Kosmo Online - Hiburan |
Posted: ELAK kahwin suami orangMELIHAT kehidupan penyampai radio popular Rozlinda Onn atau nama glamornya Linda Onn, semuanya kelihatan serba lengkap. Bekerja tetap sebagai penyampai radio Suria FM, memiliki bakat dalam bidang pengacaraan dan lakonan bahkan juga memiliki deretan perniagaan yang berjaya. Namun dalam kesibukan dirinya, Linda sedar usianya yang kini menjangkau angka 34 tahun sedang mengejarnya untuknya segera menamatkan zaman bujang. Bahkan Linda yang ditemui ketika Kosmo! mengikuti rombongan Suria FM dalam program Santai Sabah bersamanya dan Farish Aziz pada awal bulan ini, dia amat berharap supaya jodohnya tiba dalam masa terdekat. "Saya tidak meletakkan sebarang sasaran bila saya harus kahwin, tetapi saya amat berharap dalam masa terdekat. Jika jodoh itu tiba, memang saya akan berkahwin juga," jawabnya. Getus Linda, dia bukanlah seorang wanita yang cerewet dalam mencari calon suami. Malah tidak meletakkan sebarang piawaian yang ketat namun syarat utamanya, lelaki itu haruslah bukan suami orang. "Rasanya semua wanita ingin elakkan mengambil suami orang, itu syarat yang paling penting. Selain itu, saya mencari lelaki yang sedap mata memandang, baik hati budi, beragama dan rapat dengan keluarga," katanya. Disoal sudahkah hatinya ditambat oleh mana-mana jejaka, hanya senyuman yang terukir di bibirnya, lantas menggelengkan kepala. "Saya ada berkawan dengan beberapa orang (lelaki), tetapi yang serius belum ada lagi. Bukan tidak mahu, tetapi selepas apa yang pernah berlaku terhadap saya sebelum ini, membuatkan saya lebih berhati-hati. "Saya akui bimbang jika dikecewakan dan harus bersedih lagi kerana lelaki. Kalau boleh saya tidak mahu menangis lagi, cukuplah dengan apa yang saya sudah lalui," balasnya dalam nada serius. Belum berkahwin pada usia 34 tahun tidak membuatkan Linda berasa terasing atau berbeza daripada wanita lain kerana dia kini cukup bahagia dengan kehidupannya. "Bila tengok rakan seusia sudah berkeluarga, saya tidak pernah rasa kasihan pada diri sendiri kerana saya cukup bahagia dengan apa yang saya miliki hari ini, kerja, perniagaan dan keluarga. "Kadangkala, saya pula berasa kasihan kepada rakan saya yang dilihat sempurna daripada segala segi. Mereka ada keluarga dan anak-anak, tetapi mempunyai masalah dengan rumah tangga. Apa pun saya tetap akan berkahwin, bila dan dengan siapa, saya sendiri tidak tahu," tuturnya. Buang kontroversi LINDA tidak ketinggalan menikmati keenakan juadah masyarakat Kadazan Dusun di Kampung Budaya Mari-Mari. Nama Linda sebelum ini memang sarat dengan kontroversi namun sejak berhijrah ke Suria FM tiga tahun yang lalu, namanya kini bersih daripada sebarang kontroversi negatif. Katanya, kehidupan yang dilaluinya kini cukup tenang, namun, sebagai seorang selebriti dia juga sedar kontroversi itulah yang membuatkan dirinya popular. Saya sedar hakikat, baik buruk publisiti yang diterima, ia tetap publisiti. Bagaimanapun kerja dalam bidang hiburan kadangkala saya tidak dapat elakkan daripada kontroversi itu terjadi. Jika kontroversi datang lagi, saya terpaksa harunginya ,tetapi sekarang ia umpama kacang (senang) kerana saya telah melalui kontroversi yang sangat besar dan membebankan. Harap kontroversi tidak akan berlaku lagi," katanya. Bercakap soal kerjayanya, Linda yang ke udara setiap petang dalam segmen Ceria Petang pada pukul 4 petang hingga 8 malam di Suria FM, mengaku kerjayanya sebagai pengacara dan pelakon tidak serancak dahulu. Jelas Linda, dia bukan menolak tawaran, tetapi disebabkan kesibukan kerja serta tiada tawaran lakonan yang berkenan di hatinya. Itu yang membuatkan dirinya memperlahankan kerjaya lakonan buat sementara waktu. "Sebenarnya saya ada dapat beberapa tawaran berlakon, tetapi selepas membaca skrip, saya dapati wataknya tidak sesuai dan skripnya tidak menarik. Itu yang membuatkan saya tidak berlakon. "Kalau boleh saya mahukan watak tidak kira baik atau jahat, tetapi saya menjadi punca segala yang berlaku dalam filem itu," luahnya yang telah berlakon dalam lima buah filem dan beberapa buah drama. Selain itu, Linda juga menjadi pengacara untuk sebuah program penjagaan kecantikan berjudul Belaian Jiwa yang sedang dalam proses rakaman dan bakal ditayangkan di TV3. Santai Sabah Saban tahun, Linda akan memastikan dirinya berehat dengan bercuti di dalam atau luar negara. Justeru, tawaran untuk melancong sekitar Sabah dalam program Santai Sabah disambut baik olehnya. Program yang turut disertai oleh penyampai radio Suria FM Sabah, Farish Aziz bermula pada 4 Oktober sehingga 7 Oktober lalu ditaja sepenuhnya oleh pihak Sabah Tourism Board. Meskipun melancong, Linda dan Farish akan membuat lintas langsung daripada setiap lokasi lawatan. Antara destinasi menarik yang dilawati sepanjang di Sabah seperti Taman Kinabalu, Kundasang, Poring Hot Spring, Pulau Sapi, Pulau Manukan, Kampung Budaya Mari-Mari, Pasar Filipina dan Pasar Ahad Gaya Street. "Saya seorang yang suka melancong. Kali ini, walaupun berkesempatan berehat tetapi program Santai Sabah merupakan kerja. "Bagi saya, Sabah mempunyai banyak destinasi pelancongan yang menarik. Destinasi paling saya suka sudah tentunya lawatan ke pulau-pulau," katanya yang telah beberapa kali melancong ke Eropah. LINDA dan Farish serta kru Suria FM yang menyertai mereka berdua untuk program Santai Sabah bergambar bersama kaum Kadazan Dusun di Kampung Budaya Mari-Mari, di Kota Kinabalu, Sabah. Tidak hanya menikmati keindahan Pulau Sapi dan Pulau Manukan yang mengambil masa 15 minit perjalanan dari jeti Sutera Harbour Marina, Linda, Farish dan pihak media berpeluang melakukan aktiviti snorkeling dan berjalan di dalam laut. "Laut di Sabah memang sangat cantik, saya suka snorkeling, sekarang kulit sudah hitam sedikit sebab berjemur di laut. Selain itu, ketika berada di sekitar Gunung Kinabalu, saya terasa seperti bercuti di luar negara kerana keadaan cuacanya yang sungguh sejuk dan pemandangan yang sangat cantik. "Jika diberi peluang dan masa, saya akan melawat Sabah lagi dan menjelajah ke destinasi lain pula," katanya yang pernah ke Pulau Redang, Langkawi, Tioman dan Pangkor. |
Cantik, tak cantik boleh berentap Posted: Cantik, tak cantik boleh berentapOleh KHAIRIYAH HANAFI DAPAT sambutan. Ramai peserta hadir untuk mencuba nasib dalam Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua baru-baru ini. LEBIH 2,000 orang peserta hadir mencuba nasib untuk merealisasikan impian mereka bergelar seorang penghibur pada sesi uji bakat Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua terbitan TV3. Pencarian yang berlangsung hampir sebulan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, Kuching, Sarawak serta Kota Kinabalu, Sabah itu telah melabuhkan tirainya minggu lalu apabila sesi uji bakat terakhir dijalankan di Sri Pentas TV3, Petaling Jaya. Menariknya, semua gelagat para peserta yang mencuba nasib untuk menjadi sebahagian daripada anak seni generasi baharu akan mula disiarkan pada malam ini pada pukul 9.30 malam di TV3. Seperti biasa, terdapat banyak 'drama' barisan peserta selain ketegasan dan sikap dua orang juri program realiti tersebut iaitu komposer, Azmeer dan penyanyi, Mas Idayu dapat disaksikan dalam saringan untuk mencari peserta yang benar-benar berkualiti. Secara umumnya, Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua masih mengekalkan konsep lama iaitu pemilihan vokal diutamakan selain daripada rupa paras peserta. Bagaimanapun, menurut Penerbit Eksekutif rancangan tersebut, Ahmad Shaifullizam Arshad, kali ini ia memberi sedikit kelainan apabila terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira paras rupa serta fizikal peserta berbanding musim yang lalu. "Kalau musim lalu kita hanya tumpu kepada mereka yang tidak mempunyai rupa, tetapi kali ini, cantik atau tidak, mereka tetap diberi peluang untuk beradu nasib sebab kami nak cari vokal yang mantap sahaja" ujarnya. Justeru, adakah ini bermakna bakal berlaku keputusan berat sebelah dalam pemilihan peserta kali ini seperti faktor fizikal dan paras rupa lebih menjadi daya tarikan, sedangkan matlamat asal program itu adalah untuk mencungkil peserta yang berpotensi namun kurang menonjol dari segi penampilan? Ahmad Shaifullizam bagaimanapun menepis persepsi itu. "Kali ini kita akan gunakan tabir atau tirai pada sesi uji bakat. Maka, juri tidak akan dapat melihat rupa fizikal peserta yang sedang diuji. Hanya suara peserta yang akan kedengaran di sebalik tabir tersebut. "Jika peserta berjaya memukau juri dengan vokal mereka yang mantap, barulah kita akan buka tabir itu untuk mempamerkan wajah mereka" ujarnya mengenai konsep uji bakat peserta. Program tersebut akan menampilkan Azmeer sebagai juri tetap manakala deejay, Faizal Ismail masih dikekalkan sebagai pengacara majlis. Pemenang tempat pertama untuk Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000.00 berbanding RM50,000.00 tahun lepas, manakala tempat kedua akan membawa pulang sejumlah wang bernilai RM30,000.00 sama seperti musim pertama. Sambutan yang diterima untuk sesi pencarian bakat kali ini sememangnya mengejutkan apabila orang ramai berasak-asak untuk menghadirkan diri ke sesi uji bakat. Namun menurut juri profesional yang terlibat sepanjang sesi uji bakat tersebut, Mas Idayu, kehadiran peserta pada kali ini amat tidak memuaskan, lebih-lebih lagi apabila ramai yang dilihat seperti tidak bersedia, malah tidak menunjukkan ciri-ciri seorang peserta yang ingin bertanding. "Sukar untuk juri kali ini membuat pemilihan sebab semua yang datang sama sahaja. Setakat ini kami masih tidak ketemui peserta yang mampu buat kami terpukau dan terpegun apabila mereka melontarkan suara," katanya yang perlu memilih lapan peserta wanita dan lapan lelaki untuk berentap dalam program realiti tersebut. |
Tom Cruise tinggalkan Scientology Posted: Tom Cruise tinggalkan ScientologyAKTOR kacak, Tom Cruise dikhabarkan akan meninggalkan agama anutannya, Scientology demi memenangi semula hati bekas isterinya, Katie Holmes. "Sekarang, dia sudah kehilangan perkara paling berharga dalam hidupnya dan dia melihat fahaman Scientology tidak menjejaskan reputasi kariernya. Malangnya, agama yang menjadi ikutannya itu telah membuat dia berakhir dengan dua penceraian! "Ia seperti kebangkitan semula Cruise yang sangat dahsyat apabila Holmes menghantar dokumen perceraian baru-baru ini. Dia kini sangat menderita," ujar sumber terdekat Cruise kepada majalah People. Aktor tersebut mula menganut agama Scientology pada tahun 1990 apabila dia mengahwini isteri pertamanya, Mimi Rogers. Selepas berpisah dengan Rogers, dia berkahwin pula dengan aktres Nicole Kidman, tetapi perkahwinan kedua itu juga berkecai dan dikatakan ia berpunca daripada fahaman agamanya itu. "Dia sudah kehilangan Kidman dan sekarang isterinya (Holmes) serta anak perempuannya (Suri). Dia selalu menggunakan teknik Scientology, namun baru kini dia sedar ia tidak berkesan dalam hubungan perkahwinannya," ujar sumber tersebut itu lagi. Malah, sumber tersebut sempat memberitahu kebarangkalian Holmes mahu kembali bersama Cruise agak besar sekiranya aktor tersebut meninggalkan agama tersebut. Katanya: "Jika Cruise betul-betul meninggalkan agama itu, Holmes akan mempertimbangkan semula keputusannya. Cruise merupakan impiannya sejak kecil. Dia pasti memerlukan kekuatan untuk meninggalkan Cruise." |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |