Berita Harian: Hip |
Posted: 29 Oct 2012 02:32 PM PDT Mungkin tidak mahu kisah lampau diungkit, aktres Izreen Azminda dilarang suami, Muhamad Riza Baharudin untuk berlakon bersama Johan As'ari biarpun antara mereka sudah tiada lagi sengketa. Sebelum ini, isu antara Izreen dengan Johan menjadi topik hangat media. Namun, selepas setahun berlalu, Izreen tidak mahu mengingat kembali kisah silam. Baginya, kehidupan selepas berumah tangga bersama jurukamera, Mohammad Riza Baharuddin sejak dua bulan lalu, cukup bahagia. Izreen tidak mahu mencalari hubungan mereka sebagai suami isteri dengan kisah silam. "Tidak ada dendam dengan sesiapa dan sudah lama saya melupakan kisah lalu. Izreen sekarang lebih bahagia dan seronok bergelar isteri kerana dapat berkongsi segala-galanya dengan suami. "Izreen boleh berlakon dengan mana-mana pelakon lelaki, tetapi tidak dengan Johan. Ini kerana suami tak benarkan. Bukan kerana dendam atau marah, tetapi takut akan menimbulkan gosip atau kontroversi," katanya. Pilih watak, jaga status isteri Faham dan akur dengan kehendak suami, Izreen juga membataskan karakter lakonan supaya tidak melampaui status sebagai isteri demi menjaga nama baik suami. "Kalau dulu, Izreen banyak pakai seluar dan penampilan diri yang ringkas sehingga ada yang menggelar Izreen tomboi sebab kasar, tetapi selepas bersuami, Izreen sudah pandai mendandan diri dan mengenakan solekan. Pakaian Izreen juga lebih kewanitaan. "Imej kena jaga, takut nanti orang cakap perangai tak berubah walaupun sudah berkahwin. Alhamdulillah, walaupun sibuk dengan lakonan, tetapi saya tetap meluangkan masa dengan suami. "Izreen beruntung kerana suami bekerja dalam bidang sama. Jadi, tidak susah dan dia faham kerja kita," katanya yang sibuk dengan penggambaran drama bersiri berjudul Julia. Selepas drama Cinta Kasih, Izreen bekerjasama dengan suami dalam drama 30 episod berjudul Sehangat Asmara berganding dengan Adi Putra dan Rita Rudaini. Tidak merancang untuk memiliki cahaya mata, Izreen dan suami sabar menantikan kehadiran penyeri rumah tangga, malah tidak meletakkan jumlah anak. "Tidak kisah anak lelaki atau perempuan kerana itu rezeki Allah. Kami tidak pernah merancang, kalau sudah ada rezeki, Alhamdulillah cuma lambat atau cepat saja. "Sekarang, Izreen sudah pandai menguruskan hal rumah tangga termasuk makanan dan pakaian suami. Saya juga belajar memasak dengan emak. Suami bukan jenis yang cerewet dan makan apa saja yang Izreen masak," katanya. |
Posted: 29 Oct 2012 02:27 PM PDT Penggiat seni, pelakon dan pelawak akur dengan sebarang keputusan yang bakal dicapai pada Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan (Majlis Fatwa) yang akan bersidang bulan depan mengenai penampilan watak lelaki berpakaian wanita, lelaki lembut dan tomboi. Ketua Pengarah Istana Budaya (IB), Datuk Mohamed Juhari Shaarani, berkata IB akan bersikap positif dengan apa saja keputusan yang dibuat dan pada masa sama mereka tidak menganggap ia sebagai penyekat kreativiti penggiat seni. "Jika fatwa melarang watak lelaki menyerupai wanita dipentaskan, IB akan akur. Memang IB sendiri tidak pernah menggalakkan watak lelaki lembut ditonjolkan dalam pementasan kami, melainkan sesetengah babak yang bertujuan menggambarkan dunia sebenar Lorong Haji Taib. "Kami tidak akan sesekali menentang tindakan Majlis Fatwa sekiranya sudah jelas ia satu kesalahan. Lagi pun, saya percaya lawak boleh ditonjolkan dengan pelbagai cara. Tidak semestinya dengan hanya menonjolkan watak lelaki berpakaian wanita, barulah penonton akan ketawa. "Contohnya, watak kanak-kanak lakonan kumpulan Boboi juga berjaya membuatkan penonton ketawa. Jadi, tidak semestinya apabila watak lelaki lembut atau menyerupai wanita diharamkan, ia akan menyekat kreativiti pelawak," katanya kepada HIP, semalam. Katanya, sitkom 2+1 lakonan Imuda yang membawakan watak lelaki lembut sebelum ini pernah dipertikaikan, tetapi ia masih berjaya muncul program diminati ramai, kira-kira dua dekad lalu. Sementara itu, Harun Salim Bachik yang juga anggota kumpulan Boboi berkata, mereka tidak berniat mempengaruhi penonton apabila membawakan watak sedemikian. Malah, watak menyerupai wanita tidak dibawa sekadar suka-suka, sebaliknya masih diselitkan mesej serta dilakukan bagi memenuhi kehendak naskhah. "Saya tidak begitu mahir soal hukum-hakam agama, tetapi apa yang saya lakukan sekadar lakonan. Ia tidak bersangkut-paut sama ada saya setuju dengan watak itu atau sebaliknya. "Sebagai pelakon, kami melakonkan sesuatu demi kehendak naskhah dan untuk menghiburkan penonton. Tetapi kami tidak berniat mempengaruhi penonton supaya menjadi seperti watak yang kami bawakan. "Saya hanya bawa watak perempuan ketika bekerja. Di luar, saya masih lagi lelaki sejati. Bagi saya, tidak semestinya dengan menonton lakonan kami, khalayak akan terpengaruh. Banyak faktor lain sebenarnya yang boleh mempengaruhi generasi muda kita hari ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |