Berita Harian: Hip |
Posted: 09 Nov 2012 02:33 PM PST Dia pantas membuat sesiapa saja yang berada di sisinya selesa. Biarpun itu pertemuan pertama, aura mesra Krista Kleiner pantas meresapi membuatkan diri tidak kekok untuk menyelami isi hatinya. Ekoran kepetahan dan kemesraannya itu, bukan sesuatu yang mustahil jika ramai akan jatuh hati kepada gadis kelahiran Orange County, California, berusia 23 tahun yang kini menetap di Filipina. Seorang yang dahagakan cabaran, Krista Eileen Kleiner atau lebih sinonim dengan nama komersial, Krista K sentiasa mencabar diri untuk mencari sisi berbeza dalam hidupnya. Desakan itu menyuntikkan keberanian kepada gadis yang akan muncul dengan album sulung, Double Trouble ini untuk mengembara sendirian pada usia 18 tahun. Saya berhijrah tanpa banyak pengetahuan mengenai Asia, tetapi apabila tiba, saya dapat berasakan kehidupan di sini mengujakan" Mencabar diri "Saya berjanji tidak akan pulang selagi tidak menggapai sebarang kejayaan. Keputusan itu membuat kedua ibu bapa saya kecewa. Mereka kerap menghubungi dan memujuk supaya saya mengubah pendirian. Selepas berbincang secara serius dan memberitahu, saya selesa dengan apa yang dilakukan hari ini, akhirnya mereka merestui. Mereka mula nampak kesungguhan saya dan sering menitipkan pesanan supaya tidak bersikap sambil lewa jika mahu berjaya," katanya. Berada di Kuala Lumpur dalam rangka promosi album solo perdananya yang akan menjengah pasaran Januari ini, Krista K akui, bergelar penyanyi tidak pernah wujud dalam agenda hidupnya. Langkahnya dalam bidang hiburan juga berlaku tanpa pernah dirancang. Tawaran kontrak televisyen yang diterima selepas dimahkotakan sebagai Miss Philippines USA 2007, mengubah jalan hidupnya. Minat terhadap nyanyian bertunas selepas terpilih menyertai uji bakat global untuk Siri Jelajah Dunia 2010/2011 bersama legenda balada, Julia Iglesias. Ketika itu, Krista baru menerima gelaran Miss Philippines International 2010. Melepasi uji bakat itu, Krista diberi penghormatan untuk membuat persembahan bersama Julio di Australia, Malaysia, Filipina, Jepun, Hawaii, Kanada, New York, Indiana dan Las Vegas. Beri sepenuh hati "Saya mahu menjadi penyanyi yang dihormati dan disegani. Penulisan lagu dan nyanyian adalah satu bentuk ekspresi diri, justeru, saya nekad memberikan sepenuh hati supaya peminat dapat melihat diri saya dalam setiap lagu," katanya. Muzik bukan asing kerana Krista mendalami piano sejak usia lapan tahun. Ketegasan ibu bapanya membuatkan minatnya beralih kepada tarian dan sukan, terutama renang dan tenis. Malah, gadis dilahirkan 12 Jun 1989 ini pemegang tali pinggang seni mempertahankan diri taekwondo. "Saya tidak pernah yakin dengan bakat nyanyian meskipun ramai memuji setiap kali saya selesai menyanyi. Mungkin itu berlaku kerana ibu bapa saya terlalu tegas dengan pendidikan formal. Masa remaja saya padat dengan pelbagai aktiviti hingga saya tiada masa untuk bersendirian. Kali pertama menjejakkan kaki di Filipina, saya gembira kerana dapat memilih untuk melakukan keputusan sendiri. "Saya berhijrah tanpa banyak pengetahuan mengenai Asia tetapi apabila tiba, saya dapat berasakan kehidupan di sini cukup mengujakan. Orang Asia terlalu baik, malah bekerja keras membuatkan saya selesa berada di sini. Saya tidak janggal menyesuaikan diri, tambahan pula saya fasih berbahasa Tagalog. Saya bertuah kerana emak tegas mahukan saya bertutur Tagalog di rumah. Dia tidak mahu saya lupa asal usul meskipun sebahagian diri saya mengalir darah Amerika yang diwarisi daripada ayah," katanya. Intai Hollywood Memiliki ruang untuk menembusi Hollywood jika serius mencari peluang di sana, Krista berkata, dia terlebih dulu ingin mencipta nama di Asia sebelum pulang ke tanah kelahirannya. Enggan berkhayal terlalu tinggi, Krista tidak menafikan ada melakukan perbincangan dengan penerbit di Hollywood untuk mengintai ruang sebagai pelakon atau pengacara. Bagaimanapun, perbincangan lanjut hanya akan diadakan pada Disember ini apabila dia kembali ke sana untuk rakaman awal sebuah siri televisyen di Los Angeles. "Saya selesa membina nama di Asia terlebih dulu kerana di sini terlalu banyak peluang untuk diteroka. Ia berbeza dengan Hollywood yang biasanya hanya memfokus kepada satu cabang karier. Saya masih muda dan perjalanan juga panjang. Biarlah saya mencipta nama di sini dulu. Apabila pulang ke Amerika nanti, saya dengan bangga akan memberitahu, lihat Asia berjaya membentuk saya sebagai bintang," katanya. |
Posted: 09 Nov 2012 02:20 PM PST » Anak Lorong papar kisah tragis zuriat terbiar Sebuah telefilem yang bakal disiarkan menerusi slot Cerekarama TV3 malam ini memberi kelainan kepada penampilan lakonan Rita Rudaini yang membawa watak tukang urut dan pelacur sambilan, malah menjadi wanita garang kerana sering memaki hamun dua anak kawannya sendiri. Selain Rita dan Fiza Elite, Anak Lorong dibintangi Syafie Naswip, Taiyudin Bakar, Balqis, Idris Mat Diah, Boy Iman, Fadilah Mansor dan Zuraini Kassim. Meruntum emosi Penerbitnya, Hazmimi Johar, berkata Anak Lorong menerusi skrip asalnya oleh Rizal Alafiz Sarugi diolah semula untuk menjadikan ia sebuah kisah yang meruntun emosi, sesuai dengan tema konflik kekeluargaan yang berkisar antara ibu dan anak yang hidup di perumahan pangsa kos rendah. "Ini adalah telefilem pertama kami untuk TV3. Ia mengisi slot Cerekarama pada 10 November ini. Penggambaran drama ini dilakukan sebelum Aidiladha lalu di sekitar ibu negara dan Sungai Buloh. Kalangan ibu Anak Lorong mengisahkan Rayyan, remaja berusia 17 tahun dan adiknya, Fara yang berusia enam tahun 'kehilangan' ibu mereka, Melur. Sepanjang ketiadaan Melur, Rayyan dan Fara dijaga Khaty, teman baik Melur yang pernah menjadi rakan sekerja Melur. Dua beradik itu tidak mengetahui kehilangan ibu mereka disebabkan dipenjarakan kerana terbabit dalam kegiatan tukang urut dan pelacur sambilan. Walaupun Khaty menuurut naikan janji untuk menjaga Rayyan dan Fara, hakikatnya Khaty berasa dibebankan dengan kehadiran dua beradik itu, lalu bersikap kasar dan garang terhadap mereka. Sikap Khaty yang berlarutan menghina, memaki hamun dan mengungkit itu, membuatkan Rayyan mengambil keputusan berhenti sekolah dan mencari kerja supaya dapat menyara diri dan adiknya. Rayyan bekerja mengambil upah dengan Pak Hussin, seorang peniaga buah. Kerajinan Rayyan membuatkan Pak Husin menyukainya. Rayyan mengenali pemuda bernama Muz, anak Pak Husin. Muz banyak meracuni fikiran Rayyan supaya bersamanya melakukan aktiviti tidak bermoral. Dari sekadar memerhati aktiviti Muz dan rakannya, Rayyan menjadi orang suruhan Muz. Setiap kali memperoleh hasil lumayan dengan perbuatan jenayah, Rayyan sering membawa pulang hadiah kepada Fara dan Watie. Watie ialah anak tunggal Khaty. Banyak berubah Kejahatan Muz dan Rayyan semakin menjadi-jadi. Suatu ketika, Rayyan tersedar kesilapannya dan mahu berubah untuk kembali ke pangkal jalan. Dengan bantuan Pak Husin, Rayyan banyak berubah. Suatu malam, Rayyan dan Kathy bergaduh besar. Kemunculan Siok , wanita Cina mualaf atau nama Islamnya, Aisya serta anaknya, Ah Mei, dapat menghalang perbuatan kejam Khaty yang memukul dan mencaci Rayyan dan Fara. Pada ketika itu juga, polis datang ke rumah Khaty dan dia ditahan kerana terbabit dalam kegiatan persundalan. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |