Adsense

Ahad, 21 Oktober 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


'Saya bukan pelakon bermasalah'

Posted: 20 Oct 2012 04:35 PM PDT

Shiqin akui sukar penuhi kehendak wartawan

Tergamam seketika pelakon Shiqin Kamal apabil a dituduh pelakon bermasalah dan sukar dihubungi. Lebih lagi, wajah jelitanya sekejap timbul, sekejap tenggelam.

Tapi, pelakon kacukan Melayu-Pakistan-Siam-Cina punya alasan tersendiri.
Bukanlah dirinya tidak berdisiplin atau besar kepala, tapi pelakon yang diperkenalkan menerusi filem Lagenda Budak Setan itu terikat dengan komitmennya sebagai pelajar. Beliau adalah penuntut tahun akhir jurusan Sains Aktuari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

"Saya minta maaf sekiranya pernah melakukan kesilapan. Bukannya saya bermasalah atau sukar dihubungi, tapi saya masih belajar. Kadang kala saya sukar memenuhi kehendak wartawan yang mahu mengadakan sesi fotografi kerana komitmen saya sebagai pelajar.

"Saya sedar ada ketikanya saya sukar memberikan komitmen pada promosi filem yang dilakonkan. Saya percaya mungkin di situlah timbul isu saya seorang yang bermasalah dan tiada disiplin.

"Saya akui tidak mampu melakukan dua kerja dalam satu masa. Disebabkan terikat dengan pengajian jugalah menyebabkan saya banyak menolak watak-watak bagus.
"Memang terbit perasaan menyesal, tapi apakan daya. Saya harus menghabiskan pengajian terlebih dulu. Itu janji saya pada keluarga sekiranya mahu terus berlakon.

Saya hanya menerima tawaran berlakon jika cuti semester.

"Saya percaya pada rezeki. Insya-Allah, saya akan berlakon secara serius selepas tamat pengajian tidak lama lagi. Sudah empat tahun saya bergelar anak seni walaupun hanya dapat berlakon beberapa filem.

"Saya tahu pasti ada kekurangan jika saya tamak. Saya tidak mahu yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

"Pengajian adalah keutamaan saya buat masa ini.

Saya tidak sanggup korbankan pelajaran kerana terkejar-kejar dunia glamor.

Biarlah saya tidak popular dan kurang dikenali, tapi tanggungjawab saya terhadap pelajaran sudah dilunaskan," katanya.

Pelakon aksi

Selain filem Lagenda Budak Setan, Shiqin juga pernah membintangi filem Uncle Hussein, Dilarang Masuk, Mantera, Leftwing dan Tanda Putera. Bermula sebagai model klip video Kumpulan KRU menerusi lagu Sumpah Takkan Cari Yang Lain, Shiqin diberi ruang oleh KRU sebagai pelakon aksi filem Magika untuk Ziana Zain yang melakonkan watak nenek kebayan.

Shiqin berkata, dia pernah terpukul dengan kritikan ketika pertama kali diberi ruang sebagai watak utama dalam filem Lagenda Budak Setan. Lakonannya sebagai Emilia dalam filem berkenaan dikritik dan dihentam teruk peminat.

"Saya kecewa ketika itu. Saya tidak malu nak mengatakan emosi saya terganggu apabila membaca kritikan dan hentaman di blog dan laman Facebook. Kena ingatlah, siapalah saya ketika itu. Bergandingan pula dengan pelakon hebat seperti Lisa Surihani, Farid Kamil dan Que Haidar.

"Saya pula kali pertama diberi watak besar dalam layar perak. Sebelum itu, saya tidak pernah berlakon, jadi tentulah banyak kekurangan. Tapi, di sebalik kata hinaan pedih yang diterima, saya belajar sesuatu. Belajar menjadi pejuang seni yang kental dengan panahan.

Emosi pulih

"Bagaimanapun, ada juga peminat yang memberi kata semangat. Emosi saya sedikit pulih apabila tidak semua yang menilai kekurangan saya sebagai satu kesilapan," katanya.

Shiqin atau nama sebenarnya, Nur Ashikin Mohd Kamal berkata bukan glamor dan nama yang dicari apabila dirinya memilih menceburi bidang lakonan, sebaliknya minat sudah timbul sejak di bangku sekolah lagi.

"Saya sudah pasang impian bergelar pelakon sejak kecil lagi. Saya bukannya kejar glamor, bukan mahu hidup ditaburi kemewahan, tapi minat saya tambah mendalam sejak di bangku sekolah. Pantang ada pertandingan teater antara kelas, saya akan tawarkan diri.

"Tidak kira watak kecil, saya tetap mahu cuba juga kerana saya memang minat berlakon. Alhamdullilah, saya terbabit sebagai model klip video KRU dan pelakon aksi filem Magika selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya buat 'stunt' untuk Ziana yang melakonkan watak nenek kebayan. Sepatutnya Ziana melakukan 'stunt' sendiri, tapi disebabkan Ziana sedang mengandung, jadi saya menggantikan posisi Ziana untuk babak-babak lasak," katanya.

FFM25 berlangsung 30 Disember?

Posted: 20 Oct 2012 04:29 PM PDT

Minggu lalu, Kak Pora ada menulis mengenai penganjuran Festival Filem Malaysia Ke-25 (FFM25) yang langsung tidak tahu khabar beritanya.

Kak Pora beritahu, ramai orang industri filem bercakap pasal ini, lebih-lebih lagi ketika Kak Pora hadiri majlis Anugerah Blokbuster, baru-baru ini.

Ramai yang tidak yakin FFM25 akan dapat dianjurkan dalam tahun ini sebab masa kian suntuk sedangkan penganjurnya, sama ada FINAS atau GAFIM langsung tidak menghebahkan apa-apa perkembangan mengenai penganjurannya tahun ini.
Sehari selepas artikel Kak Pora disiarkan minggu lalu mengenai FFM25, Kak Pora dapati FINAS menghantar jemputan kepada media massa untuk mengadakan sidang media berkaitan FFM25 pada 19 Oktober. Kemudian, ia ditunda pula dan dijangka akan dibuat pada 22 Oktober (esok).

Tempat sidang media itu ialah di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan majlis itu dijadualkan bermula jam 3 petang.

Bagi Kak Pora, kalau betul sidang media FINAS esok mengenai penganjuran FFM25 yang akan dibuat tahun ini juga, baguslah.

Kak Pora dibisik oleh seorang rakan setugas, dia mendapat tahu FINAS mahu mengumumkan tarikh penganjuran FFM25 yang akan dibuat pada minggu terakhir Disember ini, termasuklah acara penganugerahan FFM25 akan berlangsung pada malam 30 Disember. Ye ke?
Tergesa-gesa

Kalau betul bagai dikata, Kak Pora rasakan FINAS anjurkan FFM25 dalam tergesa-gesa.

Masa begitu suntuk sebab secara puratanya, FINAS cuma ada sekitar dua bulan untuk memulakan kerja penganjuran. Tentulah, Ketua Pengarah FINAS, Mohd Naguib Razak akan 'mengerahkan' staf FINAS untuk menjayakan FFM25. Teruklah petugas FINAS nanti sebab untuk festival macam FFM25, ia perlukan perancangan rapi lebih-lebih lagi ia adalah sambutan Jubli Perak FFM.

Kak Pora faham, mungkin juga Mohd Naguib hendak buat juga FFM25 pada tahun ini supaya tidak dikritik oleh pengiat filem. Lagipun, Kak Pora dapat tahu kontrak Mohd Naguib sehingga 31 Disember, jadi sesuailah ia diadakan sebelum khidmat beliau berakhir di FINAS. Kak Pora harap segala-galanya lancar meskipun Kak Pora berasakan tentu kelam-kabut nanti dibuatnya untuk uruskan bermacam-macam kegiatan sepanjang festival berlangsung, termasuk urusan penyertaan, pencalonan, penjurian, seminar, tayangan dan acara pembukaan rasmi dan malam penganugerahan.

Tak puas hati

Seperkara lagi, Kak Pora juga diberitahu, beberapa ahli jawatan kuasa GAFIM seperti tidak berpuas hati kerana mereka dikatakan tidak dimaklumkan mengenai penganjuran FFM25, malah sidang media esok juga mereka tidak dijemput oleh FINAS, ye ke? Setahu Kak Pora, sepatutnya FINAS kena memanggil sama wakil GAFIM untuk bersama dalam penganjuran FFM25.

Kalau betul, wakil GAFIM tidak diajak bersama dalam sidang media atau GAFIM diketepikan dalam penganjuran FFM25, ia tidak wajar kerana hak penganjuran FFM adalah milik GAFIM dan selama ini FINAS bekerjasama dengan GAFIM untuk bersama menjadi penganjur. Kak Pora cuma bimbang nanti akan timbul kontroversi panas pula...

KAK PORA: Untuk majlis ABPBH 2012 yang akan berlangsung April tahun depan, AJK sudah mulakan kerja sejak Ogos lalu.