Adsense

Khamis, 16 Mei 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Shila dapat PR China

Posted: 15 May 2013 07:32 AM PDT

Kontrak lima tahun dengan stesen televisyen terbesar SMG jadi faktor kelulusan, mudahkan urusan teroka pasaran di Shanghai Perjalanan kerjaya Shila Amzah meneroka industri seni suara di China semakin selesa apabila dia memperoleh status Pemastautin Tetap (PR), bulan lalu. Kontrak lima tahun bernaung di bawah stesen televisyen paling besar di republik itu melayakkan Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Amzah, 23, memperoleh permit kerja dan PR.

Berasa bertuah kerana SMG sentiasa memastikan kebajikan dan keselesaannya dijaga baik, kepercayaan diberi tidak mungkin dipersiakan Shila.

"Pengurusan syarikat cukup profesional. Sebaik memenangi Asian Wave 2012, mereka maklumkan urusan permit serta dokumentasi di bawah tanggungjawab mereka. Tetapi saya tidak menyangka prosesnya secepat ini.

Kerjaya semakin lancar
"Dengan adanya PR, urusan kerjaya semakin lancar memandangkan saya kerap berulan -alik antara Kuala Lumpur dengan Shanghai. Saya juga selalu mengadakan persembahan di luar China," katanya yang berada di Kuala Lumpur, sejak awal bulan ini.

Dijadual terbang semula ke Shanghai, Khamis ini, Shila mengaku jadual padat sedia menanti bersama enam modul kelas setiap hari, selain memenuhi persembahan diatur SMG.

Antara perkara baru yang akan dilakukan sebaik tiba di Shanghai ialah berpindah ke kediaman lebih selesa di komuniti Melayu berhampiran lapangan terbang di Pudong.

"Sepanjang berada di Shanghai sejak tahun lalu, kami ditempatkan di hotel. Memang selesa, cuma tidak boleh memasak. Sesekali teringin juga menjamah masakan Melayu.

"Apabila dimaklumkan sudah ada kediaman sesuai ditambah lokasinya di penempatan yang turut dihuni beberapa keluarga Melayu, saya lega," ulasnya yang bakal ditemani pengurus peribadinya pulang ke Shanghai.

Shila berkata, dia sedih kerana kali ini ayahnya, ND Lala dan ibu tercinta, Fauziah Sarman perlu menguruskan hal di rumah serta mengendalikan urusan Shila Amzah Entertainment.

"Biarlah adik-adik pula bermanja dengan mak dan abah. Kasihan mereka yang masih belajar terpaksa ditinggalkan. Saya bersyukur mereka memahami situasi ini," katanya lagi yang cukup menghargai pengorbanan keluarga demi kejayaannya.

Kejutan dalam album Melayu baru

Tidak melihat kepulangan kali ini sebagai masa rehat, sebaliknya 'percutian' hampir sebulan selepas selesai mengundi kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), dimanfaatkan untuk menyudahkan pembikinan album Melayu.

Mengakui agak cerewet menjalani rakaman enam lagu baru, Shila sanggup menghabiskan sepanjang malam hingga menjelang subuh setiap hari bagi mendapatkan hasil terbaik.

Bagai pertembungan semula dengan insan yang berjasa dalam menghasilkan album era kanak-kanaknya, semua pihak yang menjayakan produk terbaru ini adalah mereka yang bersama Shila sejak album sulung ketika berusia sembilan tahun.

"Album kali ini cukup bererti kerana saya terbitkan sendiri. Agak besar saya laburkan untuk kualiti terbaik selain instrumen live. Walaupun mengambil masa dan modal besar, saya mahu ia berbaloi," ulasnya yang turut memberikan kejutan bersama lagu khas untuk peminat.

Kak Yan reda

Posted: 15 May 2013 07:28 AM PDT

Seniwati veteran positif lawan penyakit selepas buang tumor dan sel mati di kepala, bulan lalu

Pertuturannya kurang jelas, setiap kata yang diluahkan dari bibir perlu mengambil masa untuk diungkapkan. Begitulah keadaan seniwati Azean Irdawati selepas pembedahan membuang tumor dan sel mati di kepalanya, bulan lalu.

Azean atau lebih mesra dipanggil Kak Yan perlu melawan kemampuan diri untuk kembali mengingati persekitaran selepas daya ingatannya sedikit merosot.

"Alhamdulillah, Kak Yan masih kuat, nampak saja macam lemah," katanya yang berfikiran positif melawan dugaan penyakit ketika HIP melawatnya di kediamannya di Bandar Utama, Petaling Jaya, kelmarin.

Begitupun, setiap kali diajukan soalan, dirinya termenung seketika seolah memikirkan sesuatu untuk dijawab.

Kak Yan juga sukar melakukan kerja mudah seperti menghidupkan televisyen atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) hingga terpaksa meminta bantuan suami.

"Pembedahan itu tidak menyakitkan walaupun tempurung kepala Kak Yan dipotong untuk membuang sel mati yang mengganggu sistem badan.

"Sudah tidak ada apa yang nak Kak Yan rasa sakit. Kak Yan sudah lali dengan kesakitan sejak dulu.
"Kak Yan reda dengan apa yang bakal berlaku jika Allah meminta Kak Yan pulang kembali kepada-Nya apa yang sudah dipinjamkan," katanya dengan nada yang sangat rendah dan tersusun.

Sejak dibenarkan pulang dari Hospital Sungai Buloh pada 30 April lalu, Kak Yan menghabiskan masa di katilnya berehat. Pergerakan terbatas akibat berat badannya semakin naik selepas mengambil ubat steriod.

"Sejak keluar hospita,l Kak Yan cepat rasa lapar. Dua jam sekali pasti nak makan sehingga Kak Yan susah nak tidur.

"Tapi kini sudah semakin sihat dan kuat selepas Kak Yan tidak ambil lagi ubat steriod. Cuma Kak Yan perlu banyak berehat," katanya.

Kak Yan berkata, doktor menasihatkan supaya tidak menerima ramai tetamu bagi menjaga kesihatan.

"Kak Yan hanya menerima tetamu yang betul-betul memahami penderitaan Kak Yan dan ikhlas mengambil berat kesihatan Kak Yan," katanya yang sentiasa ditemani suami tercinta.

Tetap mengundi pada PRU-13

Walaupun pergerakan agak terbatas di luar, pelakon serba boleh ini tetap bersemangat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), baru-baru ini.

"Mengundi itu sudah tanggungjawab. Dari awal saya berjanji untuk mengundi biarpun apa yang berlaku.

"Saya mengundi di Parlimen Kampung Tunku dengan menaiki ambulans yang terpaksa disewa pergi dan balik dengan kos RM300.

"Apa pun, saya puas kerana hajat saya tercapai untuk mengundi bagi menentukan kepemimpinan kerajaan," katanya.

Kesihatan Kak Yan bergantung kepada pengambilan ubat berkala. Setiap bulan, ibu kepada pelakon Benjy itu memerlukan kos perubatan tidak kurang RM20,000.

"Alhamdulillah, buat masa ini makan dan minum tidak ada masalah kerana duit hasil daripada perniagaan Amway mampu menanggung kami sekeluarga.

"Cuma yang sangat berat adalah kos ubat yang mahal. Selain itu, fisoterapi yang harus dilakukan seminggu tiga kali dan kos membeli lampin pakai buang serta khidmat jururawat yang akan menguruskan Kak Yan tiga kali seminggu," katanya.