Adsense

Isnin, 8 Oktober 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Harapan Noraniza

Posted: 07 Oct 2012 04:05 PM PDT

Bakal bawa pulang trofi Lagu Pop Etnik Terbaik AIM19, pelantun lagu Awallah Dondang mahu RIM cungkil bakat baru

Biarpun bangga lima lagunya dicalonkan dalam kategori Lagu Pop Etnik Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19 sekali gus menjadikan dia penerima mutlak trofi itu, namun dalam hati Ratu Etnik, Noraniza Idris lain kisahnya.

Dia sedih memikirkan ada bakat baru yang turut memperjuangkan irama etnik bagai tidak diketengahkan.

Masih ada ramai penyanyi lagu etnik di luar sana. Cuma mereka tidak tahu ke mana harus disalurkan karya mereka," Noraniza Idris, Penyanyi

Bukan kerana isu ketandusan penyanyi irama etnik hingga membawa kepada lima lagunya tercalon dalam AIM19, sebaliknya, Noraniza atau mesra disapa Kak Ani menganggap bakat baru irama etnik tidak diberi pendedahan di saluran betul.

Menganggap AIM satu-satunya anugerah yang menghargai dan memartabat irama etnik, Noraniza mahu Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang menggerakkan AIM membuat hebahan lebih meluas bagi menarik bakat baru menyertainya.

"Jangan hanya memandang penyanyi yang sudah ada nama dalam industri saja. Ini kerana masih ada ramai penyanyi lagu etnik di luar sana. Cuma mereka tidak tahu ke mana harus disalurkan karya mereka ini.

"Kalau kita tengok senarai kategori yang bertanding, ada ramai bakat baru namun mengapa tidak dalam Pop Etnik? Lagu etnik kalau tidak diberi peluang dalam industri, ia akan pupus dan tidak ada lagi pengkarya naskhah etnik," katanya ketika dihubungi HIP.
Pertahan budaya sendiri

Bertambah sedih dan terkilan di hati Noraniza apabila ada pihak kononnya cuba menggugurkan kategori pop etnik kerana tidak mendapat sambutan atau tiada penyanyi etnik.

Tidak mahu melihat irama itu pupus, Noraniza mahu RIM memberi peluang kepada bakat baru yang memperjuangkan lagu-lagu etnik sama seperti irama lain.

"Ini irama dan budaya kita. Kalau ia tidak diberi perhatian serius, takut nanti generasi akan datang tidak kenal pada irama kita sendiri. Ini kerana terlalu terikut muzik Barat termasuk yang terbaru, Gangnam Style.

"Lagu etnik tidak sehebat lagu pop, balada atau rock tetapi jika kategori ini cuba digugurkan, Kak Ani sendiri akan berjumpa dengan pihak atasan atau mengadu kepada Menteri berkaitan," katanya.

Bukan mahu menagih anugerah yang dipertandingkan, sebaliknya penyanyi yang popular dengan lagu Dikir Puteri dan Awallah Dondang ini berasakan inilah cara untuk memartabatkan irama Malaysia supaya dikenali dunia.

"Jika budaya Korea boleh dibawa masuk ke negara ini, kenapa tidak irama kita dibawa keluar? Jika dalam negara sendiri tidak diberi peluang, macam mana irama kita nak keluar?," katanya.

Himpun lagu sejarah negara

Menyentuh mengenai aktiviti nyanyian yang dilihat sepi sejak berumah tangga setahun lalu, Noraniza berkata, dia sibuk sibuk menguruskan Akademi Tatihseni di bawah seliaan syarikatnya, Noraniza Idris Ventures Sdn Bhd.

Selain itu, Noraniza juga terbabit dalam projek Jelajah Mashyur 1Malaysia.
"Sejak 2009 Kak Ani tumpukan kepada akademi yang mengambil masa dua ke tiga tahun untuk kukuh. Sekarang, Kak Ani sibuk dengan projek penghasilan cakera padat (CD) yang menghimpunkan lagu-lagu etnik dan monolog mengenai sejarah perjuangan negara untuk peringkat sekolah," katanya.

INFO: Lagu yang dicalonkan dalam kategori Lagu Pop Etnik Terbaik AIM19:
Endang Endong Cintaku Satu (Wan Mohammad Logan/ Noraniza Idris/ Ahmad Fedtri Yahya)
Hari Demi Hari (Mohd Shahril/ Noraniza Idris/ Ahmad Fedtri Yahya)
Kuasa Cinta (Edrie Hashim/ Ahmad Fedtri Yahya)
Mahligai (Helen Yap/ Ahmad Fedtri Yahya)
Menarik Hati (Asmin Mudin/ Ahmad Fedtri Yahya