Berita Harian: Hip |
Posted: 19 Oct 2012 04:00 PM PDT Nirwana tidak menyangka diterima baik peminat muzik di Malaysia Segala yang mereka kecapi hari ini tidak datang bergolek di depan mata. Beranjak dari pasaran bebas, Nirwana cuba membawa bakat mereka dengan menerjah arus komersial. Bagaimanapun, keinginan band yang bertapak di Subang, Jawa Barat pada 7 Mac 2008 untuk mencipta nama gemilang pernah terhalang apabila ditolak beberapa label besar.Penantian panjang tidak melemahkan band yang dibarisi Denis (vokal), Avew (gitar), Bayu (gitar utama), Arif (keyboard), dan Hendry (dram) untuk menggapai cita-cita mereka. Tanpa pernah mereka duga, sekadar berbekal sebuah single, populariti Nirwana menjalar di negara jiran apabila lagu, Sudah Cukup Sudah lebih dikenali di Malaysia, berbanding tanah air sendiri. Luar biasa Bertemu ketika pelancaran album sulung, Ingin Kau Bahagia di kafe D'Consulate, Jakarta Pusat, baru-baru ini, Nirwana menyifatkan, Sudah Cukup Sudah sebagai keajaiban luar biasa dalam hidup mereka. Enggan leka dengan segala yang diperoleh, Nirwana berkata, kejayaan itu secara tidak langsung membuktikan mereka bukan jagoan kampung yang hanya mahu menjadi juara di laman sendiri. Biarpun tidak pernah bermimpi besar namun katanya, Nirwana sentiasa mendesak diri supaya berani untuk keluar dan mencuba sesuatu yang berbeza. "Masih ingat lagi ketika sambutan tahun baru 2012 lalu, kami ada menulis status di Facebook untuk pergi ke Malaysia. "Ia hanya mainan kerana kami tidak pernah serius untuk meneroka pasaran luar. Tidak sangka, bermula pembohongan akhirnya menjadi kenyataan paling manis dalam hidup kami," katanya. Pop melayu Bakal berada di Kuala Lumpur, November ini sempena pelancaran album di samping menjayakan persembahan pada acara kemuncak, Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-19, Nirwana ketika ini memfokuskan dulu untuk membina nama di negara sendiri. Bermula sebagai band alternatif rock, Nirwana berkata, mereka tunduk untuk mencuba pop Melayu kerana mengikut arus muzik semasa tanpa mengenepikan ciri asli yang menyerlahkan identiti mereka. "Mungkin ada yang melihat Nirwana cuba lari daripada genre asal, tetapi nuansa rock tetapi diberi pada setiap sentuhan supaya kami tidak lupa permulaan bertapak dalam bidang muzik. "Untuk berjaya, pemuzik perlu inovatif dan sebagai pengkarya kami akan terus menghasilkan karya tanpa perlu memikirkan apakah mampu memberi saingan atau sebaliknya. "Semua yang berada dalam industri muzik kami anggap seperti saudara, justeru mengapa perlu memikirkan perkara negatif. Apa yang bermain di fikiran kami ketika ini adalah untuk memajukan industri muzik, tiada lain," katanya lagi. Inspirasi nota bunuh diri Sudah Cukup Sudah tidak hanya mempopularkan Nirwana kerana di sebalik populariti lagu itu, tercatat sebuah kisah sedih yang tidak mungkin mereka lupakan. Inspirasi lagu itu kata Denis, diambil daripada perjalanan hidup seorang tenaga kreatif Nirwana yang tidak mampu membendung kesedihan apabila cinta bersama seorang gadis tidak kesampaian. Nota curahan hatinya itu menuang idea kepada Denis dan temannya untuk mencoretkan Sudah Cukup Sudah sebagai bingkisan buat kru berkenaan. "Bagaimanapun selepas lagu ini dihasilkan, kami menerima khabar sedih dia sudah membunuh diri. Insiden itu cukup mengejutkan, membuatkan kami tersentuh setiap kali membawakan lagu itu. Biarpun sudah tiga tahun berlalu, lagu itu membekas kesan mendalam kepada kami. Cinta itu tidak salah dan bukan untuk disakiti," katanya. Beralih topik kepada album penuh mereka, Nirwana berkata, kesemua 10 lagu yang dimuatkan dalam produksi itu dihasilkan sendiri. Mimpi panjang Sebagai bakat baru, Nirwana perlu membuktikan kepada label mereka mampu melakukannya di samping menanam keyakinan untuk kekal bertahan dalam industri. "Sama ada Nirwana akan kuat atau sebaliknya, itu pasaran yang tentukan. Sebagai pemuzik, kami cuba menghasilkan sebuah produksi yang memuatkan ciptaan yang mampu menjadi jagoan di hati peminat. "Sering kami tekankan dalam diri masing-masing, setiap yang diperoleh ini adalah mimpi panjang kami sekian lama. Jangan kerana hal remeh, kepercayaan dan keyakinan diri terhakis. Lumrah sebuah band, pola pemikiran setiap anggota tidak sama tetapi kami saling berbahagi dan terbuka supaya tidak berlarutan menjadi sesuatu menyakitkan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |