Adsense

Rabu, 5 Jun 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Pak Sudin sudah tiada

Posted: 04 Jun 2013 04:10 PM PDT

Seniman hembus nafas terakhir di Singapura pada usia 84 tahun, alam senimatik Melayu ratapi pemergian legenda

Seniman seangkatan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, S Shamsudin atau nama sebenarnya, Samsudin Dali, 84, meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di West Avenue 6, Bukit Batok, Singapura, pagi semalam.

Anak bongsunya, Mohamed Arifin, 44, yang berada di rumah ketika kejadian itu berkata, pada mulanya dia terdengar ibu, Puteh Ismoon, 77, menjerit memberitahu ayah tidak sedarkan diri ketika bersarapan.

Tak pernah mengadu sakit

Mohamed Ariffin berkata, dia terus menghubungi hospital dan melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada ayah sementara menunggu ambulans tiba.

"Ketika ibu menyuapkan mi rebus, arwah meminta minuman jus epal. Ketika ibu masuk semula ke bilik, ibu dapati ayah sudah tidak sedarkan diri ketika bersandar di atas katil. Lalu ibu terus menjerit nama saya.

"Saya terus melakukan bantuan CPR sementara menunggu ambulans sambil dibantu pegawai kesihatan yang berada dalam talian ketika itu, tetapi gagal," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini, semalam.

Mohamed Arifin berkata, ayah kemudian dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan (NUH) sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.56 pagi.
"Sepanjang tiga tahun terlantar akibat penyakit batuk kering dan Parkinson, arwah tidak pernah mengadu sakit dada atau mengalami serangan jantung. Bagaimanapun, pagi tadi (semalam) wajahnya kelihatan pucat," katanya.

Allahyarham terkenal dengan lakonannya bersama P Ramlee dan Datuk Aziz Satar dalam beberapa filem komedi termasuk Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok, Tiga Abdul dengan filem terakhir pada 2010, Eee Hantu! arahan Majed Salleh.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, tujuh anak dan 14 cucu. Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Pusara Abadi Chua Chu Kang, Singapura kira-kira jam 10 pagi, hari ini.

Selain teman seangkatan dan artis generasi baru, pemergian Allahyarham yang lebih mesra disapa Pak Sudin turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melayangkan mesej melalui Twitter mengenai kematian Pak Sudin serta mendoakan rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Renung wajah isteri

Sementara itu, Puteh berkata, sejak kebelakangan, arwah sentiasa merenung wajahnya dan meminta badannya dibersihkan dengan kerap selain tidak banyak berkata-kata.

"Saya ada beberapa kali meminta maaf kepada arwah. Namun arwah beritahu tidak perlu meminta maaf kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

"Saya bersyukur apabila hajat terakhir arwah ingin menikmati mi rebus dapat ditunaikan. Arwah sempat menjamah juadah itu sebelum meninggal dunia," katanya.

Turut hadir menziarahi Allahyarham, rakannya yang juga pelakon veteran, Abdul Wahid Ahmad, 83, atau dikenali sebagai Wahid Satay.

Wahid menyifatkan pemergian Allahyarham suatu kejutan. Baginya arwah adalah seorang abang yang banyak membantu pada zaman Studio Jalan Ampas.

"Ini suatu kehilangan besar. Arwah yang membawa saya berjumpa dengan P Ramlee dan Datuk Aziz Satar, selain banyak membantu saya walaupun kami berlainan syarikat penerbitan.

"Kali terakhir saya berjumpa arwah adalah ketika menghadiri majlis penghargaan artis veteran bersama bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim di Kuala Lumpur, awal tahun ini," katanya.

Aktor muda rahsiakan umur isteri

Posted: 04 Jun 2013 04:04 PM PDT

Cik Normah kurang faham mengapa sesetengah orang terutama wanita tidak suka dedahkan usia sebenar mereka. Seolah-olah mendedahkan umur itu ibarat melanggar pantang larang.

Tak faham Cik Normah kenapa malu mendedahkan usia sedangkan umur hanyalah angka. Lagipun umur bukanlah pengukur kebahagiaan sesebuah rumah tangga.

Dalam hal ini, Cik Normah mengagumi pelakon drama Rosnah Mat Aris. Kak Ros tidak pernah malu bersuamikan lelaki muda walaupun jarak usia mereka berbelas tahun. Daripada cerita yang Cik Normah dengar, rumah tangga Kak Ros nampak bahagia dengan suami yang dikenali sebagai Blue itu.

Begitu juga dengan anak penyanyi Andy Flop Poppy yang baru-baru ini mengakui mencintai wanita lebih berusia darinya. Megat Daniel Azreen berusia 21 tahun, manakala kekasihnya pula berusia 34 tahun. Selamba saja Megat Daniel mendedahkan perkara itu tanpa rasa malu.

Jadi Cik Normah berasa pelik kenapa seorang artis ini sibuk sangat merahsiakan umur isterinya. Setiap kali ditanya berapa usia isterinya, si artis mengelak. Apa yang hendak dimalukan sehingga beriya-iya berdolak dalih soal umur?

Tapi melalui maklumat yang rakan-rakan Cik Normah risik daripada orang terdekat si artis, isterinya berusia 31 tahun manakala dia pula berusia 23 tahun. Mungkin si isteri malu barangkali kerana jarak usianya dengan artis itu berbeza lapan tahun.

Pada Cik Normah, kalau setakat lapan tahun buat apalah yang hendak dimalukan sangat. Sebaliknya dia kena rasa berbangga sebab menjadi pilihan pucuk muda. Tak gitu?