Adsense

Sabtu, 9 Mac 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


'Agama terbaik'

Posted: 08 Mar 2013 04:49 PM PST

Keputusan Marcell memeluk Islam akhiri polemik perkahwinan berbeza agama dengan pelakon Singapura, Rima Melati

Seakan akur kerinduan peminat yang sekian lama dahaga berita terbaru mengenai dirinya, Marcell begitu terbuka untuk berkongsi apa saja pada pertemuan yang diatur sempena Anugerah Bella 2013 siaran ntv7, Sabtu lalu.

Berganti topik mengenai kecederaan tulang belakang yang pernah hampir membuatnya lumpuh, serta keikhlasannya memeluk Islam selepas mencetuskan polemik apabila berkahwin ketika berbeza agama, Marcell tidak menepis setiap soalan yang diajukan.

Bagi pemilik nama lengkap, Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan, kemahuannya menganut Islam bukan untuk dibanggakan kerana pencarian menemui agama suci itu adalah sebahagian persediaannya menuju jalan abadi iaitu akhirat.

"Saya seorang gemar mengetahui dan mencungkil rahsia spiritual, membuatkan saya mendalami banyak agama. Jujurnya saya sudah lama tertarik untuk memeluk Islam, cuma belum saatnya hingga setahun lalu saya akhirnya yakin dengan pegangan yang dipilih.

"Saya mendapat rezeki bertemu penari Darwish, lalu diperkenalkan kepada tokoh sufi terkemuka asal Lubnan, Maulana Syekh Muhammad Hisyam Kabbani.

"Tidak dinafikan isteri saya, Rima Melati Adams banyak mempengaruhi saya untuk menjalani hidup dengan lebih baik.

"Kami dipertemukan dalam situasi yang berbeza namun cuba bertahan dengan menghormati pegangan agama masing-masing ketika mengambil keputusan berkahwin pada 28 Januari 2009 di Singapura.
Isteri tidak memaksa

"Rima sentiasa percaya, perbezaan yang kami jalani itu sebagai satu proses dan tidak pernah memaksa saya mengubah keyakinan hingga akhirnya saya yakin Islam agama terbaik untuk dianuti," katanya.

Marcell berkata, isterinya yang pernah popular menerusi drama Dendam adalah insan paling bahagia apabila dia memilih Islam kerana bebanan terutama penilaian masyarakat terhadap mereka sebahagiannya seperti dibawa pergi.

"Isu keyakinan terhadap agama adalah sesuatu yang tidak boleh dibohongi, bukan hanya pada hubungan kami berdua tetapi juga kepada masyarakat luar yang cuma menghukum tanpa pernah tahu apa yang kami lalui.

Ada yang beranggapan saya menukar ganti agama kerana perempuan, tetapi mengapa mereka tidak pernah cuba melihat saya sebagai manusia yang sentiasa mencari apa terbaik untuk diri ini.

"Saya tidak takut untuk terus mencari dan tak akan pernah berhenti mencari apa yang terbaik dalam hidup ini. Mungkin ada yang berasakan diri mereka hebat kerana dilahirkan sebagai Islam.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Ayuh kita hulurkan derma untuk Tabung Wira Lahad Datu

Posted: 08 Mar 2013 04:47 PM PST

BENARLAH kata ungkapan, manusia hanya boleh merancang tetapi Allah SWT yang menentukan segala-galanya. Setelah bertahun lamanya menyimpan hasrat untuk membawa Anugerah Bintang Popular BH ke Sabah dan merancang berbulan lamanya sehingga sudah mempunyai tarikh yang sesuai untuk berjumpa dengan rakan ABPBH di sana, tetapi hasrat itu terpaksa disimpan saja.

Ikut perancangan, hari ini teman, suku sakat dan rakan artis seperti Aaron Aziz, Adi Putra, Shaheizy Sam, Sleeq, Didie Alias, Shah Iskandar, Fara Fauzana, AG dan Along Cham sudah pun berada di Kota Kinabalu. Tetapi apakan daya kerana perkembangan terbaru di Negeri di Bawah Bayu itu tidak mengizinkan ABPBH untuk 'bikin gempak'.

Memang tak sesuai rasanya ketika sudah ada yang terkorban demi mempertahankan negara kita pula mahu 'happening' di tempat yang sama walaupun jarak Lahad Datu dan Kota Kinabalu adalah dalam tujuh, lapan jam perjalanan melalui darat. Rakan artis yang sudah mengosongkan jadual mereka untuk bersama-sama bertemu dengan peminat yang selama ini menyokong kegiatan seni mereka juga amat terkilan.

Bukan tak pernah mengunjungi bumi bertuah itu untuk apa saja aktiviti sama ada untuk bercuti atau memenuhi tuntutan kerja tetapi inilah julung kalinya mereka berada di Kota Kinabalu atas tiket ABPBH. Teman sendiri pun begitu teruja kerana sudah lama tidak ke Sabah. Kali pertama ketika teman masih bujang trang tang tang... Ketika itu memenuhi tuntutan kerja sebagai wartawan membuat liputan Tan Sri Musa Hitam yang melawat ke daerah Kundasang.

Nak dijadikan cerita...itulah satu-satunya peluang teman ke sana. Selepas itu ketika rakan sekerja Veena Rusli menjadi Ketua Biro BH di Sabah, berkali-kali juga sudah berjanji untuk mengunjunginya - nak makan udang dan makanan laut yang lain. Masa itu tak perlu risau fenomena 'red tide'. Kononnya hendak eat, pray, love di Kota Kinabalu yang teman akui memang destinasi yang menarik untuk dikunjungi. Janji memang sukar ditepati kerana tuntutan kerja yang sibuknya bagaikan tiada noktah.

Begitulah ceritanya sehingga pihak sekretariat ABPBH mahu mendekatkan lagi majlis anugerah yang bertujuan untuk memartabatkan artis tempatan melalui pilihan pembaca ke bumi indah itu. Teman tahu orang Sabah adalah penyokong setia ABPBH. Kebetulan ramai pula artis yang asalnya orang Sabah seperti Rich Estranged, Marsha Milan Londoh, Stacy, Adam dan yang terbaru adalah Jimmy Palikat dan Wawa Zainal.

Keputusan untuk tidak membawa ABPBH ke Sabah disambut dengan reaksi positif. Terima kasih rakyat Sabah kerana begitu memahami. Insya-Allah kalau ada rezeki dan ada penaja yang sudi untuk bekerjasama dengan BH, kami akan ke sana juga. Mana nak tahu apabila selesai segala kemelut ini barangkali BH akan membawa semua pemenang tahun ini.
Sebagai ganti, ABPBH dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) akan mengadakan majlis tahlil dan bacaan yassin untuk wira kita yang terkorban serta solat hajat memohon doa kepada Allah SWT agar menghindari segala musibah di bumi Malaysia ini terutama rakyat Sabah di Kompleks FINAS di Hulu Klang. Namun maaf ya...majlis ini adalah satu majlis tertutup dan kedatangan adalah melalui jemputan saja. Tak nak pula ada yang salah erti dengan majlis ini. Ini bukan majlis untuk raih undi.

Terima kasihlah rakan di FINAS terutama Pengerusi, Datuk Md Afendi Hamdan dan Ketua Pengarah, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah kerana sedia menjadi hos majlis itu. Terharu sungguh kerana hanya dengan satu panggilan mereka menerima kedatangan ABPBH dengan tangan terbuka. Jadi kepada mereka yang sudah dijemput itu, sudi-sudilah datang. Ini bukan majlis hiburan tetapi majlis yang mahu mengenang dan mendoakan kesejahteraan mereka yang terkorban serta mahu mengembalikan keamanan di Sabah.

Dalam majlis itu juga, pihak ABPBH akan membantu mengutip sumbangan daripada hadirin untuk diserahkan kepada Tabung Wira Lahad Datu yang dilancarkan oleh Media Prima baru-baru ini bagi membantu meringankan beban keluarga yang ditinggalkan suami dan ayah. Memang terharu sungguh teman membaca cerita mereka. Orang kata, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Jadi hulurlah sebanyak dan seikhlas mungkin. Kalau dengan seringgit, kita dapat mengubah hidup mereka apalah salahnya.

Teman pula sejak akhir-akhir ini memang tangkap syahdu. Dengar lagu Barisan Kita yang kerap diputarkan di TV3 dan radio buat teman begitu terharu. Sudah lama teman tak dengar lagu patriotik sebegini yang mengajak kita semua menghargai keamanan bumi tercinta. Khamis lalu, teman turut sebak apabila pelakon veteran Hamid Gurkha sebak dan menitiskan air mata mengenangkan anggota keselamatan yang terkorban ketika diwawancara dalam MHI di TV3.

Teman memanjat kesyukuran kepada Allah SWT kerana memberi nikmat, kesejahteraan dan keamanan itu di bumi tercinta. Teman tidak merasai kehidupan di zaman Jepun dan cuma mendengarnya daripada ibu bapa, datuk dan nenek. Tetapi sekurang-kurangnya teman dapat rasai kehidupan ketika tercetusnya 13 Mei dulu. Memang menakutkan. Pembaca budiman jangan kita robekkan rasa selamat dan aman ini. Alfatihah untuk anggota keselamatan yang terkorban dalam peristiwa pencerobohan Sabah baru-baru ini. Jumpa lagi!