Adsense

Khamis, 25 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Hubungan kami sekeluarga baik - Ashraf Muslim

Posted: 25 Jul 2013 07:40 AM PDT

Oleh MUHAMMAD AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 25 Julai - Serik dengan kata-kata orang luar mengenainya, pelakon Mohd. Ashraf Muslim, 32, hari ini tampil bagi menjernihkan keadaan berkenaan kes poligaminya yang telah memakan diri.

Menurut empunya badan, sebagai ketua keluarga, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menjaga keharmonian keluarganya daripada menjadi perbualan ramai.

"Sebenarnya isu poligami ini antara saya dan isteri-isteri saya sudah pun kembali jernih. Apa yang membuatkan ia keruh adalah kerana cakap-cakap orang di luar yang tidak mengetahui perkara sebenar," katanya pada sidang akhbar di Menara Mara, di sini hari ini.

Ashraf sebelum ini menjadi bahan bualan kerana mengaku bernikah kali kedua dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi, 29, tanpa mendapat restu dan berbohong kepada isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman, 26.

Ditanya mengapa dia hadir ke sidang akhbar ini berseorangan, jelasnya, kedua-dua isterinya sedang keluar bersama dan dia sendiri belum bersedia untuk membawa mereka bertemu media.

"Buat masa ini, hubungan mereka berdua baik. Malah, sekarang pun mereka sedang bersama dan sedang berjalan-jalan.

"Saya sudah katakan pada mereka, buat masa ini, biar saya seorang dahulu yang tampil menjernihkan keadaan melibatkan orang di luar sana. Bila masanya sudah sedia, saya akan bawa mereka bertemu dengan pihak media," jelasnya. - UTUSAN ONLINE

Cinta baharu Saleem

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh Aida Rizmariza Kamaruddin
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

Menjangkau separuh abad, lontaran suara Saleem tetap memukau.

TELAH dibuang segala keperitan lalu. Ruang yang kosong itu kemudiannya diisi semula dengan azam baru, mahu berubah dalam erti kata sebenarnya. Enggan menoleh kebelakang lagi, langkahnya itu dikuatkan pula dengan derapan semangat yang berkobar-kobar dan menyala.

Menjelaskan kenapa dia terus muncul dalam persada seni, menurut Saleem, niat itu kembali setelah dia terus-terusan disapa peminat yang merindui suara gemersiknya.

"Kepercayaan mereka membawa saya terus berdiri hari ini. Dalam memastikan jasa peminat terus dikenang, saya akan terus bernyanyi. Dan jika ada yang bertanyakan bila akan bersara, jawapannya mudah sahaja.

"Saleem akan berhenti menyanyi apabila tiada lagi sokongan dari peminat," katanya positif.

Barangkali tidak ramai yang tahu, akibat terlalu kecewa dengan hidupnya suatu ketika dahulu, Saleem pernah mahu mengucapkan selamat tinggal kepada dunia nyanyian.

Sepanjang dua tahun mengikuti kumpulan tabligh, dia banyak mendalami ilmu agama, selain lebih banyak berdiam diri daripada aktiviti seni.

" Saya rasa diri tidak dipedulikan lagi dan saya hampir-hampir berhenti jadi penyanyi, tetapi hasrat itu tidak menjadi," katanya berkongsi kisah peribadi.

Bagaimanapun, hari ini dia kekal terus menyanyi. Selain kerana periuk nasi, dia juga tidak mahu menghampakan peminat yang sering mendoakan kebahagiaan dirinya.

Bercakap soal masa lalu juga, Saleem atau nama sebenarnya AM Saleem Abdul Mejeed, 51, percaya semua kisah sedih dan kecewa itu menjadi guru terbaik.

Masalah besar yang pernah membelenggu dirinya seperti ketagihan dadah, tidak berdisiplin dan sebagainya, Saleem mengakui dirinya bukanlah insan sempurna.

Jika kesilapan lalu mahu terus dijadikan modal untuk menghentam dirinya, dia percaya akan sampai suatu masa perkara itu berhenti sendiri.

"Kalau nak jadikan saya idola dalam bidang nyanyian tidak apa, tetapi jangan ikut apa yang pernah saya lakukan. Jangan ikut saya yang pernah menjadi penagih dadah, itu pesan saya.

"Saya tahu orang akan terus berkata, tetapi saya kenal diri saya, isteri dan keluarga kenal diri saya, itu sudah memadai sebenarnya. Apa yang boleh saya katakan kini, saya sudah sihat dan mampu memberi sepenuh perhatian buat karier," katanya.

Tidak versatil

Melihat kemunculan lebih ramai penyanyi baru ketika ini, Saleem tidak menafikan turut terdetik di hati kecilnya perasaan cemburu. Bagaimanapun meneliti kembali peluang yang dikecapi penyanyi kini cukup mudah dan lebih mudah dipersiakan, dia bagaimanapun bersyukur dengan pengalaman lalu miliknya.

Susah payah yang ditanggung Saleem dan rakan seangkatan, menjadikan nilai mereka lebih mahal dibanding artis segera hari ini.

"Berbanding dahulu, saya hanya dibekalkan dengan suara serta keinginan yang kuat. Bagaimanapun melalui itulah saya dibentuk.

"Berbeza kini, peluang yang dikecapi begitu mudah, malah dengan begitu ramai penyanyi kini mereka seakan hilang arah untuk membentuk keunikan diri sendiri. Semua penyanyi dilihat sama, tiada yang membezakan mereka," katanya.

Ramadan dan album baharu

Seperti lain-lain insan, kehadiran bulan mulia ini turut dinikmati oleh Saleem bagi memantapkan diri dengan ilmu-ilmu ketuhanan.

Enggan menerima sebarang tawaran nyanyian, kehadiran Ramadan juga adalah masa tambahan untuk dia meluangkan lebih masa bersama keluarga.

"Saya memang jarang menerima tawaran di bulan Ramadan, bukanlah nak cakap saya betul-betul nak tumpukan buat amal ibadat.

"Selain menghargai bulan mulia ini, saya juga pilih untuk meluangkan masa dengan keluarga saya. Bukan sahaja memastikan saya berbuka bersama tetapi ibadat sahur juga bersama mereka," katanya.

Bercakap soal album baharunya, Cinta Kita Berbeza, Saleem memberitahu gelaran sebagai artis senior memerlukan dia terlebih peka akan kualiti album tersebut.

Sebagai artis lama, dia sendiri akan memastikan isi kandungan album baharu ini benar-benar serasi dengan kehendak dirinya dan diterima di pasaran.

Mengambil masa dua tahun menyiapkannya, Saleem yakin ini merupakan buah tangan terbaik buat peminatnya.

"Dua tahun saya siapkan album ini. Kalau dilihat pemilihan lagu dalam album ini lebih mencerminkan apa yang saya mahu.

"Selain vokal antara kelebihan album ini adalah lirik-lirik lagu yang lebih bermakna ," katanya.