikmati kemudahan itu bersama data, suara dan kemudahan mudah alih, hasil kerjasama menyediakan rangkaian liputan 4G berkenaan. Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata perjanjian yang dimeterai antara YTL Comms dan UTM, adalah menepati konsep 1Malaysia bagi membangunkan tamadun masyarakat negara ini sejajar dengan kemajuan masyarakat maju di luar negara. "Dengan perjanjian terbabit, kami yakin kadar penembusan jalur lebar ketika ini yang mencapai 37.5 peratus, akan dapat membantu kerajaan melepasi sasaran Inisiatif Jalur Lebar Negara sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun ini," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak dan UTM diwakili Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Zaini Ujang manakala YTL Comms oleh Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Dr Francis Yeoh dan Pengarah Eksekutif Yasmin Mahmood di UTM Skudai di sini, hari ini. Sementara itu, Yeoh berkata MoU tersebut merupakan sejarah penting dalam membina generasi baru penuntut yang progresif serta mampu mendapat maklumat secara cepat dan mudah. "Program berkenaan menyediakan peluang kepada penuntut untuk mengakses Intranet dan Internet pada bila-bila masa, di mana jua, di dalam kampus. "EPP juga membolehkan penuntut membawa arus perubahan positif dalam suasana pembelajaran berteras 4G yang akan menyumbang ke arah kejayaan negara yang lebih cemerlang pada masa depan," katanya. Dr Zaini pula berkata menerusi MoU tersebut, YTL Comms akan menyediakan kemudahan capaian Internet sehingga 300 megabit bagi seorang pelajar sebulan, secara percuma, untuk tempoh tiga tahun. Beliau berkata, ia memudahkan penuntut khususnya mendapatkan maklumat lebih pantas bagi penyelidikan, perundingan dan pembelajaran. "Menerusi perjanjian ini juga, UTM akan dapat meningkatkan kemudahan liputan Internet 100 peratus di kampus di sini, dan di Kuala Lumpur pada penghujung bulan ini," katanya. - BERNAMA |
World Cup FIFA 2010 Result (Quater Finals) - 02 July 2010 Posted: 02 Jul 2010 09:11 AM PDT Quater Finals 1 (53' F.Melo (own goal), 68' W.Sneijder) Netherlands 2 - 1 Brazil (10' Robinho) * Netherlands qualified to the Semi Finals Quater Finals 2 (55' D. Forlan) Uruguay 1 - 1 Ghana (45' S.A.Muntari) Penalty : Uruguay 4 - 2 Ghana * Uruguay qualified to the Semi Finals (Netherlands vs Uruguay) |
Posted: 02 Jul 2010 08:06 AM PDT Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin Islam sesuai dengan namanya yang antara lain bermaksud selamat, sejahtera, aman dan patuh telah meletakkan panduan kepada umatnya dalam melayari kehidupan di muka bumi ini. Antara yang dilarang keras oleh Islam adalah judi. Ini ditegaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Wahai orang yang beriman sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan. (al-Maidah: 90) Malah, masyarakat yang sempurna akalnya dan bertamadun pasti akan menolak perbuatan berjudi. Sebabnya, ia membawa banyak kerosakan dan keburukan berbanding kebaikan. Itu adalah antara faktor Islam mengharamkannya. Allah sudah maklum bahawa manusia ini tidak akan mampu mengawal nafsu dan kewarasan apabila terlibat dengan judi. Dalam fiqh kaedah ini disebut sadd zara'ie (mencegah keburukan sebelum ia berlaku) Atas sebab itu, masyarakat perlu menolak sebarang bentuk perjudian waima apa pun namanya. Termasuklah dalam sukan iaitu judi bola sepak sempena Piala Dunia 2010 yang sedang berlangsung. Judi itu jelas diharamkan oleh Islam. Justeru, tiada kompromi dalam hal yang qatie (pasti) ini. Allah berfirman yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa yang amat besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya... (al-Baqarah: 219) Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2010, Prof. Datuk Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, judi itu diterima secara universal sebagai perbuatan yang buruk. "Justeru tidak timbul soal memberi lesen sebagai menjustifikasi kegiatan judi dan juga soal nak memberi hak kepada orang bukan Islam. "Lebih bagus kalau tidak berjudi. Sebabnya, masyarakat bukan Islam pun tidak suka berjudi," katanya dalam pertemuan dengan Mega, di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Mahmood Zuhdi berkata, biar apa pun alasan, Malaysia yang diisytiharkan sebagai negara Islam tidak wajar mengeluarkan lesen judi baru. Biarpun, tujuan sebenar adalah untuk mengawal kegiatan judi tidak berlesen, perbuatan itu tetap haram. "Perkara ini sebenarnya bukan mudah. Tujuan asalnya adalah supaya duit judi bola sepak itu tidak lari ke negara lain. "Sebabnya, kalau kerajaan tidak benarkan, judi tetap berlaku dan duit itu mungkin akan pergi ke China atau Hong Kong. "Tetapi judi boleh memusnahkan budaya hidup dan masyarakat. "Islam mengharamkan judi bukan semata-mata kerana soal aku menang kau kalah, tetapi budaya pembaziran yang ada di belakangnya," jelas Timbalan Dekan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu. Alhamdulillah, kata Mahmood Zuhdi, kerajaan telah membatalkan cadangan memberi lesen pertaruhan bola sepak. Pada masa yang sama, kata beliau, kerajaan perlu mengawal kegiatan perjudian yang dilesenkan supaya akhirnya ia dapat dihapuskan sama sekali. Dalam Islam, katanya, memang ada perkara atau hukum yang boleh diliberalisasikan. Bagaimanapun, dalam bab judi, pengharamannya disebutkan dengan jelas dalam al-Quran dan juga hadis Nabi SAW. Sebab itu, tegas beliau, negara tidak boleh liberalisasikan judi walaupun atas dasar untuk menjaga keuntungan. "Duit daripada kegiatan judi yang sedia ada hendaklah dimasukkan ke dalam Baitulmal untuk pembersihan. Kemudiannya dipulangkan kepada masyarakat kerana wang itu untuk masyarakat. "Tetapi kita tidak boleh cari duit melalui judi (melalui pemberian lesen baru)," tegas beliau. Mahmood Zuhdi menambah, orang Islam perlu yakin bahawa jika mematuhi perintah Allah, rezeki itu akan didatangkan daripada pelbagai cara yang tidak disangka. Ini janji Allah sebagai mana firman-Nya yang bermaksud: ...dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan sesiapa berserah diri kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya. Sesungguhnya Allah melakukan perkara yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah menentukan tiap-tiap sesuatu. (at-Talaq: 2 dan 3) Membenarkan judi kata Mahmood Zuhdi, adalah bercanggah dengan konsep dakwah yang dilaksanakan dalam negara. Judi adalah sesuatu penyebab banyak nilai yang tidak baik hingga masyarakat kelak berasa lali (immune) melakukannya. "Berapa lama kita sudah berjuang mengharamkan rokok tetapi masih tidak berjaya menghapuskannya secara total kerana perokok sudah lali," jelasnya. Apa pun alasan atau hujah, yakinlah kepada Allah yang menjanjikan kemenangan kepada orang yang bertakwa. Firman Allah yang bermaksud: Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) Yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (al-A'raaf: 96) - UTUSAN |
Tun Omar main peranan tuntut merdeka Posted: 02 Jul 2010 08:01 AM PDT Hanya tinggal 22 hari sahaja lagi sebelum Tun Omar Ong Yoke Lin menyambut tahun kelahirannya yang ke-93, namun ajal lebih dulu menjemput beliau awal pagi semalam kerana sakit tua. Perginya Omar bermakna tiada lagi bekas menteri yang pernah berada dalam barisan Kabinet pertama negara yang terbentuk pada 1955. Anak jati Kuala Lumpur itu mengikut jejak langkah sembilan menteri Kabinet pertama lainnya yang lebih dulu meninggalkan kita. Mereka antaranya Tun H.S. Lee; Tun Dr. Ismail Abdul Rahman; Tun Leong Yew Koh dan Tun Sardon Jubir. Sejarah mungkin lebih banyak mencatatkan bahawa Tun Tan Cheng Lock merupakan tokoh berbangsa Cina yang banyak merintis usaha ke arah kemerdekaan negara tetapi peranan yang sama sebenarnya turut digalas oleh Omar. Malah, Omar sebenarnya memikul tanggungjawab yang besar dalam perjuangan membebaskan negara daripada penjajah kerana beliau merupakan salah seorang daripada empat anggota yang menyertai delegasi parti Perikatan ke London pada April 1957. Delegasi yang diketuai oleh Perdana Menteri pertama negara, Tunku Abdul Rahman itu bertujuan memuktamadkan draf Perlembagaan Tanah Melayu yang membawa kepada kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Sebelumnya, Omar yang merupakan pengasas kepada parti MCA pada 1949 adalah tokoh yang bertanggungjawab membentuk kerjasama politik antara bangsa Melayu dan Cina yang ketika itu semakin terpisah. Segala-galanya bermula pada 1952 yang mana Omar ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor. Pada waktu yang sama, Datuk Yahya Razak iaitu rakan sekelas beliau ketika menuntut di Institut Victoria merupakan Ketua UMNO Kuala Lumpur. Hubungan rapat antara mereka membawa kepada idea pembentukan parti Perikatan UMNO-MCA untuk bertanding pada pilihan raya perbandaran Kuala Lumpur pada 1952 ketika negara masih di bawah pemerintahan British. Pilihan raya itu turut disertai oleh Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar. Bagaimanapun, kerjasama UMNO-MCA yang mendapat sokongan Tunku Abdul Rahman memenangi sembilan daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Pada tahun yang sama, MIC yang ketika itu dipimpin oleh Tun V. T. Sambanthan turut menyertai pakatan tersebut menjadikannya parti gabungan di peringkat kebangsaan Formula kerjasama antara parti itu kemudiannya menjadi pelopor kepada penubuhan Barisan Nasional (BN) yang berlangsung sehingga ke hari ini. Sumbangan besar Omar dalam konteks kemerdekaan negara tidak terhenti hanya setakat itu. Omar juga pernah mengetuai sebuah delegasi ke mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Perpaduan di Kuching, Sarawak yang bertujuan membincangkan cadangan pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1961. Usaha itu membawa beliau sekali lagi ke kota London pada 1963 sebagai salah seorang wakil pemimpin negara yang menurunkan tanda tangan dalam Perjanjian London 1963. Peristiwa bersejarah itu menyaksikan terbentuknya Persekutuan Malaysia yang merangkumi Sabah dan Sarawak serta Singapura pada 16 September 1963. Bagaimanapun Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada 1965. Omar menjadi individu terakhir dalam barisan Kabinet negara sebelum dan selepas merdeka. Sumbangan Omar sepanjang 50 tahun pembabitannya dalam dunia politik tidak mampu dicatatkan sepenuhnya di dalam sebuah buku. Beliau juga adalah antara 10 orang menteri Kabinet pertama negara yang dilantik selepas kemenangan besar parti Perikatan pada pilihan raya umum 1955. Beliau diberi tanggungjawab sebagai Menteri Telekom dan Pos Tanah Melayu sebelum dilantik memegang portfolio Pengangkutan setahun kemudian dan sebagai Menteri Buruh dan Kebajikan Sosial sebaik negara mencapai kemerdekaan. Dua tahun kemudiannya, selepas pilihan raya umum 1959, Omar berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan dan Kebajikan Sosial (1959-1962) sebelum dilantik sebagai menteri tanpa portfolio pada 1962 hingga 1973. Selain itu, Omar juga dilantik sebagai Duta Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) pada 1962. Pada 1966 pula beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang pertama ke Kanada sebelum menjadi duta Malaysia ke Brazil setahun kemudiannya. Seperti kebanyakan tokoh politik yang lainnya, Omar yang memeluk Islam pada 1961 bergiat aktif dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas persaraannya. Beliau memilih untuk memberi tumpuan kepada kerja-kerja kebajikan yang digerakkan bersama isterinya, Toh Puan Dr. Aisyah Ong. Antaranya menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia yang dipengerusikannya, Persatuan St. John Ambulans, selain bertindak sebagai Presiden Yayasan Jantung Malaysia. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) iaitu pertubuhan yang memberi tumpuan kepada saudara-saudara baru Islam. Jenazah Omar disemadikan di Makam Pahlawan, bersebelahan Masjid Negara selepas Asar semalam. - UTUSAN |
CBBC jadi pilihan murah raih keuntungan Posted: 02 Jul 2010 04:10 AM PDT Sijil boleh panggil bull/bear (callable bull/bear certification - CBBC) adalah pilihan yang lebih murah bagi pelabur meraih keuntungan daripada prestasi saham-saham mewah yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan saham-saham lain di luar negara. CBBC adalah instrumen kewangan yang menjejaki prestasi instrumen pendasar tanpa memerlukan pelabur membayar harga penuh yang diperlukan bagi memiliki instrumen pendasar. CBBC adalah hibrid antara waran opsyen belian dengan pembiayaan margin dan sudahpun berada dalam pasaran Eropah dan Hong Kong, kata Lim Jong Hau, Pengarah Derivatif Ekuiti CIMB Investment Bank. CIMB akan melancarkan CBBC pada 15 Julai manakala penyenaraiannya pada 16 Julai, tertakluk kepada kelulusan daripada Bursa Malaysia, katanya, sambil menambah bahawa ia boleh didapati bagi empat saham. Beliau, bagaimanapun, enggan menyatakan saham-saham berkenaan. Kata beliau, siri jelajah CIMB di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mendapat maklum balas dan penyertaan positif dan dengan demikian ia menjangkakan kadar penerimaan yang baik bagi produk itu daripada pelabur-pelabur Malaysia. Berbanding pembiayaan margin saham, CBBC melibatkan kos transaksi yang lebih rendah dan ia diniagakan di bursa, katanya pada satu sesi taklimat hari ini. "Ia tidak melibatkan panggilan margin, jualan terpaksa, had harga, isu pemilikan saham dan tanggungan peribadi berbanding pembiayaan margin saham," jelas beliau. CBBC diterbitkan dalam bentuk sama ada sijil Bull atau sijil Bear dengan tarikh tamat tetap, dan membolehkan pelabur mengambil pendirian bull atau bear terhadap instrumen pendasar. Tempoh CBBC adalah dari tiga bulan hingga lima tahun. Jika harga instrumen pendasar mencapai harga panggilan pada bila-bila masa sebelum tarikh tamat tempoh, penerbit akan memanggil CBBC dan dagangan akan digantung. Keadaan begini dikenali sebagai Mandatory Call Event (MCE) dengan harga ditetapkan oleh penerbit. Menyentuh tentang risiko yang ada, beliau berkata, walaupun harga CBBC cenderung bergerak seiringan dengan harga instrumen pendasar, namun dalam beberapa situasi ia mungkin tidak begitu. Harga CBBC terjejas bukan sahaja oleh harga instrumen pendasarnya, malah juga kos pembiayaan, masa sebelum tamat tempoh serta penawaran dan permintaannya sendiri. - Bernama |
You are subscribed to email updates from MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |