TIADA sebarang bebanan untuknya mengakui semasa zaman kanak-kanak, dia adalah seorang gadis 'nerd'. Buku dan aktiviti kokurikulum memenuhi rutin kehidupannya seharian.
"Dulu saya budak 'nerd'. Rutin hariannya saya tidak lain tidak bukan bertemankan buku, sekolah dan sukan. Saya sangat aktif dalam bidang sukan dan pemenang tali pinggang hitam dalam seni mempertahankan diri taekwando.
"Selain taekwando, saya juga aktif dalam tarian selain mengikuti kelas muzik iaitu piano. Pun begitu ketika remaja, saya belajar bermain piano hanya sebagai tuntutan mengisi masa senggang memandangkan orang tua saya mahukan anak-anak menghabiskan masa dengan hal-hal yang berfaedah.
"Ketika itu, saya tidak pernah terfikir langsung untuk bergiat aktif dalam bidang nyanyian sebagaimana hari ini," kata Krista K, pendatang baru dari Filipina yang berada di ibu negara baru-baru ini, untuk memperkenalkan album sulungnya, Krista K: Double Trouble.
Melanjutkan perbualannya, gadis dilahirkan pada tanggal 12 Jun 1989, itu berkata, segalanya berubah sejak dia menyertai pertandingan ratu cantik Miss USA Philippines 2007.
Daripada seorang gadis polos, dia serta-merta menjadi buruan stesen televisyen di negara asal kelahiran ibunya, Filipina, sesudah pertandingan berkenaan. Ketika itu, Krista atau nama sebenarnya, Krista Eileen Kleiner baru berusia 18 tahun.
Krista nekad untuk mencuba dan kebetulan saat tawaran itu datang, dia sedang cuti semester. Justeru dia memperoleh secebis kebebasan daripada orang tuanya terutamanya bapa.
"Percaya atau tidak sejak dari itu saya tidak pernah kembali ke Amerika Syarikat. Saya menundakan pengajian di kolej kerana saya mula berasa seronok dengan apa yang saya lakukan sekarang. Satu demi satu peluang saya terima sehinggakan tidak ada yang mampu membuatkan saya menolaknya.
"Bapa saya seorang yang mementingkan akademik berasa amat kecewa dengan keputusan yang saya lakukan ini kerana dia mahu saya cemerlang dalam pelajaran.
Dia mengambil masa yang lama untuk menerima keputusan saya ini.
"Namun, saya berjanji kepadanya dalam apa juga bidang yang saya ceburi saya pastikan saya melakukan sebaik mungkin malah meyakinkannya bahawa saya akan berjaya dalam bidang ini.
"Selepas dua tahun, dia melihat peningkatan saya dalam bidang ini dan dia mula mempercayainya. Cuma, saya lihat dia agak bimbang sekiranya adik saya mengikut jejak langkah saya sehinggakan awal-awal lagi dia sudah memberi amaran jangan jadi seperti kakak," katanya ketawa.
Krista menambah, sebelum Miss USA Philippines 2007, dia juga pernah menyertai pertandingan ratu cantik antaranya Miss Pistang Pilipinas Queen of Tourism 2004 dan Miss Young Philippines USA di Amerika Syarikat.
"Namun, Miss USA Philippines 2007 yang benar-benar merubah hidup saya. Selain mengacara dan berlakon, saya juga pernah bertanding dalam Miss International Pageant dan terakhir, Miss Philippines International 2010," katanya.
Pada pertemuan itu, wanita berdarah kacukan Jerman dan Britain sebelah ayahnya manakala Filipina, Sepanyol dan Cina (ibu) sempat berkongsi tujuannya berkunjung ke negara ini.
Semestinya, tidak lain tidak bukan adalah untuk melancarkan album pertamanya Krista K: Double Trouble. Selain, sentiasa terpanggil untuk kembali ke negara ini setelah kunjungan pertamanya pada 2010.
"Saya jatuh cinta pada Malaysia sejak kali pertama saya mengunjungi negara ini. Ketika itu saya menjayakan konsert bersama Julio Iglesias pada 2010.
"Saya bertemu Julio sewaktu pertandingan Miss Philippines International 2010.
Dia tertarik dengan nyanyian saya semasa segmen mempamerkan bakat yang
mewajibkan setiap peserta ratu cantik memilih salah satu kelebihan mereka untuk dipamerkan.
"Usai pertandingan itu, dia bertanya kepada saya mahukah saya muncul sebagai artis undangan di dalam konsertnya. Terus-terang tawaran itu sukar di tolak.
"Saya banyak mempelajari dan menimba ilmu daripada Julio dan kerana beliau juga saya mula memikirkan untuk menjadikan bidang nyanyian sebagai satu bidang yang serius," katanya.
Memilih genre pop dan 'dance' sebagai pertaruhan, wanita yang meminati penghibur antarabangsa antaranya, Jennifer Lopez, Beyonce Knowles, Rihanna, Britney Spears dan Madonna, Krista kini dalam rangka mempromosikan single pertamanya, Feel So Good.
Ditanya, apakah dia mempunyai perancangan untuk ke Hollywood memandangkan dia sendiri warga negara Amerika, Krista berkata, dia berbesar hati jika dapat berbuat demikian.
"Kalau diberi peluang mengapa tidak. Tetapi buat masa ini rezeki saya di sini dan saya tidak kisah dilihat sebagai menongkah arus tidak seperti kebanyakan orang yang begitu taksub untuk menempa nama di Hollywood. Sebaliknya, saya pula melihat Asia sebagai lubuk emas saya.
"Terus-terang saya sangat gembira dapat berbakti pada industri hiburan Filipina termasuk di negara kejiranan yang lain seperti Malaysia dan Singapura. Tambahan pula, ketika ini adalah zaman kebangkitan muzik Asia.
"Orang Asia lebih bersikap terbuka, tidak seperti industri hiburan Hollywood yang mengamalkan dasar Amerika hanya untuk 'orang Amerika'. Mungkin mereka bimbang atau mungkin itu cara untuk mereka memelihara industri hiburan daripada digugat kehebatan yang dipunyai penghibur Asia," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09