Adsense

Isnin, 15 Oktober 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Najwa menyendiri

Posted: 14 Oct 2012 01:43 PM PDT

Bukan saja menyepikan diri seketika dari dunia seni, pelantun lagu popular Cinta Muka Buku, Najwa Latif, 17, mengambil keputusan drastik mengetepikan semua aktiviti sosial dan memberi perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran, mulai sekarang.

Bakal menempuhi SPM pada 6 November depan, pelajar jurusan sains Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Temenggung Ibrahim (SMKPTI), Batu Pahat, Johor ini memutuskan komunikasi dengan setiap laman sosialnya - baik Facebook, Twitter dan Instagram. Malah, telefon bimbitnya juga dimatikan sementara waktu dan hanya akan dihidupkan kembali selepas SPM berakhir.

Tidak mahu terganggu dengan aktiviti melalaikan, Najwa yang dihubungi HIP melalui telefon bimbit ibunya, Zarina berjanji akan kembali aktif dengan aktiviti seni apabila peperiksaannya tamat.
Akui rindu bermain muzik, Najwa bagaikan tidak sabar untuk kembali bergelumang dengan dunia muzik.

"Disebabkan rindu, setiap minggu saya akan menghadiri satu sesi kelas muzik. Selalunya, saya akan pergi pada hujung minggu di mana saya meluangkan masa bermain gitar, jadi dapatlah saya melepaskan rindu.

"Sekarang saya sibuk dengan persediaan menjelang SPM. Saya banyak buat ulang kaji secara berkumpulan, menghadiri tuisyen dan kelas tambahan. Masa saya juga banyak diluangkan belajar di rumah," katanya.

Najwa berkata, agenda seninya terpaksa dihentikan sementara waktu.
"Tapi bukan maksud saya menolak tawaran, di mana aktiviti saya banyak disusun oleh pengurus dan kakak saya, Ika. Jadual selepas SPM pun saya belum tengok lagi kerana hanya mahu fokus dengan pelajaran ketika ini," katanya.

Mengulas mengenai SPM, Najwa mengambil sembilan subjek dengan tempoh peperiksaan dijangka berlangsung tiga minggu.

"Selesai peperiksaan, barulah saya akan ke Kuala Lumpur untuk menjayakan persembahan," jelas Najwa yang mengakui masih banyak topik perlu diulang kaji sebelum SPM bermula.

Berehat dari aktiviti seni sejak April lalu dengan acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2011) menjadi majlis terakhir dihadirinya, Najwa berjanji akan menghasilkan album kedua tahun depan.

Menjanjikan kelainan daripada album pertamanya, penyanyi sensasi kelahiran Youtube ini masih berteka-teki dengan konsep album keduanya itu.

Mungkin muzik yang bakal ditampilkan lebih matang, Najwa memberitahu, dia akan menyelitkan sesuatu yang lebih segar supaya peminat tidak bosan.

"Mahu tahu apa yang lainnya dengan album terbaru saya itu, anda kena tunggu. Mungkin saya bermain dengan alat muzik selain gitar, siapa tahu.

"Saya akan mula merakamkan lagu baru mulai tahun depan di mana semua lagu yang akan dimuatkan adalah ciptaan saya dan kakak. Mungkin kami akan memuatkan lima hingga enam lagu, tapi itu semua tidak pasti lagi," katanya.

Ditanya perancangan masa depan, Najwa berkata, dia berhasrat menyambung pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan TESL (Teaching English Second Language).

Malique bagai saudara sendiri

Posted: 14 Oct 2012 01:30 PM PDT

Penyanyi rap, Joe Flizzow, menghormati keputusan teman duonya dalam Too Phat, Malique, yang tampak menjauhkan diri daripada dunia hiburan kerana mahu menumpukan perhatian terhadap keluarga.

Biar agak lama tidak bertemu teman baiknya itu, dia tetap menganggap Malique seperti adik-beradik kerana mereka pernah merasai pahit manis memperjuangkan genre rap bersama-sama, sejak 1999.

Malah hingga kini Joe masih memasang impian untuk menghasilkan projek khas bersama-sama selepas masing-masing mengambil keputusan bergerak solo kira-kira lima tahun lalu.
"Entahlah, sukar saya jelaskan situasi ini. Namun, ingin saya tegaskan, Malique tetap saya anggap sebagai saudara sendiri.

Memang saya tahu ramai yang mahu melihat gandingan kami semula, cuma mungkin agak sulit dalam keadaan sekarang," katanya yang turut meluahkan perasaannya itu menerusi bait lirik sebuah lagunya.

Jujur katanya, mereka jarang bertemu dan kali terakhir dia berkesempatan duduk berbual panjang dengan teman baiknya itu adalah pada sekitar awal tahun ini, yang ditemui secara kebetulan.

Hingga kini peminat tertanya-tanya ke mana menghilangnya Malique walaupun dia tetap rancak menghasilkan lagu buat penyanyi lain termasuk Teman Pengganti untuk Black, dan Bawalah Aku Pergi (Zizan dan Kaka).
Rentetan daripada lirik Teman Pengganti yang menceritakan individu menanti maut menjemput, selain pengakuannya menyatakan ia mungkin ciptaan terakhirnya, timbul pula gosip kematiannya hingga pihak keluarga terpaksa tampil membuat penafian.

Sebagai rakan, Joe yang dipertanggungjawab mengendalikan program terbaru 8TV, Hip Hoppin' Asia, tetap mengharapkan kesejahteraan Malique biar apa pun arah tuju yang ingin dicapainya.

Sementara itu, rapper yang ditemui pada majlis pelancaran rancangan kembara yang menjejaki pejuang irama itu di bandar raya sekitar Asia akan terus berusaha menghapuskan stereotaip mengenai muzik rap dan budaya hip hop dalam kalangan masyarakat, terutama di negara ini.

Walaupun genre itu sudah lama bertapak di Malaysia, ia masih dianggap sebagai budaya 'tidak sihat' apabila sering dikaitkan dengan gangsterisme serta lirik berbaur negatif terutama bahan lucah.

"Bukan semua lirik terarah kepada perkara negatif kerana hip hop tetap menonjolkan banyak mesej baik. Hampir 12 tahun bergelar artis, saya berdepan banyak cabaran untuk membuang tanggapan seperti itu.

"Nampaknya ramai sudah menerima hip hop sebagai antara aliran muzik yang sama seperti genre lain.

Cuma saya bersama rakan seperjuangan lain akan tetap memberi pemahaman sebenar kepada masyarakat," katanya.

Mengenai penerbitan Hip Hoppin' Asia yang membawa dirinya mengembara ke tujuh negara, ia sebahagian daripada usaha membuka mata masyarakat untuk melihat sisi positif serta keunikan genre itu.

Bakal tampil dengan 10 episod yang disiarkan setiap Khamis bermula 18 Oktober, antara negara dikunjunginya ialah Thailand, Sri Lanka, Jepun, Hong Kong, Indonesia, Taiwan dan Filipina.