Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Makin matang makin larisALIRAN muzik yang serasi, mengalir bersama pembuluh darah yang mengikat Paul Kevin Jonas II (Kevin), Joseph Adam Jonas (Joe) dan Nicholas Jerry Jonas (Nick) atas nama tiga bersaudara atau lebih tepat Jonas Brothers. Jenama yang utuh dibawa menjelajah ke serata dunia menerusi saluran Disney dan sehingga ke hari ini biarpun imej remaja yang semakin terhakis daripada diri mereka, Jonas Brothers secara harafiahnya masih relevan. Dua tahun lalu menyaksikan mereka bersama-sama di atas satu pentas untuk siri konsert jelajah mempromosikan album keempat Lines, Vines and Trying Times, kemudiannya ketiga-tiganya membawa hala tuju solo. Bukan berpecah bak kata jejaka paling muda dalam grup itu, Nick, 20, mereka sentiasa bersama-sama walau tidak berpadu suara dalam tempoh tersebut. Baru-baru ini, pada sesi temu bual video di pejabat urusan The WonderLand+ yang merencanakan perjalanan konsert mereka di Kuala Lumpur pada 24 Oktober nanti, Nick menjelaskan mereka masih bersatu. "Saya tidak melihat penggabungan ini (konsert) sebagai satu kemunculan semula Jonas Brothers kerana kami sentiasa bersama. Cuma masing-masing melakukan kerja berbeza buat sementara waktu, "Sekarang, mungkin waktu terbaik untuk kembali berkolaborasi dan kami sangat teruja," ujar Nick yang sudah menubuhkan sebuah band Nick Jonas & Administration sepanjang tempoh masa tidak bersama Jonas Brothers. JONAS BROTHERS belum berpecah biarpun mereka bertiga sudah membawa haluan masing-masing. Dalam perkembangan lain, Nick juga terbabit dengan drama bersiri hit, Smash, selain pementasan Les Miserables dan How to Succeed in Business Without Really Trying on Broadway menggantikan Daniel Radcliffe yang sebelum itu merealisasikan karakter tersebut. Meet You In Paris Sepanjang dua tahun itu juga, Joe, 23, pula mencuba nasib menerusi album solo, Fastlife. Jejaka kelahiran Casa Grande, Arizona itu menyifatkan perjalanan seni dan muzik mereka berevolusi sejajar dengan perkembangan usia. "Pengalaman bergerak seketika secara solo memberikan banyak pelajaran kepada kami, mematangkan dan membuat kami lebih cekal. "Banyak perbezaan telah kami lalui. Dari segi muzik, kami kini lebih banyak mendengar pelbagai gaya muzik yang kami gemari. Ia disuntik sedikit sebanyak ke dalam aliran muzik kami," ungkapnya. Berkongsi cerita perkembangan terbaharu Jonas Brothers, kata Joe, mereka kini sedang sibuk memilih lagu-lagu terbaik untuk dimuatkan ke dalam album mereka yang kelima. Pada sesi temu bual tersebut, turut diperdengarkan sebuah lagu iaitu Meet You in Paris yang dipetik daripada album itu. "Kami mengawal hala tuju dan apa yang akan berlaku seterusnya dalam industri muzik ini datang daripada keringat kami sejak dulu," jelasnya. Miley Cyrus Dalam pada itu, khabarnya, single terbaharu daripada kumpulan itu, Wedding Bells ditujukan khas kepada pelakon Miley Cyrus selepas bintang filem Hanna Montana itu putus cinta dengan Nick. Buktinya, beberapa baris lirik dalam lagu itu dikatakan sebenarnya merujuk kepada Cyrus yang kini sudah bertunang dengan aktor filem Hunger Games, Liam Hemsworth awal tahun ini. TIGA adik-beradik Jonas ini bakal muncul untuk konsert julung-julung kali di Malaysia pada 24 Oktober ini. Nick bagaimanapun bijak memberikan jawapan yang berkias terhadap makna yang tersirat di sebalik lagu tersebut. Katanya: "Album kelima Jonas Brothers sedang menjalani sesi rakaman dan sepanjang proses itu ada perkara baik dan buruk terjadi serentak. "Saya tidak pernah menghasilkan lirik lagu yang boleh membuatkan timbul perasaan yang tidak selesa. Apa yang berlaku pada tahun lepas (putus cinta), sebenarnya memberikan kesan sehingga ke hari ini." Sementara itu, Kevin pula sempat berkongsi pengalamannya dalam rancangan realiti televisyen terbaharu, Marriage To Jonas yang diterbitkan oleh pengacara terkenal Ryan Seacrest dan disiarkan di saluran E! "Pengalaman yang sangat menarik untuk seluruh ahli keluarga kami dan rancangan itu sedang mendapat perhatian ramai di Amerika Syarikat. "Perkahwinan merupakan perkara terindah yang berlaku dan meluangkan waktu bersama teman paling akrab (isteri) adalah momen yang tidak akan dilupakan," kata Kevin. Rancangan itu memaparkan kehidupan Kevin bersama pasangannya, Danielle Deleasa, 25, yang telah berkahwin pada Disember 2009. | ||
Posted: Status cinta Nora DanishOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
SEJAK memegang status janda setelah bercerai dengan Rizal Ashram Ramli pada tahun 2008, pelakon cantik, Nora Danish sudah berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam menempuh kehidupan seharian. Sering dikaitkan mempunyai hubungan dengan beberapa lelaki termasuk penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, aktres kacukan Myanmar-Melayu itu pernah berhadapan dugaan paling besar apabila didakwa menjadi punca keretakan rumah tangga aktor Adi Putra yang juga heronya dalam filem Aku Terima Nikahnya. Bagaimanapun, apa yang lebih mengelirukan, Nora sering memberi kenyataan yang berbeza sewaktu memberi jawapan tentang kekasih hati baharu. Sebelum ini, dia pernah membuat kenyataan sedang mengenali seseorang, rapat dengan ahli perniagaan dan mengaku ada kekasih, tetapi selepas semua kenyataan tersebut keluar, Nora sering menafikan hal tersebut. Dia sebaliknya menuding jari dengan mengatakan pihak media kerap membuat andaian kurang benar terhadap kenyataan yang diberikannya. Ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Aku Terima Nikahnya di TGV Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, ibu kepada seorang cahaya mata, Putera Rayqal Ramli, 4, itu bertindak memberikan jawapan terhadap status dirinya yang sebenar. Ia sekali lagi jauh menyimpang daripada jawapan tentang dirinya telah dimiliki seperti yang dilaporkan beberapa minggu lalu. Kosmo!: Sebelum ini Nora ada menyatakan sedang mengenali hati budi seseorang. Namun, Nora pernah juga membuat kenyataan tidak memiliki kekasih. Kemudian baru-baru ini Nora menyatakan sedang rapat dengan seorang ahli perniagaan pula. Boleh jelaskan yang mana satu betul? NORA: Secara jujurnya saya memang sangat terkejut apabila dikatakan rapat dengan ahli perniagaan, sedangkan saya tidak pernah membuat kenyataan sedemikian sewaktu ditemu bual sebuah akhbar dua minggu lalu. Dalam temu bual tersebut, saya memberitahu buat masa sekarang saya memang berkawan dengan ramai lelaki, namun tidak terfikir untuk memilih salah seorang daripadanya untuk menjadi teman hidup saya. Jadi, bagaimana boleh timbul kenyataan sedemikian? Semasa saya memberi penjelasan yang sebenar ketika rakan-rakan wartawan bertanyakan soalan yang menyentuh tentang kehidupan peribadi terutamanya berkenaan teman istimewa, mungkin ada yang memberi interpretasi atau tafsiran berbeza terhadap kenyataan saya itu. Misalnya, apabila saya menyatakan berkawan dengan ramai lelaki, tetapi tidak mustahil salah seorang daripadanya serasi dengan saya. Tiba-tiba saya dikatakan sudah rapat dengan seseorang, sedangkan pada hakikatnya tiada sebarang hubungan istimewa yang wujud. Setelah empat tahun bergelar ibu tunggal, adakah Nora sudah bersedia menamatkan zaman janda? Memang saya akui sekarang mempunyai ramai kawan lelaki, namun tiada langsung perancangan untuk berkahwin dan saya selesa dengan keadaan sekarang. Buat masa ini saya mahu lebih fokus kepada kerjaya dan membesarkan Rayqal. Dalam sebuah akhbar baru-baru ini menampilkan gambar Nora dan aktor Adi Putra dalam keadaan yang sangat romantik. Tidak risau sekiranya peminat kembali membangkitkan isu yang mengaitkan anda sebagai punca berlakunya masalah perkahwinan Adi sebelum ini? Bagi saya, gambar-gambar tersebut tidak memberi sebarang makna terhadap kontroversi yang pernah berlaku dan tujuannya sekadar untuk mempromosikan filem Aku Terima Nikahnya memandangkan kami berlakon sebagai pasangan suami isteri. Lagipun, kami berdua juga pernah bergandingan menerusi drama bersiri Tentang Dhia, namun tidak timbul pula sebarang cerita yang negatif. Sebagai pelakon, kami perlu bertindak profesional dan saya rasa gambar tersebut tidaklah melampau. Bagaimana pula dengan gambar Nora yang cukup seksi itu? Itu semua adalah gambar-gambar lama yang telah diambil sebelum saya mengerjakan umrah dahulu. Saya tahu ada segelintir peminat yang memberi persepsi negatif terhadap gambar berkenaan memandangkan mereka sangat berharap agar saya tidak lagi tampil seksi sekarang. Apatah lagi, ketika mereka membaca kenyataan yang mengatakan saya akan bertudung. Saya menyatakan hasrat untuk mengubah penampilan memang ada cuma tidaklah terlalu drastik, tetapi tidak pernah pula berkata akan bertudung dalam masa terdekat ini. | ||
Luna Maya sebak ditanya tentang Ariel Posted: Luna Maya sebak ditanya tentang ArielSETELAH kisah cinta Luna Maya dan Ariel Noah terkandas, masing-masing enggan berbicara lebih lanjut berkenaan hal itu.Ketika Luna dijemput menjadi tetamu undangan rancangan televisyen Dahsyat baru-baru ini, Luna enggan menjawab mengenai kisahnya bersama Ariel apabila disoal oleh pengacara program itu, Olga dan Raffi. "Adakah Luna mahu kembali kepada Ariel?" tanya Olga. Namun, pelantun lagu Sudah Biasa itu sekadar tersenyum simpul. Olga kembali bertanya perkara yang membuatkan Luna terkenang akan Ariel: "Apa yang Luna mahukan daripada Ariel?" Cuba menghindari pertanyaan sedemikian, balas Luna: "Sudahlah! Saya sudah mahu menangis." |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |