Adsense

Isnin, 8 Oktober 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Artis biarlah berilmu

Posted: 07 Oct 2012 06:51 AM PDT

ARJA Lee serba salah untuk memilih dua tawaran yang tiba-tiba sampai ke ribaannya, sama ada untuk menerima tawaran berlakon dalam drama 26 episod ataupun menyertai program Fear Factor Selebriti Malaysia yang akan dirakamkan di Cape Town, Afrika Selatan bermula 23 Oktober hingga 15 November ini.

Dia tidak menyangka pihak Astro akan mempelawanya menyertai projek itu dan apabila ditanya macam mana mereka tertarik untuk mengajaknya bersama, jelas wakil Astro, mereka terbuka hati untuk memanggilnya selepas menyaksikan lakonan mantapnya dalam telefilem Pulut Kacau Meriam Kabait.

"Saya terkejut dengan tawaran Astro kerana saya orang baru dalam industri.
Bagaimanapun, saya tidak terus memberikan persetujuan kerana pada masa sama, pengarah Amy Maziah mahu saya berlakon dalam drama arahannya. Kedua-dua rezeki itu datang serentak sehingga membuatkan saya sukar membuat pilihan.

"Dapat berlakon dalam episod memberi pendedahan yang besar dalam kerjaya seni saya yang baru bermula selepas tamat pengajian dari Universiti Sains Malaysia (USM) kerana penonton dapat melihat lakonan saya setiap minggu. Ini boleh memberi impak baik kepada saya yang baru memulakan langkah ini.

"Tetapi Fear Factor pengalaman baru yang tidak boleh dilepaskan, apatah lagi program itu sangat popular di seluruh dunia. Kalau program itu dibuat di Malaysia, boleh saya menerima kedua-dua tawaran itu. Selepas ditimbang tara, saya memilih Fear Factor dan terpaksa 'mengorbankan' tawaran berlakon drama.

"Saya dan rakan artis serta selebriti lain akan bertolak ke Cape Town pada 20 Oktober ini dan tempoh berapa lama berada di sana bergantung kepada penyingkiran. Saya dan rakan sepasukan, Alam Wakaka akan bertahan selagi terdaya," katanya.

Seramai 30 artis dan selebriti akan beradu fizikal dan mental di Cape Town termasuk Didie Alias, Zoey, Dafi, Jehan Miskin, Kaka, Elfira Loy, Hairul Azreen, Farish Aziz, Gambit Saifullah, Ezlynn, Mejar Dr Faiz, Zawen Anwar, Hafizul (On Air), Roslan Shah, Azam Pitt, Norisham Ismail dan Johan As'ari.

Mereka dibahagikan kepada 13 kumpulan untuk mengisi 13 episod program yang bersiaran di Astro Ria.

Jelas Arja atau nama sebenarnya, Azharudin Ramli, benda jijik dan aktiviti yang menyalahi budaya negara ini tidak akan ditonjolkan dalam program Fear Factor Selebriti Malaysia.

"Astro tidak akan mengikut format program itu yang mendedahkan peserta dengan perkara tidak senonoh. Jika melihat format program asal, peserta akan diuji dengan memakan benda yang menjijikkan, tetapi ia tidak akan berlaku dalam program ini.

"Ia dihasilkan mengikut kesesuaian budaya negara kita. Namun ujian yang membabitkan rasa ketakutan, ketinggian dan psikologi mental masih lagi digunakan kerana itu adalah sebahagian 'fear factor' dalam program ini.

"Kami semua diberi latihan selama lima hari dalam Boot Camp di Batu Caves, Selangor. Kami dikerah dengan pelbagai latihan lasak seperti menyertai latihan askar. Aktiviti lain termasuk 'rock climbing' dan menyelam. Saya dan Alam juga mendapatkan khidmat jurulatih peribadi bagi memastikan yang kami benar-benar bersedia dalam persaingan di Afrika Selatan nanti.

"Bukan saja persiapan fizikal, tetapi juga mental kerana kami tak tahu apa cabaran yang menanti di sana. Saya berharap pembabitan saya dalam Fear Factor Selebriti Malaysia ini boleh menambah 'mileage' saya dalam bidang seni dan penonton akan ingat kemunculan saya dalam program itu. Adakala saya bimbang mengenangkan tawaran berlakon yang sekejap ada dan sekejap tiada, namun saya yakin sebagai orang baru saya perlu berhadapan dengan dugaan itu.

"Dalam pementasan teater, saya sudah membawakan pelbagai watak dan dalam drama pula nampaknya pengarah suka memberikan saya watak antagonis. Hanya satu saja peranan yang belum diterima iaitu sebagai hero dalam drama. Itulah impian saya dan saya berharap 'waktu' itu akan datang," katanya.

Sementara itu, drama lakonan terbarunya, Saiful Nita, sedang ditayangkan di slot Samarinda TV3, setiap Selasa dan Rabu pada jam 10.30 malam dan Khamis, jam 9.30 malam. Drama itu diterbitkan sebanyak 25 episod yang turut dilakonkan Aidil Aziz, Linda Hashim, Arash Mohd, Maria Faridah, Datuk Jalaludin Hassan, Hamidah Wahab, Fauzi Nawawi dan Syura.

Cerita Arja, ketika tawaran berlakon dalam Saiful Nita datang kepadanya, wataknya hanya muncul dalam dua babak saja kerana Amy Maziah yang mengarahkan drama itu belum mengenali kemampuannya.

"Selepas melihat saya beraksi, barulah Amy menyedari bakat saya dan terus watak itu dikembangkan lagi yang akhirnya saya muncul dalam semua episod drama itu.
Saya berlakon sebagai lelaki yang baru keluar dari penjara dan kerjanya mengeksploitasi wanita sehinggalah dia cuba mempergunakan Nita (Kilafairy).

"Saya suka dan puas melakonkan watak itu, tetapi saya masih berharap diberi peluang sebagai teraju utama dalam drama," katanya.

Pada pertemuan itu, Arja tidak lupa untuk berkongsi kejayaan dan kegembiraannya dengan peminat yang dia baru saja menerima Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (Kepujian) dalam kursus lakonan dan pengarahan pada majlis konvokesyen USM, 21 September lalu.

Selama tiga tahun mengorbankan minatnya terhadap seni lakon demi mencari seberapa banyak ilmu sebagai persediaannya menjadi anak seni yang mempunyai ilmu pengetahuan.

"Ketika belajar, banyak tawaran yang datang, tetapi saya tak boleh terima. Saya hanya sempat berlakon dalam filem ...Dalam Botol kerana tawaran daripada produser filem itu, Raja Azmi memang tidak boleh saya tolak. Membawa watak mak nyah, cabaran yang perlu saya sahut.

"Saya tak terdaya berulang-alik setiap minggu antara Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Apapun yang terjadi, saya mesti tamatkan pengajian kerana saya yakin kalau saya bekerja keras, pasti peluang untuk membina nama dalam industri akan datang juga.

"Bekas dekan menawarkan saya menyambung pengajian pada peringkat sarjana, tetapi saya mahu cari duit dulu untuk membantu keluarga. Insya-Allah, andai ekonomi sudah stabil, saya akan belajar semula. Turut menerima ijazah pada hari itu, komposer Azmeer dan kami cukup terharu kerana USM sangat menghargai kejayaan kami berdua sehingga mereka mengadakan sidang akhbar khas dengan media.

"Mereka mahu kami menjadi contoh kepada artis lain dan remaja kerana menuntut ilmu itu bukan milik orang tertentu saja. Siapapun boleh berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/07


30 Cent lebih segar

Posted: 07 Oct 2012 06:38 AM PDT

JIKA dulu kumpulan menggelar diri mereka 30 Cent ini menampilkan wanita sebagai penyanyi utama dan pemilihan nama itu sempena usia masing-masing yang berada dalam lingkungan 30-an.

Setahun kemudian kumpulan yang masih aktif menyanyi pada majlis membabitkan Kumpulan Telekom Malaysia (TM) ini menukar haluan dengan menambah dua anggota baru lebih muda dan segar selepas penyanyi wanitanya mengundurkan diri.

Kini, 30 Cent dianggotai lima anak muda iaitu Hilmi Sulaiman, 32, (Helmy/gitar), Azfa Samsudin, 30, (Affa/dram), Mohammad Farid Hamdan, 37, (Farid/bass), Mohd Arif, 20 (Mat Yep/vokal) dan Muhammad Fakhrul Mohammad Farid, 14 (Aiman/keyboard).

Kembali dengan single terbaru berjudul Sudah-Sudahlah ciptaan sepenuh–nya Farid yang juga ketua kumpulan ini, 30 Cent yang ditubuhkan sejak awal 2010 ini tidak akan berhenti berkarya selagi masih diterima peminat.


Pernah hadir dengan album penuh berjudul Serasi Bersama yang memuatkan tujuh lagu baru dan satu lagu lama berjudul 30 Cent, kemunculan dua ahli baru diharap dapat menampilkan pembaharuan lebih segar dan bertenaga.


"Kami memang kurang mendapat publisiti mungkin disebabkan saya, Affa dan Helmy bekerja sepenuh masa di TM menyebabkan waktu menyanyi hanya dapat dilakukan pada hujung minggu.

"Namun tidak dinafikan selepas menjadi juara pada pertandingan TM Got Talent tahun 2010, kami sering dijemput mengadakan persembahan pentas bagi aktiviti membabitkan TM di seluruh negara.

"Sambutan begitu menggalakkan malah ramai peminat sudah mengenali kumpulan kami, cuma publisiti di dada akhbar kurang menyebabkan mereka yang kurang mendengar radio tidak kenal siapa kami," kata Farid.

Kumpulan yang pernah popular dengan lagu Tunggang Jangan Tunggang Langgang duet bersama Black Mentor ini juga berharap dengan kemunculan Mat Yep sebagai vokalis baru dapat menarik peminat remaja untuk mengenali lebih dekat lagi kumpulan 30 Cent di samping lagu-lagu yang dibawakan.

"Jika diikutkan pada asal pemilihan lagu 30 Cent adalah sempena usia masing-masing yang menginjak 30-an, namun selepas memikirkan semula kami mahukan peminat daripada semua golongan, saya sepakat dengan yang lain
mengadakan pencarian vokalis dan akhirnya Mat Yep dipilih selepas melihat vokalnya yang mantap dan jarang-jarang dimiliki remaja lain.

"Mat Yep mempunyai latar belakang yang aktif dengan bidang nyanyian sejak berada di bangku sekolah lagi. Dia juga sempat menyertai program Mentor musim ke-5 di bawah Afdlin Shauki namun rezeki tidak berpihak padanya.

"Namun saya yakin bakat serta rupa yang dimiliki Mat Yep mampu menarik golo–ngan muda untuk sama-sama menghayati genre muzik Moden Pop Rock yang kami bawakan," kata Farid lagi.

30 Cent yang bernaung di bawah syarikat FMC Music Sdn Bhd turut menjalinkan kolaborasi bersama TM dan secara tidak langsung mereka akan terbabit menjayakan persembahan bagi setiap aktiviti yang sering diadakan syarikat korporat berkenaan di seluruh negara.

"Kami rasa beruntung, selain menjadi kakitangan TM, kolaborasi yang dilakukan juga memberi peluang untuk kami mengadakan persembahan pada setiap karnival anjuran mereka.

"Ia satu platform untuk kami memperkenalkan diri dan lagu yang dibawa di samping dapat mendekatkan 30 Cent dengan peminat," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/07