Adsense

Jumaat, 5 Oktober 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Fida serasi di lokasi

Posted: 04 Oct 2012 07:24 AM PDT

BIARPUN drama lakonannya dalam setahun tidak sebanyak pelakon muda lain yang bagaikan tidak menang tangan, Rafidah Ibrahim atau mesra dengan panggilan Fida nyata berada di tahap tersendiri. Bahkan tatkala muncul, pasti dengan drama yang menaikkan namanya.

Jika tahun lalu, Fida mempertaruhkan drama Kasih Alia menerusi slot Akasia di TV3, kini dia tampil pula dengan rantaian 13 episod Runtun Qalbu arahan Ahmad Khalid Ahmad Nadzri. Disiarkan dalam slot Zehra di TV3, setiap Jumaat, jam 9 malam, ia sudah menemui penonton sejak 21 September lalu.

Masih kekal melakonkan watak 'putih' sebagai Ustazah Fatihah, gadis kelahiran ibu kota ini mengakui cukup teruja bergandingan buat kali pertama dengan tiga pelakon utama lain iaitu Kamal Adli sebagai Qalbu, Fasha Sandha (Idayu) dan Shah Iskandar (Kelabu). Katanya, ia pengalaman yang cukup menyeronokkan.

Di bawah terbitan produksi Excellent Pictures Sdn Bhd, Fida berkata, dia bersyukur tidak berhadapan sebarang masalah sepanjang menjayakan drama itu.

Ujarnya, biarpun ini adalah gandingan sulung mereka berempat, tetapi masing-masing mampu bersikap profesional dan saling membantu antara satu sama lain.

"Hinggakan saya sendiri tidak kekok, apatah lagi berasa janggal. Maklum sajalah, saya melihat mereka sebagai pelakon hebat kerana banyak drama sudah dibintangi. Bahkan, Kamal dan Fasha pula nama mereka juga dikenali di layar perak. Jadi, semestinya tahap lakonan mereka sudah cukup terbukti.

"Manakala, Shah pula semakin dikenali ramai menerusi drama dan telefilem lakonannya. Jadi, apabila digandingkan bersama mereka, ia bagaikan satu cabaran kepada saya. Justeru, jika mereka memberikan lakonan yang bagus, mengapa pula saya harus mensia-siakan peluang yang datang. Saya juga perlu berikan yang terbaik.

"Apapun, saya memang seronok berlakon di samping mereka. Rasanya, tiada sebarang tekanan berat dan Khalid pun selaku pengarah tahu apa yang diinginkan.
Jadi, tidak sukar untuk kami semua mempersembahkan lakonan seperti dikehendakinya. Pun begitu, jalan cerita drama ini memang saya suka," katanya.

Berbicara lanjut mengenai wataknya, Fida berkata, Ustazah Fatihah adalah guru agama yang tinggal bersama bapa saudaranya, seorang imam masjid. Biarpun bersikap pendiam, tetapi Fatihah seorang yang mudah didekati dan mesra.
Ujarnya, dia dan Idayu bersahabat dalam drama itu.

Menyorot sinopsis drama Runtun Qalbu ini, ia mengisahkan Qalbu yang melakukan penghijrahan dalam hidupnya daripada seorang yang lalai pada agama berubah menjadi hamba yang taat. Namun, sejauh mana dia cuba melupakan sejarah pahit itu, semakin dekat Qalbu dengan hakikat yang pernah dilaluinya.

Pun begitu, Qalbu sentiasa menjadi perhatian jirannya, Idayu yang menaruh hati terhadapnya. Tidak kisah dengan kerja Qalbu sebagai penjaga bilik mayat dan memiliki personaliti pelik, Idayu tetap menyukainya. Namun, dalam diam sebenarnya Qalbu lebih menyukai Fatihah yang ditemuinya di masjid.

Apapun, muncul pula Kelabu yang hilang ingatan dan dijaga baik oleh Qalbu.
Justeru, Kelabu menjadi perantara di antara Qalbu dan Fatihah. Justeru, apakah yang berlaku seterusnya? Apakah cinta Qalbu menjadi milik Ustazah Fatihah atau pun Idayu? Semuanya dapat disaksikan penonton dalam Runtun Qalbu.

Sehubungan itu, barisan pelakon lain yang turut membintangi drama ini ialah Shukri Yahya sebagai Bon, Reen Rahim (Amy), Kaza (Zaidi), Razak Ahmad (Imam Musa), Rosnah Johari (Rahimah), dan Juhara Ayob (Hajah Zubaidah).

Tidak hanya berlakon, Fida juga memiliki minat mendalam pada nyanyian. Kalau sebelum ini, single dendangannya pernah menjadi lagu tema drama, kini dia tampil merakamkan semula lagu Apo Kono Eh Jang? yang diberi nafas baru. Malah, kerjasama dijalin dengan Datuk AC Mizal dan Stella Band.

Menyingkap idea merakamkan lagu itu, Fida berkata dia mendapat cadangan daripada komposer dan penulis lirik terkenal, Sheikh Qalam yang bertindak sebagai penerbit. Apatah lagi, ujarnya ia idea yang bagus serta dia juga sememangnya mahu mencuba sesuatu yang baru untuk menilai vokal sendiri.

"Saya menerima cadangan Sheikh Qalam itu berikutan berasakan ia idea yang bagus. Malah daripada pemilihan lagu serta susunan muzik, kesemua dibuat olehnya (Sheikh Qalam). Jadi, proses rakaman lagu ini yang menggabungkan elemen solo, rap dan band dilakukan saya pada Ramadan lalu dan kini mula berkumandang di radio.

"Tak dinafikan, pada mula selepas merakamkan lagu ini saya tak nampak ke mana hala tujunya. Bagaimanapun, apabila sudah siap sepenuhnya, saya baru nampak kelainan itu. Malah saya percaya lagu ini akan menepati cita rasa pendengar kerana kepelbagaian. Memang seronok didengar," katanya.

Selain nyanyian, Fida juga memaklumkan dia kini sibuk mengusahakan perniagaan minuman kesihatan, misai kucing. Katanya, kini sambutan diterima daripada pengguna semakin menggalakkan. Bahkan, ujarnya dia mula menceburi perniagaan ketika terbabit dalam program Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya.

"Saya tak sangka akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat.
Jadi, saya putuskan untuk menceburi perniagaan ini secara serius. Kini, stokis yang berminat untuk menjadi pengedar produk ini dan maklumat lanjut, bolehlah berkunjung ke laman sosial facebook saya," katanya.

Tatkala menyentuh soal status BBM miliknya yang bengang dengan pihak tidak bertanggungjawab menghantar bahan lucah kepadanya, Fida berkata, dia sudah melalui perkara itu sejak tiga bulan lalu.

Pun begitu, selepas puas bersabar, dia masih lagi menerima gangguan itu. Akibat sudah tak mampu berhadapan tekanan yang datang maka Fida meluahkan perasaan kecewanya dalam BBM dan menghantar kepada senarai rakan. Katanya, dia berharap sangat supaya rakan BBM miliknya lebih peka terhadap apa yang mahu dihantar mereka.

Katanya, janganlah berburu-buru menghantar apa saja bahan diterima di dalam BBM kepada orang lain. Katanya alangkah lebih bagus supaya menilai dulu kandungan yang dikirim, sebelum terus menghantar kepada orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Noraniza kuasai etnik

Posted: 04 Oct 2012 07:17 AM PDT

JULUNG kalinya dalam sejarah penganjuran Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM), kategori Lagu Pop Etnik Terbaik mencalonkan hanya seorang penyanyi menerusi lima lagu dendangannya.

Calon berkenaan tidak lain tidak bukan adalah, Noraniza Idris. Apa yang lebih menarik kesemua lagu yang layak liriknya ditulis oleh pengacara program temu bual pagi Malaysia Hari Ini iaitu Ahmad Fedtri Yahya.

Bagaimanapun, lagu-lagu itu dicipta oleh komposer yang berbeza. Endang-Endong Cintaku Satu misalnya, menyaksikan kolaborasi antara Wan Mohammad Logan, Hari Demi Hari (Mohd Shahril/Noraniza Idris), Kuasa Cinta (Edrie Hashim), Mahligai (Helen Yap) dan Menarik Hati (Asmin Mudin).

Kelayakan kesemua lagu dendangan Noraniza itu secara jelas menunjukkan persada seni muzik kekurangan lagu-lagu etnik sekali gus menimbulkan persoalan mengapa tidak saja kategori itu dibubarkan.


Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM19, Rosmin Hashim, berkata, pihaknya ada memikirkan untuk membubarkan kategori berkenaan pada mulanya, bagaimanapun selepas berbincang dengan pihak juri juga ahli jawatankuasa AIM, keputusan itu tidak adil bagi pihak komposer.


"AIM dianjurkan untuk mengiktiraf pengkarya muzik iaitu komposer, penulis lirik dan penyanyi. Dalam penjurian yang dilakukan saban tahun, melodi mewakili peratus pemarkahan yang besar kemudian baru lirik dan 20 peratus penyampaian penyanyi.

"Jika kategori ini hendak dibubar kerana kesemua lagu yang dicalonkan mengenengahkan penyanyi yang sama, itu bermakna kami tidak berlaku adil buat komposer dan penulis lirik yang seharusnya diraikan.

"Seperkara lagi, jika kategori berkenaan dibubarkan, ia mendorong kepada kepupusan lagu-lagu etnik yang sememangnya sudah tidak kompetitif.

"Untuk pengetahuan umum, kategori ini tidak mempunyai saingan daripada mana-mana artis lain malah kelima-lima lagu yang tercalon ini adalah seleksi lagu yang menghantar penyertaan mereka kepada kami. Dengan mengekalkannya akan mendorong pengkarya muzik untuk terus menghasilkan lagu berirama etnik," katanya.

Merungkai persoalan, mengapakah album Cintaku Satu tidak tersenarai sebagai top 5 kategori Album Terbaik mahupun Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Album, sedangkan lima daripada 10 lagu yang terkandung berjaya membolosi top 5 kategori Lagu Pop Etnik Terbaik.

Ini secara tidak langsung membuktikan pembikinan album Noraniza juga dikenali sebagai pejuang irama Malaysia itu layak ditempatkan di dalam dua kategori yang disebutkan.

"Segala pemarkahan dilakukan juri profesional yang mempunyai latar belakang hebat dalam bidang muzik. Cintaku Satu mungkin mempunyai seleksi lagu yang hebat tetapi barangkali ada lagi produk album yang lebih baik daripada itu," katanya ringkas.

Ditemui di majlis pengumuman calon top 5 AIM19 di Hotel Royale Chulan, Rosmin juga memberi jaminan bahawa 57 barisan juri yang terbabit dalam penghakiman AIM19 kali ini terdiri daripada kalangan pengamal muzik yang sememangnya berpengalaman dalam bidang masing-masing seperti komposer, penulis lirik, pemuzik, penyanyi termasuklah jurutera bunyi.

Sebelum ini, penghakiman dilakukan oleh ahli-ahli Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) termasuk pihak media, ahli akademik, wakil stesen radio dan televisyen serta individu daripada syarikat rakaman.

Sebanyak 16 kategori dipertandingkan iaitu Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki), Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) , Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu, Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu, Lagu Terbaik dan Album Terbaik.

Manakala, sama seperti tahun sebelumnya dua anugerah khas juri diberikan kepada penggiat muzik yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa juga sumbangan bakti orang-orang lama menerusi Anugerah Wirama dan Kembara.

Berbanding penganjuran AIM yang lepas, AIM19 tidak banyak membariskan lagu-lagu hit dalam senarai Top 5 meskipun kebelakangan ini banyak lagu popular dihasilkan oleh pengkarya muzik.

"Kami akui memang ada banyak lagu hit tetapi mungkin karya mereka itu tidak menepati kriteria ditetapkan juri profesional yang mengadili setiap kategori memandangkan kami amat menitikberatkan soal kualiti. Bagaimanapun itu tidak bermakna lagu mereka tidak bagus, cuma ada yang lebih baik pada pendengaran juri," katanya.

Walaupun reputasi AIM dan RIM pernah dipersoalkan pada edisi tahun lalu, namun bagi Rosmin, ia adalah satu perkara yang lumrah.

"Pihak kami berharap perkara sedemikian tidak akan berlaku lagi anugerah berprestij yang diwujudkan untuk memartabat serta mengiktiraf hasil kerja dan kreativiti karyawan muzik tempatan kita ini," katanya.

Baginya, apa yang penting adalah kredibiliti AIM dan berharap ia akan lebih telus dengan adanya forum dan pemilihan yang lebih teliti daripada barisan pihak juri menerusi prosedur penghakiman yang telah disediakan.

AIM edisi ke 19 ini bakal berlangsung pada 17 November 2012 di Stadium Malawati, Shah Alam dan akan dipancarkan Astro Ria secara langsung di saluran 104.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04