Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Sastera hidup Dain SaidDI DADA kota raya, Dain Said membina 'kerajaan filem'nya, Apparat Sdn. Bhd. berlokasikan sebuah bangunan era kolonial di pinggir Taman Tasik Titiwangsa. Sebelum memasuki jalan ke situ, lazimnya sesiapa pun akan terpandang sebuah bangunan kesenian yang tersergam bernama Istana Budaya. Persekitarannya sibuk tetapi masih berudara nyaman. Ini kali kedua kami tiba di muka pintu pejabat yang juga menjadi kediamannya. Pertama, ketika filem masterpiece Dain, Bunohan belum lagi ditayangkan, dan kali kedua ini, selepas filem yang mencetuskan kritik hebat itu berjaya lolos ke Anugerah Akademi Ke-85 untuk pencalonan awal. Sejak dua minggu lalu, Bunohan dan Anugerah Akademi atau Oscars menjadi topik yang menggembirakan seluruh pencinta filem tanah air. Masih terlalu awal untuk membuat prediksi. Trofi Oscars itu terlalu agung untuk memberikan sanjungan kepada filem dari Malaysia. Bagaimanapun, kemasukan Bunohan ke dalam senarai filem dari 71 buah negara yang menghantar pencalonan dalam kategori Filem Asing Terbaik itu membentuk pusaran besar yang menjadi harapan anak Malaysia. Sebelum Bunohan, sudah lapan tahun Malaysia tidak berani menghantar calon untuk mencuba nasib ke anugerah filem paling berprestij itu. Tidak terhenti setakat Bunohan "Saya ingat Bunohan sudah habis tetapi atas reputasi yang dibinanya, Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) menghantar Bunohan untuk dicalonkan ke Oscars. Saya sangat berterima kasih terhadap Finas. "Awal-awalnya lagi saya tahu, itu satu pertandingan yang sukar. Sudah menjadi amalan di Oscars yang setiap filem tercalon harus buat kempen besar-besaran di Amerika Syarikat (AS). "Syaratnya juga, filem yang bertanding haruslah ditayangkan sekurang-kurangnya di sebuah pawagam di sana untuk ditonton oleh pengkritik filem di AS," beritahu Dain yang tidak dapat membayangkan bagaimana proses pemilihan Anugerah Akademi itu pada Februari 2013. Sebelum ini, Bunohan pernah ditayangkan pada Festival Filem Los Angeles 2012 dan Festival Filem Antarabangsa Palm Springs. Bunohan juga ditayang sempena Festival Filem Antarabangsa Toronto tahun lepas. "Tiga festival berasingan itu memberi kelegaan kepada kami, tapi saya tidak tahu bagaimana proses penjurian yang akan digunakan untuk sampai ke senarai teratas dalam kategori itu," katanya sebelum beralih topik perbualan kepada sebuah naskhah terbaharu yang sedang ditulisnya. Dain berkongsi cerita tentang filem baharunya yang diberi judul kerja, Interchange. Jika skrip itu dikira layak, ia bakal diterbitkan bersama penerbit dari negara luar untuk satu projek penyertaan ke sebuah festival filem di Eropah. "Itu yang Apparat usahakan sekarang. Skripnya masih dalam bentuk draf dan ia ditulis semasa saya buat suntingan Bunohan selama tiga minggu di sana. "Saya letak tajuk Interchange sebab dari bilik hotel saya menginap, nampak dengan jelas stesen Metropolitan Rapid Transit di tengah bandar raya Bangkok. "Ia sebuah filem kehidupan di bandar dan lebih komersial berbanding Bunohan," beritahu Dain ringkas. Dain dan buku Bertemu lelaki yang seusia dengan kemerdekaan Malaysia itu, dia berkongsi rasa. Lelaki yang genap 55 tahun semalam itu bersyukur dan berasa bertuah atas jalur hidup yang dilaluinya. Buka ceritanya, dahulu dia pernah menyepikan diri di dalam bilik dan hanya bertemankan buku. Bahan bacaan ialah sebuah eskapisme buat dirinya. Pemegang nama berdaftar Iskandar Shariffudin Mohd Said itu berdepan banyak gelombang merintis erti hidup. "Buku ialah cinta pertama saya, kemudian barulah saya jatuh cinta terhadap filem," demikian getus lelaki berkaca mata tebal itu dalam gaya sang pencerita. Suaranya lantang dan geraknya tidak tetap seperti budak lelaki yang hiperaktif tetapi dalam masa yang sama, setiap patah yang keluar daripada mulutnya bernas dan bermakna. "Saya sangat gemar membaca dan suka ke perpustakaan. Pernah dalam tempoh lapan bulan saya duduk dalam bilik yang gelap dari pagi hingga malam dan hanya membaca. Waktu itu saya tidak gemar ke sekolah kerana dibuli. "Selalu diserang depresi, saya masuk ke dalam beberapa karakter yang saya baca dan itulah 'dunia' saya," ujarnya yang jatuh cinta dengan tulisan Franz Kafka. Depresi yang dihadapi di sekolah dan kolej membuatkan dia meloloskan diri daripada atmosfera itu. Dain mengaku diejek kerana namanya yang sukar disebut dan waktu itu sifat rasis bertebaran kuat di bumi United Kingdom. Ponteng sekolah, tonton filem "Saya suka ponteng sekolah sebab kena belajar bahasa Latin. Waktu ponteng baru saya sedar yang ada sebuah rumah seni yang juga sinema di hadapan rumah. "Saya masuk curi-curi, menonton filem-filem Jean Luc-Godard," sedikit lagi sejarah seorang Dain terbit dalam perbualan. Zaman depresi itu ditinggalkan sebagai kenangan, lalu Dain masuk bercerita tentang hidupnya yang banyak mengembara. Dia menghirup banyak udara berlainan negara, mempelajari ragam manusia dan paling penting dapat mengenali dirinya sendiri. "Satu hal yang saya pelajari, walau jauh mana kita mengembara, kita tidak boleh meninggalkan siapa diri kita yang sebenarnya. "Mengembara membuka mata saya. Jelas saya dapat mengamati budaya dan bangsa luar. Tetapi paling utama, kenal diri sendiri," senyumnya yang tinggal selama 26 tahun di kota London. Selang bercerita tentang kota luar, dia sempat menambah: "Saya ingat waktu hidup di tepi pantai di Kelantan. Pembantu rumah akan bawa saya ke tepi pantai untuk menyaksikan makyung dan wayang kulit. Senario itu melekat dalam kepala saya." Nyata, pertembungan budaya yang berlaku ketika awal usia remajanya meninggalkan pengaruh dan corak yang kuat kepada karakter Dain. Puji Yuna Keluar sedikit daripada topik filem namun masih berlandaskan seni, Dain berkongsi cita rasa muziknya. Dia memulai dengan memuji muzik yang dibawakan oleh Yuna. "Saya sebenarnya penggemar muzik, daripada muzik kerohanian, rock, jazz hinggalah klasikal. Kalau anak seni Malaysia, saya gemarkan Tenderfist, Carburator Dung, Pete Teoh dan Azmyl Yunor," ujarnya dengan nafas bangga. DAIN SAID menganggap Pekin Ibrahim sebagai penemuan sempurna yang menjadi khazanah berharga kepada sektor bakat lakon tempatan. Rewan Ishak pula dilihat sebagai sutradara baharu yang berpotensi. Dain diusik, hidupnya banyak dikelilingi warna pastel. Hal itu dilihat daripada filem Bunohan sendiri yang banyak berlatarkan warna kelabu dan semula jadi sehinggalah fesyen dirinya yang sinonim warna putih dan coklat. Dia ketawa dan menjelaskan: "Bunohan itu latar masanya ketika monsun. Banyak bermain warna lembut, pamerkan gelombang dan awan yang merangkumi drama. Itu semua metafora dalam Bunohan. "Dan jika tentang fesyen saya, saya memang banyak baju warna kelabu, hitam dan putih. Saya tidak suka warna-warna yang sibuk. Dulu saya gemar warna hitam sebab malas untuk berfikir." Mengenal sedikit tentang Dain sebagai seorang sutradara, pengembara dan pencinta seni bercabang arena, dia juga sebenarnya seorang yang banyak bersyukur. Warna kelam zaman ciliknya kini mengundang kepada bahagia pelangi dalam karier. Semuanya atas nama pengalaman dan pengajaran hidup. Di hujung temu ramah yang ditemani kopi dan nostalgia itu dia memberi konklusi dengan wajah tenang. Lafaznya mudah: "Saya berada di tempat dan masa yang tepat. Saya boleh dikira bertuah. "Apa yang saya pelajari tentang hidup ialah jangan berbuat jahat dengan orang lain dan semuanya akan okey dalam hidup ini." | ||
Posted: Siri kontroversi Tasha Shilla
DIULIT populariti dengan pencapaian demi pencapaian, mula-mula diangkat sebagai Artis Baharu Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular 2011 kemudian Heroin Baharu Terhebat dalam Anugerah Blockbuster 2012, ada harga yang harus dibayar oleh Tasha Shilla. Gaya mewah serta kehidupan sosialnya menjadi tumpuan sehinggakan Datuk J, seorang lelaki kaya-raya dikaitkan sebagai teman sosial yang menaja segala kemahuan Tasha. Daripada sebuah banglo sehinggalah kereta Audi yang dipandu olehnya, semua itu dikatakan hadiah daripada lelaki misteri itu. Soal berparti di kelab malam pula seperti satu perkara biasa. Sebelum ini perlakuannya berparti dan menari bersama rakan-rakan di kelab malam pernah didedahkan. Beberapa minggu lalu, namanya sekali lagi mencuri perhatian apabila dikatakan asyik berseronok dengan Datuk J di sebuah kelab di ibu kota. Lemas dan rimas bahkan adakalanya bosan kerana tidak habis-habis menjadi bahan diperlekehkan segelintir pihak, Tasha mengakui dia seboleh-bolehnya mahu bertindak bijak menangani kontroversi itu. "Saya sudah malas hendak mengulas dan bercakap perkara yang sama. Apa sahaja yang keluar daripada mulut saya akan dijadikan bahan untuk memulangkan paku buah keras kepada saya. Kalau dilayan, perkara ini tidak akan habis menjadi ungkitan. "Tapi saya faham tugas media. Saya sedaya upaya mahu bersikap optimis dan positif dalam hal itu. Kalau ikutkan hati saya tak mahu perkara itu diungkitkan lagi. "Saya bimbang, lama-lama pasti peminat akan naik muak," katanya separuh kalis menahan kontroversi bersiri yang datang seiring dengan pergerakan kariernya. Terbaharu, terbit satu lagi cerita panas mengaitkan nama Tasha. Selepas dikecohkan dengan fesyen gaun berlambang salib di dada, Tasha dikatakan mendapat penajaan besar daripada Datuk J gara-gara pelantikannya sebagai duta kempen I Love Malaysian Designers anjuran Brew & Skittles untuk tempoh dua tahun. Menurut Tasha, dia bertindak sebagai wajah atau duta kepada kempen itu bagi merancakkan lagi kehadiran lebih ramai pereka baru. "Syarikat yang menganjurkan kempen itu ialah Brew & Skittles yang diasaskan oleh Mutiara Bahir. Saya tidak tahu-menahu apa kaitannya Datuk J yang diperkatakan ramai dalam kempen ini. "Bagi saya, ini adalah satu penghormatan besar kerana dipilih menjadi sebahagian daripada kempen yang bertujuan membantu mempromosikan kerja cemerlang pereka fesyen tempatan," jelasnya. Sepanjang kempen tersebut, dia boleh memakai mana-mana pakaian pereka untuk sebarang acara, fotografi atau penggambaran mengikut kesesuaian. Jelasnya, terdapat enam pereka yang mengambil bahagian dalam kempen tersebut iaitu Rhea Benson, Sereni & Shentel, Emilia Tan, Justin Yap, Nurul Wardrobe dan Syahrir Nurdin. Selain kempen, satu pertunjukan fesyen I Love Malaysian Designers akan berlangsung pada 30 Oktober ini di The Venue, Pavilion Kuala Lumpur. Pihak Mutiara Bahir selaku pengasas Brew & Skittles pula menjelaskan, selain pertunjukan fesyen satu acara lelongan amal juga akan diadakan. Keuntungan daripada lelongan tersebut akan didermakan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM). "Saya dapat inspirasi untuk menganjurkan pameran amal fesyen ini berdasarkan penyertaan aktif dalam PBSM semasa zaman persekolahan. "Saya sangat berbesar hati dan gembira dapat mengumpulkan enam pereka berbakat besar dan khalayak yang prihatin untuk menyumbang kepada PBSM," katanya yang akan terbang ke Abu Dhabi untuk satu penggambaran drama bersiri tidak lama lagi. | ||
Megan teruja berlakon filem Melayu Posted: Megan teruja berlakon filem Melayu
WAJAH wanita muda ini sering dilihat di saluran 8TV sebagai pengemudi program. Lincah dan petah berbicara, Megan Tan merupakan pemegang Ijazah Psikologi dan Komunikasi dari Kolej Segi. "Saya bertemu dengan ramai orang. Pembelajaran saya dahulu membantu saya menyesuaikan diri dengan keadaan. "Ada pelbagai cara untuk berkomunikasi apabila berhadapan dengan bermacam-macam karakter. Saya juga dapat memahami perangai manusia dengan lebih baik. "Sebagai pengacara, saya banyak menemu ramah orang dan itulah yang membantu saya mendapatkan informasi," ujar gadis berusia 23 tahun ini yang pernah menemu bual pelakon filem Harry Potter di London. Bercerita tentang sejarahnya memasuki dunia glamor berdepan kamera, Megan lincah membuka cerita. "Saya terlibat dengan bidang pengacaraan sejak berusia 10 tahun lagi iaitu ketika mengacarakan program Golden Kids Club di RTM. Kemudian saya berhenti untuk memberi tumpuan kepada pelajaran. "Pada akhir November 2009, saya mencuba nasib dalam pertandingan 8TV Quickie Search. Saya berjaya terpilih dan pada Januari 2010, saya memulakan tugas sebagai pengacara 8TV Quickie," ujarnya yang fasih berbahasa Melayu. Bukan sekadar mengemudi program terkenal di saluran urban itu, wajah manis dan karakter ceria Megan menjadi tarikan bagi syarikat tertentu untuk mengetengahkan produk mereka. Terbaru, Megan menjadi pilihan produk Veet. "Sebelum ini saya menjadi duta Blackberry. Terkini, saya menjalankan kempen untuk produk Johnson & Johnson serta Veet. "Bersama Diana Danielle dan Tanuja, kami menjadi juri bagi pencarian Miss Veet," ujarnya yang memilih pemenang berdasarkan personiliti dan keyakinan diri peserta. Lepas ujiannya dalam bidang pengacaraan dan duta produk, Megan yang pernah berlakon telefilem Sakura arahan Rosnani Jamil bersama Shahrizal Jaszle ini menyimpan hasrat untuk aktif berlakon pula. Sebelum ini, gadis kelahiran Pulau Pinang ini pernah menempa pengalaman berlakon filem CE1 arahan Aziz M. Osman dan Apokalips arahan Mamat Khalid. Dia yang sedar industri lakonan Malaysia didominasi pelakon dan penonton Melayu bersedia untuk berdepan cabaran bergelar aktres. "Saya memegang prinsip walau apa pun yang saya buat, saya lakukannya dengan fikiran yang terbuka. "Sebagai persediaan, saya banyak bergaul dan berbual dalam bahasa Melayu. "Saya juga perlu bekerja keras dan melakukan yang terbaik," katanya yang terpaksa menolak tawaran sebagai pelakon utama sebuah telefilem kerana masalah jadual. Melihat kelincahannya berdepan kamera dan kena gayanya dalam berfesyen, Megan mengakui menjadikan Blake Lively dan Lauren Conrad sebagai panduan. "Saya gemarkan selera fesyen mereka. "Lauren Conrad mempunyai blog sendiri dan sangat bijak berfesyen manakala Blake Lively yang terkenal melalui siri The Gossip Girl menerapkan elemen feminisme dalam gayanya," ujarnya teruja. "Dalam realiti, kakak saya banyak membantu. Dia gemarkan fesyen dan seseorang yang sangat mengerti akan diri saya," sambungnya yang menganggap personaliti yang akan membuatkan seseorang itu tampak mahal dalam apa sahaja busana yang dikenakannya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |