Adsense

Khamis, 29 November 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Amaran buat J Lo

Posted: 28 Nov 2012 03:01 PM PST

Konsert sulung penyanyi seksi di Stadium Merdeka, Ahad ini dapat kelulusan bersyarat, ditegah pamer aksi lucah

Boleh adakan konsert tapi patuhi kod etika berpakaian termasuk ditegah pamer aksi lucah.

Konsert Dance Again World Tour 2012 - penampilan pertama penyanyi berdarah Latin, Jennifer Lopez di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur jam 8 malam, Ahad ini, mendapat kelulusan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) dengan status lulus bersyarat.
Konsert JLo sudah diluluskan tetapi dengan bersyarat. Kami ada ahli jawatankuasa yang akan melakukan pemantauan bagi memastikan penganjur dan penyanyi itu mematuhi syarat ditetapkan" - Jurucakap PUSPAL

Mengikut garis panduan PUSPAL, penyanyi lagu On The Floor itu perlu mematuhi kod etika berpakaian dan menjaga gerak laku ketika membuat persembahan.

Sehubungan itu, Jennifer atau lebih dikenali sebagai J Lo diminta tidak mempamerkan aksi atau gerak laku yang boleh mengganggu keselesaan penonton atau mempamer perlakuan dan tutur kata berunsur lucah.

Jurucakap PUSPAL memberitahu HIP, permohonan penganjur untuk mengadakan konsert sudah diluluskan akhir Ogos lalu.

"Konsert J Lo sudah diluluskan tetapi dengan bersyarat. Kami ada ahli jawatankuasa yang akan melakukan pemantauan bagi memastikan penganjur dan penyanyi itu mematuhi syarat ditetapkan," katanya.
Jurucakap itu berkata, aksi J Lo pada malam persembahan akan dipantau bagi memastikan artis berkenaan mematuhi semua syarat ditetapkan.

Singgah Manila, Jakarta sebelum ke KL

Ini adalah kunjungan pertama ibu kepada dua cahaya mata kembar Maxim dan Emme ke Malaysia selepas memulakan siri jelajah Konsert Dance Again, Jun lalu. Konsert itu dilancarkan di Republik Panama dan meneruskan penjelajahan ke Amerika Latin dan Brazil. J Lo dan kumpulannya sekarang sedang merentas Asia untuk menemui peminat.

Negara Asia pertama yang disinggahi penyanyi berusia 43 tahun ini ialah Manila, Isnin lalu. Ternyata kehadiran J Lo cukup dinantikan peminatnya di negara itu apabila lebih 13,000 penonton menyaksikan J Lo beraksi di Manila.
Mulai, semalam dan esok, penyanyi itu akan menghiburkan peminatnya di Indonesia sebelum bertandang ke Kuala Lumpur.

Selepas ini, J Lo akan menjelajah lima lokasi lagi di Australia iaitu Brisbane, Adelaide, Sydney, Melbourne dan Perth. J Lo juga akan mengembara ke seluruh Amerika Syarikat, Eropah dan Kanada untuk konsert berkenaan.

Bekas juri program realiti American Idol dan kini menyertai program realiti Q'Viva! The Chosen mula meledak dalam industri hiburan pada 1999 dengan kemunculan album sulungnya, On The 6 yang memuatkan lagi If You Had My Love dan Waiting For Tonight.

Sehingga kini, bekas isteri Mac Anthony itu sudah memiliki lima album yang terjual sehingga USD 70 juta (RM 217 juta) seluruh dunia. Bagaimanapun pada 2011 jumlah berkenaan dikatakan meningkat kepada USD150 juta (RM465 juta).

Ummi Nazeera belum sedia bergelar isteri

Posted: 28 Nov 2012 02:59 PM PST

Sekalipun jauh di Melbourne, Australia, angin gosip membabitkan pelakon cantik, Ummi Nazeera tetap bertiup ke tanah air.

Pelakon hitam manis itu juga bagai terbuka memperkenalkan cinta barunya kepada umum. Mengapa tidak, banyak gambar yang memaparkan dirinya bersama jejaka kacak berkepala botak dimuat naik ke laman sosial.

Lantaran itu, timbul desas desus mengatakan gadis manis ini sudah bersedia melangkah ke gerbang perkahwinan bersama jejaka yang juga senior Ummi yang sedang menghabiskan pengajian di Royal Melbourne Institue of Technology (RMIT).

Malah khabar angin turut mendakwa pasangan ini sudah merangka tarikh pernikahan awal tahun depan.

Namun, semuanya dinafikan Ummi yang memberitahu, pengajiannya masih berbaki setahun. Tuturnya, perkara yang menjadi keutamaannya saat ini adalah memastikan pengajian dihabiskan sebelum memikirkan soal hidup berdua.

"Saya tidak pernah komen apa-apa mengenai hal ini (berkahwin). Tetapi, entah bagaimana, cerita ini boleh timbul malah ia mula diperkatakan sejak tahun lalu.

"Saya baru berusia 22 tahun... Perkahwinan bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main. Perkahwinan bagi saya adalah sesuatu yang suci dan sejujurnya, saya belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri.
"Saya sudah menjelaskan kepada teman lelaki dan dia memahami. Kalau boleh, selepas pengajian tamat tahun depan, saya mahu fokus kepada perniagaan milik keluarga agar dapat mempraktikkan apa yang dipelajari," katanya.

Teringin berlakon filem cinta tragik

Jejaka yang khabarnya dikenali sebagai Aizat sebenarnya graduan bidang kejuruteraan. Berusia 26 tahun, teman lelaki Ummi sudah tamat pengajian tahun lalu.

Ternyata kegagalan bercinta tidak pernah membuatkan pelakon yang bakal muncul dalam filem Penanggal arahan Ellie Suriaty awal tahun depan, serik untuk mengenali hati budi lelaki lain.

"Saya tidak pernah serik dengan sesiapa. Macam dengan dia, saya sudah pun mengenali hati budinya. Saya tidak memilih asalkan personaliti serta latar belakangnya baik. Paling penting, tahu asas agama sudah memadai buat saya," jawab Ummi.

Sementara itu berbicara mengenai kerjaya seninya, Ummi yang sedang bercuti tiga bulan masih belum membuat keputusan untuk berlakon dalam mana-mana produksi.

Bukan tiada tawaran yang datang, tetapi sengaja ditolaknya kerana enggan berlakon dalam genre seram ketika ini. Ini kerana filem Penanggal bakal menemui penonton tahun depan.

Justeru, Ummi enggan dua filem lakonannya dari genre sama menemui penonton serentak.

"Saya bukanlah mahu bersikap selektif, cuma kalau boleh saya ingin mencuba sesuatu yang berbeza. Saya tak mahu jika dua filem seram lakonan saya keluar pawagam serentak tahun depan.

"Sebaliknya, saya teringin berlakon dalam filem romantik atau kisah cinta tragik," kata Ummi yang akan berangkat ke Festival Filem Asia Pasifik (FFA) ke-55 di Macau, bulan depan bagi mewakili filem Hikayat Merong Mahawangsa terbitan KRU.

Filem epik itu bersama empat filem lain - Bunohan, Nur Kasih The Movie, Songlap dan Ombak Rindu akan mewakili Malaysia pada festival berkenaan.