Adsense

Jumaat, 30 November 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Pantang berundur

Posted: 29 Nov 2012 02:20 PM PST

Kat rancang strategi baru elak nama suram

Kariernya bagai terumbang-ambing selepas berakhirnya program realiti, Mentor, tujuh tahun lalu.

Berada di bawah tunjuk ajar penyanyi No 1 negara, Datuk Siti Nurhaliza, rupanya bukan suatu jaminan perjalanan seni Kat Hassan, 26, juga akan menyerlah seperti sifunya itu.
Kat tak terasa diri ini diabai kerana sepanjang bersama dengan kak Siti, banyak ilmu yang dicurahkan dan Kat jadikan kak Siti sebagai sumber inspirasi memajukan diri," Kat Hassan, Penyanyi

Namun, Kat yang makin matang merancang karier seninya, sedikitpun tidak berkecil hati jauh sekali menyalahkan Siti kerana membiarkan dirinya mengatur langkah sendirian.

"Kat mengaku sampai sekarang masih ada yang tidak mengenali siapa diri ini. Tapi Kat tak salahkan Kak Siti sebab ketika Kat keluar dari Mentor, Kak Siti sibuk dengan persiapan perkahwinan dan kerjayanya.

"Kat tak terasa diri ini diabai kerana sepanjang bersama dengan Kak Siti, banyak ilmu yang dicurahkan dan Kat jadikan Kak Siti sebagai sumber inspirasi memajukan diri," katanya kepada HIP.

Sudah miliki syarikat, artis naungan
Kat bagaimanapun tidak patah semangat. Dia sebaliknya bangkit dengan keupayaan sendiri.

Biarpun namanya tidak sebesar Black yang lahir dari program sama, Kat mampu tersenyum kerana dia kini memiliki syarikat dan artis naungannya sendiri, Deanna Sofia, 19.

Ditambah kepercayaan yang diberi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia yang melantiknya sebagai duta pertubuhan itu, pelatun lagu Menggoda ini bekerja keras untuk menaikkan namanya dalam industri.

Namun, sekian lama berada dalam industri seni, Kat masih mencari identiti lagu dendangannya serta cuba membawa perubahan.

Tidak takut dirinya dilabel artis tiada pendirian tetap, Kat memberanikan diri menghasilkan album sendiri yang memuatkan pelbagai genre biarpun dalam suasana pasaran album yang makin merosot.

Tampil dengan album pertama berjudul Menggoda yang dipasarkan Mei lalu, Kat ketika ini memberi tumpuan sepenuhnya terhadap proses pembikinan album kedua yang dirancang mula dirakam, awal tahun depan.

"Tak salah mencuba pelbagai genre kerana ia memberi kelebihan dalam menguasai muzik. Kat sebenarnya pun tak tahu genre yang diminati sebaliknya mencuba apa saja.

"Kat masih mencari material sesuai untuk album kedua. Album ini akan mempunyai lima lagu baru termasuk lagu dalam bahasa Korea dan Mandarin... Ini kelainan yang akan Kat tampilkan," katanya yang fasih berbahasa Mandarin.

Jika dulu penampilannya agak ranggi dan ringkas, kini Kat lebih feminin sekaligus menampakkan kematangan.

Teringin duet dengan sifu

Meskipun tidak lagi bersama Siti, Kat mengimpikan peluang berduet dengan bekas mentornya itu, suatu hari nanti.

"Kali terakhir Kat jumpa Kak Siti pada malam Anugerah Industri Muzik ke-19 yang lalu di belakang pentas. Kalau dia sudi berduet dengan Kat, besar harapan Kat," katanya.

Berhasrat untuk menganjurkan konsertnya di Singapura pada Mac depan, Kat akan mengundang Jamal Abdillah dan beberapa artis terkenal untuk berkongsi pentas dengannya.

"Ini akan menjadi konsert Kat yang terbesar dan hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada badan memerlukan. Kat minat buat kerja amal sebelum bergelar artis.

"Sehubungan itu, apabila ditawarkan menjadi duta PBSM Malaysia, Kat amat berbesar hati," katanya yang akan terbabit dalam program berbasikal sempena Hari Aids Sedunia anjuran PBSM, esok bagi mengumpul dana sebanyak RM50,000.

3D-X tarikan baru TGV

Posted: 29 Nov 2012 02:15 PM PST

Filem digital tiga dimensi terbaru janjikan tayangan berkualiti

Untuk menikmati pengalaman yang lebih realistik, TGV Cinemas Sdn Bhd melancarkan sistem tayangan digital tiga dimensi terbaru yang dikenali sebagai 3D-X dalam rangkaian pawagamnya.

Pelancaran ini menandakan perubahan progresif TGV Cinemas dari menggunakan unjuran filem 35 milimeter kepada unjuran digital. Kemudahan terbaru ini dijangka digunakan secara menyeluruh oleh TGV, menjelang Januari ini.
Penonton wayang boleh melihat tayangan lebih jelas dan sistem bunyi yang lebih hebat. Kami dalam perniagaan yang membabitkan hiburan dan hiburan adalah mengenai pengalaman emosi" Kenny Wong, Pengurus Besar TGV Cinemas

Bukan saja akan menjanjikan tayangan berkualiti dari segi kecerahan, kehalusan dan kecanggihan imejnya, malah 3D-X mampu memaparkan tayangan berkualiti tinggi seperti 2K, 4K dan 3D - tidak kira filem, dokumentari atau isian alternatif.

Tonton filem penuh emosi

Pengurus Besar TGV Cinemas, Kenny Wong, berkata inovasi teknologi 3D-X membolehkan penonton merasai pengalaman menonton wayang lebih realistik, sekali gus menjadikan TGV Cinemas sebagai pawagam pilihan.

"Dengan adanya 3D-X, TGV Cinemas menawarkan tontonan wayang yang lebih baik. Penonton setia pasti inginkan suasana yang lebih selesa ketika menonton wayang, jadi kombinasi antara teknologi dan keselesaan yang kami utamakan ini mampu memberi kepuasan menyeluruh.
"Penonton wayang boleh melihat tayangan lebih jelas dan sistem bunyi yang lebih hebat. Kami dalam perniagaan yang membabitkan hiburan dan hiburan adalah mengenai pengalaman emosi. Sehubungan itu, emosi yang lebih mendalam ingin kami beri ketika menonton filem di pawagam kami," katanya pada majlis pelancaran di pusat beli belah, Setia Walk, Puchong, baru-baru ini.

Tentunya, dengan teknologi terbaru 3D-X, peminat boleh menonton pelbagai filem blockbuster yang akan mula menjengah pawagam tahun depan.