Berita Harian: Hip |
Posted: 04 Oct 2012 03:42 PM PDT Kesal persepsi orang industri kononnya tidak lagi mahu beraksi selepas jadi penerbit Aktres Melissa Saila yang mewarisi bakat ibunya, pelakon Mariani terkilan tidak lagi ditawarkan membintangi drama atau filem selepas bergelar penerbit serta pengarah. Pelakon berbakat ini terkilan orang dalam industri bagai cepat membuat telahan kononnya dia sudah tidak lagi mahu berada dalam gelanggang lakonan, sedangkan dia tidak pernah diaju pertanyaan sama ada berminat berlakon atau sebaliknya."Ya, saya kecewa dengan pandangan itu. Mana mungkin saya tidak mahu berlakon lagi kerana sudah mewarisi darah lakonan sejak kecil lagi. "Bagi saya, berlakon dan mengarah adalah berbeza serta mempunyai kepuasan tersendiri. Memang saya sibuk dengan produksi sendiri tetapi itu tidak bermakna jika ada tawaran menarik, saya akan menolaknya. "Saya seorang pelakon dan akan terus berlakon. Pasti saya akan memilih watak yang sesuai dengan usia saya sekarang tetapi tidaklah sehingga meninggalkan dunia lakonan," katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Lahir pelakon cilik, Mia Sara Nasuha di ibu kota, baru-baru ini. Melissa yang memiliki produksi Kus Semangat Aktor sejak tiga tahun lalu sebelum ini jarang tampil di mana-mana majlis dihadiri media dengan membawa tiga cahaya mata yang comel. "Sudah masuk lima bulan saya uruskan anak sendiri. Bukan apa, saya cuba menjadi ibu terbaik selain menjadi insan seni. Saya belum terdesak lagi menggunakan khidmat orang gaji dan jika terlampau sibuk, barulah saya memikirkan soal itu. "Setakat ini, saya baru habis menjalani penggambaran filem Spilt Gravy On Rice yang menampilkan Datuk Rahim Razali, Diana Danielle, Nanu dan Ida Nerina," kata pelakon kanak-kanak dalam filem Ranjau Sepanjang Jalan pada 1983 ini. Puas urus anak-anak Melissa yang dikurniakan tiga anak comel diberi nama Noor Megat yang berusia lapan tahun, Zain (enam tahun) serta Zahra (tiga tahun) berkata, kehidupannya sebagai ibu cukup membahagiakan. Semua keperluan rumah tangga seperti memasak, mengambil anak dari sekolah serta mengemas rumah dilakukannya sendiri. Bagi Melissa, semua tugasan itu membawa kepuasan tidak terhingga. Ketika diaju tidakkah mahu anak-anaknya mewarisi bakat seninya tambahan masing-masing ada pakej diperlukan untuk mengisi dunia lakon, dia berkata, sejujurnya dia tidak mahu anak-anak menjadi pelakon sebaliknya lebih selesa jika mereka memilih kerjaya lain. Tanpa memberi alasan, Melissa hanya tersenyum tanpa memberi kenyataan. Namun, dia akui ada tawaran untuk anak-anak comelnya berlakon malah anak sulungnya sudah terbabit dalam beberapa iklan komersial. |
Posted: 04 Oct 2012 03:30 PM PDT Pelakon bawa pelbagai watak dalam satu persembahan sama jadi misi FTM 2012 SENI monodrama kurang diberi perhatian sekalipun tersenarai sebagai satu cabang seni teater. Seperkara lagi, kekurangan bakat dalam seni monodrama menyebabkan ia bagai dipandang sepi. Tidak seperti seni teater lain, monodrama menampilkan seorang pelakon dengan pelbagai watak. Bagi mengembangkan lagi seni monodrama, penggiat seni teater diberi peluang mengembangkan bakat mereka.Melalui Festival Teater Malaysia 2012 (FTM 2012), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) membuka jalan bagi membawa persembahan yang berkualiti dan melahirkan tenaga muda yang boleh menerajui dunia keseniman Malaysia seperti Rosnan Rahman iaitu penggiat seni monodrama. Usaha Rosnan mementaskan Rebab Berbisik dianggap contoh terbaik bagi mengembangkan seni itu supaya terus hidup selain mendekatkan penonton dengan persembahan seni monodrama. Pementasan khas Rebab Berbisik sempena pembukaan FTM 2012 disambut baik peminat seni teater yang memenuhi ruang Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabtu lalu. Karya Rohimidin Zahari itu yang menampilkan empat watak dalam sebuah keluarga iaitu Pok Su Mat; Mek Ning (isteri Pok Su Mat iaitu bekas primadona makyung); Azri (seorang ustaz) dan Azmi (yang mengalami kecelaruan gender dan menggunakan nama Mimi Christina Rabecca Maria Ana Della Dilobos) mencuri perhatian penonton dengan gelagat dan penjiwaan watak Rosnan. Rosnan yang juga Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JKKN, melahirkan kesyukuran dan bangga apabila diberi penghormatan mementaskan Rebab Berbisik sebagai pembuka gelanggang FTM 2012. "Pembabitan saya dalam seni teater ini masih baru. Tetapi teater ini sudah dipentaskan lebih 20 kali sejak 2007. Saya dikurniakan bakat dan menggunakannya untuk berkongsi rasa gembira, sedih dan pilu dengan penonton. "Ini sebuah naskhah yang bagus. Saya cuma mencurahkan emosi sepenuhnya kepada penonton. Seni monodrama perlu diteruskan supaya kita sedar bahawa kita akan kehilangan nilai seni ini jika tidak dihargai," katanya. Menyedari konsep monodrama sedikit membosankan, Rosnan mengingatkan penggiat seni itu perlu kreatif dan bijak berkarya untuk memberi keseronokan kepada penonton dengan menyuntik elemen komedi. FTM 2012 yang membuka gelanggangnya pada 30 September lalu menampilkan persembahan dari Kelab Estetika Budaya, UiTM Pahang dengan teater bertajuk Kebayan. Manakala Badan Kesenian dan Warisan P.Ramlee (BAKAWALEE) mementaskan teater Perhiasan Kaca, Isnin lalu. Teater Pelantaq hasil karya Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB) dipentaskan Selasa lalu. Manakala Grup Teater Lab, Universiti Malaysia Sabah tampil dengan teater Mencari Ricka, Rabu lalu, turut berentap merebut gelaran juara FTM 2012. Selain itu, Majlis Teater Selangor tampil dengan teater Buai (semalam) dan Pusat Kokurikulum Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (UTHM) mementaskan Janin, hari ini. Juara FTM 2012 menerima hadiah wang tunai RM15,000 dan berpeluang mewakili negara ke Festival Teater Antarabangsa. Manakala pemenang setiap kategori akan membawa pulang wang tunai RM3,000; RM2,000 dan RM1,000. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |