Harian Metro: Rap |
Skyfall antara filem Bond terbaik Posted: 31 Oct 2012 07:28 AM PDT "MY name is Bond... James Bond." Ungkapan itu sekali lagi dilafazkan Daniel Craig. Itu juga bukan kali pertama, sebaliknya kali ketiga diungkapkan aktor berambut 'blonde' dan bermata biru itu selepas Casino Royale (2006) dan Quantum of Solace (2008). Lebih daripada itu, kata-kata yang sama juga sudah pernah dilontarkan selama 50 tahun sejak francais filem ejen perisik British ciptaan Ian Fleming itu mula-mula dihasilkan pada 1962 dengan judul Dr No. Semuanya bermula dengan Sean Connery sebagai Bond, diikuti George Lazenby, Roger Moore, Timothy Dalton, Pierce Brosnan dan Craig. Siapa boleh lupa dengan judul-judul seperti From Russia With Love, You Only Live Twice, Moonraker, The Spy Who Loved Me, Licence To Kill, The Living Daylight dan Tomorrow Never Dies. Tahun ini, sekali lagi Craig meneruskan lagi legasi 007 menerusi Skyfall siri yang ke-23. Tugas pengarahan yang penting itu kini julung kali diserahkan ke tangan sutradara Sam Mendes (pengarah ke-15) dan turut menampilkan Ralph Fiennes, Javier Bardem, Naomie Harris, Berenice Marlohe (kacukan Kemboja-Perancis) serta Ben Whishaw.
Harian Metro bertuah kerana turut diundang menyertai sesi wawancara Skype dengan pengarah dan barisan pelakon utama Skyfall dari Pinewood Studios, London, yang diaturkan Sony Pictures International Releasing, baru-baru ini. Bercakap dalam nada teruja, Mendes, 47, yang sebelum ini pernah mengarah filem hebat seperti American Beauty dan Road to Perdition berkata, dia sudah melakukan yang terbaik kepada filem itu kerana memikirkan tanggungjawab yang besar diserahkan kepadanya oleh pihak produser. "Memandangkan ini kali pertama saya diberi tugas mengemudi filem James Bond, saya mahu rebut peluang keemasan ini dan melakukan dengan sebaik mungkin. "Saya gembira kerana penggambaran berjalan lancar di setiap lokasi termasuk di Turki dan China. Saya gembira kerana Daniel, Javier, Judi dan semua pelakon lain memberikan komitmen yang terbaik kepada filem ini. Memang sudah menjadi impian saya untuk bekerja dengan Judi dan Daniel," kata Mendes yang juga bekas suami aktres Kate Winslet. Bagi Craig, 44, sendiri, jalan cerita Skyfall membuatkan dia teruja untuk membintangi filem ini kerana ia cukup berbeza berbanding filem Bond sebelumnya. "Saya tidak boleh bercerita secara mendalam mengenai filem ini namun ada sesuatu yang baru mengenai Bond dan M yang perlu anda saksikan sendiri. Saya juga gembira kerana produksi ini memasuki ulang tahun ke-50 dan tentunya produser dan Sam ingin menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada anda (penonton). "Terus terang saya sangat percayakan kemampuan Sam sebagai pengarah. Saya yakin dia mampu mencurahkan segala pengalamannya selama ini ke dalam filem ini," ujar Craig yang dilaporkan sudah menyambung kontrak untuk dua lagi filem Bond akan datang. Sebelum ini dia muncul dalam filem The Girl with the Dragon Tattoo. Bagi Naomie Harris, 36, pula, dia akui cukup bertuah kerana terpilih menjadi salah seorang daripada dua Bond Girls dalam Skyfall. "Eve seorang wanita yang bijak, berdikari, lucu tetapi berani. Dia tidak takut untuk berdiri dalam situasi yang getir di sisi Bond. Peluang berlakon watak ini memberi peluang untuk saya menonjolkan sisi berbeza personaliti diri saya," kata Harris dengan petah. Dia memang suka tersenyum dan dikenali dengan salah satu filem Pirates of the Caribbean. Skyfall yang menampilkan suara Adele dalam lagu tema, dibuka dengan babak mencemaskan apabila Bond bertarung dengan seorang musuh yang sangat licik di Istanbul. Babak yang mendebarkan itu disempurnakan dengan hebat sekali di atas gerabak keretapi yang sedang bergerak di satu lereng gunung. Dalam pergelutan itu, Bond tertembak selepas tembakan oleh itu dilepaskan oleh rakan setugasnya, Eve Moneypenny (Naomie Harris) - atas arahan terdesak M sendiri. Seterusnya Bond dilaporkan 'mati' namun akhirnya muncul semula di depan M selepas beberapa lama memencilkan diri. Bond terpanggil untuk berjumpa M semula selepas melihat ibu pejabat majikannya, MI6, di tengah-tengah kota London, dibom pengganas. M dalam keadaan berbelah bagi apabila melihat keadaan fizikal Bond yang terjejas akibat kecederaannya itu, tetap nekad memberikan tugasan terbarunya untuk memburu kumpulan pengganas itu yang diketuai Raoul Silva / Tiago Rodriguez (Javier Bardem). Tugas Bond itu juga memaksa dia 'terbang' ke Shanghai serta Macau, China dan seterusnya kembali ke England dan akhir sekali menuju ke bumi Scotland. Namun dalam misinya dia dibantu oleh Q (Ben Whishaw) yang bijak dengan inovasi gajetnya. Siapakah sebenarnya Silva dan mengapakah dia bertukar menjadi pengganas yang psiko, licik, pendendam dan tidak berperikemanusiaan? Semua jawapan itu ada untuk anda cari dalam Skyfall yang kini mula ditayangkan di pawagam berdekatan. Skyfall diterbitkan Michael G Wilson dan Barbara Broccoli dengan bajet yang dianggarkan mencecah AS$150 juta (RM450 juta). Ia edaran Metro-Goldwyn-Mayer bersama Columbia Pictures. Sementara itu, stesen ntv7 turut menganjurkan bulan filem Bond dengan menayangkan karya menarik sejak 7 Oktober lalu melalui slot Sunday Movies, jam 11 malam. Pada 4 November ini, filem Casino Royale akan ditayangkan. Selain itu ntv7 juga menganjurkan Tayangan Gala Skyfall pada 30 Oktober lalu di The Curve, Damansara. Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/31 |
Posted: 31 Oct 2012 07:11 AM PDT INDUSTRI penyiaran radio terus berkembang secara kompetitif dalam menyediakan kandungan hiburan terbaik dan menyampaikan maklumat kepada pendengar. Justeru, kreativiti, idea bernas dan komitmen kepada pendengar, pelanggan serta rakan niaga menjadi prinsip terbaik menjadikan stesen bernaung di bawah Rangkaian Radio Media Prima (MPRN) Hot FM, Fly FM dan One FM terus mencapai keputusan positif untuk terus kekal relevan kepada pendengar. Mengikut kaji selidik dilakukan oleh The Nielsen Company, Hot FM kekal sebagai stesen nombor satu bagi kelompok pendengar berusia di bawah 25 tahun. Dengan siaran Hot FM AM Krew yang ke udara setiap hari dari jam 6 pagi hingga 10 pagi dan Carta Ulat Buku (jam 8 hingga 12 tengah malam), membentuk gabungan mantap sebagai siaran sarapan pagi dan siaran malam bagi kelompok pendengar berusia 18-24 tahun. Bahkan, terdapat jumlah pendengar juga menunjukkan peningkatan sebanyak 16% dalam pasaran utama di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Seberang Perai, Johor Bahru dan Ipoh.
Kajian dibuat menunjukkan peningkatan dari segi pendengar eksklusif sebanyak 150% iaitu daripada 36,000 kepada 90,000. Siaran paling hangat Malaysia Hottest Music dikendalikan oleh Hunny Madu yang ke udara setiap hari dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari juga menunjukkan peningkatan yang konsisten dan meningkat sebanyak 12% peratus kepada 233,000. Sebagai tambahan kepada perkembangan menggalakkan itu, Fly FM turut menunjukkan peningkatan pendengar daripada segi Pendapatan Isi Rumah (HHI) sebanyak 15% bagi golongan berpendapatan RM8,000 ke atas dan 20% bagi berpendapatan RM5,000 ke atas. Pada masa yang sama, One FM terus mengekalkan angka memberangsangkan sejak beroperasi dari peringkat awal. Kali ini, stesen itu muncul sebagai stesen nombor satu berbahasa Cina atas Masa Mendengar Paling Lama (TSL) bagi pendengar berusia 18 hingga 24 tahun. Stesen One FM juga terbukti sebagai stesen radio nombor 2 Cina dalam negara ini memikat pendengar berumur bawah 30 tahun. Perkembangan positif berterusan dengan Morning Kaki dan Happy Hour, menjadi pilihan nombor dua untuk rancangan sarapan pagi dan ketika memandu khusus buat pendengar berumur bawah 35 tahun. Pencapaian ini membuktikan satu lagi pencapaian bagi dua program itu yang ke udara dari jam 6 pagi hingga 10 pagi dan 4 petang hingga 8 malam. Malah, One FM juga terus mengukuhkan kehadirannya dalam industri dengan peningkatan kecenderungan mendengar sebanyak 32%. "Sekalipun menghadapi persaingan sengit, MPRN terus mencari formula baru meningkatkan tahap kandungan dan menjayakan kempen dengan menggunakan pelbagai platform untuk membolehkan mereka sentiasa dekat dengan pendengar radio," kata Ketua Pegawai Eksekutif MPRN, Seelan Paul. "Dengan mengadakan saluran televisyen sendiri menerusi Tonton, penggunaan pelbagai aplikasi telefon bimbit dan perkembangan pengikut melalui media sosial daripada facebook, twitter dan instagram, stesen itu mampu menjangkaui platform radio biasa untuk mewujudkan suasana perbualan menarik dan pengalaman yang tidak dirasai di tempat lain. "Kami juga mementingkan kualiti kandungan dan mengambil pendekatan untuk memperbaiki penampilan diri dan personaliti untuk terus kekal di kalangan pendengar kami," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/31 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |