Adsense

Jumaat, 18 Januari 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Biarlah rahsia

Posted: 17 Jan 2013 09:17 AM PST

Diana Amir enggan jaja cerita kahwin, kongsi pengalaman hijrah dalam buku

Walaupun cincin tanda sudah tersarung di jari manis, namun bagi pelakon Diana Amir, selagi belum sah bergelar suami isteri, dia tidak akan bercerita mengenai kisah pertunangannya kepada khalayak.

Baginya, alam pertunangan bukanlah jaminan untuk dia bercerita mengenai pasangannya.

Malah, Diana, 26, berpegang teguh kepada kata-katanya apabila tetap mengunci mulut daripada mengulas majlis pertunangannya suatu ketika dulu. Jelasnya, tidak manis untuk dia mendedahkan perkara itu sedangkan ikatan berkenaan belum ada kepastian.

Pada majlis memperkenalkan pengacara baru bagi rancangan yang mengisi slot Raudhah TV9 di ibu kota, kelmarin, pelakon ini sekali lagi mengulangi pendirian untuk tidak mengulas lanjut mengenai tarikh pernikahannya.

"Tiada apa yang ingin saya cakapkan kerana saya memang tidak mahu bercerita apa-apa selagi perkara itu belum sahih. Tak mahu nanti apabila saya galak bercerita mengenai perkahwinan, tiba-tiba tak jadi kahwin. Tidakkah ia akan memalukan diri sendiri?

"Cuma, kalau boleh, saya memang ingin mempercepatkan tarikh perkahwinan. Apa pun, jika sudah sampai masanya saya akan maklumkan kepada semua," katanya.

Berhubung pembabitannya dalam arena seni selepas berumah tangga, Diana berkata, bakal suaminya tidak mempunyai masalah dengan kerjayanya itu.
"Setakat ini memang tiada masalah untuk saya terus bergiat dalam bidang seni asalkan tidak memalukan keluarga. Jika apa yang saya lakukan memberi kesan negatif dan memalukan mereka, saya akan mengundurkan diri," kata pemilik nama penuh Nurdiyana Amir Hashim ini.

Kisah benar

Hidayah diberikan Tuhan sehingga membawa kepada penghijrahan diri bakal diabadikan pelakon ini dalam buku. Selain berkongsi pengalaman sendiri, naskhah setebal 250 muka surat itu juga mampu menjadi bahan rujukan motivasi.

Menurutnya, keinginan untuk menulis pengalaman sendiri sudah lama wujud. Selepas bertemu penerbit yang sesuai dan berpeluang bekerjasama dengan penulis buku Khutbah Terakhir Rasulullah, Ibn Rijal, barulah hasrat itu dapat ditunaikan.

"Ia bukan saja memuatkan kisah benar saya, bahkan hadis sebagai bahan rujukan dan motivasi diri," katanya yang teruja mengendalikan program Semangat Intelek Swadaya atau SIS kerana ia mencabar keupayaan dirinya.

Jangan main-main

Sejak akhir-akhir ini juga, wajahnya jarang kelihatan di filem. Mungkinkah ia kehendaknya sendiri atau ada alasan lain membuatkan Dian lebih menumpukan kepada skrin kecil?

"Saya memang jarang berlakon filem, sekarang. Bukan tiada tawaran, cuma kebanyakan skrip yang diberikan tidak cukup keislaman. Walaupun kita tengok sinopsisnya ada unsur keagamaan, tapi hasilnya tidak begitu. Perkara berkaitan dengan Islam tidak boleh dibuat main-main," katanya yang bakal muncul dengan drama bersiri Musang Tak Berjanggut.

Hadiah terindah

Posted: 17 Jan 2013 09:14 AM PST

Konsert solo Anuar di Bukit Jalil gabung tenaga kerja, kreativiti terbaik

Tinggal sebulan saja lagi sebelum Konsert Muzik, Cinta dan Sanubari Anuar Zain berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil. Ketika ini, penyanyi bervokal mantap itu sibuk dengan persiapan untuk menghadapi hari yang penuh bersejarah buatnya sebagai seorang penghibur.

Sekian lama menanti, peminat Anuar kini berpeluang menyaksikan konsertnya berskala mega selepas tiga dekad dia menceburkan diri dalam seni.

Selain Anuar, antara insan belakang tabir yang bertungkus-lumus menjadikan persembahan itu sebagai kenangan terindah buat peminat ialah pengarah muzik konsert, Mac Chew, dan pengarahnya, Jennifer Thompson.

Kedua-duanya bulan calang-calang nama. Selain berpengalaman dalam bidang muzik berdekad lamanya, mereka banyak membabitkan diri di belakang tabir konsert artis popular tanah air lain. Justeru, tidak hairanlah andai Anuar memilih dua insan seni ini untuk bekerjasama.

Berkongsi cerita persediaan konsert, Mac berkata dia amat berpuas hati dengan komitmen Anuar.

"Muzik bagi semua lagu sudah siap disusun berdasarkan apa yang dimahukan Anuar. Memandangkan konsert ini ialah hadiah Anuar buat peminatnya, jadi dia lebih mementingkan lagu yang membolehkannya menyanyi bersama-sama mereka. Justeru, dari segi gubahan muzik, saya kena panjangkan tempoh lagu itu dan membuat perubahan dari segi korus.

"Anuar banyak memberi input dan idea dari segi muzik. Senang bekerja dengan Anuar kerana dia faham apa yang diinginkan," kata Mac yang banyak bekerja dengan penyanyi terkenal seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan Datuk Sheila Majid.
Katanya, bagi menjadikan sesebuah konsert berjaya, ia bukan bergantung kepada muzik semata-mata. Sebaliknya ia harus dilengkapi dengan penyanyi yang hebat serta elemen sokongan lain.

"Sebagai pengarah muzik, saya kena banyak bekerjasama dengan pengarah konsert, iaitu Jennifer, untuk memastikan persembahan itu bukan saja bagus dari segi muzik tetapi turut diadun cantik dengan elemen visual, sekali gus menjadikan konsert Anuar sebagai yang terbaik pernah diadakan," katanya yang akan menggunakan khidmat 30 pemuzik bagi mengiringi penyanyi itu.

Guna kepakaran tempatan

Jennifer pula berkata, konsert terbabit banyak bermain dengan visual bagi menterjemahkan temanya ini iaitu Muzik, Cinta dan Sanubari, dengan lebih jelas.

"Buat masa ini, kami sibuk menyiapkan bahan visual dan sebahagiannya kami buat khas untuk konsert ini. Apa yang boleh saya katakan, konsep yang diketengahkan adalah untuk membuatkan peminat berasakan mereka lebih intim dengan Anuar. Maklum saja, konsert ini sendiri menjadi penghargaan Anuar untuk peminat yang sudah tiga dekad menyokong kerjaya seninya," katanya.

Berhubung rekaan set dan sistem bunyi yang dikatakan paling mahal pernah digunakan untuk konsert penyanyi tempatan setakat ini, Jennifer menafikan perkara itu.

"Untuk menjadikan konsert ini sebagai yang terbaik, bukan kos yang menjadi ukuran. Sebaliknya, semua elemen iaitu muzik, penyanyi dan pelbagai faktor lain turut memberi sumbangan. Ia bagaikan melengkapi antara satu sama lain. Untuk makluman semua, segala peralatan dari segi teknikal yang digunakan semuanya barangan tempatan," tegas Jennifer yang turut menghulurkan khidmatnya bagi acara anugerah seperti Anugerah Bintang Popular BH dan Anugerah Industri Muzik.

Memandangkan tinggal sebulan saja lagi untuk konsert itu berlangsung, Jennifer berkata, dia dan 130 kru produksi kini bertungkus lumus menyiapkan visual yang dianggap antara elemen menarik untuk menghidupkan lagi konsert penyanyi yang terkenal dengan lagu Ajari Aku itu.

Seperkara menarik mengenai konsert ini, buat julung kali peminat akan dapat menyaksikan klip video terbaru Anuar berjudul Sempurnakan Aku, iaitu kesinambungan kisah dipaparkan dalam klip Ajari Aku sebelum ini.