Adsense

Rabu, 29 Mei 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


'Beego bukan lelaki jahat'

Posted: 28 May 2013 05:30 PM PDT

Linda Hashim tetap pertahankan tunang, bakal naik pelamin 8 Jun

Jauh di sudut hatinya wujud rasa kesal apabila banyak pihak yang sudah pun menjatuh hukum ke atas tunangnya, Md Aszerul Nizam Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Beego, 32, biarpun kes khalwat membabitkan pelakon dan penyanyi itu belum selesai.

Malah, hakikat perbicaraan yang belum berkesudahan itu tidak menghalang pelakon, Norhazlinda Hashim, 28, untuk menerima lelaki berkenaan sebagai pasangan hidup. Kedua-duanya akan disatukan dalam majlis akad nikah yang direncanakan berlangsung Jun ini.

Bagi wanita yang dikenali sebagai Linda ini, dia bukan sekadar menerima Beego sebagai suami, sebaliknya dia bertegas mengetahui kebenaran di sebalik peristiwa hitam yang menimpa bekas anggota kumpulan Phyne Ballerz itu.

"Bila orang ramai membaca ceritanya ditangkap khalwat, orang fikir dia jahat. Tanpa mengetahui cerita sebenar, orang sudah menghukum dirinya. Saya, peguam, keluarga dan kawan-kawannya tahu cerita sebenarnya, malah saya tidak pernah terfikir dia lelaki jahat.

"Antara kami pula memang sudah jodoh. Bukan masalah yang dihadapinya juga yang membuatkan saya menerima Beego. Apabila saya bersama dengannya, kami langsung tidak terfikir mengenai masalah ini. Malah, Beego bukanlah seorang yang bermasalah, sebaliknya masalah itu yang datang kepadanya.

"Cuba fikir, kalau dia betul-betul salah, buat apa dia nak membazirkan masa naik turun mahkamah? Baik saja dia mengaku dan bayar denda. Namun dia mahu melawan demi membersihkan namanya. Sebab itulah kes berkenaan masih berjalan sampai sekarang," kata Linda ketika dihubungi HIP.

Doa kebenaran terbukti
Pelakon yang sedang menjalani penggambaran telefilem, Bawalah Aku Pulang, ini sendiri sentiasa berdoa semoga kebenaran terbukti sedikit masa lagi.

"Saya mendoakan agar dia menang dalam kes ini dan orang ramai akan tahu kebenarannya. Memang nasibnya memang begitu. Kita tidak pernah merancang perkara ini terjadi, namun saya tetap terima segala ujian yang menimpa.

"Beego lelaki yang jujur dan ikhlas, bahkan dia bijak mengambil hati saya dan keluarga," kata Linda.

Linda dan Beego mula intim sejak membintangi drama Seuntai Tasbih pada Jun tahun lalu dan mengambil keputusan bertunang lima bulan kemudian. Pasangan ini akan bernikah di sebuah masjid di Wangsa Maju pada 7 Jun, disusuli majlis persandingan pada malam esoknya di Dataran Karyawan Finas, Hulu Klang.

Menurutnya, persediaan ke arah itu sudah pun hampir siap sepenuhnya dan dirinya sendiri masih sempat meluangkan masa menyediakan cenderamata untuk tetamu ketika sibuk berlakon.

Tunai umrah selepas kahwin

Berkongsi mengenai perancangan selepas kahwin, Linda berhasrat untuk menunaikan umrah bersama suami dan jika tiada aral melintang, ia mungkin tertunai selepas Aidilfitri.

"Kalau nak cakap pasal bulan madu, kami sebenarnya tiada banyak masa sebab selepas kahwin saja sudah tiba bulan puasa, jadi waktunya agak suntuk. Kalau hendak berjalan jauh pun mungkin selepas raya. Cuma selepas berkahwin nanti, kami mungkin pergi bercuti dekat-dekat dulu, bersama keluarga dan kawan-kawan.

"Selepas kahwin saya akan tetap terus berlakon. Begitupun, apabila sudah berumah tangga, kita kena ada had juga. Bagaimanapun Beego tidak menghalang saya untuk terus aktif dalam seni," katanya yang turut berhasrat memulakan perniagaan sendiri bersama suami.

10 telefilem rebut trofi

Posted: 28 May 2013 05:25 PM PDT

Malam Anugerah Tribute P Ramlee berlangsung di Istana Budaya 7 Jun

Selepas ditunda bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, April lalu, malam Anugerah Tribute P Ramlee akhirnya akan diadakan 7 Jun ini bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya.

Anugerah yang julung kali diperkenalkan itu akan dipancarkan secara langsung di dua saluran milik Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV1 dan TVi, mulai jam 9 malam.

Sebanyak sembilan anugerah akan dipertandingkan berdasarkan 10 telefilem yang ditayangkan menerusi slot Tribute P ramlee di saluran TV1, sejak November tahun lalu hingga Mei 2013.

Sepuluh telefilem yang dicalonkan menerusi slot Tribute P Ramlee ialah Tunggu Sekejap arahan Along Kamaluddin, Getaran Jiwa (Michael Ang), Miang Buluh Keladi Birah (Bade Azmi), Di Mana Ku Cari Ganti (Osman Ali) dan Siapa Tipu Siapa (Aziz M Osman).

Turut dipertandingkan ialah telefilem Jodoh Kita (Ismail Yaakob), Titisan Kasih (Rashid Sibir), Pelamin Di Pusara (Murali Abdullah), Hanya Dikau (Amie Maziah) dan Selagi Cinta Berzikir (Erma Fatima).

Semua telefilem terbabit ialah projek khas terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.

Sembilan kategori dipertandingkan
Sementara itu, sebuah panel khas juri seramai tujuh orang dilantik bagi menilai kualiti setiap telefilem mengikut kategori yang ditetapkan.

Kategori yang dipertandingkan pada anugerah ini ialah Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pengarah Terbaik, Telefilem Terbaik, Skrip Terbaik dan Videografi Terbaik.

Sebuah anugerah khas turut diwujudkan bagi penganjuran pertama ini iaitu Anugerah Penampilan Istimewa Terbaik.

Pemenang bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000 berserta trofi, manakala pemenang kategori peminat, iaitu mereka yang berjaya meneka nama pemenang dengan tepat serta penghantar penyertaan terbanyak pula akan membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000.

Tema Sinema Klasik

Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Ahmad Jamali Mohd Yunos, berkata slot Tribute P Ramlee bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi beliau sangat berpuas hati dengan hasil garapan drama serta persembahan yang luar biasa.

Kriteria penjurian, katanya, ditentukan berdasarkan kepada elemen kreatif serta kemiripan dengan karya asal P Ramlee.

Bagaimanapun pihak RTM belum memutuskan sama ada anugerah itu akan dijadikan acara tahunan.

"Oleh kerana anugerah ini julung kali diadakan, kita masih tidak dapat menjangka hasilnya. Tetapi kita percaya, dengan kemampuan penerbit muda yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan anugerah itu nanti, ia bakal menjadi acara yang menarik.

"Setakat ini pihak RTM belum pasti sama ada menjadikan anugerah ini sebagai acara tahunan atau sebaliknya. Kita pastinya akan menjalankan kajian selanjutnya selepas penganjuran. Jika perlu diteruskan, mungkin kita akan mengubah konsep anugerah untuk menjadikan majlis itu lebih berprestij pada masa akan datang," katanya.

Majlis bertemakan Sinema Klasik itu akan dimulakan dengan acara permaidani merah yang dikendalikan oleh penyampai Nasional FM, Muaz; dan pelakon serta pengacara, Sazzy Falak.

Acara anugerah pula diacarakan penyampai Suria FM, Linda Onn; dan Terence Dass.

Sepuluh telefilem dipertandingkan:

1. Tunggu Sekejap (Along Kamaluddin)
2. Selagi Cinta Berzikir (Erma Fatima)
3. Miang Buluh Keladi Birah (Bade Azmi)
4. Di Mana Ku Cari Ganti (Osman Ali)
5. Siapa Tipu Siapa (Aziz M Osman)
6. Getaran Jiwa (Michael Ang)
7. Jodoh Kita (Ismail Yaakob)
8. Titisan Kasih (Rashid Sibir)
9. Pelamin Di Pusara (Murali Abdullah)
10. Hanya Dikau (Amie Maziah)

Kategori Dipertandingkan:

1. Pelakon Wanita Terbaik
2. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
3. Pelakon Lelaki Terbaik
4. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
5. Skrip Terbaik
6. Pengarah Terbaik
7. Telefilem Terbaik
8. Videografi Terbaik
9. Anugerah Penampilan Istimewa Terbaik