Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Aliff Aziz meluah isi hatiPERTEMUAN setelah beberapa minggu memencilkan diri daripada media pada petang kelmarin sempena sebuah majlis sidang akhbar di Holiday Villa Subang Jaya, Selangor baru-baru ini memperlihatkan sisi Aliff Aziz yang berbeza - kurang ketawa, serius dan sugul. Terasa kekecewaan dan kesan perpisahannya dengan pelakon Anne Ngasri atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 28, sehingga menampakkan Aliff kurang bermaya bersama wajahnya yang terhias beberapa titik jerawat. Ditanya mengenai kadar kesihatannya kini selepas keluar daripada wad kerana disyaki menghidap serangan palpitasi jantung (denyutan jantung tidak teratur) pada awal bulan Oktober lalu, jawab Aliff dia kini sedang dalam peringkat pemulihan. "Saya dinasihatkan untuk berehat seketika dan Alhamdulillah kini sudah sihat. Baru-baru ini demam sekejap mungkin disebabkan keadaan cuaca sekarang yang tak menentu. "Sekarang, saya sedang berusaha untuk kurangkan merokok dan kurangkan berfikir sampai jadi stres," katanya. Tanpa berselindung, kisah perpisahannya dengan Anne menjadi pokok bicara. Ujar Aliff atau nama sebenarnya Muhamad Aliff Aziz, 21, dia kini sedang berusaha untuk kembali ke trek asal iaitu mengejar kejayaan dalam karier sebagai penyanyi serta berbakti kepada keluarga. "Saya cuba elakkan untuk berfikir perkara yang boleh mengusutkan minda saya terutama kisah perpisahan kami. Buat masa sekarang saya mahu terus fokus kepada prioriti iaitu keluarga dan kerjaya serta menerima perpisahan ini seadanya," ulasnya. Anne enggan balas SMS Aliff bagaimanapun memilih untuk tidak mendedahkan punca perpisahannya dengan Anne namun masih sudi berkongsi secebis cerita proses perpisahannya dengan pelakon itu. "Beberapa minggu lepas kami ada sedikit perselisihan faham dan memutuskan untuk memberi ruang kepada diri masing-masing seketika, sehinggalah pada hari dia bertunang, saya dimaklumkan oleh peminat melalui Twitter mengenai majlis itu. "Kalau orang tanya apakah puncanya kami berpisah, saya tidak rasa signifikan untuk saya memberitahu sebabnya, biarlah ia kekal rahsia antara kami. Kami manusia biasa yang tidak dapat lari daripada kesilapan. "Susah untuk dijelaskan tetapi saya pasti tiada siapa mahu rasa apa yang sedang saya rasa sekarang," cerita Aliff menahan sebak. Tambahnya, seminggu sebelum berpisah, Aliff dan keluarga Anne masih berhubung rapat malah Anne sendiri pernah menghubungi bapa Aliff untuk bertanya khabar. "Kami memang ada buat perancangan untuk berkahwin pada bulan Disember, tapi jodoh tak kesampaian. Dalam proses pemulihan, tiba-tiba saya dapat tahu yang dia sudah bertunang dan akan berkahwin. Jujur, ia benar-benar membuatkan hati saya terluka. "Sepanjang perkenalan kami, dia tak pernah melakukan kesalahan. Dia memang jaga segalanya termasuk pemakaian saya. "Anne ada bertanyakan khabar saya melalui bapa saya menerusi panggilan telefon lebih kurang seminggu sebelum bertunang tapi dia tidak memaklumkan akan majlis yang bakal berlangsung itu. "Kata Anne, dia tak mahu membalas semua SMS saya sebab enggan melihat saya lebih sakit dan cara itu katanya boleh membantu saya untuk melupakan dia," ujar pelantun lagu Sayang Sayang itu. Selepas majlis itu, Aliff mengakui ada menghantar ucapan tahniah melalui Twitter namun tidak mendapat respons daripada Anne. Menyifatkan Anne sebagai seorang wanita yang paling sempurna yang pernah dipertemukan sepanjang hidup, jelas Aliff dia tidak menyesal mengenali Anne. "Saya sangat bersyukur dipertemukan dengan dia dan dia salah seorang wanita yang paling sempurna bagi saya. Saya tidak menyesal mengenali dia kerana dia telah banyak mengajar saya erti cinta dan kehidupan. "Baru kini saya rasa betapa pedihnya apabila perlu berpisah dengan orang yang kita sangat sayang dan baru sekarang saya faham apa ertinya cinta," tambah Aliff. Adakah Aliff sudah serik untuk bercinta selepas ini? Jawabnya: "Ikutkan hati apabila melalui sesuatu yang memberikan impak dan membuatkan kita rasa sedih sudah pasti akan rasa fobia. Tapi ini lumrah hidup yang telah ditetapkan Tuhan namun, buat masa sekarang saya belum fikir untuk mencari pengganti dia." Alih perhatian
Pastinya setiap hati yang baru remuk dihentam bahana cinta akan melalui pengalaman berbeza untuk memulihkan diri dan jiwa daripada peristiwa pedih seperti yang dilalui Aliff. Pilihan dirinya adalah dengan menyibukkan diri bersama keluarga dan karier yang dirasakan tepat untuk melupakan kisah sedemikian. "Kini saya lebih banyak luangkan masa dengan keluarga dan ke gimnasium untuk mengalihkan perhatian daripada situasi sebegini. "Ibu saya selalu nasihatkan saya, katanya kalau sudah bukan jodoh saya tiada apa boleh buat. Terima hakikat dan reda," katanya yang mengambil keputusan untuk tidak berhubung dengan keluarga Anne. Bagaimanapun, Aliff memanjatkan rasa terima kasih kepada keluarga Anne berikutan sokongan dan kasih sayang sepanjang tempoh awal dia mula bertapak di Malaysia. "Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada baba (panggilan Aliff kepada ayah Anne) dan keluarganya yang selama ini mendidik saya serta menjadi keluarga saya di sini. "Halalkan makan minum saya dan saya minta maaf sekiranya terkasar bahasa dan ada sikap yang tidak menyenangkan keluarga baba," tutur bicaranya perlahan. Pesanan untuk Anne Aliff mengakui dia tidak akan sesekali melupakan kenangan bersama Anne. Katanya, memori bersama Anne akan disimpan buat panduan pada masa akan datang. "Saya akan menjadikan kisah ini sebagai pengajaran untuk masa akan datang dan saya akan menggunakan memori ini agar tidak mengulangi perkara yang sama berulang kali. "Ini adalah pengajaran yang besar buat saya kerana selama ini bersikap endah tak endah terhadap wanita yang pernah bertakhta dalam hati saya. Sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Saya berharap dengan mendoakan kebahagiaan Anne, kesakitan ini dapat dikurangkan. Bagaimanapun, Aliff mempunyai sedikit pesanan dan kata-kata akhir kepada Anne. "Saya tidak mahu runtuhkan kebahagiaan yang dia sedang kecapi, memandangkan dia juga sibuk dengan persiapan perkahwinan cukuplah saya mengatakan saya bertuah dipertemukan dengan dia. Semoga kehidupannya berjalan lancar. "Saya mahukan yang terbaik untuk dia dan kini doa saya telah dimakbulkan untuk melihat dia bahagia cuma bukan dengan saya. Saya doakan yang terbaik buat dia," ungkap Aliff. Gerhana cinta yang sedang dilalui oleh pucuk muda yang barangkali dilabelkan masih mentah untuk memahami makna cinta itu ditepis perlahan-lahan. Noktah yang adakalanya tidak menghadiahkan kebahagiaan hanya mampu diharungi dengan motivasi dan sokongan sekeliling. "Saya mula merasakan saya kini telah kehilangan sesuatu yang amat besar, tapi selagi ada keluarga, peminat dan kerjaya tiada apa yang mampu menghalang saya," tegasnya. | ||
Posted: Jalaludin hampir putus asaOleh KHAIRUL AMRI HASSAN JALALUDIN di samping Naib Presiden AETN All Asia Networks, Michele Schofield. Jalal bertanggungjawab mengalih suara dalam dokumentari Mankind: The Story Of All Of Us. TUGAS sebagai seorang pengalih suara untuk sebuah program dokumentari tidak semudah berlakon. Hal itu diakui sendiri oleh Datuk Jalaludin Hassan yang baru-baru ini terlibat dengan tugas tersebut untuk dokumentari Mankind: The Story Of All Of Us. Masih berbaki beberapa episod yang setiap satunya berdurasi hampir sejam, pelakon veteran itu mengaku dia hampir berputus asa pada peringkat awal menggalas tugas berat itu. "Saya mengambil alih suara Josh Brolin, seorang aktor Hollywood yang saya sanjungi dan apabila terpilih untuk melakukan tugas itu sejujurnya saya berbesar hati. "Saya diberikan skrip untuk satu episod yang tebalnya seperti skrip sebuah telefilem. Episod pertama, saya terpaksa mengambil masa lebih kurang lima jam untuk disempurnakan dan hakikatnya saya hampir berputus asa. "Ketika rakaman, saya tidak dibekalkan skrin untuk melihat apa yang sedang ditayangkan. Sebaliknya, saya perlu mendengar suara Josh Brolin setiap kali sebelum melontarkan suara. "Momentum suara yang diperlukan untuk sesebuah program dokumentari perlu konsisten sepanjang masa dan ia bukanlah tugas yang mudah," katanya yang ditemui ketika tayangan perdana episod pertama Mankind: The Story Of All Of Us di GSC Signature, The Garden, Kuala Lumpur baru-baru ini. Selain perlu menjaga suaranya, Jalaludin mengakui dia juga harus menjaga kualiti kesihatan, diet dan jadual penggambarannya sepanjang pembikinan dokumentari 12 episod itu. "Dokumentari ini mengganggu saya sebenarnya, saya perlu melahirkan perasaan saya sendiri agar tidak dibayangi oleh Josh Brolin. Saya perlu memahami skrip dan proses rakaman berjalan terus tanpa sebarang latihan. "Saya menerima tawaran ini bukan semata-mata faktor bayaran, tapi untuk mencabar diri sendiri dan mencipta pengalaman baharu mengendalikan program yang bermanfaat kepada penonton," ujarnya ketika ditanya mengenai cabaran sepanjang terlibat dengan dokumentari tersebut. Program itu merupakan siri TV pertama yang meneliti perkembangan manusia dari zaman ke zaman. Setiap episod menceritakan misteri sejarah perkembangan tamadun manusia, penemuan baharu dan peristiwa kemuncak dalam revolusi manusia dan dunia. Antara 12 episod yang ditampilkan sepanjang siri tersebut termasuklah Inventors, Empires, Survivors, New World, Revolutions dan New Frontiers. Mankind: The Story Of All Of Us mula ditayangkan pada 14 November lalu pukul 9 malam di saluran History (Astro 555). | ||
Posted: Hathaway mahu anak
BARU sahaja berkahwin pada 29 September lalu, aktres Anne Hathaway tidak menyembunyikan keinginannya untuk memiliki anak dalam kadar segera. Aktres berusia 30 tahun yang berkahwin dengan Adam Shulman itu memberitahu kepada The Hollywood Reporter: "Saya mahu segera menimang cahaya mata. Saya benar-benar maksudkannya." Hathaway dan Shulman berkahwin selepas empat tahun bercinta. Malah, menurut satu sumber, aktres tersebut yang membuat keputusan untuk berkahwin dan membina keluarga dalam masa terdekat dengan Shulman. "Ini kerana dia berpendapat percintaannya sebelum bersama Shulman seperti tidak terurus. Dia sukakan sikap suaminya yang tenang," tambah sumber tersebut lagi. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |