Adsense

Ahad, 28 Oktober 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Korban Kasih Shila+Natasha

Posted: 27 Oct 2012 02:38 PM PDT

Kedua-duanya sedang melalui fasa bahagia dalam kehidupan peribadi termasuk selepas nekad berhijrah mengenakan tudung.

Kali pertama digandingkan untuk gambar muka depan B*POP, Natasha Hudson, 30, dan Shila Amzah, 22, menyerlah keserasian. Sekalipun menutup aurat yang menjadi tuntutan wanita Islam, ia tidak membataskan gaya fesyen mereka. Dengan persalinan istimewa rekaan Syomir Izwa, terma Hijabista yang kedengaran kebelakangan ini dipilih sebagai tema.

Pesona Natasha dan Shila cukup menyerlah di depan kamera. Biasan dan seri kebahagiaan pada raut wajah mereka membuktikan keduaduanya enggan lagi menoleh ke belakang. Natasha sedang mengandung tiga bulan hasil perkahwinannya dengan Carleed Khaza, manakala Shila pula sedang menyulam cinta bersama aktor Sharnaaz Ahmad.

Biarpun Natasha dan Shila sibuk dengan lapangan dunia seni masing-masing, apatah lagi Shila yang begitu sibuk dengan undangan menyanyi selepas menjuarai Asian Wave 2012 di Shanghai, kata sepakat menyatukan mereka berjaya direalisasikan Isnin lalu di butik Syomir Izwa.

Perbualan lebih menyingkap kepada sisi kehidupan mereka selain erti pengorbanan yang sering ditanya saat Aidiladha menjelma. Bagi Natasha yang menyambut ulang tahun kelahirannya pada 9 September lalu, nekad hijrah sekembalinya mengerjakan umrah Mac lalu membuka lembaran baru buatnya.

Keputusan itu juga menoktahkan zaman ibu tunggal kepada Nessa Helena yang kini berusia 4 tahun. Malah, keputusan berhijrah juga secara tidak langsung menuntut pengorbanan cukup besar termasuklah meninggalkan kehidupan lalu secara berperingkat.

"Saya memilih untuk bertudung ini tanpa dirancang.
Alhamdulillah, Tuhan membuka pintu hati saya tanpa desakan sesiapa. Hati saya menginginkan perubahan tanpa memikirkan kesan termasuklah persepsi mengatakan tawaran kerja akan berkurangan selepas berhijrah.

Sebelum membulatkan kata hati berhijrah ketika belum lagi menjejakkan kaki ke Tanah Suci, saya pernah berseloroh kepada seorang kawan apakah reaksinya jika saya bertudung.

Kawan tadi memintas tawaran kerja jadi terbatas. Ketika itu, saya hanya ketawa.

Tetapi Alhamdulillah, Tuhan menguatkan niat di hati saya.

"Dengan bertudung ini juga ia menjadi pengorbanan sendiri dalam memperlengkap diri daripada pelbagai benda.

Ia peringatan juga buat saya.

Sebagai individu saya juga tak lepas diuji dengan bisikan syaitan. Sesekali ada konflik dalam diri. Sebagai manusia biasa saya cepat-cepat bermuhasabah diri," katanya yang menyambut Hari raya Haji di Kuala Lumpur

Filem lakonannya yang bakal ditayangkan ialah Langgar, Lemak Kampung Santan dan Halilintar. Perantara program Sembang Santai Bersama Cikgu Sidek di TV AlHijrah ini juga tidak segan memberitahu hubungannya dengan bekas suami termasuk keluarga bekas mentuanya juga baik. Malah, hubungan itu lancar demi Nessa.

Nessa bakal dapat adik "Nessa pun sudah ada adik berusia lapan bulan. Tak lama lagi, adik terbarunya dalam kandungan perut ini pula insya-Allah akan dilahirkan.

Nessa bertuah kerana ramai sayangkannya. Keluarga bekas mentua dan bekas suami saya pun baik dengan Carleed. Ada masa kami berjumpa.

"Nessa sendiri pernah memeluk saya dan ibu tirinya. Ia membuat saya tersentuh.

Saya seboleh-bolehnya tidak mahu apa yang saya rasai dulu dengan perpisahan ibu bapa berulang kepada Nessa. Carleed juga sangat menyayangi Nessa kerana hubungan mereka cukup akrab. Carleed juga begitu teruja dengan bakal anak yang akan dilahirkan ini," kata Natasha yang baru saja memperkenalkan koleksi skaf dan selendang di bawah jenama fesyen Dreamcloud (www.vimeo.com/dreamcloud) miliknya.

Pengorbanan Natasha sebagai isteri dan ibu juga dapat dilihat dengan rutin hariannya. Biarpun kini sedang hamil, perhatian kepada suami dan anak tidak pernah berkurangan. Rutin memasak atau menyediakan makanan untuk kedua-dua cinta hatinya itu tak dilepas pandang begitu saja.

Laporan lanjut dapatkan Bipop hari ini

Seruan AlMawlid

Posted: 27 Oct 2012 02:23 PM PDT

Penggiat industri hiburan perlu bermuhasabah dengan melihat ke dalam diri dan bertanya, apakah hanya wang dan pujian melayang yang dicari apabila sanggup menyempitkan ruang luas itu pada satu sudut kecil?

AlMawlid yang dibarisi lima vokalis terkenal daripada tiga kumpulan Soul R&B popular juga menyeru penggiat hiburan supaya kembali membawa semangat dan adab Timur dan tidak memencilkan industri hiburan hanya pada sudut material.

Amer Munawer yang juga bekas anggota Ruffedge berkata, industri hiburan sebenarnya membentangkan lautan peluang yang sangat luas untuk diteroka.

Malangnya, usaha itu dipencilkan oleh segelintir pihak yang mengheretnya ke tahap menyedihkan hingga menyebabkan industri hiburan tempatan muram dalam kegemilangan.

Menolak lontaran pendapatnya itu diluahkan didorong penghijrahan diri, Amer terkilan apabila kebanyakan produksi menyempitkan persepsi hiburan itu pada sudut material hingga mengenepikan tanggungjawab terhadap masyarakat.

"Saya berharap akan bangkit satu gelombang baru yang berani hadir membawa karya yang mendidik jiwa.

Cukupkah hanya dengan duit dan pujian melayang yang akan dibawa sebagai bekalan apabila kita bertemu Allah dan Rasul-Nya nanti?
"Maaf jika saya berkata, industri hiburan hari ini berada pada tahap menyedihkan.

Di mana adab dan akhlak sebagai penggiat seni dari Timur sedangkan banyak ruang boleh diteroka dan dimanfaatkan untuk pembangunan insan.

"Saya bukan mahu memandang rendah atau menghukum sesiapa, tetapi secara jujur kita perlu membawa kembali semangat dan adab yang sebati dalam kehidupan untuk dicerna penonton.

"Saya bersyukur kerana pengalaman dulu membantu saya memilih jalan hidup hari ini. Rezeki Allah itu luas, usah bimbang kerana Tuhan akan memberikan ganjaran terhadap usaha itu. Ia datang dalam pelbagai bentuk, tidak hanya dari sudut material semata-mata," katanya.

Hijrah artis yang dilihat seperti ledakan fenomena baru turut mengheret AlMawlid yang disertai, Pot Amir (Innuendo); Azan Addin (Ruffedge), Lah Ahmad dan Zaf Nazaruddin (VE) dan dua anggota baru, Adeep Nahar (The Fabulous Cats) dan Ustaz Kyrel Al-Gayauwi didekati golongan berkepentingan.

Enggan menidakkan usaha artis lain, Amer berkata, AlMawlid bagaimanapun memilih untuk berjuang dengan cara mereka sendiri menerusi kelebihan bakat yang diberikan Allah.

"Sesekali kami penuhi undangan untuk berkongsi cerita mengenai penghijrahan, malah tidak menolak jika dipelawa ke universiti untuk memeriahkan majlis ilmu.

"Dengan kelebihan bakat seni, kami hidupkan semula formula itu dalam medium kontemporari untuk membuktikan Islam itu satu gaya hidup.

"AlMawlid itu adalah sebuah komuniti yang menjadi terminal untuk mereka yang cintakan Rasulullah dan membawa semangat perjuangan baginda dalam bidang masing-masing," kata Amer.

Pernah nekad untuk meninggalkan muzik yang sebati dalam diri, pendirian AlMawlid berubah selepas dinasihatkan seorang ustaz supaya terus berkarya tetapi berlandaskan syariat Islam.

"Awal dulu kami ragu tetapi apabila dinasihatkan supaya meneruskan minat itu, kami lakukan kerana kecintaan mendalam terhadap Allah dan Rasul-Nya.

Setiap ruang itu adalah peluang, cuma terpulang bagaimana kita mahu memanfaatkannya. Apa yang dilihat hari ini adalah diri kami sebenar.

"Membawa imej begini, secara tidak langsung memberi peringatan kepada diri untuk menjaga tingkah laku. Cukuplah segala perhiasan dunia lalu, kami sudah puas. Tiada lain yang kami pinta kecuali Tuhan tetapkan pintu hati untuk tidak berubah," tambah Amer yang turut bertindak sebagai jurucakap AlMawlid.

Tampil dengan album sulung, AlMawlid selepas dua tahun ditubuhkan, AlMawlid berkata, proses pembikinan produksi itu seperti dipermudahkan Allah.

Tanpa niat untuk mengaut keuntunga n, AlMawlid bersyukur kerana album mengisi lapan trek dengan lima trek lagu, dua trek bacaan Al-Quran, selawat dan doa serta satu minus one itu menerima sambutan di luar jangkaan.

Selepas dua bulan, penjualan album itu mencecah 8,000 salinan dan kehadiran dua anggota baru sejak 1 Syawal lalu, membakar semangat AlMawlid untuk membawa perjuangan ikhlas mereka dalam mencari keredaan Ilahi.