Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Populariti tiba lewatAKTRES Nadiya Nisaa mula berlakon sejak berusia 18 tahun. Waktu itu, Nadiya merupakan pelajar penyiaran di Universiti Teknologi Mara. Selepas keluar dari universiti dengan segulung ijazah pada tahun 2008, cukup sukar untuknya mendapatkan pekerjaan tetap. Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa Kamaruddin sempat bekerja secara bebas di stesen televisyen dan beberapa buah produksi selama setahun sebelum membuat keputusan untuk terus fokus dalam bidang lakonan. Kini, pada usia 27 tahun selepas bergelar isteri kepada Saiful Razman selama dua tahun dan menjadi ibu kepada Omar, setahun tiga bulan, populariti hadir dalam hidupnya. "Ya, saya akui populariti hadir agak lewat buat saya. Ada orang kata jika berkahwin, populariti semakin berkurangan tetapi terbalik untuk saya. "Saya diterima selepas saya berkahwin dan mempunyai anak. Mungkin sudah tuah dan rezeki saya. Ada orang masa untuk dikenali lambat dan ada yang cepat. Cuma perlu bersabar dan ikhlas dalam melakukan kerja," kata Nadiya. Bakat Nadiya mula meraih perhatian apabila dia membawa watak gadis kurang upaya bernama Manis dalam filem Cun. Selepas itu dia memegang watak gadis liar dan berkongsi babak atas katil bersama aktor Bront Palarae dalam filem Jiwa Taiko. Terbaharu, Nadiya berjaya memukau khalayak dengan wataknya sebagai Ain Hawani kekasih Adam Mukhriz yang dipegang Aaron Aziz dalam drama bersiri popular Adam dan Hawa. "Sebenarnya ramai orang yang masih tidak tahu nama saya. Contohnya selepas saya keluar dengan filem Cun, orang panggil saya Manis, sekarang selepas drama Adam dan Hawa, orang ramai panggil saya Ain. "Bagi saya apabila peminat memanggil nama watak saya, itu satu petanda yang baik. Bermakna mereka benar-benar ingat watak saya. Saya tidak kisah jika watak yang saya bawa lebih popular daripada diri saya yang sebenar," ucapnya jujur. Tambahnya, dia tidak pernah menjangka menjadi popular seperti hari ini, berbeza pada awal kemunculannya sebagai aktres. Menghargai perhatian yang diberi, cuma akuinya, dia masih belajar menerima perhatian dalam dunia glamor. "Memang saya terasa tempias populariti drama Adam dan Hawa. Buktinya, pengikut saya semakin ramai di Twitter dan Facebook. Perkara paling mengejutkan, saya mempunyai kelab peminat. "Tidak sangka langsung saya akan mempunyai peminat yang cukup menghargai bakat seni saya. Terharu bila saya fikirkan usaha mereka untuk bersatu semata-mata untuk menyokong saya seorang. "Mulanya saya agak kekok dan terkejut dengan perhatian peminat. Contohnya ketika saya keluar bersama rakan akan ada peminat minta bergambar atau tandatangan tidak mengira waktu, sedangkan ada masanya saya juga inginkan privasi. Saya manusia biasa, masih cuba belajar menerima dan sesuaikan diri dengan semua perhatian itu," tuturnya.
