Berita Harian: Hip |
Posted: 05 Jan 2013 02:51 PM PST Mahu jadikan musim 2013 lebih menyerlah dalam kerjaya seni suara, bukan hal peribadi Tidak semua yang mereka miliki hari ini datang hanya dengan berpeluk tubuh. Melewati laluan mencabar untuk memastikan diri kekal di hati peminat bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan. Barangkali langkah yang diatur tidak laju namun setidak-tidaknya dahan yang mereka paut memberikan sedikit ruang selesa untuk kedua-dua permata seni kelahiran Sabah ini bernafas. Melangkah ke tahun baru 2013, Stacy akur, cabaran besar sedang menanti untuk dirinya terus memperkemaskan kedudukan. Tidak seperti segelintir bakat muda yang mengambil jalan mudah dengan mencipta kontroversi untuk terus diingati, Stacy memilih langkah berbeza. Yakin dengan bakat besarnya, Stacy tidak gusar biarpun kelibatnya jarang menghiasi sama ada di media cetak mahupun elektronik. Tiada kontroversi Antara bintang AF yang konsisten dalam merencana kariernya, Stacy berkata, meskipun kurang publisiti namun tawaran persembahan berterusan diterimanya. Memikirkan nyanyian adalah punca rezeki utama, gadis berusia 22 tahun ini menyusun strategi sendiri supaya tidak hilang di mata peminat. Stacy percaya Tuhan akan memberikan rezeki jika dia tidak berputus asa. Kongsi bakat Mengimbas laluan yang ditempuhinya, ada ketika kata Stacy, dia bagaikan tidak percaya dirinya masih di sini untuk terus berkongsi bakat dengan peminat. "Untuk terus melangkah saya perlu sentiasa berfikir dan mencari strategi baru. Enam tahun mungkin ada yang melihat saya sudah selesa, tetapi perasaan itu tidak pernah ada dalam diri saya. "Selalu saya bertanya apa lagi yang mahu ditawarkan kepada peminat? Perjalanan itu menuntut kudrat yang bukan sedikit tetapi saya bersyukur kerana Tuhan menyusun setiap satu dengan baik. "Satu persatu lagu yang saya perkenalkan diterima baik peminat, membuatkan saya rasa bertuah kerana mereka sentiasa di sisi menyokong kerjaya saya," kata penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu Aku Stacy dan Kisah Dongeng ini. Berazam untuk tampil dengan album baru pada 2013, Stacy menjelaskan, proses mengumpul material sedang dilakukan. Apa yang memberikan kepuasan katanya, album terbaru ini turut mengambil kira pandangannya sebagai penyanyi yang menzahirkan sesebuah komposisi. Adira enggan layan gosip Helaian 2012 ditutup Siti Adira Suhaimi atau Adira, 21, dengan catatan perjalanan yang mengesankan. Semua itu diraih hasil populariti lagu duetnya bersama Hafiz, Ombak Rindu. Menerusi lagu itu juga, Adira berjaya membawa kerjaya nyanyiannya ke satu tahap lebih tinggi apabila Ombak Rindu meraih pelbagai pencalonan untuk beberapa anugerah hiburan berprestij. "Saya bertuah kerana fenomena filem itu membantu lagu Ombak Rindu menyerlah. Meskipun pernah memiliki tiga single seperti Ku Ada Kamu, Ilusi dan Sakura namun Ombak Rindu mencatat sesuatu yang manis untuk diingati. Saya tidak takut populariti Ombak Rindu membayangi lagu baru yang bakal diperkenalkan nanti. Setiap lagu memiliki keistimewaan tersendiri. Malah saya sentiasa mencari kelainan supaya peminat dapat melihat sesuatu yang baru daripada Adira," kata gadis berkulit mulus ini. Akur perjalanannya turut diuji dugaan apabila namanya dikaitkan dengan beberapa kontroversi, terutama membabitkan teman lelaki. Biarpun heboh diperkatakan, Adira selesa mengambil langkah berdiam diri kerana baginya tiada guna melayan gosip yang cuba mengalih fokus ramai terhadap karier nyanyiannya. "Gosip itu lumrah, malah saya berusaha untuk tidak terlalu mengambil tahu mengenainya. Orang bebas bercakap apa saja, itu hak mereka. "Alhamdulillah kerana gosip seperti itu tidak menjejaskan kerjaya. "Tidak mudah untuk berdiri di sini dan apabila memperoleh segala peluang di depan mata, mengapa perlu saya lepaskan hanya kerana tunduk kepada gosip," katanya berharap dapat meneruskan kerjaya seni dengan lebih terancang membawa strategi dan pendekatan berbeza. Cabaran bertanding dalam AJL Pernah bertanding di pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL), malam ini Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, menyaksikan Stacy dan Adira akan kembali berentap dalam acara yang mengiktiraf komposisi terbaik untuk 2012. Stacy mempertaruhkan ciptaan Taja dan isterinya, Tun Teja menerusi Pelangi Senja, manakala Adira bergabung kekuatan bersama Hafiz membawakan Ombak Rindu ciptaan Nurzaidi Rahman. Sinonim dengan pentas AJL, namun Pelangi Senja kata Stacy memberikan pengalaman berbeza kerana buat pertama kali dia mempertaruhkan lagu perlahan. "Sebelum ini penonton sudah terbiasa melihat saya membawakan lagu rancak, jadi mereka boleh menjangka bagaimana bentuk persembahan saya. "Berbeza kali ini, fokus saya terarah kepada vokal. Cabarannya juga lebih besar kerana lagu itu menuntut penghayatan berat dan mendalam. Andai Pelangi Senja berjaya, ia menjawab doa saya yang cuba membawa pembaharuan selepas sering menemani peminat dengan sentuhan rancak," katanya. Debaran makin hampir Debaran yang bakal dilalui diharapkan Agak bernasib baik kerana sering digandingkan dalam beberapa persembahan pentas, lantas keserasian antara mereka sudah lama tercipta. Cuma apa yang membimbangkan Adira, harapan yang diletakkan peminat memberikannya sedikit tekanan untuk berdiri di sisi Hafiz. "Mungkin ada yang beranggapan, saya bernasib baik kerana Hafiz banyak membantu memberikan nafas kepada Ombak Rindu. Persepsi itu tidak membuat saya lemah, malah mendesak saya untuk berusaha lebih keras membuktikan saya juga mampu menjadi yang terbaik. "Sebagai kawan, kami saling menyokong antara satu sama lain. Mudah bekerja dengannya kerana Hafiz seorang yang merendah diri, malah kejayaannya menjadi contoh untuk saya menggapai setiap impian," katanya. |
Posted: 05 Jan 2013 02:38 PM PST Dalam kesibukan Ashraf Muslim meneruskan bakatnya dalam bidang lakonan dan menguruskan produksi sendiri, fokusnya tetap diberikan kepada ilmu perubatan yang menggunakan ayat suci alQuran di Pusat Rawatan Islam AlHidayah yang kini beroperasi di Setiawangsa, Kuala Lumpur. Namun dalam diam, Ashraf dan bapa mentuanya, Lokman Abdul Hamid mempunyai impian besar untuk menubuhkan sebuah yayasan sebagai penggerak kepada kerja amal yang dijalankan seperti pusat rawatan alternatif dan terbaru, dia bersama bapa mentuanya menubuhkan Maahad Tahfiz alQuran AlHidayah (MATAH) yang memulakan operasinya tahun ini di Janda Baik, Bentong, Pahang. Ia mendapat sambutan menggalakkan yang mana pendaftaran sudah melebihi 1,000 pelajar. Pihak kami terpaksa membuat tapisan pelajar," Ashraf Muslim Tanah ihsan pesakit "MATAH akan beroperasi di tapak sementara di Lembah SumSum sebelum tapak sebenar seluas empat ekar yang akan dibina di Kampung Cheringin, Janda Baik, Bentong, Pahang, yang mana tanah itu diwakafkan oleh bekas pesakit yang pernah mendapat rawatan daripada kami dan dua ekar lagi dibeli menerusi wang disumbangkan pesakit yang membuat rawatan di Pusat Rawatan AlHidayah. Projek ini dijangka siap menjelang 2014. "Untuk permulaan, pengambilan pelajar tahfiz adalah seramai antara 40 hingga 50 pelajar setiap kali sesi pengambilan yang membabitkan pelajar tingkatan satu. Setakat ini, ia mendapat sambutan menggalakkan yang mana pendaftaran sudah melebihi 1,000 pelajar. Ini menyebabkan pihak kami terpaksa membuat tapisan pelajar. Sasaran kami, apabila tapak di Kampung Cheringin siap kelak, ia mampu untuk menampung seramai 300 pelajar sekali gus. "Selain itu, kami juga menitik beratkan kemudahan yang akan diberikan kepada semua pelajar di sini supaya mereka mendapat kemudahan kelas pertama kerana mereka ini adalah insan yang dipilih Tuhan untuk meneruskan pengajian alQuran," katanya. "Kami tidak mempunyai asas dalam bidang pendidikan untuk membangunkan maahad tahfiz, tetapi dipermudahkan dengan kerjasama yang diberikan Yayasan AsSofa untuk peringkat awal yang akan menyediakan tenaga pengajar dan silibus pembelajaran tahfiz. Lagipun kerjasama ini untuk memastikan pelajar bakal diterapkan konsep pengajian pondok moden, iaitu apabila tamat pengajian tahfiz nanti, mereka boleh memilih untuk memasuki pengajian peringkat profesional ataupun meneruskan dalam hafazan alQuran termasuk di Kolej Islam As Sofa," katanya ketika ditemui selepas majlis peletakan batu asas maahad berkenaan di Janda Baik. Ia disempurnakan Ulama Mesir, Dr. Sayyid Nafi' al 'Arabi al Sanusi. Aktif sebagai produser Pada masa sama, Ashraf juga giat mengembangkan sayapnya sebagai produser menerusi syarikat AlHidayah Production Sdn Bhd. Projek pertamanya ialah telefilem Aku Bukan Haji yang disiarkan sempena Aidiladha lalu menerusi TV AlHijrah yang menyaksikan Ashraf turut berlakon sebagai watak utama. "Memang selepas tayangan telefilem terbabit ada beberapa tawaran berlakon lain yang diterima, tapi tawaran itu terpaksa saya ketepikan dulu kerana fokus saya ialah kepada amalan perubatan Islam dan juga untuk syarikat produksi sendiri. Sekiranya saya berlakon mungkin hanya di bawah produksi sendiri. "Saya bukan memilih, sebaliknya biarlah kena dengan imej dan status saya sekarang. Lagipun berlakon di bawah produksi sendiri mudah untuk saya berkarya dan membuat garis panduan kepada pelakon dan kru sepanjang penggambaran dilakukan. Fokus penerbitan AlHidayah Production untuk menerbitkan drama dan telefilem yang menjurus kepada unsur Islam dan terbaru kami akan tampil dengan telefilem Surat Untuk Dia. Selain itu, di bawah produksi ini juga menyediakan perkhidmatan untuk pengurusan acara dan seminar. "Melalui drama dan juga telefilem, ia juga adalah bentuk dakwah yang boleh disampaikan kepada penonton kerana zaman kini pelbagai medium teknologi boleh digunakan untuk menyampaikan dakwah Islam," katanya yang turut merancang merancang membangunkan Hospital AlHidayah suatu hari nanti sebagai usaha menggabungkan perubatan moden dengan kaedah perubatan alternatif menggunakan ayat suci alQuran. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |