Adsense

Sabtu, 3 Julai 2010

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog


Penganggur tipu RM5j

Posted: 02 Jul 2010 07:07 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dengan lagak seperti ahli korporat, seorang penganggur dipercayai memperdaya lebih 40 syarikat dan individu membabitkan wang hampir RM5 juta dengan menawarkan mangsa menjadi sub kontraktor bagi pembinaan landasan kereta api berkembar Seremban-Gemas, Negeri Sembilan.

Lelaki berusia 50-an itu dikatakan giat memperdayakan syarikat atau kontraktor dengan mendakwa dia dilantik sebagai wakil sebuah syarikat pembinaan berpusat di India.


Menggunakan modus operandi mudah iaitu mendekati syarikat atau kontraktor tertentu dan mengemukakan tawaran sebagai sub kontraktor dengan menunjukkan semua dokumen berkaitan termasuk dokumen sulit antara kerajaan Malaysia dan India berhubung pembinaan landasan berkembar itu sebagai bukti dia wakil sah syarikat pembinaan berkenaan.


Bagi meyakinkan mangsa, suspek menunjukkan reka bentuk, spesifikasi, rekaan grafik dan harga tawaran barang mentah pembinaan projek landasan berkembar itu yang disimpan di komputer ribanya.


Mangsa yang bersetuju perlu membayar sejumlah wang bagi tujuan melobi mendapatkan kontrak namun menyedari mereka diperdaya apabila suspek lesap.


Kegiatan itu didedahkan Presiden dan Penasihat Undang-Undang Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George yang menyiasat perkara itu selepas dua syarikat yang melantiknya sebagai penasihat undang-undang turut menjadi mangsa.


Beliau berkata, suspek bergiat aktif sejak 2004 dengan mengaku mempunyai hubungan dengan kuasa politik di India termasuk seorang Menteri. "Dia hanya menggunakan syarikat RM2 miliknya sebagai platform untuk menipu malah boleh memaksa secara halus, mangsa untuk menyediakan jam tangan, pen, barangan kemas dan pakaian berjenama mewah kepadanya kononnya sebagai hadiah kepada pihak di India bagi melobi mereka sebagai sub kontraktor.


"Berdasarkan maklumat diterima, saya ke India beberapa kali pada 2009 dan tahun ini untuk bertemu dengan semua pihak yang nama mereka disebut setiap kali dia menjalankan perniagaannya. Saya menunjukkan semua dokumen, pemacu storan (thumb drive) dan maklumat sulit lain yang diperolehnya tetapi mereka menafikan mempunyai sebarang pengetahuan mengenai lelaki itu.


"Syarikat pembinaan di India juga menafikan surat yang dikeluarkan mereka kepada lelaki itu secara lisan tetapi permintaan saya supaya mereka membuat penafian dalam bentuk hitam putih sehingga kini tidak dijawab," katanya ketika ditemui Harian Metro.


Sehubungan itu, Dr Jacob menasihatkan mereka yang menjadi mangsa taktik licik suspek supaya membuat laporan polis dan menghubungi Cassa di hotline 016-3261700 bagi mendapatkan bantuan undang-undang serta pertolongan lain.


"Dalam pada itu, Cassa juga meminta kerajaan India dan Kementerian Pengangkutan menyiasat bagaimana lelaki itu memperolehi surat sulit mengenai landasan berkembar Seremban-Gemas antara kerajaan Malaysia dan India."Bagaimana lelaki itu boleh menyimpan di dalam komputer ribanya reka bentuk, spesifikasi, lukisan dan harga tawaran barang mentah pembinaan projek itu. Siapa yang memberikan dia dua surat mendakwa daripada Lembaga Kementerian Pengangkutan Kereta Api India," katanya.


Beliau berkata, suspek tidak mungkin mampu bertindak sendirian dalam mengatur penipuan itu tanpa bantuan individu tertentu di Delhi dan Chennai.


"Saya mungkin akan bertemu Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan untuk memaklumkan mereka mengenai kegiatan tidak sihat ini," kata Dr Jacob.

Sindiket ‘goyang kaki’ kebas tebusan hingga RM500,000

Posted: 02 Jul 2010 07:00 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dengan hanya satu panggilan telefon, satu sindiket penculikan 'goyang kaki' dikesan mampu mendapat wang tebusan antara RM50,000 hingga RM500,000 tanpa melakukan sebarang penculikan.

Kumpulan penculik alaf baru itu dikesan menggunakan taktik yang mudah dengan hanya membuat panggilan kepada ahli keluarga mangsa mendakwa anaknya sudah diculik sebelum mengarahkannya memasukkan wang tebusan ke dalam akaun tertentu.


Difahamkan, kumpulan profesional itu mensasarkan keluarga pelajar Malaysia di luar negara selain pelajar luar yang menuntut di negara ini.


Menjadi persoalan, setiap kali keluarga mangsa cuba menghubungi anak mereka, panggilan seolah-olah tiada dalam perkhidmatan tetapi selepas wang tebusan dibayar, talian berkenaan boleh dihubungi seperti biasa.


Tidak cukup dengan itu, kumpulan dikatakan sudah bergerak lebih setahun lalu turut dipercayai memiliki 'akses' untuk mengenal pasti latar belakang dan pergerakan mangsa walaupun berada di luar negara.


Difahamkan, puluhan kes seumpama itu dilaporkan di seluruh negara dan tiga kes terbaru diterima awal bulan lalu Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields sebelum dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk tindakan dan siasatan lanjut.


Menurut sumber, disebabkan kumpulan terbabit memiliki maklumat latar belakang keluarga termasuk soal kewangan, mereka akan meminta wang tebusan mampu disediakan keluarga itu.


"Malah, mereka mensasarkan golongan usahawan dan ahli korporat yang memiliki wang. Ini bagi memastikan keluarga mangsa tidak akan teragak-agak untuk membayar wang berkenaan tanpa membabitkan polis.


"Selalunya, wang tebusan diminta sekitar RM50,000 hingga RM500,000," katanya.


Dalam kejadian terbaru pertengahan Jun lalu, satu keluarga yang menetap di Brickfields, di sini, menjadi mangsa kepada kelicikan sindiket berkenaan.


Sumber berkata, mereka membayar RM100,000 menerusi satu akaun bank selepas menerima panggilan mengatakan anak perempuannya berusia lewat 20-an yang menuntut di United Kingdom diculik."Bayaran itu dibuat selepas keluarga mangsa gagal menghubungi anaknya dan beberapa rakan lain," katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu keluarga terbabit menjadi mangsa penipuan kumpulan itu.

Julia Ziegler Seperti Mahu Jadi Jahat Di Luar Set Penggambaran

Posted: 02 Jul 2010 06:58 PM PDT

TERLALU menghayati watak antagonis, Julia Ziegler mengakui sering terbawa-bawa watak itu apabila berada di luar set penggambaran.

Menurut gadis berusia 26 tahun ini, dia mudah terpengaruh apabila melakonkan watak yang mempunyai unsur jahat.

"Saya mudah lemah bila membawa watak-watak antagonis. Biarpun sudah selesai penggambaran dan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah saya akan mudah terfikir untuk buat benda-benda tak elok dan melencong ke tempat lain.

"Biasanya bila bawa watak seperti perempuan jahat, perasaan jahat itu seolah-oleh mempengaruhi saya. Sebab itu selepas selesai penggambaran saya banyak bersihkan diri. Dekatkan diri dengan tuhan," jelasnya.

Dalam pada itu, Julia yang kelihatan agak kurus berbanding sebelum ini memberitahu terbawa-bawa watak terbarunya dalam cerita Tudung Ekspres membuatkan dia kehilangan berat badan.

Dia yang pernah mencecah berat badan sehingga 60 kilogram kini mengakui berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 8 hingga 10 kilogram.

"Watak dalam drama itu menjadikan saya kurus. Memegang watak sebagai Dira iaitu seorang editor majalah yang terlalu obses dengan penjagaan kesihatan, penampilan dan kesempurnaan membuatkan saya terbawa-bawa watak itu sehingga kini.

"Tapi jika ia kearah kebaikan tiada salahnya. Sebelum ini saya malu dengan berat badan saya.

"Saya sering tukar topik jika kelaurga atau rakan-rakan cuba bercerita tentang berat badan," katanya tersenyum manis.

Julia memberitahu kali pertama membawa watak sebagai perempuan dewasa dan bekerjaya dalam Tudung Ekspress.

"Kali ini saya bawa watak yang tidak pernah saya bawa. Watak ini sebagai perempuan yang sudah melalui peringkat umur dewasa dan mempunyai keluarga, ia adalah cabaran bagi saya yang biasa bawa watak gadis remaja," katanya.

Tudung Eksperess keudara setiap Khamis pukul 9.30 malam bermula 8 Julai ini.

Farhan Ada Kekasih Di England

Posted: 02 Jul 2010 06:57 PM PDT

Farhan AF4

PEMENANG tempat ketiga Akademi Fantasia musim keempat, Nur Farhan Azizan atau Farhan mengakui dia kini sedang bercinta dengan seorang jejaka yang sedang belajar di Britain.

Bagaimanapun katanya, mereka belum bersedia berkahwin buat masa ini kerana terikat dengan tanggungjawab masing-masing.

"Teman lelaki saya itu berkerja di Petronas tetapi dia sambung belajar peringkat sarjana di England.

"Hubungan kami tetap rapat walaupun berjauhan," katanya kepada MStar Online.

Pasangan itu bercinta sejak empat tahun lalu selepas Farhan keluar dari AF4.

"Dia adalah kawan kepada kawan saya," katanya.

Selepas menyepi selama tiga tahun dalam bidang seni, Farhan bakal mengeluarkan album keduanya selepas Hari Raya ini.

Farhan berharap album itu dapat membantu peminat yang menyokongnya selama ini mengingati dia semula selepas album pertamanya berjudul Farhana keluaran Maestro.

"Insya-Allah, selepas Hari Raya, saya akan mempunyai album saya tersendiri. Sebelum keluar album itu, saya akan hasilkan dua baru iaitu Bukan Mimpi singledan Moga. Komposernya ialah Shamril Salleh," katanya kepada MStar Online.

Album baru itu mempunyai lapan lagu termasuk dua single terbaru tersebut. Ia dikeluarkan syarikat Farhan sendiri iaitu Mezzoforte Records Sdn Bhd.

Dalam tempoh tiga tahun dia "menghilangkan" diri, Farhan sebenarnya menguruskan perniagaan sendiri iaitu Agroinvest Sdn Bhd serta Agrovalley Sdn Bhd yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan baja.

Farhan menjalankan perniagaan tersebut bersama ahli-ahli keluarganya. Dia turut diundang membuat persembahan nyanyian pada majlis keraian.

Sambil menegaskan dia tidak pernah meninggalkan dunia nyanyian, Farhan berkata, muzik adalah "sebahagian daripada badannya, sebahagian daripada kehidupannya."

"Saya suka menyanyi dan ia (baja) adalah sebahagian daripada kehidupan saya. Kedua-duanya adalah bidang yang berlainan. Kedua-duanya masih adalah sebahagian daripada kerja saya," katanya.

Pelbagai Anggapan Kematian Park Yong-ha

Posted: 02 Jul 2010 06:57 PM PDT

KEMATIAN bintang Winter Sonata Park Yong-ha, yang membunuh diri di rumahnya Rabu lalu masih belum dipastikan puncanya.

Sejak bapanya menderita sakit kanser perut, Park melalui hari-hari yang sangat sukar. Dia khuatir tentang kesihatan bapanya yang semakit teruk akibat penyakit itu.

Manakala, seorang rakan kepada aktor berusia 32 tahun ini memberitahu Park mengambil keputusan untuk tinggal dan menjaga bapanya sepenuh masa. Rasa sayang terhadap ayahnya sehingga menyebabkan dia seperti menyalahkan dirinya sendiri.

Selain perasaanitu, alasan lain dia yang memungkinkan dia membunuh diri ialah kegagalan perniagaan yang diusahakannya.

Pemuda yang lahir pada 12 Ogos 1977 itu mempunyai perniagaan sendiri dan ayahnya merupakan pengarah kepada syarikat yang diusahakannya.

Seperti dipetik portal Soompi, perniagaan yang dijalankan Park dan bapanya itu tidak berjalan lancar. Salah seorang pengurus di perusahaan itu telah melakukan penyelewengan kewangan sehingga menyebabkan perusahaan tersebut rugi.

Masalah semakin rumit apabila bapanya berhutang dengan jumlah yang besar kerana mahu melangsaikan hutang orang lain. Park juga dikatakan berniat untuk menjual keretanya bagi melaksanakan hutang itu.

Sementara itu, pelantun lagu Just For Yesterday itu juga menderita penyakit insomnia sejak 14 tahun lalu. Ia dikatakan berlaku sejak memulakan kerjayanya dalam dunia hiburan.

Menerusi akaun Twitternya, Park pernah memberitahu bahawa dia mengambil ubat tidur setiap malam.

Adakah semua hal ini menyebabkan Park menggantung diri di rumahnya? Yang pasti, pemenang Best Asian Artist dalam Japan Gold Disc Awards itu tidak meninggalkan sebarang surat sebelum bunuh diri.

Dia hanya sempat mengucapkan maaf berkali-kali kepada bapanya pada malam sebelum kejadian.

Biarpun penyebab kematian Park belum diketahui, keluarga menolak tubuh Park dibedah siasat. Mendiang bintang filem The Scam itu disemadikan dengan upacara tradisional Buddha, semalam.

Adam Hamid Suka Fantasi

Posted: 02 Jul 2010 06:56 PM PDT

FIKIRANNYA sering melayang memikirkan tentang dunia fantasi sehingga mampu mencipta imaginasi sekaligus mengarah drama fantasi untuk slot Lagenda di TV3.

Dialah pengarah yang semakin mencipta nama dalam industri hiburan tanah air yang dikenali sebagai Adam Hamid (gambar).

"Ya, secara peribadinya saya memang suka fantasi dan berfantasi," akuinya kepada mStar Online.

Setakat ini, sudah empat buah drama bercorak fantasi untuk slot Lagenda yang diarahkan oleh Adam iaitu Julia Juli Bintang Tiga, Sumpah Bunian, Siong dan terbaru Duyong Aridinata.

Duyong Aridinata bakal ditayangkan mulai 12 Julai ini, pukul 4.30 petang di TV3 menerusi slot Lagenda manakala siaran ulangannya pada pukul 8.30 malam di TV9.

Katanya: "Apabila ditawarkan untuk mengarah slot Lagenda, saya akan cuba melakukan sebaik mungkin dengan imaginasi fantasi yang saya ada.

"Setiap drama saya mempunyai kelainannya. Misalnya Duyong Aridinata memberikan cabaran tersendiri.

"Alhamdulillah, tiada apa-apa perkara yang buruk berlaku sepanjang penggambaran drama itu. Tetapi perkara menarik yang tidak dijangka pula berlaku apabila sekumpulan sotong datang ke arah kami semasa sedang menjalani penggambaran dasar laut di Pulau Lang Tengah, Terengganu," katanya.

Menariknya, Adam turut merakam syot sekumpulan sotong itu untuk dipaparkan dalam drama yang dilakonkan oleh Zachery Francis, Fasha Sandha dan Natasha Hudson itu. Dia menyelam bersama empat orang kru termasuk dua orang jurukamera.

Dalam pada seronok menyelam di lautan dalam di pulau itu, Adam turut menceritakan tentang pengalaman salah seorang kru yang terkena renjatan elektrik.

"Dia jatuh sakit sekejap sahaja dan selepas itu melakukan kerja seperti biasa. Nasib baik tiada perkara yang teruk berlaku selepas itu," ujarnya.

Adam juga sedang sibuk dengan penggambaran telefilem Kasih Sejati dan drama 10 episod Pangkin Atuk.

Inspirasi Aznah Dalam Jiwa Sheera

Posted: 02 Jul 2010 06:53 PM PDT

APABILA melihat sahaja raut wajahnya, ramai yang dapat meneka pemilik nama penuh Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar atau lebih dikenali sebagai Sheera ini adalah anak kepada pelakon veteran Aznah Hamid.

Bakat lakonan yang diwarisi daripada ibunya menjadikan Sheera antara bintang muda yang menarik perhatian pengarah.

Malah dia sendiri mengakui ibunya menjadi sumber inspirasi dalam dunia lakonan.

"Sejak kecil saya sering mengikut Mama ke lokasi penggambaran dan di situ juga ramai yang mengenali saya. Ketika saya berumur sembilan tahun saya telah ditawarkan watak anak kepada ibu saya sendiri.

"Sejak itu, saya mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan tapi secara sambilan sahaja terutamanya semasa cuti sekolah. Namun ketika berada di kolej, peluang berlakon semakin banyak dan saya berbincang dengan keluarga sama ada mahu meneruskan bidang ini atau tidak," jelasnya yang mendapat sokongan sebagai pelakon daripada keluarga tercinta.

Dalam pada itu, pelakon yang terkenal dengan watak Halimah Jonggang ini turut menjadikan ibunya sebagai panduan dalam membentuk kerjaya lakonannya.

"Jika dahulu orang lebih mengenali saya sebagai anak kepada Aznah Hamid berbanding bakat lakonan saya. Mereka ambil saya berlakon untuk pegang watak sebagai anak kepada Mama sebab wajah kami lebih kurang sama.

"Tapi kini saya sudah boleh berdiri sendiri tanpa membawa nama Aznah Hamid lagi. Namun begitu, tugas saya juga lebih berat kerana saya perlu menjaga nama baik dan kualiti lakonan agar tidak mendatangkan masalah kepada Mama," ujarnya yang kini sibuk dengan pengambaran filem KL Gengster arahan Shamsul Yusof.

Menurutnya lagi, sepanjang bergelar pelakon banyak ilmu dan tunjuk ajar yang telah diturunkan oleh ibunya.

"Dari dulu lagi setiap kali mendapat tawaran berlakon, saya akan rujuk dahulu dengan Mama sama ada boleh bawa atau tidak sesuatu watak," katanya.

Bagaimanapun sebagai anak, Sheera mengakui sering merajuk dan terbawa-bawa perangai sewaktu berada di rumah apabila berlakon bersama ibunya.

"Mungkin kerana kami rapat saya akui mempunyai ego sendiri. Kadang-kala ketika ditegur ada juga saya buat muka merajuk tapi sebenarnya apa yang Mama tegur ada kebenarannya.

"Ada juga yang sering membandingkan lakonan kami. Saya tidak kisah sebab bakat yang ada juga saya warisi dari mama cuma generasi sahaja berlainan," jelasnya.

Pertandingan RedAMP: 100,000 Undian Telah Diterima

Posted: 02 Jul 2010 06:52 PM PDT

Sidang media redAMP 2010 di Bali pada 22 Jun lalu yang dihadiri (dari kiri) penyanyi terkenal, Syafinaz Selamat, Rafizah Amran dan MTV VJ Utt.

PEMINAT muzik kumpulan indie dari 10 negara Asean, sedang mengundi untuk menmilih finalis redAMP 2010 kegemaran mereka.

Baru seminggu berlalu sejak undian dalam talian dibuka kepada orang ramai, lebih 100,000 undian telah diterima setakat ini!

Ketua AirAsiaRedTix.com, Rafizah Amran berkata, respons orang ramai amat menggalakkan dan ini jelas menggambarkan apa yang dipercayai selama ini, iaitu muzik mampu menyatupadukan semua pihak.

"Dengan redAMP, kita lihat bagaimana muzik daripada pelbagai genre menghubungkan orang dari pelbagai kewarganegaraan, bahasa dan budaya.

"Ia mencerminkan kejayaan luar biasa AirAsia, terima kasih kepada visi pengasas," ujarnya.

Ketua Juri Roslan Aziz yang mengikuti perkembangan undi harian mengakui, band kegemarannya berubah kedudukan hampir setiap hari.

"Persaingan begitu sengit di antara 10 band terbaik. Terdapat band yang mendapat undian tertinggi sejak dari awal lagi. Saya turut mendengar muzik band tersebut setiap hari bagi memahami muzik mereka dengan lebih baik.

"Saya ingin membantu tiga band yang berjaya memasuki final nanti untuk terus meningkatkan prestasi mereka," katanya.

Kahwin : Megan Fox Tak Undang Keluarga

Posted: 02 Jul 2010 06:52 PM PDT

Brian Austin dan Megan Fox

PELAKON Megan Fox dan Brian Austin Green bertekad menjalankan upacara perkahwinan secara rahsia, biarpun tanpa pengetahuan keluarga mereka.

Dikhabarkan Fox telah bernikah dengan Green di Hawaii pada minggu ini. Biarpun ramai yang memberitahu acara perkahwinan tersebut dilangsungkan secara besar-besaran, namun pihak keluarga bintang Transformers ini tidak dijemput.

Malah, ayah Fox, Franklin mengaku dia mengetahui perkara tersebut setelah upacara berakhir. Fox menghubunginya untuk memberitahu berita gembira itu.

Dalam wawancara dengan RadarOnline.com, ayah pelakon ini mengatakan: "Megan memberitahunya setelah upacara selesai, lalu mengirimkan gambarnya melalui telefon bimbit.

Dia kelihatan sangat bahagia dalam gambar yang dikirimkannya. Saya pernah bertemu Brian sebelum ini. Dia pemuda yang baik dan saya harap mereka bahagia," katanya.

Di Sebalik Perceraian Sandra Bullock

Posted: 02 Jul 2010 06:51 PM PDT

Sandra Bullock dan Jesse James hadir ke parti Vanity Fair Oscar di West Hollywood, California pada awal tahun ini. Sandra Bullock menang anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam filem The Blind Side.

RAMAI pihak memanjatkann rasa syukur minggu ini apabila Sandra Bullock bercerai secara rasmi dengan suaminya, Jesse James.

Perceraian pasangan selebriti itu dilakukan hanya dalam tempoh tiga bulan dari saat pertama timbulnya dakwaan Jesse curang terhadap isterinya.

Walaupun pasangan tersebut tidak terikat dengan undang-undang lagi, hubungan mereka masih berterusan.

"Mereka tidak berbicara setiap hari, tetapi mereka saling berhubungan berkaitan hal-hal tertentu," jelas sumber dalaman kepada sebuah media.

Hal-hal yang dibincangkan oleh mereka adalah berkisar kepada anak-anak mereka dan tidak lebih daripada itu.

Umum mengetahui, James merancang berpindah ke rumah Bullock di Austin dengan anak-anak mereka iaitu Chandler, 15, Jesse Jr, 12, dan Sunny, 6.

Dia membuat keputusan itu setelah mendapatkan persetujuan daripada Bullock yang dilaporkan akan terus bersama pengasuh anak-anak mereka.

"Dia mempunyai tujuan (berbuat demikian)," kata seorang teman James.

James dilaporkan ingin berbaik-baik semula dengan Bullock. "Dia mahu mendapatkan kehidupan dan keluarganya kembali."

Hujan, Bunkface Gegar KL Life Centre

Posted: 02 Jul 2010 06:51 PM PDT

PETALING JAYA: Dua band Indie popular tanah air iaitu Hujan dan Bunkface bakal bergabung bagi menjayakan konsert sempena Festival Muzik Kuala Lumpur 2010.

Kumpulahn itu akan mengegarkan KL Life Centre pada 10 dan 11 Julai ini, pukul 8.30 malam.

Tiket-tiket berharga RM50 ini boleh didapati di kaunter Ticket2u (Istana Budaya) atau di KL Life Center pada hari persembahan.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi 03 4149 8600 atau layari www.ticket2u.biz dan www.klfestival.org.my.

Kajol Kuat Makan Kerana Hamil

Posted: 02 Jul 2010 06:48 PM PDT

AKTRES Bollywood, Kajol yang sedang mengandung anak kedua tidak menjaga pantang larang dan diet ketika mengandung.

Khabarnya, Kajol akan makan apa sahaja yang dimahunya tanpa rasa bersalah. Dia juga tidak perlu bersukan atau menjaga badan ketika hamil mengambil peluang itu secukupnya untuk manikmati makanan.

Sebuah sumber yang dekat dengannya mengatakan bahawa akhir-akhir ini Kajol sangat bernafsu dengan makanan India Selatan.

Baru-baru ini juga Kajol telah meminta Muthuswami, seorang tukang masak yang terkenal dari Mumbai untuk memasak di rumahnya.

Dalam pada itu, pelakon Kuch-Kuch Hota Hai ini juga memutuskan untuk mengadakan festival kecil India Selatan di rumahnya dan mengundang beberapa teman untuk menikmati makanan-makanan tersebut.

Anak Najib Dikagumi Berucap Dalam Mandarin Di Universiti Beijing

Posted: 02 Jul 2010 06:47 PM PDT

Rosmah bersama para pelajar China dan Malaysia di The Beijing Foreign Studies University semasa lawatannya ke universiti tersebut pada 14 Jun lalu. Beliau menemani anak bongsunya, Norashman (lima dari kanan), yang mengikuti kursus bahasa Cina selama tiga minggu.

BEIJING: Kursus lanjutan selama tiga minggu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) membawa hasil kepada Norashman Razak, anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, apabila membuat satu ucapan dalam bahasa Mandarin yang mengagumkan para guru dan rakan pelajarnya.

Selain sebutan yang betul, Norashman juga menggunakan banyak ungkapan dalam ucapannya itu pada satu majlis tamat kursus hari ini. Hadir sama pada majlis itu ibunya Datin Seri Rosmah Mansor.

Dengan diberi gelaran nama Cina, Ji Ping, beliau mendapat pujian daripada Presiden BFSU Prof Chen Yulu, kerana usaha gigihnya semasa mengikuti kursus itu.

Norashman juga menerima sijil dan diiktiraf sebagai alumni universiti berkenaan.

"Walaupun saya hanya berada di sini selama tiga minggu, penguasaan bahasa Mandarin saya meningkat dengan banyak sekali. Bukan saja saya boleh bertutur dalam bahasa Mandarin, saya juga banyak pelajari mengenai budaya Cina dan masyarakat Cina di sini," kata Norashman dalam ucapannya itu.

Beliau berkata bahawa semasa pengajiannya selama tiga tahun di Amerika Syarikat, beliau sekadar berpeluang bertutur bahasa Mandarin semasa dalam kelas dan kurang menggunakannya di luar. "Mandarin merupakan satu bahasa yang perlu ditutur selalu, jika tidak, kita akan lupa menyebut perkataan dengan intonasi yang betul. Intonasi yang tidak betul membawa maksud yang lain pula.

Rosmah Mansor (duduk, kedua dari kiri) dan anaknya, Norashman Razak (duduk, kiri), Presiden Beijing Foreign Studies University, Profesor Chen Yulu (duduk, kedua dari kanan) dan Timbalan Duta Malaysia di Beijing, Lim Juay Jin (duduk, kanan) bergambar dengan para pelajar dan pensyarah universiti selepas majlis kesyukuran untuk Norashman yang berjaya menamatkan kursus bahasa Cina, hari ini.

"Di BFSU, saya mendapat peluang terbaik untuk berlatih bercakap kerana saya mempunyai ramai kawan Cina dan pelajar Malaysia," katanya.

Beliau berkata penguasaan bahasa Mandarin oleh pelajar dari Malaysia di sini amat baik walaupun mereka baru setahun mempelajarinya.

Norashman berkata tempoh tiga minggu itu agak singkat dan beliau berharap dapat kembali ke BFSU untuk mengikuti kursus lanjutan.

Hasrat beliau disokong oleh ibunya yang berkata Najib bersetuju agar Norashman mengikuti kursus selama sebulan di BFSU tahun depan.

"PM cadangkan Norshaman datang balik selama sebulan tahun depan, selain untuk sama-sama menyambut ulang tahun ke-70 BFSU sebagai alumni," kata Rosmah.

Katanya Najib mahu Norashman menguasai bahawa Mandarin supaya beliau (Najib) dapat berkomunikasi lebih baik dengan masyarakat Cina di Malaysia.

Pakaian Khas Hari Kemerdekaan Diperkenalkan Kepada PM

Posted: 02 Jul 2010 06:45 PM PDT

Najib (dua, kanan) melihat pakaian yang direka khas sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 hasil rekaan Kraftangan Malaysia ketika diperkenalkan oleh Rais Yatim (kanan) sebelum mempengerusikan mesyuarat kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Sebanyak 16 pakaian yang direka khas oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 tahun ini diperkenalkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rekaan itu termasuk 11 pakaian lelaki dan lima pakaian wanita, diperkenalkan kepada Perdana Menteri sebelum beliau mempengerusikan mesyuarat kabinet di sini hari ini.

Beliau diiringi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Menurut Pengarah Bahagian Rekaan Kraftangan Yusak Mahamud berkata, kesemua rekaan adalah berkonsepkan bunga raya dan Jalur Gemilang.

Enam pereka terlibat dalam penghasilan kesemua rekaan itu yang mengambil masa dua minggu untuk dihasilkan, katanya kepada Bernama di sini hariini.

Katanya beliau difahamkan Perdana Menteri akan memilih satu rekaan yang sesuai yang akan dipakai oleh Menteri-Menteri Kabinet pada sambutan Hari Kemerdekaan.

Buku Sejarah Tawau Dilancarkan Hari Ini

Posted: 02 Jul 2010 06:43 PM PDT

Yee Moh Chai (dua, kanan) memberi salam tahniah kepada Penulis Ken Goodlet (dua, kiri) selepas majlis Pelancaran Buku bertajuk Tawau The Making of A Tropical Community di Wisma Bandaraya dekat Kota Kinabalu, hari ini. Turut sama Penerbit buku Datuk C.L Chan (kanan) dan tetamu khas Datuk Chin Su Phin (kiri).

KOTA KINABALU: Ken Goodlet tidak pernah menyangka bahawa pengalamannya selama tujuh tahun sebagai naib pengetua di sebuah sekolah di Tawau, akan memberi inspirasi kepada beliau untuk menghasilkan buku mengenai bandar berkenaan.

Sebenarnya, apabila warga Australia itu tiba di Sekolah St Patrick, Tawau, pada mulanya sebagai guru pada 1965 ketika berusia 25 tahun, beliau tertarik dengan kepelbagaian latar belakang etnik pelajarnya, berputik daripada minat beliau terhadap sejarah Asia.

Hari ini, 'Tawau: The Making of a Tropical Community' dilancar secara rasmi oleh Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Dr Yee Moh Chai di sini -- hasil kompilasi kerja-kerja dokumentasi Goodlet terhadap asal usul dan pembangunan Tawau sejak 1857 sehingga 2008.

"Hidup memang penuh dengan perkara di luar jangkaan. Saya, seorang warga Australia yang berada di Tawau selama lapan tahun pada 1960-an dan 1970-an, menulis mengenai sejarah sebuah bandar setelah sekian lama tinggal dan bekerja di sana.

"Masa itu, saya sedang mencari-cari subjek untuk ditulis oleh pelajar saya di Tawau, bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang boleh menarik minat saya dan para pelajar. Lantas, saya terfikir untuk menggalakkan mereka menemubual sanak saudara yang lebih tua dan menulis tentang sejarah keluarga mereka. Namun perancangan saya tidak lebih daripada itu," katanya pada majlis pelancaran itu.

Yee Moh Chai (kiri) bersama Penulis Ken Goodlet (dua, kanan) menunjukkan gambar-gambar bersejarah yang terkandung di dalam buku "Tawau The Making of A Tropical Community" selepas majlis Pelancaran buku tersebut.

Kisah mengenai Tawau, katanya mula berkembang dengan sendirinya, apabila 300 cerita berjaya digarap hasil temubual ini.

Goodlet mengunjungi dan berbual-bual dengan kaum keluarga sebahagian daripada pelajar berkenaan, dan beliau mengesahkan ketulenan cerita itu sedapat mungkin daripada bahan dokumentari dalam arkib negeri dan di tempat lain.

"Suatu hari, saya menyedari bahawa saya memiliki kisah mengenai Tawau yang unik dan tidak akan berulang dan saya perlu melakukan sesuatu mengenainya, jadi saya pun menulis tesis 80,000 perkataan untuk Sarjana saya pada 1997.

"Saya kemudian terfikir bahawa perkara paling wajar dilakukan ialah menerbitkan tesis berkenaan, yang diusahakan oleh Setiausaha Kerajaan Sabah ketika itu, Datuk K.Y. Mustafa, yang juga bekas pelajar saya, pada 2001. Saya merasakan kisah ini perlu dibaca oleh khalayak yang lebih meluas dengan menjadikannya mesra pengguna dan mengumpul cerita dari 1942 hinggalah ke masa sekarang - dari situlah idea menghasilkan buku ini tercetus," katanya.

Goodlet mengunjungi semula Tawau pada 2001, 2004 dan 2008 untuk penyelidikan dan temubual selanjutnya, ada di antaranya dengan bekas pelajar 40 tahun dahulu.

Buku yang beliau hasilkan itu dapat diperoleh di semua kedai buku sekitar Kota Kinabalu (dan tidak lama lagi di Kuala Lumpur dan Singapura) pada harga RM135 senaskhah.

Pengarah Urusan Opus Publications Datuk C.L. Chan berkata Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan membeli 200 naskhah untuk diedarkan kepada masyarakat setempat dan NGO di Tawau, manakala Hap Seng Consolidated Bhd pula membeli 208 naskhah untuk diagihkan secara percuma kepada setiap sekolah menengah di Sabah.

Goodlet bukanlah pendatang baru dalam penulisan buku sejarah di negaranya.

Pada 2007, beliau memenangi 'Energy Australia National Trust Award' untuk buku karyanya berjudul 'Hazelbrooks and Woodford: A Story of Two Blue Mountains Towns' yang diterbitkan pada 2006.

Penembak rakan terima padah

Posted: 02 Jul 2010 06:42 PM PDT


KERETA penjenayah yang ditembak mati di Bukit Tunku, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kealpaan seorang penjenayah kejam yang berjoli menggunakan wang hasil rompakan di sebuah kedai emas di Taman OUG di Jalan Klang Lama lebih tiga bulan lalu termasuk hobi berjudi di Genting Highlands mengundang padah apabila dia akhirnya mati ditembak semalam.

Difahamkan, polis menggunakan pelbagai sumber untuk mengumpul maklumat bagi menjalankan risikan sekali gus menjejaki suspek keturunan Cina dari Kodiang, Kedah berusia 39 tahun itu.

Satu sumber memberitahu, suspek yang digelarkan sebagai Taiko Kodiang itu dipercayai telah membazir semua wang hasil rompakan barang kemas bernilai RM500,000 di Taman OUG dengan membeli dadah dan berjudi.

Sikap suspek itu telah memberi petunjuk kepada polis menjejakinya.

Saya lemas dalam pujuk rayu Man - Rosmida

Posted: 02 Jul 2010 06:42 PM PDT


ROSMIDA (dua dari kiri) meminta maaf daripada ibunya, Zuraini Saad (kiri) sambil diperhatikan oleh bapanya, Rosli di Kuantan semalam.


KUANTAN - Rosmida Roslan, 15, memberitahu, dia bagaikan lembu dicucuk hidung apabila hanya menurut kehendak teman lelakinya dikenali sebagai Man ketika diajak melarikan diri pada 21 Jun lalu.

Katanya, dia mempercayai Man kerana lelaki itu yang dipercayai sudah berkahwin dan memiliki empat orang anak pandai memujuk rayu dirinya.

"Dia bercerita pelbagai kisah melanda hidupnya ketika itu seperti dia telah dihalau oleh ibu saudaranya. Kerana kasihan saya rela mengikut kehendaknya termasuk melarikan diri bersama Man," ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tas di sini semalam.

Dalam pada itu, dia memberitahu, Man turut mengajar dirinya untuk membalas khidmat pesanan ringkas yang dihantar oleh bapanya.

Tindakan selepas turun padang

Posted: 02 Jul 2010 06:41 PM PDT


LEBIH 25,000 peruncit yang masih belum memohon lesen barangan kawalan termasuk gula masih ada masa untuk mendapatkannya biarpun peraturan itu sudah berkuat kuasa 1 Julai lalu.


KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan hanya akan bertindak ke atas peruncit yang gagal memohon lesen gula, tepung gandum dan minyak masak selepas kakitangannya selesai turun padang bagi memberi penjelasan mengenai peraturan baru itu.

Peraturan itu sepatutnya berkuat kuasa kelmarin dengan mana-mana peruncit yang tiada lesen boleh didakwa di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi individu manakala syarikat pula nilainya mencapai RM250,000.

Namun hukuman berat itu tidak menakutkan para peruncit apabila hanya 35,000 daripada 60,000 peruncit di seluruh negara telah mendapatkan lesen yang dikeluarkan percuma oleh kementerian itu.

Keluarga lambat tahu anak hilang

Posted: 02 Jul 2010 06:39 PM PDT


AMINAH menunjukkan gambarnya bersama Norizan di RTK, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Keluarga seorang penghuni Rumah Titian Kasih (RTK) terkilan kerana mendakwa mereka hanya dimaklumkan mengenai kes kehilangan Norizan Nor, 39, selepas 18 hari kejadian itu berlaku.

Norizan yang menderita penyakit sawan, dikatakan hilang pada 12 Jun lalu sebelum pengurusan RTK menelefon anggota keluarganya di Kerteh, Terengganu bagi menyampaikan berita tersebut pada 30 Jun lalu.

Ibu wanita itu, Aminah Mahmud, 56, hairan kerana pihak pengurusan RTK telah membuat laporan polis mengenai kehilangan Norizan pada 12 Jun lalu tetapi tidak pula memaklumkan kepada mereka.

KD Tun Razak tiba di tanah air

Posted: 02 Jul 2010 06:39 PM PDT


Kapal selam KD Tun Razak tiba di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak semalam.


LUMUT - Selepas mengharungi pelayaran selama 64 hari melibatkan jarak 13,488 kilometer, kapal selam kedua negara, KD Tun Razak selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini tepat pukul 4.45 petang semalam.

Lebih manis ketibaan kapal selam itu turut diiringi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad dan Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Baginda yang juga Kapten Kehormat TLDM berangkat menyertai pelayaran kapal selam yang ditauliahkan secara rasmi pada 5 November 2009 lalu di Pangkalan Tentera Laut Sepanyol, Cartagena itu bermula di Pulau Langkawi pada sebelah pagi.

Sambutan rasmi ketibaan KD Tun Razak diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Lexus LS460 perlu servis khas

Posted: 02 Jul 2010 06:38 PM PDT


KERETA Lexus model LS460 yang dikatakan mengalami masalah pada enjin.


KUALA LUMPUR - UMW Toyota Motor, pengedar eksklusif kenderaan Lexus di Malaysia, akan mengendalikan kempen servis khas untuk model LS460 susulan laporan mengenai masalah enjinnya.

Menurut syarikat itu, kempen berkenaan akan mengatasi masalah fungsi spring injap yang didapati pada beberapa enjin V8 (4.6L) dan (3.5L) yang dikeluarkan di antara Ogos 2006 hingga Julai 2008.

Katanya, terdapat kemungkinan kecil ketidakstabilan atau bunyi bising enjin yang tidak normal pada enjin berkenaan.

"Dalam kejadian yang amat jarang berlaku, kemungkinan enjin terhenti semasa pemanduan. Bagaimanapun, tiada model lain Lexus atau Toyota di Malaysia berdepan dengan masalah itu.

Geng Kimpal terus hampa

Posted: 02 Jul 2010 06:37 PM PDT


ANGGOTA dan pegawai polis memeriksa mesin ATM di pasar raya Giant di Kelana Jaya yang cuba dirompak semalam.


PETALING JAYA – Nasib sekumpulan empat perompak ibarat lebai malang apabila usaha kedua mereka untuk mengopak sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sekali lagi menemui jalan buntu dalam kejadian di pasar raya Giant di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, perompak berkenaan terpaksa pulang hampa apabila kerja keras selama setengah jam gagal mendapatkan walau sehelai wang daripada mesin tersebut.

Difahamkan, suspek bergerak secara berkumpulan dengan masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang kimpalan berdasarkan penemuan beberapa peralatan untuk mengimpal serta tong gas Oxy atcytelyne untuk menebuk.

Kelmarin, sekumpulan dua perompak turut gagal melarikan wang daripada mesin ATM yang dilapah dalam satu kejadian di sebuah stesen minyak di Puchong.

Bancian bermula 6 Julai

Posted: 02 Jul 2010 06:36 PM PDT




KUALA LUMPUR - Orang ramai diminta memberi maklumat yang tepat kepada petugas Jabatan Perangkaan Malaysia yang akan menjalankan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 mulai 6 Julai hingga 22 Ogos ini.

Jabatan itu dalam kenyataannya memberitahu, seramai 30,000 tenaga kerja dilantik secara sambilan untuk bancian selama 48 hari di seluruh negara.

"Segala maklumat yang diberi individu dijamin sulit serta tidak boleh dihebohkan dan kerajaan akan menggunakan hasil maklumat untuk perancangan pembangunan sosio-ekonomi negara.

"Maklumat banci sangat penting kepada negara dalam mencapai kecemerlangan perancangan, penggubalan dan pelaksanaan polisi," katanya di sini semalam.

Menurutnya, sesiapa yang enggan menjawab, memberi maklumat palsu serta tidak mematuhi mana-mana peruntukan akta dan peraturan banci akan disabitkan kesalahan di bawah Akta Banci 1960.

Pengantin baru bakal dipenjara kerana merogol

Posted: 02 Jul 2010 06:33 PM PDT


MOHD. FADZIL (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka semalam.


MELAKA – Baru sebulan bergelar suami, seorang lelaki bakal meringkuk di dalam penjara selama tujuh tahun jika rayuan terhadap kes merogol remaja bawah umur tiga tahun lalu ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Kamal Jamaludin menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Mohd. Fadzil Hamid, 25, selepas meneliti semua fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman.

"Selepas meneliti dan mendengar keterangan kes, saya melihat terdapat perbezaan antara rogol dalam erti kata sebenar dengan rogol disebabkan mangsa bawah umur "kata Hakim".

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah merogol remaja perempuan yang berusia 15 tahun ketika itu di sebuah rumah di Padang Temu, di sini pada 14 Ogos 2007, pukul 4.30 petang.

Loceng pada kabel telefon perangkap pencuri

Posted: 02 Jul 2010 06:33 PM PDT


Orang ramai melihat lelaki dipercayai cuba mencuri kabel telefon di Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Jeram Tekoh di Gua
Musang kelmarin.


GUA MUSANG - Seorang lelaki dipercayai terlibat mencuri kabel telefon di Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Jeram Tekoh dekat sini diberkas oleh penduduk di situ yang memerangkapnya dengan memasang loceng-loceng kecil pada kabel sebagai satu cara mengesan.

Lelaki berusia 20-an itu, yang diberkas pada pukul 5 pagi kelmarin berhampiran Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh kemudian diikat pada sebatang pokok selama empat jam sebelum dia diserahkan kepada polis.

Seorang penduduk, Abdul Aziz Mohamad, 57, berkata, usaha menangkap pencuri dijalan secara bergotong-royong kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini penduduk Jeram Tekoh tidak dapat menggunakan telefon di kediaman masing-masing akibat kabel kerap dicuri.