Kualiti dan populariti Meskipun segala pergerakannya menjadi perhatian, itu tidak bermakna anak kedua daripada lima adik-beradik itu harus berubah menjadi orang lain. "Setakat ini populariti dan perhatian yang diberikan tidak menjadi masalah. Saya masih menjadi diri saya sendiri, sama sebelum saya dikenali ramai. "Kalau ada masa, saya masih melepak dengan rakan-rakan teater. Saya masih menerima tawaran untuk berlakon dalam filem indie. Pada bulan Mac tahun hadapan saya akan terlibat dalam sebuah filem indie berjudul Bikin Filem," luahnya yang mengidam watak memberi inspirasi kepada penonton. Semakin popular memberi ruang untuknya memilih skrip yang benar-benar berkualiti dan menarik minatnya. Bagaimanapun tegas Nadiya, dia tidak pernah memilih skrip sebaliknya bertuah kerana ditawarkan skrip yang menarik sejak berlakon. "Kalau ikutkan sejak saya tidak dikenali lagi, saya telah diberi skrip dan watak yang berbeza-beza. Kiranya saya bertuah tidak membawakan watak yang sama sahaja. "Saya tidak mahu menjadi seorang yang memilih cuma saya elakkan melakonkan watak yang sama berulang kali dalam tempoh masa yang dekat. "Contohnya selepas filem Cun, ada juga dapat tawaran gadis kurang upaya, tetapi disebabkan tempoh waktunya terlalu dekat nanti penonton bosan melihat watak yang sama dalam set yang berbeza. Biarlah sesuatu watak itu dilakonkan secara eksklusif untuk sebuah filem atau drama sahaja," ujarnya panjang lebar. Jadual padat Buat masa ini, Nadiya sedang sibuk di set penggambaran drama 26 episod berjudul Cinta Jangan Pergi lakonannya bersama aktor Remy Ishak dan Tiz Zaqyah sehingga penghujung Disember ini di bawah arahan Kabir Bhatia. Selepas itu, aktres yang selesa bergaya dengan gaun paras lutut itu akan terlibat dengan sebuah filem juga arahan Kabir Bhatia pada awal tahun hadapan. "Jadual saya penuh sampai tahun hadapan. Memang sangat sibuk dan penat. Bayangkan ketika penggambaran drama Adam dan Hawa selama lima bulan, saya tidak mempunyai pembantu rumah. "Saya terpaksa bangun awal pagi untuk siapkan anak dan buat kerja rumah sebelum ke lokasi penggambaran. Alhamdulillah, sekarang sudah ada pembantu rumah. Jadi, masa saya lebih bersama dengan anak, balik rumah tidak pening kerja rumah tidak siap," katanya dalam tawa. Bukan itu sahaja, jika dahulu Nadiya menguruskan dirinya sendiri, kini dia dibantu oleh kakaknya yang pernah bekerja dalam majalah fesyen sebagai perunding imej peribadinya. "Jujur, saya tidak tahu langsung tentang fesyen. Jadi, apabila kakak jadi perunding imej peribadi, banyak perkara yang saya belajar. Contohnya tentang fesyen dan warna yang sesuai dengan warna kulit saya. "Sebelum ini, saya lebih suka warna gelap serta pakai seluar jean dan kemeja-T, tetapi apabila kakak meminta saya pakai gaun polos paras lutut, saya rasa selesa. "Rupanya warna lembut juga sesuai dengan saya. Sekarang, deria fesyen saya semakin baik dengan bantuan kakak kerana sudah lumrah untuk orang ramai melihat hanya yang cantik-cantik sahaja," beritahunya. | |||
Posted: Suami pilihan Ummi NazeeraOleh MOHD. AFIQ ZULKIFLI
SUDAH agak lama kita tidak mendengar cerita Ummi Nazeera, yang satu ketika popular melalui drama bersiri Nur Kasih. Semua itu disebabkan dia terpaksa meneruskan impiannya untuk mencapai segulung ijazah di Royal Melbourne Institute of Technology, Australia. Ummi atau nama penuhnya, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 22, kini pulang ke Malaysia untuk bercuti semester. Ujarnya, dia akan menamatkan pengajian dalam bidang perniagaan pada akhir tahun hadapan setelah tiga tahun menjadi pelajar di sana. Dalam pada itu, Ummi juga tidak terlepas dikaitkan bercinta dengan seorang lelaki dan pernah didakwa berniat untuk menamatkan zaman bujangnya. Benarkan dakwaan tersebut? Ikuti temu bual Kosmo! dengan Ummi ketika ditemui baru-baru ini. Kosmo!: Setelah tiga tahun berada di Australia, boleh ceritakan tentang pengalaman Ummi di sana? UMMI: Alhamdulillah, semuanya baik. Saya sudah menganggap Australia sebagai rumah kedua selepas Malaysia. Saya seronok belajar di sana, walaupun pada tahun pertama tidak ramai pelajar dari Malaysia, tetapi kemudian ia semakin bertambah. Sepanjang menuntut di sana, saya tinggal bersama rakan seuniversiti, tetapi bermula pada tahun hadapan saya akan tinggal berseorangan kerana mereka sudah kembali ke Malaysia. Bagaimanakah pula dengan perancangan anda selepas menamatkan pengajian di sana, adakah anda masih akan terus berlakon? Ya, saya akan terima jika ada tawaran berlakon, tetapi semua itu bergantung kepada rezeki dan jika tawaran itu menarik. Pada masa sama, saya akan berikan tumpuan terhadap bisnes keluarga.
Apakah bentuk bisnes yang keluarga anda usahakan sekarang? Syarikat keluarga saya dikenali sebagai Pointry (M) Sdn. Bhd. Bisnes ini lebih berbentuk kepada pengeluaran tilam dan bantal. Bagaimanakah perkembangan cerita cinta anda dengan seorang lelaki sebelum ini. Dengar cerita kalian akan berkahwin? Saya masih lagi berkawan baik dengan lelaki tersebut, tetapi cerita tentang kononnya kami akan berkahwin itu tidak benar sama sekali. Ia tidak pernah ada dalam perancangan kami memandangkan saya juga masih belum menamatkan pengajian. Boleh kongsikan sedikit maklumat tentang teman lelaki anda itu? Kami berkenalan sewaktu saya berada dalam tahun pertama pengajian di sana. Dia berusia 26 tahun dan merupakan senior saya. Dia juga sudah menamatkan pengajian, dan sekarang berada di Malaysia. Sehingga sekarang, kami masih berhubung. Adakah anda akan berkahwin dengannya? Insya-Allah, jika ada jodoh dan takdir dengan dia, saya akan terima. Bagaimanapun, apa yang penting sekarang, saya perlu tamatkan dahulu pengajian. Soal perkahwinan, itu akan difikirkan kemudian. Adakah anda menerima dia selepas serik bercinta dengan teman artis? Bukan itu sebabnya. Saya tidak kisah bercinta dengan sesiapa pun, asalkan lelaki itu mempunyai latar belakang yang baik, beragama dan berpendidikan, itu sudah memadai. Bercakap tentang hubungan saya dengan teman lelaki sekarang, kami sudah lama kenal dan setakat ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk bersama. Apakah harapan anda terhadap filem Merong Mahawangsa di Festival Filem Asia Pasifik nanti? Saya berharap agar Merong Mahawangsa bertuah di sana. Sudah tercalon ini pun sudah rasa cukup gembira kerana dapat mewakili negara. Saya akan ke sana untuk mencari pengalaman. | |||
Posted: Artis prihatin Gaza
WALAUPUN jauh beribu batu, namun suara rintihan dan kesengsaraan hidup rakyat Palestin yang terus ditindas oleh rejim Zionis tidak pernah dipandang ringan oleh rakyat Malaysia. Susulan daripada pelancaran Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad pada Sabtu lalu, TV3 dengan kerjasama Primeworks Studios bakal menerbitkan konsert mini amal Untukmu Palestin pada hari ini yang akan disiarkan secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam bermula pukul 11 malam. Untukmu Palestin yang akan bersiaran selama satu jam menampilkan barisan artis hebat seperti Faizal Tahir selaku teraju utama dan turut ditemani oleh Aizat, Kumpulan Raihan, Hafiz Hamidun, Noh Salleh (Hujan), Tomok dan Misha Omar. FAIZAL melelong tiga trofi yang dimilikinya dalam usaha untuk mendapatkan dana bagi disalurkan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin untuk membantu penduduk Palestin. Bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang Tabung Kemanusiaan Palestin dan inisiatif murni untuk membantu ribuan mangsa serangan tentera Israel, konsert mini ini merupakan platform terbaik untuk menyeru dan mengajak orang ramai termasuklah badan-badan korporat untuk beramal melalui sumbangan terus kepada tabung khas ini. Lebih istimewa, Faizal Tahir yang pernah dilantik sebagai duta Kempen Bebaskan Bumi Palestin oleh TV3 pada tahun 2010 akan mendermakan tiga trofi yang dimenanginya sepanjang enam tahun dalam arena seni. Kesemua trofi tersebut akan dilelong khas kepada badan korporat yang berminat untuk membuat bidaan. Sementara itu, antara lagu yang bakal dipersembahkan pada malam mini konsert amal tersebut ialah Zikir Terapi - Astaghfirullahal'azim, Untukmu Palestin, Kembara Di Tanah Gersang, Kau Yang Satu, Kembara, Erti Hari Ini, Anti Graviti dan Insyallah. Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad merupakan hasil kerjasama dengan Mercy Malaysia. Atas dasar keprihatinan dan rasa simpati para pengunjung, sebanyak RM12,530.85 telah berjaya dikumpul. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |